Tuesday, March 30, 2010

"Apa?? Saya tadak tiru maaa...!!"

Bukan perkara baru..... Ini lebih kepada luahan hatiku yang kecewa dengan pemandangan lazim yang berlaku beberapa kali setahun mengikut musim.
Sekolah dan peperiksaan..... memang tak boleh dipisahkan, sekalipun aku akui bahawa adalah salah untuk meletakkan peperiksaan sebagai matlamat utama dalam institusi pendidikan kerana apa yang lebih utama ialah proses penyampaian dan penerimaan ilmu pengetahuan yang bukan hanya semata-mata berlandaskan peperiksaan. Wah... macam berat saja penulisanku kali ni...
Sebenarnya sebagai seorang guru, isu peperiksaan memang kujadikan perkara yang serius. Peperiksaan menjadi satu alat pengukuran yang paling mudah untuk menentukan aras kefahaman murid, disamping mengukur tahap keberkesanan seseorang guru. Oleh itu, sebarang 'kecacatan' dalam prosedur peperiksaan ini akan mengganggu gugat kesahihan peperiksaan itu sendiri.
Apa yang kuperhatikan, 'penghayatan' peperiksaan telah semakin berkurang. Guru-guru telah mengorbankan banyak masa bagi menjayakannya termasuk proses membina soalan, mengetip,membalut, hinggalah mengawas peperiksaan itu sendiri.



Namun di pihak murid, sebaik menerima kertas soalan, mereka terus melentik-lentikkan badan dan merebahkannya dengan kepala ditelangkup ke meja. Sehubungan itu, pihak pentadbir telah mengambil langkah mengutip sebarang 'kertas jawapan' yang tidak dijawab untuk diserahkan kepada ibubapa murid berkenaan. Sekurang-kurangnya ibubapa akan tahu sejauh mana kesungguhan anak mereka menjawab. Jika sikap murid yang sebegini dibiarkan, mereka akan terbiasa dan tidak mustahil jika lebih ramai lagi yang akan melangkah keluar dari dewan/ bilik peperiksaan hanya setelah setengah jam mereka menjawab, sekalipun peperiksaan itu adalah peperiksaan awam (PMR/ SPM).
Kami, para guru pula diminta mengejutkan mana-mana murid yang tidur. Kadang-kadang, walaupun dikejutkan beberapa kali, murid masih tetap tidur. Kalau tak pun, mereka cuma bangun seketika dan memeriksa jam di tangan sebelum menyambung kembali mimpi yang terputus.

Begitulah berulang kali.... malah ada yang seakan marah-marah dengan menunjukkan wajah yang beriak protes. Ada antara murid yang apabila kuminta cuba menjawab, memberi respon kepadaku, "Teacher, I really cannot answer the questions.... I've tried... but still I don't know how to do it. So?" .......dan aku pula selaku guru masih memujuk mereka sekurang-kurangnya membelek-belek kertas soalan itu dengan harapan membaca berulang kali akan memberikan mereka sedikit idea. Selalunya, tiap kali situasi itu terjadi, murid akan memandang guru dengan pandangan yang menyampaikan masej bisu yang lebihkurang berbunyi "Eh..cikgu ni tak reti2 ke, aku dah kata tak tau nak jawab, aku taknak jawab...masih jugak nak suruh aku jawab..." Dan dia akan berlakon seolah-olah berfikir seketika sementara menanti si guru ini bergerak menjauhi sedikit mereka sebelum kembali dengan aktiviti mereka.
Bagi beberapa murid yang memang sehati sejiwa, tempoh mereka menjawab seolah-olah telah disetkan sama secara tak rasminya. Akan ada yang boleh berbalas-balas senyum, tersengih-sengih bodoh, berkomunikasi dengan bahasa mudah menggunakan isyarat badan..... dan semua itu, memang perbuatan yang rutin bagi mengisi kekosongan masa yang terhasil (biasanya kerana kekosongan idea yang seterusnya mencetuskan 'kekosongan' kertas jawapan juga). Bila ditegur, mereka akan mengangkat2 kening, seolah2 mempersoalkan apa jenis kesalahan yang telah mereka lakukan dan kalau tak pun, apakah buktinya mereka saling berkomunikasi.... Tak mustahil juga jika ada yang berani pula bersuara. "Saya tak ada cakap apa2 maaa.... tak ada tiru punya...", sedangkan kita yang melihat gelagatnya punyalah sakit biji mata.
Selain itu, kebanyakan murid rasanya bukan dari golongan yang kurang berada. Tapi setiap kali peperiksaan, pasti ada benda yang perlu 'diterbangkan'. Kalkulator, pembaris, pemadam, pensel, 'correction tape' malah 'correction pen' (yang sebenarnya memang tak dibenarkan penggunaannya) akan bertukar-tukar tangan dari meja depan ke meja belakang.... dari hujung kiri ke hujung kanan. Puas ditegur, puas dilarang, perkongsian ini selepas seketika, masih tetap diteruskan. Darurat....
Mereka juga tidak ada rasa bersalah untuk tidak hadir ke sekolah semasa peperiksaan dijalankan. Hanya dengan bertiketkan sekeping surat atau MC (hasil lakonan yang agak menjadi), mereka telah terlepas dari satu proses 'menggantung diri'. Sekurang-kurangnya dalam slip keputusan nanti akan tercatat 'TH' (tidak hadir) yang pastinya berkali-kali-kali-kali ganda lebih baik daripada melihat huruf2 atau digit2 seperti '14%' atau '9G', bukan begitu??
Apa pun perkara yang kubangkitkan di sini, bukan bertujuan merendahkan kebolehpercayaan terhadap peperiksaan itu sendiri, bukan juga bertujuan membuka pekung di dada... cuma sekadar luahan terhadap situasi generasi baru ini setiap kali mereka menduduki peperiksaan. Tetapi perlu juga kutegaskan disini bahawa semua situasi yang kusebutkan tadi hanya melibatkan sekumpulan murid.... hanya sekumpulan... Bermakna masih ada harapan untuk nilai peperiksaan ini kembali diterapkan.Walau apa juga situasi yang dialami, aku percaya para guru seboleh-bolehnya akan terus mencuba sedaya upaya bagi mengembalikan 'maruah' peperiksaan ini. Walaupun hanya diperingkat ujian, kepentingaannya masih sama seperti peringkat peperiksaan dalaman dan juga peperiksaan awam.

1 comment:

  1. ish..ish..ish..beratnya tanggungjawab seorang guru. nak majukan negara satu hal...nk beri pendidikan kpd pelajar satu hal lagi...nak tingkatkan prestasi guru...lagi satu hal...berat...berat.
    Tahniah utk aida yg gigih mengajar dan terlalu bersabar dgn pelajar dan sistem pendidikan Malaysia.

    ReplyDelete