Wednesday, November 21, 2012

"Apa dah jadi?"

Wah! Baru saja bersemangat menulis di laman blog yang dah berhabuk-habuk ni.... aku tiba-tiba saja terpana. Apa dah jadi dengan laman 'CikguAida.blogspot.com' aku ni? Semuanya dah tak macam dulu. Macam tak tahu nak tekan di mana....nak isi yang mana? 
Adakah aku dihukum atas pengabaian yang telah aku lakukan selama ini?? 
Oh tidaaakkkk!!! Kemana pergi isi kandungan blogku? Kenapa kosong? Kosong?
Kembalikan laman2 luahan hatiku itu.... huhuhuhuuuu....
Errr... bertenang....bertenang....
Teringat kata-kata sahabat kesayanganku, (*yang turut mengingatkanku agar kembali menjenguk blogku yang kesunyian)....dia pun telah lama tidak menulis di laman blognya hinggakan kata laluan pun dia dah terlupa. Mungkinkah aku juga telah lupa? Tidak... kata laluanku tepat. Kerana itu aku mampu menjenguk masuk ke sini. Tapi...kenapa blogku ini susun aturnya berbeza? Isinya kosong? Malah warna latarbelakangnya pun berbeza?.....Segala-galanya seolah-olah...ianya 100% laman blog baru! Laman blog baru???
Mataku segera memeriksa kembali akaun email yang aku gunakan. SAH!! MEMANG SAH!! Memang dah sah aku dah ter'create' akaun blog baru!Aku terguna akaun email yang lagi satu, bukan yang selalunya aku guna. 
Tersengih-sengih lega.. Memang sangat lega.....tapi malu pada diri sendiri! Baru saja aku nak berlagak kepada rakan karibku itu bahawa aku tak lupa kata laluanku, tau-tau....akaun emailku pula yang tunggang terbalik. 
Kesimpulannya, sahabatku....kita memang dua kali lima!

Monday, July 16, 2012

Andai gundah itu singgah....

Entahlah.......hati rasa resah. Hati gundah. Gelisah. Seakan memikul suatu bebanan  sarat, menempuh perjalanan yang hujungnya entah di mana. Cuba mencari di mana puncanya. Tak kujumpa. Tak ada perkara yang menjadi punca yang nyata, cuma sekadar suatu perasaan yang bagaikan bayang-bayang.....menjejaki setiap tapak. Rimas!! Biasalah.....aku manusia biasa, yang tak lepas dari lumrah suka duka kehidupan.... 

Membelek-belek laman page.... menjenguk-jenguk Google... terjumpa sesuatu yang mungkin boleh dikongsikan bersama. Menarik.....

Moga berguna buat kita kerana kita sering terlupa bahawa Dia sentiasa ada untuk menjadi tempat mengadu.... tempat meluah rasa....kerana Dia pendengar yang setia. 


"Ya Allahterima kasih karena Engkau selalu mengasihi kami 
secara berkelimpahan tiada batas setiap saat.

Ya Allah… bantulah & bimbinglah kami agar dapat berdoa kepadaMu 
dengan sepenuh hati & perasaan kami, memasrahkan semua masalah, beban, 
hambatan, pikiran, jiwa, hati & seluruh diri kami seutuh-utuhnya kepadaMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua kesombongan dibersihkan 
& digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua kemarahan dibersihkan 
& digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua sifat mementingkan diri sendiri dibersihkan & digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua perasaan iri 
& dengki dibersihkan & digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… terangilah hati kami agar semua keserakahan & kelicikan dibersihkan 
& digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… bantulah & bimbinglah kami agar mudah bagi kami untuk memberi maaf kepada siapapun yang pernah bersalah kepada kami dengan setulus-tulusnya. 
(Ingat kembali siapapun yang pernah bersalah & maafkan dengan setulus-tulusnya sambil menyadari bahawa hubungan hati anda kepada Tuhan adalah yang terpenting, jangan sampai hubungan ini dihalang-halangi oleh emosi-emosi negatif yang diakibatkan orang lain terhadap anda)

Ya Allah… dengan telah kami maafkan mereka, berkatilah hati kami agar semua kebencian, dendam, sakit hati, ketidakpuasan, kejengkelan & emosi-emosi negatif lainnya yang disebabkan oleh orang lain, semuanya dibersihkan & dikeluarkan dari hati kami untuk digantikan dengan cahaya & kasih sayangMu.

