Wednesday, March 24, 2010

Mengenali Al-Falah, TPJ


Surau Al-Falah (SAF) diusahakan diperingkat awalnya oleh beberapa penduduk PUJ 4 yang mula berpindah ke TPJ pada hujung tahun 2004. Ekoran pertambahan penduduk muslim dan keperluan untuk beribadat secara berjemaah, pada tahun 2005 beberapa penduduk PUJ 4 telah bersepakat membentuk sebuah jawatankuasa bagi merealisasikan pembinaan SAF yang diketuai oleh Prof. Dr. Sapuan pada masa itu.

Sebuah jawatankuasa pembinaan juga dibentuk untuk menguruskan proses pembinaan di samping mencari dana dan sumbangan sama ada melalui penduduk setempat ataupun lain-lain organisasi. Sementara itu, pihak pengurusan SAF telah menyewa sebuah rumah lot tepi untuk dijadikan surau sementara dengan sewaan RM500 sebulan bermula pada bulan Oktober 2005.

Melalui tabung pembinaan yang diwujudkan, SAF berjaya mengumpul lebih RM22 ribu dan ianya telah digunakan untuk urusan kerja-kerja tapak dan pembinaan asas di tanah berlereng yang diberikan oleh pemaju. Kerja-kerja tersebut juga turut dibantu ahli kariah secara bergotong royong. Pihak SAF telah mendapat kerjasama Jabatan Mufti Selangor untuk mengesahkan arah kiblat. Dalam masa yang sama SAF juga telah mengemukakan permohonan untuk menggezetkan tanah tersebut untuk kegunaan surau.

Pada tahun 2007, usaha yang dibuat oleh jawatankuasa pembinaan SAF dengan kerjasama persatuan penduduk TPJ, untuk memohon dana khas melalui ICU-Jabatan Perdana Menteri. Sejumlah RM200,000 telah diluluskan yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Petaling. Pembinaan SAF telah diteruskan dengan menggunakan dana tersebut dan siap dibina pada bulan Oktober 2007. Pada bulan tersebut juga SAF akhirnya berpindah ke bangunannya sendiri setelah 2 tahun menyewa rumah sebagai surau sementara.

SAF juga mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM50 ribu (2007) dan RM30 ribu (2009). Bantuan ini telah digunakan untuk penambahbaikan ruang dan pembelian alatan. SAF juga turut mendapat sokongan daripada ahli kariah dan para jemaah yang menyumbang melalui tabung surau. Hasil sumbangan ini telah digunakan untuk membiayai program-program surau yang dijalankan dari semasa ke semasa serta membiayai perbelanjaan pengurusan bulanan SAF.

Sekali lagi pada tahun 2008, SAF memohon dan telah diluluskan peruntukan dana khas ICU_JPM sebanyak RM100,000 bagi membiayai kerja-kerja tambahan SAF. Dana ini digunakan untuk menambak dan melebarkan laman SAF, pembinaan tembok, pagar dan tangga.

Hingga kini, lebih RM380,000 telah dibelanjakan untuk pembinaan SAF yang boleh menampung 200 orang jemaah. Perancangan akan datang dalam bentuk fizikalnya ialah untuk membesarkan ruangan solat dengan menambah ruang di bahagian belakangnya bagi menampung pertambahan jemaah.
Manakala perancangan yang lebih utama ialah pengisiannya melalui program-program pengajian dan kegiatan umum selain daripada ibadat-ibadat khusus. Semua perancangan ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak dan SAF sentiasa berusaha menarik minat ahli kariah untuk mendekati SAF dengan aktiviti tertentu seperti program sahabat SAF, edaran INSAF dan lain-lain lagi.

******* Petikan edaran INSAF (Informasi Surau AL-Falah) Edisi Mac/April 2010

Sunday, March 21, 2010

Akuaria KLCC

19 Mac 2010
Kami sekeluarga berkunjung ke Akuaria KLCC. Bukan tak pernah ke sana, cuma kebetulan, kali ini, salah seorang rakanku menawarkan pembelian tiket akuaria dengan harga istimewa.
(Thanks to Aima....).
Kunjungan kali kedua ini dalam kumpulan yang lebih besar kerana kini kami berlima, ditambah pula dengan kehadiran Siti, ma, abah dan adikku Hasni.

Dalam musim cuti sekolah sebegini, keadaan agak sesak sedikit berbanding hari biasa. Ikan-ikan pun mungkin dah tak lalu nak tengok manusia-manusia ni. Cuma tak diberi pilihan je. Kalau tak, mesti dah banyak yang mohon dikembalikan ke laut......

