Monday, January 17, 2011

Hello 2011... Episod 1

Hai….
Lamanya tak menyinggahkan kata-kata di laman ini. Hinggakan kali ini terasa agak kekok dan kaku untuk aku kembali berkata-kata. Terasa seolah-olah gambarku yang kecil di sudut atas page ini sedang merenungku sambil mengutuk-ngutuk aku yang dah lama tak menjenguknya. Tak apalah… sekurang-kurangnya hari ini aku kembali…

Begitulah peredaran masa. Masa yang boleh dikatakan setiap manusia masing-masing terkejar-kejar menyainginya. Aku percaya, majoriti setuju jika aku katakan masa sangat pantas berlalu. Hanya orang yang sedang menunggu seseorang atau menunggu sesuatu sahaja yang tidak akan bersetuju dengan pendapatku. Atau orang yang sedang terlantar menanggung sakit, juga pastinya merasakan jarum saat jam seperti menari-nari mempermainkannya, sengaja melengah-lengahkan masa! Yang selain itu pastinya sentiasa berebut-rebut dengan masa…

Maka, sedar tak sedar tahun 2010 dahpun aku tinggalkan. Malah separuh Januari 2011 telahpun aku gunakan. Dan tahun ini pastinya akan berlalu sepantas tahun-tahun sudah, sekadar menghadiahkanku tambahan satu lagi tangga dalam hitungan usia. Insyaallah, kiranya Allah masih lagi ingin memberi kesempatan dengan melanjutkan umurku. Waduh waduh….

2011;
Tahun ini, memberikan impak yang agak besar buatku. Tahun ini melayakkan anak sulungku Ezry melangkah ke Tahun 1. Jika dulu aku berdebar-debar dalam dewan bersalin,… tahun ini aku berdebar-debar juga, cuma bezanya kini dalam dewan sekolah. Jika 6 tahun dulu aku cemas memikirkan kesempurnaan fizikal anak yang bakal aku lahirkan, sekarang aku lebih cemas memikirkan kesempurnaan perkembangan anakku sebagai seorang insan….. Perjalanannya barunya ini amat jauh. Ditambah lagi dengan keperluan semasa yang seboleh-bolehnya ingin mempalitkan serba sedikit kemahiran dengan beralatkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), perjalannya pasti akan sedikit sebanyak menjadi lebih mencabar. Aku sebagai ibu hanya mampu membekalkannya doa agar dia akan menjadi anak yang sentiasa mendambakan ilmu.

2011;
Rutin harianku sedikit sebanyak turut berubah. Tiap pagi, aku tidak lagi memandu berseorangan ke sekolah. Akan ada ‘Edi Jr.’ disebelahku yang akan menemaniku, menjadi teman bersembang atau sesekali menjadi pengkritik bagi kata-kata atau lagu yang didengar sepanjang perjalanan kami. Memimpinnya ke pintu pagar sekolah, menyarungkan beg sandang sebelum berbalas lambaian menjadikan diriku seakan berada lebih rapat dengannya. Ada kalanya, sebaik sahaja tamat pembelajaran, aku akan masuk ke bilik guru dan Ezry sudah sedia ada di situ. Al-maklum sajalah… sesi persekolahan sekolah rendah tamat lebih awal berbanding waktu kerjaku.(Sementara awal tahun yang mana kebanyakan kerja baru saja hendak bermula…tak sepadat mana) Masa kosong sementara menunggu waktu balik akan aku guna untuk melayaninya. Banyak cerita yang akan keluar dari mulutnya. Waktu ini jugalah banyak juga permintaannya… Nak makan itulah, ini lah.. Nak tumpang toiletlah…. Macam-macam. Namun walaupun setiap tengahari aku terpaksa berkongsi meja dengannya, aku rasa aku gembira. Mungkin kesibukan melayani adik-adik selama ini sedikit sebanyak membuatkan aku agak alpa tentang keperluan melayaninya. Namun kini, kebanyakan masa kembali kami luangkan bersama…. Baguslah!

