Wednesday, December 2, 2009

Aku, kereta dan pintu......

Kepalaku masih berdenyut........tapi kugagahkan juga untuk menjenguk blog ku hari ini. Bukan kerana terlebih rajin atau terlebih tenaga, cuma aku sekadar mahu menumpang ruang untuk mencurah perasaan.

Semalam, seharian aku menghadap mini notebook. Seboleh-bolehnya, tugasan sekolahku itu mahu kusiapkan hari itu juga. Baru aku tahu, bukan mudah untuk menyediakan jadual waktu guru. Walaupun berbantu komputer, masih ada perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan menggunakan akal dan peri kemanusiaan. Setelah hampir 12 jam di depan notebook, kepalaku mula berdenyut yang amat sangat. Pinggangku juga sudah mula rasa tidak selesa. (Mungkin sekadar mengingatkan bahawa aku telahpun beransur-ansur dimakan usia). Tapi bukan ini perkara yang ingin kukongsikan bersama........Ada cerita lain sebenarnya.

Setelah merehatkan badanku dengan tidur yang agak panjang, aku bangkit dengan sedikit kelegaan. Pagi ini, seperti yang kujanjikan, aku akan ke sekolah bersama-sama Puan Noriyah untuk meneruskan usaha menyiapkan jadual tersebut. Pagi ini juga adikku, Haidi akan berangkat pulang semula ke Parit Buntar setelah bercuti di rumahku bermula Hari Raya Aidiladha lalu. Setelah menyiapkan sedikit bekalan makanan, aku bergegas keluar..... Jam telahpun menunjukkan pukul 9.15 pagi. Dengan tergesa-gesa aku membuka sebelah pintu pagar rumahku dan masuk ke kereta. Sambil mengucapkan selamat tinggal kepada adikku, kuundurkan kereta dan......GEDEGANGGGG!!!!!

Ya Allah!!! dalam kalut-kalut tadi, baru aku tersedar yang aku hanya membuka sebelah saja pintu pagar! Tambah pula kerana leka memerhatikan hanya di sebelah kanan, aku langsung terlupa apa yang ada di sebelah kiri. Inilah akibatnya setelah beberapa hari 'cuti' memandu kereta. Skill buka pagar pun aku lupa!

Bergegas aku turun memeriksa keretaku. Alhamdulillah keretaku bolehlah dikatakan tak seteruk mana rosaknya... tapi agak teruk juga calar-calarnya dimataku. Rasa bersalah yang amat sangat kerana melakukan kecuaian bodoh seperti itu! Memang agak ketara calar di bahagian kiri berhampiran tayar belakang. Cuma aku lega kerana keretaku tak kemik. Seperti biasa, bila kukhabarkan pada suamiku, tak ada apa lagi yang boleh dikatakan olehnya melainkan...."Tak apalah....nak buat macam mana, dah nak jadi." Mungkin untuk menyedapkan hatiku dia berkata, " Tengoklah, hujung minggu nanti kita tanya tempat spray kereta, macamana nak buat."
Apa juga yang dikatakan olehnya, aku masih rasa terbuku. Aku masih rasa terkilan.
Sakit kepala semalam tiba-tiba kembali menyerang. Dengan berat hati, aku teruskan perjalananku untuk ke sekolah. Sepanjang jalan, aku rasakan seolah-olah semua mata seolah memandang 'kecacatan' keretaku itu.... Dan lebih bersalah kerana penyebabnya adalah AKU!!!!

Thursday, November 12, 2009

Bisikan hati... (9th Anniversary)!

12 November....
Hari yang istimewa......
Hari terasminya ikatan cinta. Hari terbinanya istana bahagia.
Hari ini genaplah 9 tahun usia perkahwinan kami. Pejam celik pejam celik.... wah.... setahun lagi boleh genap sedekad! Kalau ditanya..memang pastinya jawapanku, aku bahagia. Mengenali dia selama hampir 15 tahun semuktamadnya adalah bukan suatu kesilapan atau kepincangan. Aku bersyukur kerana ditakdirkan Allah untuk bersamanya.

Bohonglah jika kami tak pernah bertengkar. Asam garam hidup berumah tangga..... pastinya ada ketika pertikaman lidah, percaturan kata terjadi juga sekali sekala. (Tak ada terkecuali hatta Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah sekalipun). Yang aku banggakan, setiap kali berlaku pergolakan, segala permasalahan kami seboleh-bolehnya takkan kami biarkan berlarutan. Biasanya sebarang masalah akan terurai dan terlerai sebelum kami menutup mata pada malamnya dan esoknya kami akan mulakan segalanya seperti sedia kala.

