Tuesday, March 3, 2009

Geng Upin dan Ipin

Telah lama aku berjanji dengan anakku Ezry untuk pergi menonton wayang Geng Upin & Ipin tetapi sentiasa tertunda-tunda. Apabila ma dan abah menawarkan khidmat baktinya untuk membantuku menjaga kedua-dua puteri kembarku, Erina dan Erisya..... apa lagi? Peluang sebaik itu takkan aku persiakan.

Mulanya kami merancang untuk pergi pada hari Sabtu, namun memandangkan kami sudah terlepas waktu tayangan pukul 12 tengahari, kami membuat keputusan untuk menonton pada hari Ahad. (Tayangan di iOi Mall Punchong hanya pada jam 12.00 tengahari dan 7.00 ptg. Rasanya jam 7 itu tak sesuai kerana pastinya akan ter'miss' sembahyang maghrib nanti.)

Jadi, pada hari Ahad, aku, suamiku, Ezry dan Siti (pembantu rumahku) keluar jam 11.00 pagi dengan harapan masih berkesempatan menonton jam 12. Seperti yang telah aku jangka, tiket untuk kedua-dua slot tayangan telahpun habis dijual. Tak sampai hati melihat wajah Ezry waktu itu. Lantas, kami berempat pergi pula ke The Summit Subang. Kali ini kami berjaya, namun waktu tayangan hanya pada jam 2.00 ptg sedangkan waktu itu jam baru menunjukkan pukul 11.45 pagi. Setelah berbincang seketika (dengan mengambil kira tempoh ma dan abah yang menjadi babysitter di rumah), kami bersepakat untuk pulang dulu ke rumah. Tiba di rumah, sempatlah kami menikmati hidangan makan tengahari sebelum kembali semula ke sana jam 1.15 petang.

Itulah cerita tentang kesungguhan kami untuk menonton cerita itu. Tak hairanlah jika tiket begitu cepat habis kerana dari apa yang kuperhatikan, setiap orang dewasa yang kesana membawa 3-4 'gerabak' bersama. Cuma kumpulanku yang berbeza.....3 dewasa, seorang kanak-kanak??!!
Walau apapun, ku ucapkan syabas buat penerbit Geng Upin & Ipin kerana mampu menghasilkan sebuah filem animasi yang agak tinggi tarafnya dan mampu bersaing dengan filem-filem antarabangsa. Tidak dinafikan, grafik yang dihasilkan amat menarik dan seni, disamping ceritanya yang mampu membuat Ezry tergelak besar dan menonton dengan mulut ternganga!!

Diharapkan agar negara kita akan terus berkembang maju dalam bidang ini dan mampu membuktikan bahawa kita juga telah bersedia untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Syabas untuk team Geng Upin & Ipin!! Betol, betol, betol......

No comments:

Post a Comment