Sekurang-kurangnya satu episod indah telah mengisi perjalanan 2011 ku…. 

Saturday, November 20, 2010

Kg Pandan...... dari kacamataku yang kerdil waktu itu.

 ‘Jiran sepakat membawa berkat’. Masa zaman aku kecil-kecil dulu, memang selalu dapat didengar ungkapan ini di kaca televisyen. Mungkin pada waktu itu Kementerian Penerangan memang beriya-iya ingin menerapkan kesedaran ni di kalangan masyarakat setempat. Mungkin juga kerana waktu itu jiran tetangga sudah nampak akan ketidak-akrabannya. Entahlah, kerana waktu itu, aku masih ala-ala kanak-kanak riang yang tak beberapa kisah tentang perkara ini, melainkan semasa diminta menggunakannya dalam latihan menulis karangan di sekolah. Lagipun, walau di mana aku berada, Alhamdulillah, semua jiran-jiranku ok-ok belaka.


Mengimbas kenangan di Kg Pandan (Jalan Gambang, Kuantan)- Makcik Tinam, Makcik Za, Makcik Mie, (Arwah) Makcik Nah, Makcik Suri dan berbakul-bakul makcik yang tinggal disekelilingku, di kawasan rumah-rumah sewa Makcik Tinam/ Pakcik Daud tu semuanya ‘kow-team’ belaka. Mungkin hasil susun atur beberapa buah rumah sewa mengelilingi sebuah rumah induk tuan rumah menjadikan penghuninya akrab. Terserlah, terutama sewaktu perjumpaan petang-petang yang lapang di tangga salah satu rumah terpilih. Tapi biasanya tangga tuan rumah (makcik Tinam) yang jadik mangsa. Waktu tu lah makcik-makcik termasuk ibuku yang satu tu memperdebatkan sebarang isu, selain bertukar-tukar resipi walaupun untuk menu yang sesimple kangkung goreng belacan..hehehe (Pandai-pandai je aku tokok tambah sedangkan waktu tu aku hanya baru darjah satu…apa sangat la yg aku kisah ttg perbualan makcik-makcik nih!) Selain waktu persidangan, mereka turut berkumpul untuk sama-sama menghantar anak pergi/ balik dari sekolah, (Aku  gi sekolah naik trak askar, tau!!), waktu tunggu van ikan atau apa-apa sahaja ruang yang membolehkan mereka berkumpul. On the way nak pergi ambil serai pun boleh tersangkut….hehehe.

Walau apa kisahnya, aku bukan peduli sangat sebab aku, Haidi, Ujang dan Zerul ada mision sendiri. Ujang dan Zerol anak-anak makcik Tinam, yang menjadi rakan akrab aku zaman tu. Aku dan Ujang sebaya, manakala Zerul yang paling junior. Selain itu, Nini dan adiknya ada juga, tetapi kurang rapat dengan mereka kerana mereka masuk menyewa agak lewat sikit. Kalau main masak-masak, aku mesti terpilih jadik mak, Ujang jadik ayah, Haidi dan Zerul jadik anak-anak. Kalau tak pun, Zerul jadik budak suruhan Ujang untuk gi naik atas rumah amik keperluan2 yang kami nak guna…(Cara selamat supaya tak kena marah dengan makcik Tinam! Hehehe). Kami main jentik petutup botol, main patung kertas, main tembak-tembak macam koboi, main basikal, main kejar-kejar, sorok-sorok dan macam-macam lagi. Malah, zaman ‘belajar kayuh basikal’ku juga bermula di sana. Cemburu dengan Ujang yang pandai mengayuh basikal besar, aku gigih belajar basikal. Akhirnya aku pandai naik basikal, itupun setelah bakul hadapan basikal comel (hadiah dapat nombor satu) yang baru beberapa minggu menjadi milikku itu kemek bakul hadapannya. Aku langgar tiang lampu dan Ujang dengan berlagaknya berhenti semata-mata untuk mentertawakan aku! Yang pasti kehidupan kanak-kanakku disitu memang menyeronokkan. Kami berempat atau sesekali bertiga (tanpa Zerul), turut bersama-sama mengayuh basikal kerumah ‘Mbah’, nenek Ujang untuk mengaji Quran. Waktu hujan musim tengkujuh kami bersama-sama Kak Na dan Kak Sal, memancing ikan di kolam kecil depan rumah Ujang (dengan pengawasan orang dewasa, ok!)… Malah yang lucunya, aku pernah mendapat ikan bodoh yang memakan mata kailku yang tak pun aku bubuhkan umpan. Atas kebodohannya tu, Kak Na membantuku melepaskannya semula ke dalam kolam,… suruh dia masuk sekolah dulu! Hah..memang semuanya sangat indah untuk dikenang.