Ya Allah… bantulah & bimbinglah kami 
agar kami dapat semakin sedar akan kesalahan kami, baik kepadaMu maupun kepada sesama kami, memohon ampun kepadaMu dengan setulus hati kami & dengan sepenuh kesungguhan & perasaaan hati kami.

Ya Allah… bantulah & bimbinglah kami agar cahaya & kasih sayangMu semakin meresap di dalam hati kami, bersinar semakin indah & terang di dalam hati kami, untuk memberikan ketenangan, kedamaian & kebahagiaan yang sejati di dalam hati kami.

Ya Allah… terpujilah Engkau Yang Maha Esa, Maha Kuasa & Maha Segalanya untuk sekarang & selama-lamanya.

Terima kasih ya Allah atas nikmat dan ujian yang telah Kau beri…"

P/s- Dipetik dari laman blog KOMPASIANA

Thursday, April 19, 2012

Tamak masa?!

Salam buat pembaca.
Dah 3 bulan lebih laman blog ini tak terjengah. Tak payah nak memberi alasan. Memang aku bukan penulis blog yang konsisten. Full stop.

Dari Januari hingga April, kerja sekolah masih bertimpa-timpa datang tanpa memberiku sedikitpun ruang. Ini pun, sepatutnya tak mampu lagi aku berbicara di sini sedangkan ada lagi beberapa tugasan yang telah sedia menunggu. Tak mengapalah....sekadar mengubat kerinduanku untuk menulis.

Dalam tempoh 3 bulan lebih ini, memang banyak benda yang ingin aku kongsikan. Banyak, tapi tak terungkap di ruang ini. Ada antaranya ialah perkara-perkara basi yang aku sendiri pun malu untuk olah sebab dah berlalu terlalu lama. Kebanyakan masanya aku bermonolog sendiri, bercerita dalam hati...mengganti ketukan jemari di key-board ini. Bezanya ialah tak mampu didengari dan aku juga tak boleh mengulang baca apa yang telah kuperkata. Kerana itulah aku gagahkan juga menulis di sini. Sekurang-kurangnya orang tahu Blog Cikgu Aida ini masih belum mati.

Atas dasar kesibukan juga, aku menjadi seorang yang tamak. Tamak dengan masa! Otakku kengkadang secara automatik mencongak-congak tarikh-tarikh cuti yang boleh aku gunakan untuk mengosongkan beban fikiran. Seperti cuti yang lepas-lepas...cuti persekolahan akhir tahun. Agak tertekan dengan 'cuti yang tak rasa macam cuti' tu. Bukan salah sesiapa...salah aku sendiri juga sebab memohon 'kerja sampingan' dalam masa cuti tu. Bukan kewangan faktor yang utama kerana apa yang aku dapat taklah sebanyak mana. Cuma mungkin dari 'kerja sampingan' itu, pengetahuan dan pengalaman yang aku perolehi dapat aku gunakan untuk memantapkan proses pengajaranku agar  anak-anak didikku mampu mencapai keputusan yang lebih memberangsangkan. Dan dengan kerja-kerja itu, tahu-tahu saja cutiku telahpun berlalu.

Menuntut satu ruang untuk mengosongkan fikiranku seketika, aku dan keluarga ke JB dan Singapura pada Februari yg lalu. (Tentang ini, akan aku tuliskan dalam isu yang seterusnya). Hanya cuti beberapa hari tetapi amat bermakna untuk melonggarkan sedikit ruangan padu dalam mindaku.

Seterusnya.... aku menghitung lagi... Cuti seterusnya ialah pada akhir Mei/ awal Jun nanti. Dengar-dengar cerita sekolah dah sediakan satu program untuk 'membawa pergi' beberapa hari cutiku itu nanti. Aktiviti sekolah selama 3 hari berturut-turut di Melaka yang hanya akan bermula pada Isnin dalam minggu pertama cuti. Bermakna....hingga hari ke-5 takkan ada apa-apa program "SUPER MARVELOUS" untuk diriku nanti!! Dan takkanlah balik saja dari Melaka....akan aku lompat masuk kereta untuk sambung dengan aktiviti bercanda ria....Tak sesuaaaiiiii....

