Tuesday, September 10, 2013

BIARKAN AKU BERMIMPI

BIARKAN AKU BERMIMPI

Kekasihku...
Biarkanlah sejenak aku bermimpi
kerana mimpiku mimpi indah
mimpiku pengubat resah
dan jangan kau kejutkan aku
menarikku keluar dari dunia rekaanku
kerna sekalipun hidupku indah
indahnya tak seindah mimpi yang kugubah.

Dalam mimpiku...
aku bebas memilih watak
untuk diriku dan yang disekelilingku...
kubawa dekat yg mahu dekat
yang mahu jauh kusingkir jauh...
aku bebas memilih latar
dikaki pelangi dipinggir kali

Jangan kejutkan aku dari mimpiku
kerana mimpi itu juga mengisi ruang hidupku
terserah padamu caramu menilaiku
dalam mimpiku aku kekal jadi aku
tak perlu jadi apa yg mereka mahu
tiada hipokrasi...tiada diskriminasi
aku adalah aku

Jangan kejutkan aku dari mimpiku
kerana ini mimpi memburu cinta memburu bahagia
watak mimpi watak realiti
masih kau mengisi hati
hanya latarnya berbeza....
hanya indahnya sempurna....

sekembalinya aku ke dunia realiti
moga akan kumampu mengukir senyum
sekurangnya sejenak indah mimpi kutemui

dalam mimpiku yang sekadar mimpi.

-Aidib76-

Friday, September 6, 2013

Perihal KAYA ( Bersyukurlah seadanya.)

Assalamualaikum,
Salam pertemuan sekali lagi kali ini. Alhamdulillah, masih berpeluang lagi.

Hati meronta untuk mencoret sesuatu pada laman yang agak lama terbiar. Bagai ada yang mengasak-asak dari dalam jiwa. Lantas.... tercoretlah....

Lama tak menulis, terasa segan dan kekok di laman sendiri. Kesibukan menjadi penghalang. Kesibukan menjalani rutin harian, kesibukan melayani karenah insan-insan tersayang... dan kesibukan utama, dalam memenuhi keperluan tuntuan 'periuk nasi'. Tugas-tugas pendidik yang tak berkehabisan.

Ada yang berkata, 'Apalah yang dikejar sangat pada urusan duniawi? Urusan yang takkan ada noktah henti.' Ya betul. Memang takkan ada noktah henti. tapi inilah usaha yang menghalalkan segenggam rezeki. Inilah keringat yang membuat rezekiku diberkati. Kerja dan kerja dengan sepenuh hati.

Dalam perjalanan ke sekolah pagi tadi... melayan lagu  "KALAU AKU KAYA". Tersenyum-senyum sendiri. Bagiku lagu itu jujur.... kerana memang ramai yang ingin jadi kaya.

Kerja dah lama... ada orang kata, 'Eh! Tak kaya-kaya juga?' atau ada juga yang berkata....'Alahai, setakat jadi cikgu, kerja tunggang langgang macamana pun takkan jadi kaya!!'  Hrmm... pedulikanlah. Apa yang aku cari bukan kekayaan semata-mata. Memadailah dengan memperolehi apa yang seadanya. Memadailah dengan memberikan anak-anakku setakat apa yang mama dan papa mampu. Asal hidup kita tak merempat. Tidak terlalu ke atas, tidak terperosok ke bawah. Sekalipun tak banyak boleh kusumbang, sekurang-kurangnya kami tak menumpang ihsan. Alhamdulillah kami belum sampai ke peringkat menyusahkan orang, kan? Kan? Kan? Keperluan satu kemestian. Kemewahan bukan tuntutan. Hidup kami hidup sederhana. Tak perlu barangan berjenama. Andai teringin sesekali merasa... berjimatlah, mengumpullah. Cukup masa, cukup tabungan, belilah. Semudah itu saja prinsipnya. Alhamdulillah, dalam hal-hal sebegini, aku dan suami seiya sekata. Berpegang pada ungkapan... 'Biarlah, kita buat saja cara kita, kemampuan kita.'Allah pun sukakan orang yang bersederhana.