Tatkala petang, masing-masing akan keluar dari rumah. Abah yang baru balik kerja itu akan mengeluarkan cangkulnya, mempetulkan batas-batas sayur, ubi dan tanaman di hadapan rumahku itu sambil bertegur sapa dengan pakcik makcik jiran tetanggaku itu. Biasalah..kalau ada aktiviti, masing-masing seakan berjangkit… cangkul keluar di sana, cangkul keluar di sini, cangkul keluar di sinun. Kalau yang ni siram… sana siram, sini gembur, sinun baja dan seterusnya. Pemandangannya: masing-masing akan sibuk bersama-sama menguruskan tanaman masing-masing. “Bersama-sama tapi masing-masing”.. paham kan? Buat kerja bersama-sama tapi tanaman masing-masing la… kalau tak pasal-pasal nak pergi gali ubi orang nanti lain macam pulak rasanya kan?! Seingat aku memang tanah di situ subur. Abah tanam kacang panjang, peria (sinilah pertama kali aku kenal peria!), ubi kayu, keledek, malah macam-macam. Bila ada hasil… dapat juga dihulur kepada jiran tetangga. Mereka pun begitu juga. Malah ada juga yang  ‘hulur’ setelah siap dimasak jadi lauk. Lagi la aku suka!

Tatkala petang-petang jugalah sesekali akan ada orang memberi salam dengan pinggan di tangan. Kadang-kadang ada kuih lapis, ada lopis, ada goreng pisang (biasanya mak aku yang akan mengedarkan menu ni kat jiran-jiran sebab kat belakang rumah abah tanam banyak pokok pisang), bubur kacang dan macam-macam lagi lah. Masa ni la makcik2 ni nak tunjuk hebat dengan air tangan masing-masing. Kalau nak minta resipi, tunggu ‘persidangan’ akan datang… Malah zaman ni juga, ada seakan kelas masakan di mana-mana rumah terpilih. Hinggakan hasilnya waktu tu ma pun pandai tebar roti canai!! Jangan tak percaya!! (Sekarang sure tak ingat dah). Memang dok di Kg Pandan amat ceria!

Di sini jugalah adik bongsuku dilahirkan. Sebab itulah aku sesekali menggelarkannya ‘anak Kg Pandan’. Tanpa bantuan kedua-dua orang nenekku, ma melalui tempoh pantangnya tanpa sebarang masalah. Semuanya kerana ada ramai ‘emak-emak angkat’ yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan. Akan sentiasa ada makcik-makcik itu yang datang bertanya khabar, malah ada yang langsung menawarkan diri untuk apa-apa tugas khas. Mungkin kerana ikhlasnya emakku melakukan perkara yang sama sewaktu mereka dalam keadaan yang sama.

