Sunday, March 8, 2009

Kanser


"Bengkak atau pembesaran sel abnormal yang terletak dalam tisu atau organ badan dikenali sebagai tumor." Tumor malignan atau kanser mempunyai kebolehan untuk menyerang sel normal dan merebak ke seluruh badan." Oleh itu Malignan tumor malignan boleh menjejas kehidupan kita. Sebaliknya tumor benigna tidak akan menyerang tisu sebelah dan tidak merebak ke seluruh badan. Oleh itu tumor benigna tidak menjejaskan kehidupan manusia. Walau bagaimanapun sesetengah sel dalam tumor benigna boleh berubah dan menjadi malignan dan berkanser. Tumor boleh menjadi benigna atau malignan , dan beberapa tumor benigna boleh berubah dengan peredaran masa untuk menjadi tumor malignan atau kanser.

Kanser.....
Perkataan itu seolah-olah membawa bersama suatu noktah kehidupan. Jika dulu jarang-jarang kita dengar perkataan itu disebut-sebut, tapi sekarang sudah menjadi suatu penyakit yang bukan asing lagi di kalangan masyarakat. Semakin hari, semakin ramai manusia yang menjadi kerakusan penyakit ini. Satu fakta ada menyebut, setiap satu dari empat warga Amarika meninggal dunia akibat kanser.

Tanpa ada suatu penyebab yang mutlak, kanser sering dikaitkan dengan faktor keturunan, juga gaya hidup yang tidak sihat, mungkin melalui pemakanan atau amalan-amalan harian. (??!!)

Yang pasti, kanser tidak memilih orang. Dengan kepelbagaian jenis kanser, makin tinggi kebarangkalian seseorang itu menghidap kanser. Kanser payudara, kanser pangkal rahim, kanser tulang, kanser paru-paru, kanser usus, kanser kolon, kanser pankreas, kanser ovari, kanser prostat, kanser testikal, kanser otak dan macam-macam kanser lagi.

Sesiapa sahaja boleh menghidap kanser. Isteri Bekas Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood (kanser payudara); penyanyi, Norseha (kanser paru-paru); pelakon, M.Rajoli (kanser otak); dan ramai lagilah yang jadi mangsa kanser. Disekelilingku, Maklong Zaharah (kanser pangkal rahim), Paksu Rosman (kanser paru-paru), Maklong Shariah (kanser usus), rakanku Hazliza (kanser payudara) dan banyak lagi nama-nama yang kalau mahu, boleh aku senaraikan. Malah suamiku yang tercinta juga pernah suatu masa dulu menjadi mangsa kanser.

Aku bukannya ada banyak pengalaman untuk bercakap mengenai kanser. Namun satu slot rancangan TV yang pernah kutonton menjadi pemangkin untukku menulis di sini. Dalam rancangan itu, Azean Irdawaty menjadi tetamu undangan stesyen televisyen terbabit. Banyak pahit maung dikongsikan bersama penonton. Namun ada pengucapan yang menyentuh perasaanku.

"Sebagai penghidap kanser, saya mengamalkan sikap REDHA. Keredhaan itu membuatkan saya tenang dan berupaya menjalani hari-hari seterusnya. Sekiranya saya ditakdirkan pergi dalam tempoh terdekat, saya redha. Namun saya amat-amat bersyukur jika diberi peluang meneruskan kehidupan dalam tempoh yang lebih panjang. Sikap redha itu memberikan saya ketenangan yang merupakan ubat paling besar dalam melawan penyakit kanser."
Kata-kata seniwati itu menyentuh perasaan saya. Dari riak wajahnya dia kelihatan ikhlas. Aku sendiri mengakui bahawa aku tidak punya jiwa sekental itu. Aku tidak punya hati sekuat itu.

Mengimbas kembali kata-kata seorang doktor pakar yang merawat suamiku suatu masa dulu,....
"Antara ubat yang paling berkesan untuk menghalang sel kanser dari terus merebak ialah SEMANGAT. Kuatkan semangat dan BERFIKIRAN POSITIF. Jangan jadikan kanser sebagai penghalang untuk terus menikmati hari seterusnya."
Dalam hal ini, aku amat menyanjungi suamiku. Sepanjang tempoh menjalani rawatan, dia tidak pernah mengeluh atau menunjukkan tanda-tanda mengalah pada penyakitnya. Dia tidak pernah merungut, tidak pernah menyesal. Dia memang berjiwa kuat. Dia memang bersemangat. Dia memang berfikiran positif. Walau seksa yang ditanggungnya (terutama ketika melalui rawatan kemoterapi; dengan badan yang lesu dan tak bermaya), dia tidak pernah mengalah. Sepanjang tempoh itu tidak pernah setitikpun airmatanya kulihat. (Sedangkan dibelakangnya, tangisanku tak dapat disekat-sekat).
Kekuatan, semangat, sokongan padu keluarga dan doa yang tidak putus-putus itu akhirnya membebaskan suamiku dari cengkaman penyakit itu. ALHAMDULILLAH!! SYUKUR YA ALLAH!! Segalanya telah hampir 8 tahun berlalu. Dia kini menjalani kehidupan hariannya dengan sempurna. Mungkin pengalaman itu menjadikan kami lebih menghargai hari-hari yang kami tempuhi.

Bukannya suka-suka atau bertujuan membuka pekung di dada.
Apa yang kutulis dan ingin kukongsikan disini adalah sebagai pembakar semangat bagi sesiapa sahaja yang berdepan dengan kanser. Aku tahu, ia tak semudah itu. Bertarung dengan kanser adalah pertarungan melibatkan nyawa. Aku tahu, aku juga entahkan kuat entahkan tidak jika berada di posisi itu (Naudzubillah..). Namun cubalah untuk berfikiran lebih positif . Kini peratusan yang telah berjaya sembuh amat tinggi. Dengan kemajuan teknologi yang ada masa kini, (diiringi dengan sokongan keluarga, doa kepada yang Maha Esa, dan kekuatan diri melawannya), insyaallah, KANSER bukan lagi menjadi noktah kehidupan. Insyaallah.....
(Antara kisah-kisah pesakit kanser yang boleh dikongsi bersama)

http://www.makna.org.my/inspirational_norhayati.asp
http://www.makna.org.my/inspirational_azhar.asp
http://www.makna.org.my/inspirational_aizan1.asp

No comments:

Post a Comment