Kami tiba jam hampir jam 11.00 pagi. Sebaik masuk, terdapat pertunjukkan memberi makan ikan Piranha. Wah...rakus benar spesis ni meratah makanan yang dicampakkan. Tak boleh aku bayangkan kalau betis manusia yang dicecahkan kedalam itu.... Huhhh..

Anak-anakku pula tiga orang tiga ragam. Ezry, biasalah... taksub dengan ikan-ikan disekitarnya.
Erisya pula baru pulih dari demam.... seronok tapi dalam keadaan ala-ala khayal lagi. Erina pula, sebaik masuk hinggalah ke pintu keluar dengan ciri 'penakut'nya. Tengok ikan, takut. Tengok kura-kura, takut. Tengok cicak, takut. Katak, takut. Malah tengok orang punnnnnn takut.... Hendak tak hendak, terpaksalah kudukung Cik Erina yang dah 10 kg lebih tu boleh dikatakan sepanjang tempoh 'lawatan' tu. Lenguhnya...aduh..Tuhan saja tahu.... Bukan tak mahu bergilir2.... tapi dia kan memilih sedikit. Kena pula masing-masing dah ada tanggungan masing-masing.

So, lawatan kali ni masih menyeronokkan. Banyak juga gambar-gambar (perkara wajib) yang kami rakamkan. Walaupun kali kedua kami mengunjunginya, masih banyak juga kenangan yang sukar dilupakan. Salah satu darinya, tanganku tak boleh dibengkokkan keesokan harinya akibat mendukung Erina terlalu lama.....

Jawapan Persoalan.

Keputusan SPM dah pun diumumkan lebih seminggu lalu. Dah tak 'panas' lagi.... malah slip-slip keputusan yang masih belum dituntut entah-entah dah tak ada lagi.

11 Mac 2010 -Bukan baru tahun ini aku melalui hari sebegini. Dah jadi acara tahunan bagi guru-guru untuk menempuh dua kali saat-saat mendebarkan seperti ini; pada hari peperiksaan itu sendiri, dan pada waktu keputusan diumumkan seperti hari ini. Cuma aku ingin berkongsikan perasaanku sejak dari diumumkan tarikh keputusan akan diumumkan lagi. Dalam melakukan apa kerja sekalipun, sesekali aku akan terfikirkan akan corak keputusan yang bakal diterima nanti.

Aku rasa, perasaan ala tertekan ini ada kaitan dengan keputusan SPM 09 yang kuterima tahun lalu. Memang subjekku (Matematik Tambahan) agak merudum tahun lalu. Memang tak aku nafikan, mungkin kelompok dan 'attitude' pelajar itu sendiri menjadi faktornya, tetapi bagiku, keadaan kesihatanku dan banyaknya hari yang terpaksa aku di'cuti'kan, termasuk dengan cuti bersalinku menjadi penyebab utama sekaligus mewujudkan satu rasa terkilan dalam diri. Kekesalan itulah yang terbawa-bawa sehingga menjadikan aku agak gerun untuk menatap keputusan bagi tahun ini.

Namun, harinya tiba juga..... sebaik melangkah masuk ke bilik Puan Pengetua, kulihat telah ramai guru-guru (termasuk Ketua panitia lain) berada di situ. Ketua Bidangku, En Ab.Gani memberikan isyarat positif apabila melihat kegelisahanku. Memang sebelum ini aku pernah mengadu tentang debaranku padanya. Alhamdulillah setelah kuhampiri En. Ab.Gani, dia sempat membisikkan peratusan yang agak melegakan.
Peningkatan yang agak banyak dan membanggakan.. Syukur...

Setelah berasa sedikit lega... kudapatkan keputusan pelajar-pelajar dari kelas yang kuajar. Air mataku menitik perlahan (namun cepat2 aku sekakan agar tiada yang perasan). Kebanyakan pelajarku mendapat keputusan yang mungkin mereka sendiri tak jangkakan.. kegembiraan yang memang lahir dari jiwa. Rasa puas, dan lega menatapinya...

Merangkap jurugambar majalah, aku mengambil peluang untuk turut sama berada di Dewan Ixora.... merakamkan saat-saat setiap pelajar memperolehi apa yang mereka usahakan. Ada wajah gembira, ada wajah duka... malah, ada yang tiada apa-apa ekspresi yang tergambar. Yang pasti, ramai yang akan mengenang hari ini...

Dan, dalam keramaian itu, sesekali ada yang datang padaku, merakamkan ucapan terima kasih atas apa yang telah mereka pelajari. Aku terharu.... ucapan sebegitu mengundang sekali lagi linangan air mataku. Sememangnya... aku tak mengharapkan apa-apa selain itu. Cukuplah bagiku melihat mereka memegang slip keputusan dengan wajah ceria dan bercahaya. Ucapan penghargaan yang mereka luahkan adalah hadiah bernilai buatku, seorang insan bernama guru.