Biasalah walau semanis mana kehidupan di sana, semuanya terpaksa kutinggalkan juga  memandangkan aku anak seorang tentera. Aku dan keluarga berpindah ke Kelantan pada akhir tahun 1985. Dari apa yang kudengar, Ujang, Kak Sal dan Kak Na, masing-masing dah berkeluarga, mungkin Zerul juga! Penyewa-penyewanya sudah bertaburan ke sini sana. Kunjungan terakhirku ke sana beberapa tahun lalu menyedarkan aku bahawa Kg. Pandan itu tidak lagi sepertimana ‘Kg. Pandan’ku dulu. Jalan kecil untuk masuk ke kampung itu, yang dahulunya didahului dengan pohon-pohon hutan di kiri kanan jalan, kini sudah menjadi selebar-lebar jalan. Terbentang lapangan terbang di hadapannya, dan kebanyakan pokok-pokok kelapa sawit dulu kini bertukar menjadi tiang rumah orang. Memang sukar untuk aku cam jalan masuknya, malah mungkin mustahil jika abah tak ikut sama. Kolam ‘ikan bodoh’ dulu sudah entah di mana. Malah yang paling merobek hatiku ialah tatkala melihat rumah hujung yang pernah kudiami dulu, kini menjadi sebuah rumah usang yang langsung tak kelihatan sepertimana rumahku dulu, meskipun masih tetap mempunyai penyewanya. Tiada lagi batas-batas ubi abah. Tiada lagi para kacang panjang, atau batang-batang pohon ubi kayu. Tiada lagi reban ayam dua tingkat abah yang dulunya pernah aku jadikan pentas nyanyian ‘Ku Petik Bintang-bintang’ sewaktu pembinaannya. Tiada lagi hutan tebal dibelakang rumahku yang si monyet-monyet penghuninya itu sesekali keluar mengagah-agah kami dulu, atau mencuri petik pisang yang masak ranum. Tiada lagi bayangan Ujang, Haidi, Zerul dan aku yang berlari-lari dengan mulut masing-masing bising dengan bunyi ‘machine-gun’nya. Tiada lagi semuanya…. Cuma yang ada hanyalah sekelumit kisah ‘Kg. Pandan’ yang takkan terubah sedikitpun dalam memori hidupku. 


Sunday, April 4, 2010

Mencari 'Definisi Cinta'


Bukan kerana buang tabiat, tapi tanganku secara tak sengaja mengetuk-ngetuk beberapa huruf dalam Google Search malam itu.... dan tiba-tiba, di malam setenang itu, aku mencari definisi cinta.

Apa yang kubaca adalah perkara biasa. Yang bukan baru malam itu aku tahu...Cuma rasanya ingin kuselitkan di blogku ini agar pembaca kalian dapat berkongsi denganku, suatu tafsiran mengenai satu perasaan yang semua orang rasa, tetapi sukar menyelaminya......

(Definisi Cinta, dipetik dari http://mentor_ulung.blogspot.com/)

1. Cinta itu KOMITMEN.Cinta, tak boleh main-main. Cinta perlu komitmen. Bukan main campak buang semacam. Perlu dirancang dan dilaksana sebaik mungkin.Tak bolehlah nak bergaduh, paksa-paksa dan mengabaikan tanggungjawab pada pasangan. Untuk yang dah berkahwin, nafkah wajib dipenuhi. Amanah sebagai suami isteri kena ditunaikan sebaiknya. Komited sebagai suami yang mithali, ummi yang solehah, agar dapat melahirkan anak-anak yang afiq, yang arif, yang anis, yang santun. Menjadikan rumahtangga dipenuhi mahabbah, mawaddah dan sakinah :)