Tambah pula, dari desas-desus orang-orang politik (dan bukan politik pun sama jer), mengatakan Jun mungkin dianggap sesuai untuk diadalan PRU-13 nanti. Alahai... kalau dah PRU pun musim tu, tak kemana la nampak gayanya! Dalam kepala merangka-rangka.... Andaikata ramalan itu tak benar belaka, hajat di hati nak pulang ke kampung halaman, menjenguk saudara mara yang dah lama tak bersua. Dah beberapa perkahwinan yang hanya mampu kuraikan dari jauh malah juga ada kematian yang kusedekahkan Yassin dari jauh. Wajarlah kalau kali ini aku pulang barang seketika.

Daaaannnn...... jangan pula aku disalahkan kerana aku 'tamak masa'! Semuanya kerana aku ingin memberikan sedikit ganjaran buat diriku sendiri yang selama ini memang telah bekerja keras. (Tak kisah lah kalau ada orang lain nak kata "Ek Eleh... kerja keras ker?!" Tak kisah....) Yang aku tahu memang aku telah bekerja keras. Dan ganjarannya ialah aku mahukan sedikit ruang untuk keluar seketika dari rutin yang sememangnya menyiksakan.

Masalahnya.... aku tak mampu mengubah corak aliran pemikiranku. Andaikata aku mampu menceriakan hidupku dalam cuti itu, adakah aku juga mampu melupakan terus kerja yang bakal menunggu setelah itu?? Hrmm.... Dalam tempoh cuti tu, aku tahu...ada kertas yang perlu ditanda! Buka saja sekolah lepas cuti tu, aku kena segera meligan guru-guru untuk memasukkan markah dalam SAPS tu!! Lepas cuti juga aku perlu menyelaraskan Minggu Teknik & Vokasional (yang pertama kalinya aku kena jadi ketua!). Dan lepas cuti juga dengar-dengarnya PIBG dah sepakat nak mengadakan aktiviti besar untuk mengumpul dana. ..yang mana,salah seorang 'AJK Penting' PIBG akan cuti bersalin waktu itu, dan akulah akan mengambil-alih tugasnya!! Suatu tugas yang memerlukan aku melakukan tanggungjawab yang hatiku sehingga kini berat untuk menerimanya!!!!

Jadi, tamakkah andai aku untuk menghitung hari-hari cutiku???

Sunday, December 18, 2011

Angka oh angka.... Angka yang bermakna.

Salam...
Lama betul tak menulis. .....Rinduuuuu........ Tapi apa boleh buat. Memang sangat tak berkesempatan. Telah lama benar http://www.cikguaida.blogspot.com/ tidak dilawati. Maaf lah 'Cikgu Aida' yer!!

Dan kiranya tiba-tiba saja aku muncul di laman blog ini. Maknanya memang keadaanku agak lapang. Jadi apa lagi, jommmm kita teruskan.....

Musim cuti sekolah dah tiba hampir ke penghujung, tapi bagiku, sebenar-benar cuti baru bermula beberapa hari. Biasalah... ada saja saki baki kerja yang perlu disiapkan. Bersambung pula dengan 'tugasan rasmi' yang perlu dilaksanakan. Alhamdulillah...... Setelah selesai semua perkara ini, barulah kepalaku terasa sedikit ringan. Barulah jiwaku terasa benar-benar tenang. (Dan baru beberapa hari menikmati saat-saat indah sebegini.... berat badan rasanya dah naik mencanak-canak!! Aduss!!)

Kerana ketenangan itulah yang membawaku untuk bermain-main dengan keyboard ini. Mencurah rasa yang setidak-tidaknya mewarnai lagi blogku ini kali ini. Apa yang perlu aku perkatakan ya?? Hrmmm.....


Aku nak bercerita mengenai SBPA. Tapi sebenarnya, tak ada apa yang dapat aku ceritakan kerana aku sendiri pun tak tahu hujung pangkal mengenai SBPA. Terfikir juga, tak ada ke mana-mana wakil guru ke.... NUTP ke.. utk meberikan sedikit kelonggaran kepada kami yang tak masuk 'punchcard' dalam tempoh masa ni? Pastinya golongan guru-guru ni ramai yang seperti aku... tercengang-cengang kerana tak mendapat penjelasan sewajarnya mengenai isu penting yang menentukan corak masa depan kami ini nanti! Mungkin sekolahku akan memberi ruang untuk sesi penerangan semasa mesyuarat pertama guru pada akhir tahun ini nanti. Tertanya-tanya juga.... Jika benar waktu itu barulah penerangan diberi, tidakkan terlalu dekat dengan tarikh akhir menandatangan pemilihan? Dan satu lagi masalah...... aku tak akan dapt menghadirkan diri ke mesyuarat pertama guru tu memandangkan aku terpaksa menghadiri satu lagi tuntutan 'tugas rasmi'. Jadi bagaimana nanti kalau aku ter'miss' penerangan SBPA tu??