Buat pelajar-pelajarku...Walau ke mana arah perjalananmu selepas ini, kuiringkan doa agar kalian akan terus berjaya dan menjadi insan yang berguna.

Wednesday, February 10, 2010

Gong Xi Fa Chai......



Hmm.... raya? Ok gak lah....jom raya!! So, kepada semua masyarakat Cina, kuucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina. Aku mewakili rakyat-rakyat Malaysia pastinya berkongsi kegembiraan dalam musim perayaan ni. Bukankan itu yang dilaung-laungkan dalam seruan kerajaan; "1 Malaysia"?..... (Wah..seronok juga bila sekali sekala dapat berkata-kata dengan penuh semangat patriotik nih!)

Ramai yang menghitung hari untuk 'menyambut' Tahun Baru Cina ini. Malah, beberapa status rakan Facebookku juga terlahir akan keterujaan menyambut Tahun Baru ini. Sejak awal minggu lagi mereka menghitung-hitung hari, malah aku dapat rasakan keterujaan mereka lebih ketara berbanding dengan mereka yang berbangsa Cina!!

Di sekolah, seperti juga beberapa tahun yang lepas, cuti sempena perayaan Tahun Baru Cina adalah seakan-akan 'pra' cuti pertengahan penggal. (Heheheh). Manakan tidak, cuti umum yang hanya hingga hari Selasa (16 Feb) disambung dengan cuti peristiwa pada hari Rabu (17 Feb), dan sekolah juga telah awal-awal memohon cuti persekolahan berganti pada hari Khamis dan Jumaat. Bagi yang pandai mengira turutan hari, bilangan hari cuti yang kusebutkan tadi sebenarnya telah merangkumi keseluruhan minggu, sekaligus menjadikan jumlah cuti ialah sebanyak 9 hari!! (Takkah sama lama dengan cuti pertengahan penggal tu?!)... Jadi tak hairanlah kalau ramai yang menghitung hari menunggu tibanya Tahun Baru kali ni...

Bahang sambutan ditambah lagi dengan timbunan limau-limau mandarin yang tak putus-putus dihantar ke bilik guru. Dalam pedih jerih bertarung dengan batuk, aku masih tak melepaskan peluang merasa sebiji dua (atau tiga) limau yang memang bukan sentiasa boleh dinikmati. Rasanya, kalau pekerja (tukang sapu) menyeret plastik sampah hitam depan kami pun, pastinya bau segar limau mandarin itu juga yang akan menghias ruang udara..... Warna jingga dan merah di mana-mana.......

Sambutan Tahun Baru Cina semakin terasa dengan ketara apabila menjejakkan kaki ke mana-mana pusat membeli belah. Bukankah pusat membeli belah adalah ibarat kalendar automatik yang mengingatkan kita apa jua musim atau perayaan dengan pelbagai tawaran dan promosi (yang belum tentu menjamin harga murah!)??? Jadi, apabila aku berkunjung ke pusat membeli belah, Giant minggu lepas, contohnya, telingaku terus diperdengarkan dengan irama-irama lagu yang membariskan perkataan-perkataan tanpa makna buatku....yang sekadar aku dengar tanpa faham apa butir bicaranya..... Cukup dengan kesimpulan bahawa semuanya bergembira menantikan kehadiran Tahun Baru Cina. Tak dinafikan, sekali sekala, patah-patah perkataan yang beritma itu juga mampu merancakkan langkahku mengisi barang-barang yang tanpa sedar memenuhi satu troli......

Media juga tak habis-habis berpesan agar semua pengguna yang akan memulakan perjalanan dalam musim perayaan ini agar berhati-hati. Jangan lupa, bukan hanya kerana 'bapak-bapak polisi' yang akan terus diminta bertugas dalam cuti ini, tapi juga untuk keselamatan diri sendiri, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan semua agar lebih berhati-hati di jalan raya....

Akhir kata, semoga pada Tahun Harimau ini, lebih ramai yang akan dapat memajukan lagi diri, dilimpahi dengan lebih banyak rezeki... dan dapat hidup dengan selesa dan sihat.

Semoga Tahun Harimau tidak menukarkan diri anda menjadi orang yang lebih agresif dan garang berbanding tahun sebelumnya......

Gong Xi Fa Chai.........

Friday, February 5, 2010

Musim 'bertukang'....

Assalamualaikum buat pembaca blog yang setia....