2. Cinta itu intuitive: NALURI.Cinta itu sifatnya naluri. Apa tu orang kata, “cinta itu di hati”. Bercinta yang hangat bila kita dapat merasai apa yang dirasai oleh orang yang kita sayang. Jika taknak disakiti, kita tak menyakitkan hati orang lain. Jika nak disayang, kita akan memberi kasih sayang seluhurnya. Jika ada rasa bimbang, seringnya kita akan dapat merasa. Macam cinta ibu pada anak-anak. Sering mereka dapat rasa apa yang anak-anak mereka buat, yang baik atau tak baik untuk anak-anak, kan?
3. Cinta itu sebahagian nature: FITRAH Cinta itu fitrah. Betul. Bila Nabi Adam dicipta, baginda rasa kesunyian. Allah ciptakan Hawa sebagai peneman. Rasa ingin disayanagi dan menyayangi tu fitrah manusia. Yang perempuan minat pada seorang lelaki. Ada lelaki jatuh cinta pada seorang wanita. Cinta itu benar dan suci.
4. Cinta sering terletak di puncak: TOP Bila ada rasa cinta, kita akan sama-sama bekerjasama, saling mengasihi. Itulah nilai yang mengikat kita semua untuk terus bersatu. Sekuat cinta Tuhan yang memberikan pelbagai nikmat hidup, cinta itu di puncak kehidupan.
5. Cinta itu sifatnya ALTRUISTIC. Apa tu?? Aa, altruistik maknanya melebihkan orang lain dari diri sendiri. Dalam lughah disebut al-itsar. Wah, erti pengorbanan di sini. Bak kata Ustaz Hasrizal, makna hidup pada memberi. Bila cinta, kita sanggup berkorban untuk yang kita cinta dan kasihi. Bila ada niat untuk membahagiakan yang lain, maka kita akan usahakan yang terbaik untuk memenuhi kehidupannya dengan bahagia dan sempurna.
Terima kasih kepada pentafsir cinta. Kupinjam erti cintamu untuk kupadankan dengan erti cintaku....

Tuesday, March 30, 2010

"Apa?? Saya tadak tiru maaa...!!"

Bukan perkara baru..... Ini lebih kepada luahan hatiku yang kecewa dengan pemandangan lazim yang berlaku beberapa kali setahun mengikut musim.
Sekolah dan peperiksaan..... memang tak boleh dipisahkan, sekalipun aku akui bahawa adalah salah untuk meletakkan peperiksaan sebagai matlamat utama dalam institusi pendidikan kerana apa yang lebih utama ialah proses penyampaian dan penerimaan ilmu pengetahuan yang bukan hanya semata-mata berlandaskan peperiksaan. Wah... macam berat saja penulisanku kali ni...
Sebenarnya sebagai seorang guru, isu peperiksaan memang kujadikan perkara yang serius. Peperiksaan menjadi satu alat pengukuran yang paling mudah untuk menentukan aras kefahaman murid, disamping mengukur tahap keberkesanan seseorang guru. Oleh itu, sebarang 'kecacatan' dalam prosedur peperiksaan ini akan mengganggu gugat kesahihan peperiksaan itu sendiri.
Apa yang kuperhatikan, 'penghayatan' peperiksaan telah semakin berkurang. Guru-guru telah mengorbankan banyak masa bagi menjayakannya termasuk proses membina soalan, mengetip,membalut, hinggalah mengawas peperiksaan itu sendiri.



Namun di pihak murid, sebaik menerima kertas soalan, mereka terus melentik-lentikkan badan dan merebahkannya dengan kepala ditelangkup ke meja. Sehubungan itu, pihak pentadbir telah mengambil langkah mengutip sebarang 'kertas jawapan' yang tidak dijawab untuk diserahkan kepada ibubapa murid berkenaan. Sekurang-kurangnya ibubapa akan tahu sejauh mana kesungguhan anak mereka menjawab. Jika sikap murid yang sebegini dibiarkan, mereka akan terbiasa dan tidak mustahil jika lebih ramai lagi yang akan melangkah keluar dari dewan/ bilik peperiksaan hanya setelah setengah jam mereka menjawab, sekalipun peperiksaan itu adalah peperiksaan awam (PMR/ SPM).
Kami, para guru pula diminta mengejutkan mana-mana murid yang tidur. Kadang-kadang, walaupun dikejutkan beberapa kali, murid masih tetap tidur. Kalau tak pun, mereka cuma bangun seketika dan memeriksa jam di tangan sebelum menyambung kembali mimpi yang terputus.