SBPA.. ramai yang suka, rasanya sebab melibatkan penyelarasan gaji. Aku pun suka. Sistem perkhidmatan dikemaskini agar pegawai-pegawai kerajaan akan menjadi lebih bertanggungjawab dan lebih berinisiatif dalam melaksanakan tugasannya. Bagi pegawai yang dilantik pada atau selepas 1 Januari 2012, umur persaraan wajib adalah 60 tahun. Bagi pegawai yang kini tertakluk kepada umur persaraan wajib 55 tahun, 56 tahun atau 58 tahun, pegawai akan ditawar opsyen melanjutkan perkhidmatan sehingga umur persaraan wajib 60 tahun. 

AHAH!! Part ni yang aku sebenarnya agak gundah gulana...... Aiseh.... Nampak gayanya macam nak kena bersara wajib masa umur 60 tahun la yer? Katakanlah aku bersetuju menerima umur persaraan wajib 60 tahun, persoalan seterusnya timbul: Mampukah aku untuk berkhidmat sehingga ke usia sebegitu? Tugas guru bukan tugas yang statik!! Tugas guru naik turun tangga, menjerit-jerit dalam kelas, berkejar ke sana sini.... berdiri separuh hari. Mata perlu terang.... menanda buku murid, menanda kertas dan menaip soalan..... Mampukah aku tatkala usia menjangkau 60 tahun untuk melakukan semua itu?? Hati tiba-tiba terasa berat. Bukan kerana aku tidak ikhlas untuk mencurah bakti sehingga ke tahap itu, cuma aku was-was dengan kemampuan dan keupayaan diriku sendiri tatkala berada di tahap itu. Sedangkan dalam pilihan yang terdahulu aku memilih umur persaraan 56 tahun, takkanlah sekarang akan kuanjakkan ke tangga 60 tahun? Seakan terbayang-bayang diriku sendiri yang terbongkok-bongkok mendaki tangga. Entah-entah, waktu itu aku berjalan memegang minyak angin di tangan. Kaca mata tebal yang tersangkut di hidung....kot! Entahlah.....


Dah lama agaknya aku duduk di depan komputer ini.... mataku mula terasa berpinau-pinau. Pinggang pula mula terasa lenguh dan tidak selesa. Kepala mula terasa berdenyut-denyut. Mungkin ini adalah sedikit sebanyak klu yang Allah turunkan buatku....

Dan makin lama aku membayang-bayangkan...... Angka 56 semakin dan semakin jelas kelihatan........ 
Insyaallah....tengok sajalah apabila sekolah dibuka nanti.

P/s- Aku pasrah padamu Ya Allah... kerana sebarang ketentuan yang telah Engkau tetapkan, mungkin itulah yang terbaik buatku. Kerana sebagai hambaMu, aku tidak tahu apa jua yang bakal menanti dihadapanku.

Saturday, August 6, 2011

Surat buat adikku Siti Fatimah.. (diserahkan sebelum berangkat pulang)....

Tarikh: 06/08/2011 (1.20 pagi)
Assalamualaikum

Pembuka kata, kak Aida ucapkan selamat berangkat pulang ke pangkuan keluarga dan rakan di Medan. Semoga perjalanan Siti ini adalah merupakan suatu lagi langkah dalam mencari kebahagiaan dalam kehidupan.

Kak Aida memilih untuk menulis surat ini kerana Kak Aida bukanlah jenis orang yang cukup tabah untuk menyuarakan semuanya secara berdepan. Banyak yang bermain di fikiran dan hati, namun belum tentu dapat disuarakan secara lisan. Mungkin air mata yang lahir lebih banyak berbanding perkataan. Jadi, biarlah kak Aida tuliskan saja… sekurang-kurangnya kak Aida dapat suarakan apa sebenarnya yang bermain dalam perasaan.

Ketibaan Siti pada hari pertama masih jelas dalam ingatan. Terasa seakan baru walaupun sebenarnya telah 3 tahun yang lalu. Sungguh cepat masa berlalu. Bermula dari hari itu, terlalu banyak perkara yang berlaku… Ada yang suka ada yang duka. Biasalah…adat kehidupan manusia.