Bohong jugalah jika rumahtangga kami tidak pernah berdepan dugaan. Seawal perkahwinan lagi kami telah diuji bertubi-tubi. Namun Alhamdulillah... berkat kesabaran dan doa ibu bapa, segala dugaan dan cubaan berjaya kami harungi. Kesejahteraan kami hari ini adalah anugerah yang tak pernah lupa kami syukuri.

Terasa baru saja dia menjabat tangan si Kadi. Baru juga rasanya kami berganding bersanding atas pelamin. Rupanya telah 9 tahun dulu perkara itu kami lalui. Tau-tau kini dah bertambah ahli...dari berdua jadi bertiga. Dari bertiga jadi berlima. Alhamdulillah.... hari-hari kami tak lagi sunyi!

Tak perlulah rasanya mencoret panjang kerana walau sepanjang mana yang kucoretkan, tak mampu membayangkan perasaan sepertimana yang ada dalam hatiku. Bisikan hati yang berbicara tanpa keraguan.... yang terucap dari lerekan mata tanpa suara. Hanya kau mampu memahaminya...

Cuma yang mahu aku katakan, hidupku benar-benar bermakna dengan kehadirannya. Tiga permata hati adalah hadiah tak ternilai bukti kasih kami.

Buat abah dan ma, ayah dan mama;
Terima kasih atas restumu selama ini. Terima kasih atas iringan doa yang tak henti-henti. Keberkatan kasihmu menemani kami meniti hari.

Teristimewa buat abang....
Terima kasih kerana menjadi seorang teman, sahabat dan suami yang setia berada bersamaku tatkala suka dan suka, tatkala susah dan senang. Terima kasih kerana sudi menyayangiku, mengasihiku tanpa jemu. Kita akur bahawa kita cuma manusia biasa yang miliki kekurangan dimana-mana. Kerna itu, terima kasih kerana menerimaku seadanya. Sayangi aku selama-lamanya. Happy Anniversary to you!

Sunday, October 25, 2009

Malam Pesta Muda Mudi......


Mata memang dah rasa mengantuk. Jam pun dah menunjukkan angka awal pagi, 1.08 pagi..... Tapi dengan notebook terbuka atas katilku ini, kugagahkan juga untuk bercerita tentang Anual Dinner Ala-ala Retro ku malam tadi.

Hanya untuk menghadiri majlis makan malam, semua guru kalut. Ada yang sibuk menjahit baju, membeli kacamata ber'frame' besar, tak kurang yang mencari rambut palsu ala-ala Allycats, seawal-awal boleh untuk menepati tema tahun ini - Retro. Bagi yang tak tahu menjahit pula, sakan berulang-alik ke pasaraya atau butik-butik serata tempat bagi mencari pakaian yang bersesuaian. Dari apa yang aku dengar, ada yang sanggup ke Melaka untuk mencari baju!! Bajuku?? Hmmmphhh.... apa-apa sajalah asalkan tidak terlalu terkeluar dari tema. Lagipun susuk badanku yang 'comel' ni bukannya senang menepati konsep ini. Silap gaya, re'terik' la pulak jadinya!

Aku awal-awal lagi 'booking' kereta kak Pah (LO) untuk ke tempat berkumpul (sekolah) petang itu. Kami diarah tiba awal memandangkan bas akan bertolak jam 6 ptg ke SALOMA BISTRO. Tapi biasalah....pastinya ada juga yang susah menepati masa. Macamana ni, cikgu??

Tiba saja, kami terus menuju ke Surau untuk sembahyang Maghrib. Masa itulah juga cikgu-cikgu ni sakan merias diri!! Ada yang masuk surau baju lain, keluar baju lain! Magic.....

Jam 8.00 acara dimulakan. 15 orang guru terpilih secara spontan diminta tampil meragakan pakaian mereka dan membuat persembahan 'catwalk' di atas pentas. Semua terhibur kerana mereka semua sangat sporting dan sangan spontan! Cayalah... Acara makan-makan dimulakan dengan diselang-selikan dengan permainan dan cabutan bertuah. Juruacara majlis malam itu adalah tak lain tak bukan, saudara kembar CIK MAT POI iaitu saudara Faizal.....