Lama benar tak menjengah . (Sekadar nak memaklumkan betapa sibuknya diriku kebelakangan ini...) Memang banyak urusan seharian yang mengejar jadual kehidupan harianku kini. Tugas-tugas pendidik, mahupun tugas-tugas bukan pendidik..... memang menuntut masa yang lebih dari 24 jam (kalau boleh..hehhehe).... Tambah pula kebelakangan ni, kesihatanku juga turut terjejas. Badanku penat dan perlukan rehat, tapi 'ruang rehat' itu pula aku gunakan untuk 'bertukang'....

Maaf.... tak ada lagi apa2 renovation di rumahku. Tak ada juga niatku untuk menukar profesyen keguruanku ke bidang pertukangan...tak...jangan salah paham....

‘Bertukang' maksudku ialah serangan 'batuk' yang boleh kukatakan setiap tahun akan menyerangku secara 'besar-besaran' pada dua musim yang sama, awal tahun dan akhir tahun. Serangan pertama ialah waktu2 ini....sekitar Januari atau Februari. Pernah terjadi hingga aku terlantar akibat sakit badan menanggungnya agak lama. 2-3 minggu barulah kembali ok.... itupun setelah melalui fasa 'mute' (hilang suara) beberapa hari. Serangan kedua biasanya akan terjadi hampir2 di hujung tahun.... tapi takkan seteruk serangan awal tahun. Mungkin serangan batuk awal tahun adalah diakibatkan oleh gabungan cuaca yang tak menentu waktu itu dan dengan 'kejutan' tekak kerana sebulan dicutikan dari tugasan 'menjerit' didalam kelas...... Mungkin, kan?

Dan macam biasa…tahun ini aku batuk lagi. Sudah seminggu virus batuk ini menumpangi badanku. Dah sebondong ubat kubawa balik dari klinik tapi masih tak ada tanda-tanda untuk ia reda. Malah hari ini, seawal pagi lagi, kudapati aku dihidupkan dengan keadaan ‘mute’. Inilah ketikanya untuk aku menginsafi nasib mereka yang memang dilahirkan tanpa suara. Kebetulan pula Master Johnny, jurulatih taekwando sekolah, (bisu) datang menemuiku untuk ‘berbincang’ urusan Unit Taekwando. Jadilah kami dua orang kurang upaya (OKU) ditengah-tengah bilik guru. Hanya kertas dan memek muka menjadi penghubung antara kami. Aku benar2 insaf….

Batuk mungkin kedengaran tak seserius mana. Tapi buatku sebagai seorang guru...batuk adalah penyakit yang banyak menggugat kehidupanku. Selain badanku yang sememangnya cepat alah dengan virus batuk, kesannya turut ketara kerana ia boleh menyumbang kepada sakit kepala, abdomen stress, perit tekak dan sebagainya.....dan semua yang tersenarai ini menggugat aktivitiku sebagai seorang guru... "Guru yang melangkah masuk ke dalam kelas tanpa suara ibarat seorang perajurit yang melangkah ke medan pertempuran tanpa senjata!!!!!!" Biasalah...... bila cikgu tak boleh bersuara..... murid2 di depan berpesta ria!!

Jadi, mahu tak mahu... hari ni, walaupun suaraku tak mampu dibawa gelombang ke cuping telinga mereka... aku gagahkan juga berdiri, sekurang-kurangnya memberikan mereka contoh-contoh di papan putih....dan mewakilkan marker pen untuk 'melaung'kan penjelasan mewakili aku!

Jadi, mereka yang bersorak riang bila kutulis "Sorry.... i don't have voice today"... tak jadi berpesta apabila aku masih sempat menulis "Please do homework bla bla bla, page bla bla bla...." di papan putih sebelum melangkah keluar kelas. Itupun setelah berderet-deret contoh kuberikan, berserta dengan penerangan ringkas dengan 'bahasa separa isyarat' yang kugunakan. [Tapi perit juga tekakku dibuatnya..... yelah... bukan sekelas itu saja yang perlu aku masuk...]

Mungkin kerana itu juga bila seorang guru batuk atau sakit tekak... ianya takkan mengambil masa yang pendek untuk kembali semula seperti sediakala.... Tapi sekurang-kurangnya hari ini aku gembira kerana aku bukan ‘perajurit’ yang tewas di medan pertempuran walaupun terpaksa ‘berjuang tanpa senjata’.

Aduhai batuk…. Tinggalkanlah aku untuk memberikanku ruang untuk kembali mengecapi hidup yang ceria……..Terima kasih blog kerana masih memberikanku ruang untuk berkata-kata tanpa suara…..:D