Thursday, March 5, 2009

Pendidik Teragung

Bukan mudah untuk menjadi seorang pendidik sekalipun tugasku sememangnya sebagai seorang guru. Mengajar dan mendidik adalah dua tugasan yang sepatutnya kupikul, namun seringkali aku akui bahawa mendidik tidak semudah mengajar.
Anak umpama sehelai kain putih, kata orang. Ibu bapanyalah yang menentukan corak dan warnanya. Hal sedemikian kadangkala membuatkan aku gementar dan risau kerana aku sedar adalah amat besar tanggungjawab untuk membentuk identiti seseorang individu.

Perkara itu juga membuatkan aku akur, di atas muka bumi ini, tidak ada tugasan yang lebih mulia daripada menjadi ibubapa yang mampu membentuk manusia yang berguna untuk keluarga, bangsa, agama dan negara!! (Fuhhh!!)
Kerana itu, aku amat-amat bersyukur kerana memiliki kedua-dua ibubapa yang amat penyayang dan bertanggungjawab. Walau pahit getir terpaksa dilalui dalam membesarkan kami adik beradik, tidak pernah sekalipun aku mendengar mereka merungut. Semenjak kecil hinggalah ke hari ini, bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka sentiasa menjadi rujukan utama.

Buat Abah dan Ma, terima kasih atas jasa yang kalian taburkan. Buat Ayah dan Mama, terima kasih kerana membesarkan dan menjadikan suamiku manusia yang berguna dan istimewa. Tanpa kalian, kami takkan menjadi sepertimana kami hari ini.

Terima kasih Abah, Ma, Ayah dan Mama..........kerana tanpamu siapalah kami.
(Hj. Ibrahim b. Ismail, Hjh. Suraiyah bt. Noor Mohamad,
Dato' Kamalul Azmi b. Darus, Datin Hjh. Rusnah bt. Hassan)

No comments:

Post a Comment