Manusia berhak pada apa saja yang mereka ada. Terserah kepada selera yang mereka ingin rasa. Ada yang kemampuannya besar, namun berselera kecil. Namun yang ramai kujumpa ialah golongan berselera besar, walaupun kecil cuma kemampuannya. Yelah...namanya pun manusia. Pastinya berbeza-beza.

Aku? Hrmm... rasanya aku kemampuannya sederhana, namun Alhamdulillah seleranya pun tak sebesar mana. Hehehe...Setakat ini tak ada terkilan dengan gaya hidup sebegini. Bagiku, berbelanja biar berhemah. Nak merasa tak salah. Boleh 'terlebih' dari kemampuan buat sesekali cuma sebelum itu, kenalah 'mengikat perut' berhari-hari. Mungkin, banyak yang orang rasa kita tak merasa.... jadi apa salahnya sesekali kita berbelanja lebih sikit dari mereka. Lagipun, apa yang kita laburkan adalah hasil usaha keringat sendiri. Bukan orang tahu pun susah payahnya kita nak cukupkan 'targetnya'. Hehehe.

Yang paling pelik dan susah aku fahami ialah golongan manusia yang sangat prihatin menjadi 'jurukira hasil di poket orang'. Mungkin tak senang hati tengok orang senang. Mula dok mengira berapa rumah dia ada, berapa kereta depan rumahnya, berapa maid yang mampu dia bela....bla bla bla...Mula nak mencari kekurangan di mana-mana... nak cari kepincangan selagi ada. Mulalah dia yang tolong senaraikan apa dan dimana wang dibelanja. Sedangkan poket sendiri mungkin bocor luas ternganga. Alahai peliknya manusia. 


BAHAYA!!
Setakat ini, Alhamdulillah Allah pelihara aku dari perasaan sebegitu. Walau adik beradik pun, tak terdetik perasaan ingin mengambil tahu. Sekadar melihat mereka senang.....Alhamdulillah. Melihat mereka kesempitan, kita cuba cari penyelesaian. Nasihat dihulur jika difikir perlu. Bantu andai mampu. Masing-masing punya akal fikiran untuk menentukan corak kehidupan... kerana itu adalah hasil hari-hari sibuk yang mereka korbankan!! Allah dah tentukan untung nasib seseorang. Tak perlu membuat andaian hanya dengan mengintai poket dari kejauhan. Sesungguhnya perjalanan manusia berbeza. Kita takkan rasa apa yang mereka rasa kerana posisi kita berbeza-beza. Jumlah RM yang sama, akan berbeza nilainya kerana tanggungjawab, malaj keperluan kita mungkin tak sama. Jadi...jagalah poket masing-masing, lebih afdhal rasanya. 

Bagiku, adalah SUATU KENIKMATAN yang Allah anugerahkan, andai mata yang memandang, melihatku dengan kesenangan dan kemewahan. Banyak kali juga ada yang berkata... "Awak takpelah....awak orang senang". Syukur kerana aku sentiasa merasa aku beruntung dianugerahi Allah dengan apa juga yang aku ada.. seadanya. Syukur juga andai itu aku di mata mereka. BANYAK atau SEDIKIT sebenarnya adalah suatu yang subjektif. Sepertimana juga SEDAP dan TAK SEDAP.... subjektif. Di tahap manakah kita boleh katakan kita KAYA? RM100? RM100 ribu? RM 1 juta?? RM10 juta?? Entah. (*Ada seorang warga tua di kampung yang menitiskan air mata, terharu dan gembira menerima BR1M RM500 kerana katanya itulah kali pertama dia memiliki wang sebanyak itu! Jadi andai ditanyakan makna KAYA baginya.... Hrmmm..)

