Wednesday, March 24, 2010

Mengenali Al-Falah, TPJ


Surau Al-Falah (SAF) diusahakan diperingkat awalnya oleh beberapa penduduk PUJ 4 yang mula berpindah ke TPJ pada hujung tahun 2004. Ekoran pertambahan penduduk muslim dan keperluan untuk beribadat secara berjemaah, pada tahun 2005 beberapa penduduk PUJ 4 telah bersepakat membentuk sebuah jawatankuasa bagi merealisasikan pembinaan SAF yang diketuai oleh Prof. Dr. Sapuan pada masa itu.

Sebuah jawatankuasa pembinaan juga dibentuk untuk menguruskan proses pembinaan di samping mencari dana dan sumbangan sama ada melalui penduduk setempat ataupun lain-lain organisasi. Sementara itu, pihak pengurusan SAF telah menyewa sebuah rumah lot tepi untuk dijadikan surau sementara dengan sewaan RM500 sebulan bermula pada bulan Oktober 2005.

Melalui tabung pembinaan yang diwujudkan, SAF berjaya mengumpul lebih RM22 ribu dan ianya telah digunakan untuk urusan kerja-kerja tapak dan pembinaan asas di tanah berlereng yang diberikan oleh pemaju. Kerja-kerja tersebut juga turut dibantu ahli kariah secara bergotong royong. Pihak SAF telah mendapat kerjasama Jabatan Mufti Selangor untuk mengesahkan arah kiblat. Dalam masa yang sama SAF juga telah mengemukakan permohonan untuk menggezetkan tanah tersebut untuk kegunaan surau.

Pada tahun 2007, usaha yang dibuat oleh jawatankuasa pembinaan SAF dengan kerjasama persatuan penduduk TPJ, untuk memohon dana khas melalui ICU-Jabatan Perdana Menteri. Sejumlah RM200,000 telah diluluskan yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Petaling. Pembinaan SAF telah diteruskan dengan menggunakan dana tersebut dan siap dibina pada bulan Oktober 2007. Pada bulan tersebut juga SAF akhirnya berpindah ke bangunannya sendiri setelah 2 tahun menyewa rumah sebagai surau sementara.

SAF juga mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM50 ribu (2007) dan RM30 ribu (2009). Bantuan ini telah digunakan untuk penambahbaikan ruang dan pembelian alatan. SAF juga turut mendapat sokongan daripada ahli kariah dan para jemaah yang menyumbang melalui tabung surau. Hasil sumbangan ini telah digunakan untuk membiayai program-program surau yang dijalankan dari semasa ke semasa serta membiayai perbelanjaan pengurusan bulanan SAF.

Sekali lagi pada tahun 2008, SAF memohon dan telah diluluskan peruntukan dana khas ICU_JPM sebanyak RM100,000 bagi membiayai kerja-kerja tambahan SAF. Dana ini digunakan untuk menambak dan melebarkan laman SAF, pembinaan tembok, pagar dan tangga.

Hingga kini, lebih RM380,000 telah dibelanjakan untuk pembinaan SAF yang boleh menampung 200 orang jemaah. Perancangan akan datang dalam bentuk fizikalnya ialah untuk membesarkan ruangan solat dengan menambah ruang di bahagian belakangnya bagi menampung pertambahan jemaah.
Manakala perancangan yang lebih utama ialah pengisiannya melalui program-program pengajian dan kegiatan umum selain daripada ibadat-ibadat khusus. Semua perancangan ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak dan SAF sentiasa berusaha menarik minat ahli kariah untuk mendekati SAF dengan aktiviti tertentu seperti program sahabat SAF, edaran INSAF dan lain-lain lagi.

******* Petikan edaran INSAF (Informasi Surau AL-Falah) Edisi Mac/April 2010

No comments:

Post a Comment