Wednesday, April 8, 2009

...Papaku pulang dari kota.....

Aku dan suami bukan jenis pengumpul kereta. Kami bukan jenis yang sanggup berhabis-habisan semata-mata untuk kereta. Bagi kami, kereta adalah suatu bentuk keperluan yang perlu dipenuhi bagi memudahkan urusan seharian.

Sebuah kereta Proton Iswara Aeroback 1.3 manual, WHL8547 berwarna hijau metalic merupakan kereta pertama yang dibeli suamiku pada April tahun 2000. Pada waktu itu, dia masih bujang dan menetap di Ulu Langat. Agak sukar baginya berulang alik ke pejabat menggunakan pengangkutan awam memandangkan waktu kerjanya yang sering saja 'terlajak' hingga ke larut malam. Iswara itu menjadi penyelamat keadaan. Secara tak langsung, Iswara itu jugalah yang berjasa mengambil atau menghantarku ke stesyen bas Pudu pabila sesekali aku datang menjenguk ibukota Kuala Lumpur. (Maklumlah, waktu itu, aku masih berkhidmat di Kemayan, Pahang). Iswara hijau tak ketinggalan menyertai rombongan pengantin tatkala kami diikat dengan ikatan sah sebagai suami isteri. Malah, ketika kami berdua sibuk memenuhi undangan jemputan bertandang ke rumah saudara maraku di Kelantan, Iswara itulah juga yang telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Ford. Waktu itu, suamiku memandu dengan agak perlahan memandangkan jalan licin kerana hujan renyai-renyai (musim tengkujuh). Agak ramai orang di kiri kanan jalan, menangkap ikan kerana air bendang telah mula penuh. Sebuah lori tiba-tiba menekan brek secara mengejut menyebabkan kami juga terpaksa brek mengejut. Selang beberapa ketika sebuah kereta datang dari belakang dan merempuh Iswara kami..... Aduh!! Nasib baik tak seteruk mana kerosakannya. Ford itu agak kemik juga di bahagian hadapan, namun Alhamdulillah kereta kami hanya bumpernya sedikit 'terjatuh', namun mampu dibetulkan semula ke posisi asalnya. (Bagus kereta buatan Malaysia ni!!). Iswara ini juga berjasa besar kerana dengannyalah aku dibawa ke hospital tatkala aku mengalami pendarahan semasa mengandungkan anak sulungku. Namun semua itu telah berlalu......

Tahun 2004, memandangkan kereta itu semakin kerap mengalami masalah kebocoran minyak hitam, kami akhirnya membuat keputusan mendapatkan kereta baru. Dengan berat hati Iswara itu terpaksa kami lepaskan. Penggantinya ialah sebuah Kia Spectra 1.6 Auto warna hitam, WLR 9146. Bagiku, daya penarik yang utama ada pada kereta ini adalah lampu belakangnya. Spectra ini juga tidak kurang banyak berjasa padaku. Antaranya adalah sebagai pemunggah barang-barang secara beransur-ansur dari rumah sewaku ke rumah yang kubeli di Bukit Jalil. Hampir setahun juga aku menghantar dan mengambil suamiku ke stesen LRT pada setiap hari bekerja. (Maklumlah... sebelum ini aku langsung tidak berani memegang stereng walaupun lesen telah bertahun-tahun kumiliki. Tapi kali ini, aku tidak ada pilihan kerana di sekolah baru, setahun aku ditempatkan pada sesi petang; jadi tak ada orang sudi menghantarku ke sekolah!!).

Apabila suamiku sering bergerak keluar dari pejabat untuk ke merata tempat menyelesaikan tugasannya, kami akhirnya bersepakat untuk mendapatkan sebuah lagi kereta. Pilihan kami kali ini ialah sebuah Perodua Kancil Ezi850, BHV**** berwarna silver metalik. Secara rasminya kancil ini menjadi kenderaan suamiku ke pejabat. (Ekonomi dan senang parking!! Hehehhe).

Dengan memiliki dua kenderaan, masalah-masalah kami berjaya diatasi. Spectra masih memberikan perkhidmatan yang cemerlang terutamanya ketika menempuh perjalanan jauh. Semasa mengandung kali kedua, sekali lagi aku mengalami pendarahan. Spectra pula kali ini menjadi 'ambulan'ku, membawaku ke hospital. Dalam sejarah perkhidmatannya, ia langsung tidak pernah meragam. (Cuma 2 kali tayar pancit... pertama: terlanggar batu, kedua: terlanggar bongkah kayu) Pendek kata Spectra ini memang sangat aku sayang.

Namun, kata orang...jodoh tak panjang...
Setelah melahirkan sepasang kembar, ditambah pula dengan kehadiran seorang pembantu rumah, Spectra sudah tidak lagi memadai bagi kami. Sedar tak sedar, telah hampir 5 tahun ia berkhidmat buatku. Sekali lagi dengan berat hati kereta kesayanganku ini terpaksa kulepaskan. Menitis airmataku pada hari terakhir aku memandunya pulang dari sekolah (13 Mac 2009). Andainya aku ada pilihan.............

Bagi menggalas tugas baru, (memenuhi keperluan 6 orang) akhirnya yang terpilih berada di garajku ialah sebuah MPV Chery Easter (Alado) 2.4cc, WSJ **** berwarna hitam (hitam; bagi mengenang Spectraku itu). Alado ini tiba ke rumah kami pada 13 Mac 2009 pada jam hampir 12.00 tgh malam!! (Bukannya apa.... kereta itu terpaksa kudapatkan pada hari itu juga walaupun agak lewat memandangkan esoknya kami perlu pulang ke Kelantan!!) Ramai yang kurang bersetuju dengan tindakan kami memilih sebuah kereta berjenama Cina yang dikatakan akan susut nilainya dengan ketara, tapi kami tidak ambil kisah. Bagi kami, Alado ini adalah pilihan yang sesuai dengan budget kami dan menepati bilangan seat yang kami perlukan (Heheheheh) Kini kuharapkan agar Alado akan mampu berkhidmat secemerlang Spectraku dulu.
Biarlah apa jua jenis kereta yang kami guna....

Biarlah apa jua warna kereta yang kami ada....
Asalkan sentiasa dilindungi Allah dari segala bahaya dan bencana.
Semoga kami selamat tiba ke destinasi yang kami tuju.
Buat kereta-keretaku; Iswara, Spectra, Kancil dan Alado....
Tidak kira dulu atau kini, Terima kasih daun keladi!!!

No comments:

Post a Comment