Aku tak pernah rasa terkilan sekalipun namaku tak tersenarai antara puluhan jutawan. Namun, aku rasa aku sudah CUKUP KAYA.... dan sudah TERLEBIH KAYA, setiap kali kubandingkan nasib diri dengan mereka yang lebih tiada. Aku tak merempat... sekalipun aku tak ada duit berkepuk berlipat-lipat. Perbelanjaan untuk keperluan tak pernah terlekat. Memenuhi kehendak pun rasanya tak tersekat-sekat. Untuk bermewah-mewah pula.... sekali-sekala...bak apa yang kusebut tadi, Insyaallah ada ketikanya. Cuma perlu bersabar dan perlu di'adjust' perbelanjaan sebaik-baiknya. Sedikit masuk tabungan... untuk pelan bertindak dimusim kecemasan. (*Sekurang-kurangnya....selagi boleh aku tak mahu menadah tangan memohon ihsan. Ya Allah... janganlah Kau duga kami dengan ujian yang melampaui kemampuan.) Sedikit juga masuk simpanan, bekalan anak-anak di masa hadapan. Jadi bagiku... Alhamdulillah  rezeki masuk mencurah-curah..... mungkin tak sebanyak mana, tapi 'mewah' berbanding yang tiada!

Cuma andai ditanya cita-cita dan impian manusia... mohon sentiasa rezeki dilimpahi berganda-ganda. Pastinya menghitung dan mengharap yang lebih baik buat kita. Sekurang-kurangnya boleh menampung apa yang terkurang di mana-mana....SETIDAK-TIDAKnya, nak lebihkan juga untuk ibubapa yang banyak-banyak-banyak-banyak benar jasanya. Atas doa mereka, hidup kita Allah pelihara... InsyaaAllah.


Lirik Lagu Kalau Aku Kaya – Altimet feat. Awi Rafael

Kalau aku kaya…Kalau aku kaya
Aku nak gaya hidup aku berubah
Alangkah indah kalau dah tak susah
Jadi pemilik bukan sewa rumah
Makan tak habis minum tak sudah
Bil api air semua bayar awal
Tulis cek selamba tak risau batal
Masuk dalam bank semua melopong
Dalam akaun ada banyak 0 0 0 0 0

Dan kalau aku mampu
(jangan pening kepala, Aku betulkan semua lubang atas jalanraya)
Buat suka hati aku
(Kamu tak perlu risau, Aku beli semua pokok janji bumi kekal hijau)

Kalau aku kaya ..Hari hari hari raya
Bil-bil jiran keluarga…Aku belanja selamba
Kalau aku kaya..Aku beli segalanya
Bungkuskan semua Hadiahkan pada mama

Kalau aku kaya (kalau aku kaya,kalau aku kaya)
Kalau aku kaya (kalau aku kaya,kalau aku kaya)

Aku gajikan driver Nama dia Schumacher
Dia panggil aku sir Aku panggil dia der
Der, tolong hantar mak aku pegi pasar
Belikan nasi lemak
Boss engkau dah lapar
Aku belikan Kim K, kain lebih
Pesan dia tolong tutup aurat, terima kasih
Beats by Dre Next beat by’Ye
Tiap show pakai J’s , Hypeman aku Jay

Biar aku belanja, subsidi gula
Korang kena kencing manis tanggung rawatan semua
Pening apa semua benda aku yang sponsor
Kalau korang takut trafik kita naik helikopter
Dan kalau aku mampu
(jangan pening kepala, Aku betulkan semua lubang atas jalanraya)
Buat suka hati aku
(Korang tak perlu risau, Aku beli semua pokok janji bumi kekal hijau)

Kalau aku kaya ..Hari hari hari raya
Bil-bil jiran keluarga…Aku belanja selamba
Kalau aku kaya..Aku beli segalanya
Bungkuskan semua Hadiahkan pada mama

Aku beli serba satu (Heh aku beli dua)
Eleh aku angkat lima (Wei aku borong semua)
Bagitahu jiran lama (Sewa mereka kami taja)
Dan kalau anak-anaknya geliga (Kita bagi biasiswa)
Bila aku kaya Bila aku kaya Bila aku kaya Bila aku kaya
Kaya,kaya
Bila aku kaya
Hari hari hari raya (hari-hari ha ha)
Bil-bil jiran keluarga
Aku belanja selamba (rileks-rileks semua aku belanja)
Bila aku kaya (Yea)
Aku beli segalanya (semua)
Bungkuskan semua (ha ha)
Hadiahkan pada mama (mama nak apa)
Bila aku kaya (Kita bukan pergi kedai kereta beli kereta)
Bila aku kaya (Kita pergi kedai kereta beli kedai kereta)
Bila aku kaya (bila aku kaya, bila aku kaya)
Bila aku kaya (bila aku kaya, haih bila lah nak kaya)
Kalau aku mampu……Buat suka hati aku