Selain itu, kami turut dihiburkan dengan beberapa persembahan seperti persembahan tarian ago-go oleh kumpulan guru petang, tarian cha cha oleh guru-guru Cina, tarian retro juga oleh guru pagi dan karaoke oleh Cikgu Roshamimi (dan backup dancernya..hehehe). Permainan yang disediakan juga menarik dan menghiburkan. Antaranya ialah permainan teka isyarat (staf sokongan), permainan cari barang (para guru) dan sketsa spontan pendek (pentadbir secara berpasangan dgn guru pilihan). Cabutan bertuah diadakan dari semasa ke semasa. Pelbagai barangan yang berpeluang dibawa pulang oleh para guru. Aku juga membawa pulang sehelai tuala malam itu. Ada pelbagai lagi barang tajaan yang menanti untuk dimenangi malam itu.
Ingat lagi pertandingan "Saujana Best Keep Fit"?... keputusannya diumumkan juga pada malam ini. Aku mendapat hadiah saguhati (ada 3 saguhati dan 1 hadiah utama). Kak Noriyah berjaya menjadi juara setelah berjaya menurunkan berat sebanyak 4kg. (sama dengan jumlah penurunanku juga, cuma dia lebih konsisten) Apapun, rasa kelakar pun ada memandangkan aku tak menyangka aku akan turut tersenarai sebagai penerima hadiah..kahkahakahakah....

Majlis ini juga turut memberi penganugerahan mengikut beberapa kategori tertentu. Antaranya ialah Anugerah Meja Tercantik (Kak Hazira), Anugerah Buku Rancangan Mengajar Tercantik (kak Hidayah-pagi, Haslina- ptg) dan kemuncak majlis ialah Anugerah Raja Retro dan Permaisuri Retro. Pemenangnya ialah Wan Nasrulhazli dan Nurfadlina. Sesi bergambar berlangsung sepanjang masa.
Penutup ceritanya, majlis kami malam ini berjalan lancar dan ceria dengan semua guru yang bertindak 'sporting'. Terima kasih kepada pihak penganjur yang telah bersusah payah menganjurkan dan membuat persiapan teliti dan awal untuk majlis ini.

Tahun depan apa pula temanya ya? Ada juga yang kudengar mencadangkan tema 'Ala-ala Bollywood' dan ada juga yang mahu 'Ala Padang Pasir'.........

Tuesday, October 20, 2009

Deepavali..... Raya lagi!!

Hmmm... dah hampir ke penghujung Syawal, namun undangan ke majlis-majlis rumah terbuka masih lagi tak putus-putus.
Sekolahku cuti panjang. Sambutan hari Deepavali yang mulanya dirancang dengan cuti 4 hari akhirnya jadi 5 hari. Ini semua gara-gara sekolahku telah terlebih ganti untuk cuti Hari Raya Aidilfitri tempohari. Jadi cuti sekolahku bermula seawal 16 Oktober hinggalah 20 Oktober!! Lima hari beb!

Berkebetulan dengan tarikh hari ulangtahun anak sulungku Ezry pada 16 Oktober, aku dan suami bersepakat mengadakan sedikit jamuan makan-makan pada 17 Oktober. (Sekurang-kurangnya 16 Okt tu aku berpeluang buat sedikit persediaan.) Asalnya, niatku cuma untuk menjemput rakan-rakan sekolah dan jiran tetangga, juga ahli keluarga, namun, akhirnya majlis ringkas itu menjadi tak berapa ringkas juga dengan bertambahnya senarai tetamu seorang demi seorang.

Menu hidangan ialah nasi minyak, rendang daging, kari ayam, pajeri nenas, sate, lontong, laksa dan beberapa jenis kuih muih. Hanya sate yang kutempah. Selebihnya adalah masakan ma, abah dan aku, selain rendang dan nasi yang dimasak oleh jiranku. Beberapa juadah sampingan adalah sumbangan adikku Elin dan jiran belakang rumahku, Mas. Bertuah betul kerana jiran-jiran sangat banyak membantuku. Tak sudah dengan membantu menyediakan juadah, mereka turut menghantar pembantu-pembantu mereka untuk membantuku di dapur pada hari tersebut. Bukan apa... mereka sedia maklum keadaanku yang takkan cukup tangan dan kami memandangkan ma sakit pinggang dan Siti pula pastinya sibuk menguruskan si kembarku itu.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Ramai juga tetamu yang hadir dan makanan juga macam elok-elok saja sukatannya.... Penat sejak beberapa hari sebelum majlis hanya terasa keesokan harinya. Tapi puas hati kerana semuanya berjalan lancar (kecuali ketika tetamu hadir ramai sekaligus hinggakan ada yang sukar mencari tempat duduk..)

Pada penghujung majlis juga, kami semua digamatkan dengan kemalangan yang berlaku berhampiran rumahku. Sebuah kereta Proton Wira tiba-tiba saja menjunam ke parit berdekatan tangga surau!! Pemandunya, seorang pemuda Cina, bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dia sendiri tak mampu menjelaskan bagaimana keretanya boleh tiba-tiba terbabas ke tepi jalan. Kasihan dia..... Namun begitu, insiden tersebut sedikit sebanyak menambahkan 'event' dalam majlisku hari itu.
Majlisku sebenarnya tak tamat di situ. Malamnya aku masih menerima tetamu. Berterusan dengan esoknya, sepupuku singgah dalam perjalanan pulang dari Melaka (kerana tak dapat datang semalam). Petang itu, seorang lagi sepupuku tiba dari Kelantan, berkaitan dengan sedikit urusan di Putrajaya.