Tiga tahun berkongsi bumbung yang sama… melalui hari-hari bersama, pastinya segala yang Siti telah lakukan akan kak Aida kenang. Terima kasih banyak-banyak kerana telah berjaya menjalankan tugas membantu kak Aida selama ini. Segala tugasan harian telah Siti lakukan dengan baik terutamanya dalam hal menjaga anak-anak kak Aida sejak tapak kaki mereka masih selebar tiga jari. Bukan semua orang sanggup bertungkus lumus menjaga sepasang kembar dan abangnya yang pastinya memerlukan banyak kesabaran. Itu mungkin suatu kelebihan Siti yang amat-amat kak Aida hargai. Masih jelas juga bagaimana Siti tanpa teragak-agak menyedut keluar muntah dari hidung Erina setiap kali dia lemas akibat muntah semasa bayi dulu. Masih jelas juga bagaimana Siti tekun memujuk Erisya tiap kali waktu makan akan dapat dihabiskan nasi sepinggan. Terima kasih banyak2 buat Siti atas kesanggupan melakukan semua itu. Belum lagi diambil kira tentang kesempurnaan Siti dalam menjaga makan pakai mereka… siap dengan dandanan kemas tak kita masa. Terima kasih, Siti kerana tak pernah juga jemu melayan karenah Ezry. Walau apa ragam, apa juga tuntutan Ezry, Siti masih sedia membantunya termasuklah dalam urusan sekolahnya. Hanya Allah saja yang mampu membalas budi baik Siti kerana kak Aida tahu, segala apa yang Siti lakukan bukan hanya kerana Siti dibayar, tapi ia datang dari jiwa dan hati yang ikhlas demi kecintaan Siti pada mereka.

Kak Aida juga ingin berterima kasih kepada Siti kerana memahami keadaan dan tuntutan kerjaya kak Aida yang memerlukan kak Aida bertugas tak kira masa. Terima kasih berbanyak-banyak kerana sanggup melaksanakan kebanyakan tugas yang sepatutnya berada atas bahu kak Aida setiap kali kak Aida sibuk. Fahamnya Siti dengan tugas kak Aida sebagai seorang guru terutama setiap kali tiba musim menanda kertas peperiksaan, setiap kali menguruskan urusan jadualwaktu, atau apa juga tugas semasa amat-amat kak Aida hargai. Terima kasih sekali lagi.

Terima kasih juga kerana selama ini Siti mampu menjaga diri dan menyesuaikan diri dengan persekitaran tanpa mendatangkan masalah kepada kak Aida dan abg Edi. Terima kasih kerana sanggup menjadi pendengar yang setia tatkala kak Aida perlu tempat bagi meluahkan rasa…. Kerana sanggup menjadi pencetus idea tatkala kak Aida hilang punca….  Terima kasih juga kerana telah berjaya mengambil hati saudara mara.

Kak Aida amat hargai kesanggupan Siti untuk berkhidmat kepada kami selama 3 tahun ini. Kami hargai kesanggupan Siti untuk menamatkan perkhidmatan dengan prosedur yang sewajarnya, bukan dengan cara mudah… lari dari majikan atau bercuti tak pulang-pulang. 3 tahun sudah cukup bagus buat kami kerana kami faham… pastinya bukan mudah untuk berada jauh dari keluarga, merantau ke tempat orang. Lagipun, mungkin inilah masa yang terbaik buat Siti untuk menyusun kehidupan Siti. Moga Siti akan menemui jodoh yang terbaik sedikit masa lagi. Waktu itu, jangan pula lupa untuk kongsikan kepada kami jika ada sebarang khabar gembira. Kalau kami tak berkesempatan ke sana pun, sekurang-kurangnya, akan kami titipkan doa buat Siti di sana.

Pastinya selama berada dengan kak Aida, akan ada apa juga bentuk tindakan kak Aida, sengaja atau tidak yang mungkin mengguris perasaan Siti. Dengan seikhlas hati, kak Aida mohon jutaan kemaafan jika ada sebarang salah silap yang kak Aida lakukan. Kalau pernah ada kata-kata atau perbuatan kak Aida yang mengguris perasaan, percayalah…. Segalanya adalah teguran ikhlas dari kak Aida. Kak Aida bukannya jenis manusia yang menyimpan dendam…. Apa yang telah disuarakan…setakat itulah saja. Dan kalau hati Siti pernah terluka… kak Aida benar-benar mohon maaf.