Saturday, November 24, 2012

Kisah Puteri Tiga Sebilik

Mencari ayat apa yang paling sesuai. Mencari ayat yang paling padu dan tepat untuk menggambarkan apa yang aku rasa waktu ini... Tak tahulah... Tapi yang pasti, ada beberapa perkataan yang boleh aku gunakan; gembira, terharu, teruja.... 

Baru saja rumahku kembali sepi dari gelak tawanya yang memang dah 13 tahun tak kudengari.  Baru saja keretanya bergerak pergi....meninggalkan aku tertanya-tanya, adakah ia cuma suatu mimpi? Tak.... bukan mimpi. Buktinya, pinggan 'mini cheese-tart' yang dibawanya masih ada di atas meja, dan kamera kecil 'Lumix'ku juga dah berjaya merakam beberapa keping gambar kami tadi.

Untuk sahabat sebilikku suatu waktu dulu...Azura, terima kasih kerana sudi ke rumahku! Seronok rasanya cuti sekolahku kali ini kerana ia bagaikan satu musim pertemuan semula dengan rakan-rakan sekampusku dulu. Terdahulu, minggu lalu, Shida yang jauh dari Sabah itu datang bertamu. Memang bahagia rasanya melihat sahabat-sahabat masih mampu berseloroh berkongsi cerita sepertimana yang telah kami tinggalkan berbelas-belas tahun dulu. Alhamdulillah....Allah masih memelihara ikatan persahabatan kami.

Mengenai Azura, banyak yang boleh aku tuliskan pengalaman masam manis bersamanya. (*Tapi memandangkan kerjayanya yang bertapak di DBP tu... aku tak berani nak tulis panjang lebar sebab aku tau mesti dia akan cenderung untuk mengedit serapi-rapinya hasil tulisanku, hingga mungkin tinggal sebaris dua saja, ..mungkin! Entah-entah...laman blog main-main aku ni pun dia edit! Ya ampun!! Mohon kelonggaran, ya Puan DBP. Aku bukan penulis....cuma cikgu matematik tambahan yang lebih cenderung bermain kalkulator!! Berilah sedikit kelonggaran untuk aku 'berkarya' di laman ini, ok! Jadi, biarlah aku simpan saja cerita-cerita tu, rapi dalam hati. Tak perlu tulis-tulis. Hehehe!)



Cuma secara umumnya...aku memang amat menghargai ketentuan Allah yang 'menjodohkan' aku dengan Azura di sebuah bilik kecil di H11 Desa Bakti, USM suatu ketika dulu. Dengan seorang kakak yang penyayang yang juga ditentukanNya sebagai ala-ala penjaga dan penasihat kami; Kak Norasyikin, kami hidup aman bahagia, aman damai..... Masing-masing pandai membawa diri. Seingat aku, selama bersama-sama di sana, kami tak pernah ada krisis yang membawa kepada drama bermasam-masam muka. Sebenarnya.... 'puteri tiga sebilik' ini memang mempunyai karektor yang berbeza-beza. Kak Syikin yang comel... Azura yang sangat berjati diri tinggi dan berani..... dan aku...yang ...hrmmm.. aku yang apa yer? (memang susah nak mengenal diri sendiri).... mungkin aku yang sentimental, (kot!). Masing-masing dalam jurusan berbeza. Kak Syikin dengan alam Biologinya.....Azura dengan sastera dan puitisnya..... dan aku dengan nombor-nombor sepanjang masa.

Waktu zaman bercintan cintun dulu pun... rakan-rakan sebilikku inilah yang penjadi para penasihat yang sangat baik hati (kerana tak pernah mintak ganjaran 20%, 10% malah 5% sekalipun atas nasihat2 yang diberi!). Nasihat dan pandangan segalanya 100% percuma! Kadang2 tak sempat nak mintak pun mereka dah bagi! Hehehe.... Menjadi pendengar luahan tatkala tak puas hati.... Menjadi pembekal tisu tatkala airmata melanda.... Menjadi tukang bebel tatkala apa yang aku buat dirasakan tak betul.... 