Begitulah berulang kali.... malah ada yang seakan marah-marah dengan menunjukkan wajah yang beriak protes. Ada antara murid yang apabila kuminta cuba menjawab, memberi respon kepadaku, "Teacher, I really cannot answer the questions.... I've tried... but still I don't know how to do it. So?" .......dan aku pula selaku guru masih memujuk mereka sekurang-kurangnya membelek-belek kertas soalan itu dengan harapan membaca berulang kali akan memberikan mereka sedikit idea. Selalunya, tiap kali situasi itu terjadi, murid akan memandang guru dengan pandangan yang menyampaikan masej bisu yang lebihkurang berbunyi "Eh..cikgu ni tak reti2 ke, aku dah kata tak tau nak jawab, aku taknak jawab...masih jugak nak suruh aku jawab..." Dan dia akan berlakon seolah-olah berfikir seketika sementara menanti si guru ini bergerak menjauhi sedikit mereka sebelum kembali dengan aktiviti mereka.
Bagi beberapa murid yang memang sehati sejiwa, tempoh mereka menjawab seolah-olah telah disetkan sama secara tak rasminya. Akan ada yang boleh berbalas-balas senyum, tersengih-sengih bodoh, berkomunikasi dengan bahasa mudah menggunakan isyarat badan..... dan semua itu, memang perbuatan yang rutin bagi mengisi kekosongan masa yang terhasil (biasanya kerana kekosongan idea yang seterusnya mencetuskan 'kekosongan' kertas jawapan juga). Bila ditegur, mereka akan mengangkat2 kening, seolah2 mempersoalkan apa jenis kesalahan yang telah mereka lakukan dan kalau tak pun, apakah buktinya mereka saling berkomunikasi.... Tak mustahil juga jika ada yang berani pula bersuara. "Saya tak ada cakap apa2 maaa.... tak ada tiru punya...", sedangkan kita yang melihat gelagatnya punyalah sakit biji mata.
Selain itu, kebanyakan murid rasanya bukan dari golongan yang kurang berada. Tapi setiap kali peperiksaan, pasti ada benda yang perlu 'diterbangkan'. Kalkulator, pembaris, pemadam, pensel, 'correction tape' malah 'correction pen' (yang sebenarnya memang tak dibenarkan penggunaannya) akan bertukar-tukar tangan dari meja depan ke meja belakang.... dari hujung kiri ke hujung kanan. Puas ditegur, puas dilarang, perkongsian ini selepas seketika, masih tetap diteruskan. Darurat....
Mereka juga tidak ada rasa bersalah untuk tidak hadir ke sekolah semasa peperiksaan dijalankan. Hanya dengan bertiketkan sekeping surat atau MC (hasil lakonan yang agak menjadi), mereka telah terlepas dari satu proses 'menggantung diri'. Sekurang-kurangnya dalam slip keputusan nanti akan tercatat 'TH' (tidak hadir) yang pastinya berkali-kali-kali-kali ganda lebih baik daripada melihat huruf2 atau digit2 seperti '14%' atau '9G', bukan begitu??
Apa pun perkara yang kubangkitkan di sini, bukan bertujuan merendahkan kebolehpercayaan terhadap peperiksaan itu sendiri, bukan juga bertujuan membuka pekung di dada... cuma sekadar luahan terhadap situasi generasi baru ini setiap kali mereka menduduki peperiksaan. Tetapi perlu juga kutegaskan disini bahawa semua situasi yang kusebutkan tadi hanya melibatkan sekumpulan murid.... hanya sekumpulan... Bermakna masih ada harapan untuk nilai peperiksaan ini kembali diterapkan.Walau apa juga situasi yang dialami, aku percaya para guru seboleh-bolehnya akan terus mencuba sedaya upaya bagi mengembalikan 'maruah' peperiksaan ini. Walaupun hanya diperingkat ujian, kepentingaannya masih sama seperti peringkat peperiksaan dalaman dan juga peperiksaan awam.