Selebih cutiku, hanya kusadaikan diriku di rumah. Kemaskan apa yang patut, siapkan apa yang tak siap dan nikmati ketenangan yang jarang-jarang boleh dirasai.

Apapun, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih buat semua yang sudi hadir, dan beribu-ribu terima kasih buat Kak Yati yang membantu menyediakan rendang dan meminjamkan Mona dan Lia untuk membantuku. Juga buat Ida yang meminjamkan Is seharian dirumahku, tak lupa buat Mas yang bertungkus lumus mengangkut barang-barang dan pinggan mangkuk untuk aku gunakan, disamping menaja kuih muih hari tersebut. Juga buat Elin yang turut menyediakan juadah sampingan. Tentunya tak lupa juga buat Saudara Ahya yang sanggup meminjamkan dan memasang khemah di depan rumahku. Namun, terima kasih yang tak terhingga kuucapkan buat Ma dan Abah, juga Siti yang berhari-hari kepenatan menyediakan banyak benda untuk majlis ini. Tanpa kalian semua, pastinya majlis takkan dapat dijalankan selancar ini.
Terima kasih daun keladi..........

Wednesday, October 7, 2009

Urut

Usiaku tak setua mana, rasanya... tapi mungkin kerana memang keturunanku jenis begitu, maka aku pun jadi begitu. Badanku rasanya tak selesa kalau lama tak berurut. Tambah pula dengan sikapku yang bukannya tau nak pantang-pantang. Pantang jumpa tu selalulah! Taklah aku sampai 'panci't kalau tak berurut....tapi kalau setelah diurut tu 'ringan' sedikit badan. Jadi sebab itulah aku sering berurut. Taklah kerap sangat... dalam setahun sekali tu adalah koooot... Kadangkal, mengikut keperluan badanku yang merangkap seorang guru ni... banyak berdiri, mendaki, malah ber'lari'....

Aku bukan kerap sangat berurut. Lagipun bukan boleh main suka-suka kita saja nak memilih tukang urut. Kadangkala, kena juga tahu 'stail' dan teknik urutan mereka sebelum kita mengangguk setuju. Silap pilih, bukan semakin baik, entah-entah terus 'jem' satu badan. Kerana itu aku hanya berurut dengan makcikku. Ada sekali sekala saja, jika makcikku itu tidak berkesempatan atau keadaan tidak mengizinkan, barulah aku mencari tukang urut nombor dua.

Malah semasa bersalinkan anakku Ezry pun, makcikku itulah yang menggalas beg datang ke KL untuk mengurutku semasa dalam pantang. Cuma kali kedua bersalin, aku menangguhkannya sedikit memandangkan aku bersalin secara pembedahan.

Tak ada yang sedap masa berurut.... Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Kalaupun sebolehnya kita cuba menahan, badan dengan sendirinya seolah makin lari dari tangannya yang bagaikan senjata tajam. Tapi kenapa masih nak juga berurut? Kadangkala, kesakitan tu berbaloi dengan hasilnya nanti. Rasa lebih segar dan ringan... Tapi mesti ingat, bukan sekali urut memadai!! kalau makcikku punya stail... urutannya akan diulang mungkin 2-3 kali (mungkin selang semalaman untuk setiap kali urutan). Dahlah tu!! setiap kali urut, hampir-hampir 3 jam!!

Dan semalam, makcikku datang... katanya rasa tak lepas hajatnya kalau tak datang. Bukan apa, setelah kelahiran kedua, kebetulan kepulanganku ke Kelantan adalah ketika seorang lagi makcikku mengadakan kenduri kahwin. Jadi, kebanyakan kaum keluarga, termasuk makcikku ini dalam keletihan hingga tak sempat dia mengurutku ketika itu. Aku masih sempat berurut, tapi dengan orang lain. Jadi makcikku rasa terkilan dan mengambil peluang untuk datang (bersama-sama dengan abah dan ma dari Kelantan). Dan aku.... pastinya takkan menolak. Bukan senang nak cari tukang urut yang sukarela menawarkan diri seperti makcikku ini... (:P)!!

Dan tadi, baru saja selesai pusingan pertama.... (adussss..). Nanti akan ada pusingan kedua dan ketiga!! Anyway terima kasih 'Mok Zah' kerana sanggup bersusah-susah dan berkorban untuk kami....

P/s- Takyah gambar la kali ni..... Takkan nak amik gambar tgh berurut kot...!!!Tak senonoh!