Kak Aida akui…. Di penghujung ini, kak Aida agak terkilan dengan amaun wang yang Siti bawa pulang. Kak Aida dulu membayangkan Siti akan pulang dengan wang terkumpul yang mungkin boleh digunakan untuk memajukan hidup Siti. Tapi tak apalah…. Kak Aida tak ada hak untuk menentukan apa yang boleh dan tak boleh memandangkan itu adalah hak mutlak Siti, sebagai hasil memerah keringat saban hari. Mungkin benar kata Siti dulu….. ‘memang dah ditakdirkan nasibnya begitu’. Sampaikan juga salam maaf kak Aida buat mak Siti andai kata, ada kata-kata kak Aida yang juga menyakiti hatinya. Katakan padanya, kak Aida benar2 minta maaf kerana niat kak Aida memang ikhlas. Memang sangat-sangat ikhlas.

Kak Aida doakan agar akan ada rezeki Siti lagi di mana-mana nanti. Wang tambahan dari kak Aida tu, walaupun tak sebanyak mana, harap dapat Siti gunakan sebaik-baiknya. Itu sebenarnya memang telah kak Aida niatkan dari dulu lagi… hasil kak Aida menanda kertas peperiksaan SPM, hasil sedikit tunggakan gaji atas kenaikan gred jawatan kak Aida, saguhati perkhidmatan cemerlang yang kak Aida terima baru2 ini,dan lain-lain rezeki sampingan, memang sedikit sebanyak ingin kak Aida kongsikan juga walau sedikit dengan Siti. Kak Aida tahu, tanpa bantuan Siti, kak Aida takkan mampu melakukan semua itu. Terima kasih ya!

Terima kasih juga buat Siti dan mak yang telah sudi mencarikan pengganti Siti, kak Oshin. Terima kasih buat mak Siti yang bersusah payah dalam membantu menguruskan segala dokumen buat kak Oshin untuk berkhidmat di sini. Buat Siti juga… terima kasih kerana sudi membantu kami dalam melatih kak Oshin melaksanakan tugas-tugas rutin hariannya. Usahlah disuarakan sebarang kekesalan lagi. Walau bagaimana pun corak kerja kak Oshin, kak Aida akan cuba menerimanya dengan hati yang terbuka. Kami sedar, manusia dicipta Allah dengan pelbagai keupayaan dan ragam. Doakan saja agar kak Oshin juga akan mampu melaksanakan tugasnya sebaik Siti. Doakan juga agar Allah akan memberikan keupayaan bagi kak Oshin untuk menjaga dan menyayangi budak bertiga itu seikhlas Siti. Insyaallah……

Akhir kata…. Kak Aida, abg Edi dan seisi keluarga mendoakan agar kita sama-sama dapat menjalani kehidupan masing-masing sebaik-baiknya.  Halalkanlah segala tenaga yang disumbangkan buat kami. Kesekian kalinya, maafkanlah andai ada salah silap dari kami. Harap Siti tahu, walau mungkin tidak terpamer secara langsung, kak aida sebenarnya amat sayangkan Siti. Cuma kak Aida mungkin bukan jenis orang yang mudah untuk melafazkan. Dan kak aida percaya, selain kak Aida… abg Edi, Ezry, Erina, Erisya, pakcik, makcik, Ciksu dan ahli keluarga yg lain pun begitu. Oleh itu, walau sudah berjauhan nanti, jika ada kesudian, hubungilah kami agar dapat kami tahu perkembangan terkini Siti. Lega juga bila ada dengar-dengar khabar Siti nak belajar bukak Facebook bila tiba di sana nanti….. untung-untung, dapat juga bersua di alam maya.

Selamat menjalani ibadah puasa bersama keluarga di sana. Selamat menghitung hari menantikan ketibaan hari raya. Jangan pula lupa ya…. Berkemungkinan hari raya nanti adalah hari genapnya 3 tahun Erina dan Erisya!! Insyaallah…. Adik-adik Siti yang bertiga ini akan selalu mengenang jasa2 Siti. Kak Aida akan sentiasa ingatkan mereka tentang itu. Akhir kata,  Salam buat seisi keluarga.

Suara hati: Kak Aida/ Abg Edi
(mewakili seisi keluarga)