Wednesday, February 10, 2010

Gong Xi Fa Chai......



Hmm.... raya? Ok gak lah....jom raya!! So, kepada semua masyarakat Cina, kuucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina. Aku mewakili rakyat-rakyat Malaysia pastinya berkongsi kegembiraan dalam musim perayaan ni. Bukankan itu yang dilaung-laungkan dalam seruan kerajaan; "1 Malaysia"?..... (Wah..seronok juga bila sekali sekala dapat berkata-kata dengan penuh semangat patriotik nih!)

Ramai yang menghitung hari untuk 'menyambut' Tahun Baru Cina ini. Malah, beberapa status rakan Facebookku juga terlahir akan keterujaan menyambut Tahun Baru ini. Sejak awal minggu lagi mereka menghitung-hitung hari, malah aku dapat rasakan keterujaan mereka lebih ketara berbanding dengan mereka yang berbangsa Cina!!

Di sekolah, seperti juga beberapa tahun yang lepas, cuti sempena perayaan Tahun Baru Cina adalah seakan-akan 'pra' cuti pertengahan penggal. (Heheheh). Manakan tidak, cuti umum yang hanya hingga hari Selasa (16 Feb) disambung dengan cuti peristiwa pada hari Rabu (17 Feb), dan sekolah juga telah awal-awal memohon cuti persekolahan berganti pada hari Khamis dan Jumaat. Bagi yang pandai mengira turutan hari, bilangan hari cuti yang kusebutkan tadi sebenarnya telah merangkumi keseluruhan minggu, sekaligus menjadikan jumlah cuti ialah sebanyak 9 hari!! (Takkah sama lama dengan cuti pertengahan penggal tu?!)... Jadi tak hairanlah kalau ramai yang menghitung hari menunggu tibanya Tahun Baru kali ni...

Bahang sambutan ditambah lagi dengan timbunan limau-limau mandarin yang tak putus-putus dihantar ke bilik guru. Dalam pedih jerih bertarung dengan batuk, aku masih tak melepaskan peluang merasa sebiji dua (atau tiga) limau yang memang bukan sentiasa boleh dinikmati. Rasanya, kalau pekerja (tukang sapu) menyeret plastik sampah hitam depan kami pun, pastinya bau segar limau mandarin itu juga yang akan menghias ruang udara..... Warna jingga dan merah di mana-mana.......

Sambutan Tahun Baru Cina semakin terasa dengan ketara apabila menjejakkan kaki ke mana-mana pusat membeli belah. Bukankah pusat membeli belah adalah ibarat kalendar automatik yang mengingatkan kita apa jua musim atau perayaan dengan pelbagai tawaran dan promosi (yang belum tentu menjamin harga murah!)??? Jadi, apabila aku berkunjung ke pusat membeli belah, Giant minggu lepas, contohnya, telingaku terus diperdengarkan dengan irama-irama lagu yang membariskan perkataan-perkataan tanpa makna buatku....yang sekadar aku dengar tanpa faham apa butir bicaranya..... Cukup dengan kesimpulan bahawa semuanya bergembira menantikan kehadiran Tahun Baru Cina. Tak dinafikan, sekali sekala, patah-patah perkataan yang beritma itu juga mampu merancakkan langkahku mengisi barang-barang yang tanpa sedar memenuhi satu troli......

Media juga tak habis-habis berpesan agar semua pengguna yang akan memulakan perjalanan dalam musim perayaan ini agar berhati-hati. Jangan lupa, bukan hanya kerana 'bapak-bapak polisi' yang akan terus diminta bertugas dalam cuti ini, tapi juga untuk keselamatan diri sendiri, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan semua agar lebih berhati-hati di jalan raya....

Akhir kata, semoga pada Tahun Harimau ini, lebih ramai yang akan dapat memajukan lagi diri, dilimpahi dengan lebih banyak rezeki... dan dapat hidup dengan selesa dan sihat.

Semoga Tahun Harimau tidak menukarkan diri anda menjadi orang yang lebih agresif dan garang berbanding tahun sebelumnya......

Gong Xi Fa Chai.........

No comments:

Post a Comment