Gabungan ketiga-tiga kami tidak hanya terhenti setakat itu. Empayar kami dilebarkan... jalinan persahabatan kami dikembangkan. Kawan-kawan aku adalah kawan-kawan Azura dan kak Syikin. Kawan-kawan Azura dan Kak Syikin, juga secara tak langsung adalah kawan-kawanku juga. Bilik kami sentiasa meriah. Ada saja tetamu yang bertandang. Tambahan pula lokasinya yang ditengah-tengah kampus (yang terkenal dengan kafeteria yang menjual nasi goreng murah!), memang strategik bilik itu dijadikan persinggahan. 

Banyak peristiwa yang berlaku di bilik blok H11 itu. Aku tak pasti adakah mereka berdua masih ingat satu kisah lucu yang terjadi di situ....Suatu hari, kami bertiga (yang kelaparan dan mengidam cencalok baeeekkk punya...import dari Melaka!), tak sabar-sabar berusaha berhempas pulas dengan kelengkapan apa saja yang ada untuk membuka sebotol cencalok, melengkapkan hidangan nasi-nasi bungkus yang sudah sedia mengambil tempat di tengah ruang bilik....dan tiba-tiba...PLOOPP!! Penutup botol terpelanting jauh dan cencalok membuak-buak... dengan aromanya yang ...MasyaAllahhh!!!..... Sisi almari baju Kak Syikinku yang menjadi mangsa! Cencalok tak tertuang ke atas nasi, tapi rupa-rupanya rezeki almari!! Lalu botol yang membuak2 itu, yang telah hilang 1/4 isinya itu, segera diselamatkan ke dalam baldi!! Tak apa.... boleh diselamatkan lagi..... Dan kita bertiga, yang panik, tiba2 tergelak besar! Kelakar benar rasanya membayangkan kembali riak wajah masing-masing.... Dan gelak tawa itu hilang sebaik saja suara kak Dah (ketua Dorm) yang kedengaran dari koridor..."Hoi!! Siapa makan cencalok ni?? Satu dorm bau cencalok!!" .... Syhhh!!!...Tapi kami masih terus tergelak lagi... tanpa suara dan bahu yang terhenjut-henjut! 

Hrmm..... lamanya aku tinggalkan zaman-zaman itu. Maklumlah.... masing-masing dah ada 'roommate baru'. Dalam hati, aku doakan agar kalian mendapat 'roommate' yang mampu memberikan hidup yang bahagia...sebahagia kehidupan kita di bilik kecil itu dulu. Jasa baik kalian masih utuh dalam ingatan. Sepertimana yang aku katakan tadi, banyak benar kenangan yang terukir indah (semuanya indah!) bersama-sama kalian berdua, cuma biarlah kusimpan kejap dalam ingatan. Untuk Kak Syikin dan Azura...aku sayang korang!  

Wednesday, November 21, 2012

"Apa dah jadi?"

Wah! Baru saja bersemangat menulis di laman blog yang dah berhabuk-habuk ni.... aku tiba-tiba saja terpana. Apa dah jadi dengan laman 'CikguAida.blogspot.com' aku ni? Semuanya dah tak macam dulu. Macam tak tahu nak tekan di mana....nak isi yang mana? 
Adakah aku dihukum atas pengabaian yang telah aku lakukan selama ini?? 
Oh tidaaakkkk!!! Kemana pergi isi kandungan blogku? Kenapa kosong? Kosong?
Kembalikan laman2 luahan hatiku itu.... huhuhuhuuuu....
Errr... bertenang....bertenang....
Teringat kata-kata sahabat kesayanganku, (*yang turut mengingatkanku agar kembali menjenguk blogku yang kesunyian)....dia pun telah lama tidak menulis di laman blognya hinggakan kata laluan pun dia dah terlupa. Mungkinkah aku juga telah lupa? Tidak... kata laluanku tepat. Kerana itu aku mampu menjenguk masuk ke sini. Tapi...kenapa blogku ini susun aturnya berbeza? Isinya kosong? Malah warna latarbelakangnya pun berbeza?.....Segala-galanya seolah-olah...ianya 100% laman blog baru! Laman blog baru???
Mataku segera memeriksa kembali akaun email yang aku gunakan. SAH!! MEMANG SAH!! Memang dah sah aku dah ter'create' akaun blog baru!Aku terguna akaun email yang lagi satu, bukan yang selalunya aku guna. 
Tersengih-sengih lega.. Memang sangat lega.....tapi malu pada diri sendiri! Baru saja aku nak berlagak kepada rakan karibku itu bahawa aku tak lupa kata laluanku, tau-tau....akaun emailku pula yang tunggang terbalik. 
Kesimpulannya, sahabatku....kita memang dua kali lima!

