Saturday, February 28, 2009

Jauh Di Mata Dekat Di Hati.............

Air dicincang tak akan putus, itulah perumpamaan yang kurasakan paling tepat.

Atukku, Noor Muhammad adalah seorang India Muslim. Hatinya terpaut pada seorang gadis Melayu tatkala datang berniaga dari kampung ke kampung. Jodoh tak kemana..... Gadis itu berjaya disunting menjadi suri hati. Dialah nenekku.... Namun, atas permintaan keluarganya di India, atukku dinikahkan dengan seorang lagi wanita dari bumi asalnya. Dengan itu, salasilah keluargaku semakin bertambah lebar. Hasil dua perkahwinan itu, atuk dikurniakan 9 orang cahayamata di Malaysia dan 5 orang cahayamata di India. Dua keluarga aman makmur. (Mungkin kerana kedudukan geografi yang jauh dan kesukaran berkomunikasi.) Atuk dan beberapa rakan karibnyalah yang menjadi perantara antara keluarga di sini dan di sana. Pernah Ayah Long, Mak Long dan Pak Muda Nuar mengikut Atuk ke India untuk menziarah keluarga di sana suatu ketika dulu. Layanan mereka kepada 'tetamu istimewa' ini mengalahkan layanan kepada seorang raja, itu mengikut kata Ayah Longku. Semuanya tersedia, walhal keadaan keluarga di sana adalah amat dhaif dan susah. Keikhlasan dan kegembiraan mereka amat mengharukan. Dulu, ketika aku masih lagi di awal sekolah rendah, salah seorang bapa saudaraku dari keluarga di sana datang menziarah. "Uncle" itulah panggilanku dan sepupu-sepupuku kepadanya. Dia berniaga di Brunei (mewarisi kebolehan berniaga atukku...) dan bercuti sebulan di Malaysia, semata-mata untuk mendekati keluarga di sini. Sikapnya yang mudah bergaul, capat mesra dan peramah menyebabkan dia amat disenangi. Tambahan pula, kemahirannya bertutur dalam bahasa Inggeris mengurangkan jurang antara kami. Sebulan berada di sini, "Uncle" sudah boleh menuturkan beberapa ayat Melayu. Memang berat hati untuk melepaskan dia setelah sebulan berlalu.

Tahun 1987, Atuk berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji setelah sekian lama memendam impian. Rupa-rupanya, keberangkatan Atuk adalah keberangkatan untuk selama-lamanya. Atuk menghembuskan nafasnya akibat serangan jantung sehari sebelum berangkat pulang ke tanah air, setelah ibadahnya selesai dilaksanakan. Mungkin itu doa Atuk di kaki Kaabah.... mungkin Atuk mahu mencari tempat persemadiannya yang terbaik bagi kedua-dua keluarga. Aku benar-benar berharap Atuk yang kusayangi itu diterima Allah dengan seribu keistimewaan dan digolongkan dalam kalangan mereka yang beriman.......

Pemergian Atuk seolah-olah menjarakkan sedikit pertalian antara dua keluarga besar ini. Bukan tiada cinta di hati namun perantara komunikasi menjadi suatu halangan yang besar. Satu-satunya harapan kami untuk menjadi orang tengah ialah "Uncle". Malangnya, "Uncle" turut kembali ke pangkuan Illahi dalam usia yang masih muda akibat sakit buah pinggang. Pada waktu itu, tiada sesiapa pun di sana yang boleh bertutur, membaca atau menulis dalam bahasa Inggeris. Jadi, perkhabaran hanya sesekali saja tiba, itupun jika ada rakan karib Atuk pulang ke sana. Semakin lama semakin renggang.......................

Kuasa Tuhan, tanpa disangka, ketika berbual-bual dengan salah seorang jemaah surau, Abah mendapat tahu dia juga berasal di kampung yang sama di India. Kebetulan dia ingin balik ke sana, kami sekeluarga mengirim berita. Di situlah kami mula bertukar-tukar cerita. Sepucuk surat, sedikit wang dan sekeping gambar menjadi pemula. Tak lama kemudian, kami mendapat panggilan telefon dari pakcik dan 'nenek' disana. Airmataku tak mampu dibendung tatkala melihat ma menangis terharu apabila mendengar suara 'nenek'ku di sana menyebut namanya berulang-ulang. "Zawiyah...Zawiyah... India...India..." ....."Insyaallah ma, Insyaallah" Itu sahaja yang termampu.

September 2008..... makcikku dan suaminya (Uncle Farouk) datang berkunjung ke Malaysia. Setiap rumah adik-beradik di sini dikunjungi, tak kira di Kuala Lumpur, Pahang atau Kelantan. Terharu benar aku dengan kesungguhannya. Makcik hanya tahu berbahasa Tamil, hanya Uncle Farouk yang sedikit sebanyak boleh berbahasa Inggeris. "Sekalipun tak mampu bercakap banyak, memadai dengan hanya mampu berdepan dan bertentang mata. Makcik nak sangat jumpa dengan abang, kakak dan adik-adiknya di sini. Itulah keinginan yang telah lama makcik simpan" kata Uncle Farouk. Makcik hanya senyum............ senyuman yang ikhlas.

Sekurang-kurangnya, kunjungan makcik dan Uncle Farouk banyak kesannya dalam merapatkan kembali hubungan antara dua keluarga ini.


Januari 2009, kami dihubungi oleh keluarga di sana, memaklumkan pemergian 'nenek' ke rahmatullah. Masih terdengar-dengar suara 'nenek' sewaktu menelefon tempohari. Harapan 'nenek' untuk menemui kami berkubur bersamanya.

Insyaallah, jika dimurahkan rezeki, akan kujejaki jua bumi India untuk merapati mereka yang tak pernah kutemui, namun dekat dihati................

No comments:

Post a Comment