Wednesday, March 24, 2010

Mengenali Al-Falah, TPJ


Surau Al-Falah (SAF) diusahakan diperingkat awalnya oleh beberapa penduduk PUJ 4 yang mula berpindah ke TPJ pada hujung tahun 2004. Ekoran pertambahan penduduk muslim dan keperluan untuk beribadat secara berjemaah, pada tahun 2005 beberapa penduduk PUJ 4 telah bersepakat membentuk sebuah jawatankuasa bagi merealisasikan pembinaan SAF yang diketuai oleh Prof. Dr. Sapuan pada masa itu.

Sebuah jawatankuasa pembinaan juga dibentuk untuk menguruskan proses pembinaan di samping mencari dana dan sumbangan sama ada melalui penduduk setempat ataupun lain-lain organisasi. Sementara itu, pihak pengurusan SAF telah menyewa sebuah rumah lot tepi untuk dijadikan surau sementara dengan sewaan RM500 sebulan bermula pada bulan Oktober 2005.

Melalui tabung pembinaan yang diwujudkan, SAF berjaya mengumpul lebih RM22 ribu dan ianya telah digunakan untuk urusan kerja-kerja tapak dan pembinaan asas di tanah berlereng yang diberikan oleh pemaju. Kerja-kerja tersebut juga turut dibantu ahli kariah secara bergotong royong. Pihak SAF telah mendapat kerjasama Jabatan Mufti Selangor untuk mengesahkan arah kiblat. Dalam masa yang sama SAF juga telah mengemukakan permohonan untuk menggezetkan tanah tersebut untuk kegunaan surau.

Pada tahun 2007, usaha yang dibuat oleh jawatankuasa pembinaan SAF dengan kerjasama persatuan penduduk TPJ, untuk memohon dana khas melalui ICU-Jabatan Perdana Menteri. Sejumlah RM200,000 telah diluluskan yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Petaling. Pembinaan SAF telah diteruskan dengan menggunakan dana tersebut dan siap dibina pada bulan Oktober 2007. Pada bulan tersebut juga SAF akhirnya berpindah ke bangunannya sendiri setelah 2 tahun menyewa rumah sebagai surau sementara.

SAF juga mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM50 ribu (2007) dan RM30 ribu (2009). Bantuan ini telah digunakan untuk penambahbaikan ruang dan pembelian alatan. SAF juga turut mendapat sokongan daripada ahli kariah dan para jemaah yang menyumbang melalui tabung surau. Hasil sumbangan ini telah digunakan untuk membiayai program-program surau yang dijalankan dari semasa ke semasa serta membiayai perbelanjaan pengurusan bulanan SAF.

Sekali lagi pada tahun 2008, SAF memohon dan telah diluluskan peruntukan dana khas ICU_JPM sebanyak RM100,000 bagi membiayai kerja-kerja tambahan SAF. Dana ini digunakan untuk menambak dan melebarkan laman SAF, pembinaan tembok, pagar dan tangga.

Hingga kini, lebih RM380,000 telah dibelanjakan untuk pembinaan SAF yang boleh menampung 200 orang jemaah. Perancangan akan datang dalam bentuk fizikalnya ialah untuk membesarkan ruangan solat dengan menambah ruang di bahagian belakangnya bagi menampung pertambahan jemaah.
Manakala perancangan yang lebih utama ialah pengisiannya melalui program-program pengajian dan kegiatan umum selain daripada ibadat-ibadat khusus. Semua perancangan ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak dan SAF sentiasa berusaha menarik minat ahli kariah untuk mendekati SAF dengan aktiviti tertentu seperti program sahabat SAF, edaran INSAF dan lain-lain lagi.

******* Petikan edaran INSAF (Informasi Surau AL-Falah) Edisi Mac/April 2010