Monday, July 16, 2012

Andai gundah itu singgah....

Entahlah.......hati rasa resah. Hati gundah. Gelisah. Seakan memikul suatu bebanan  sarat, menempuh perjalanan yang hujungnya entah di mana. Cuba mencari di mana puncanya. Tak kujumpa. Tak ada perkara yang menjadi punca yang nyata, cuma sekadar suatu perasaan yang bagaikan bayang-bayang.....menjejaki setiap tapak. Rimas!! Biasalah.....aku manusia biasa, yang tak lepas dari lumrah suka duka kehidupan.... 

Membelek-belek laman page.... menjenguk-jenguk Google... terjumpa sesuatu yang mungkin boleh dikongsikan bersama. Menarik.....

Moga berguna buat kita kerana kita sering terlupa bahawa Dia sentiasa ada untuk menjadi tempat mengadu.... tempat meluah rasa....kerana Dia pendengar yang setia. 


"Ya Allahterima kasih karena Engkau selalu mengasihi kami 
secara berkelimpahan tiada batas setiap saat.

Ya Allah… bantulah & bimbinglah kami agar dapat berdoa kepadaMu 
dengan sepenuh hati & perasaan kami, memasrahkan semua masalah, beban, 
hambatan, pikiran, jiwa, hati & seluruh diri kami seutuh-utuhnya kepadaMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua kesombongan dibersihkan 
& digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua kemarahan dibersihkan 
& digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua sifat mementingkan diri sendiri dibersihkan & digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua perasaan iri 
& dengki dibersihkan & digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua keserakahan & kelicikan dibersihkan 
& digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… bantulah & bimbinglah kami agar mudah bagi kami untuk memberi maaf kepada siapapun yang pernah bersalah kepada kami dengan setulus-tulusnya. 
(Ingat kembali siapapun yang pernah bersalah & maafkan dengan setulus-tulusnya sambil menyadari bahawa hubungan hati anda kepada Tuhan adalah yang terpenting, jangan sampai hubungan ini dihalang-halangi oleh emosi-emosi negatif yang diakibatkan orang lain terhadap anda)

Ya Allah… dengan telah kami maafkan mereka, berkatilah hati kami agar semua kebencian, dendam, sakit hati, ketidakpuasan, kejengkelan & emosi-emosi negatif lainnya yang disebabkan oleh orang lain, semuanya dibersihkan & dikeluarkan dari hati kami untuk digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… bantulah & bimbinglah kami 
agar kami dapat semakin sedar akan kesalahan kami, baik kepadaMu maupun kepada sesama kami, memohon ampun kepadaMu dengan setulus hati kami & dengan sepenuh kesungguhan & perasaaan hati kami.

Ya Allah… bantulah & bimbinglah kami agar cahaya & kasih sayangMu semakin meresap di dalam hati kami, bersinar semakin indah & terang di dalam hati kami, untuk memberikan ketenangan, kedamaian & kebahagiaan yang sejati di dalam hati kami.

Ya Allah… terpujilah Engkau Yang Maha Esa, Maha Kuasa & Maha Segalanya untuk sekarang & selama-lamanya.

Terima kasih ya Allah atas nikmat dan ujian yang telah Kau beri…"

P/s- Dipetik dari laman blog KOMPASIANA