Monday, August 17, 2009

"Hari ni hari bodoh saya, incik"

Jam dah menunjukkan pukul 3.10 petang. Hari ni sememangnya hari yang agak memenatkan....
Bermula seawal pagi, dengan sesi perhimpunan yang agak panjang sempena sambutan Bulan Patriotik (dimana aku bertindak sebagai jurugambar untuk sidang redaksi sekolah.....), bersambung dengan kelas, dan bersambung, bersambung, bersambung... tau-tau saja jam dah menunjukkan pukul 12.45 tghari. Baru saja hendak bersenang-senang di tempatku, aku kemudian dijemput oleh salah seorang guru untuk membantu mengambil gambar pelancaran Bulan Patriotik sekali lagi bagi sesi petang. Aku tak menolak memandangkan sememangnya ia telah menjadi sebahagian tanggungjawabku, sebenarnya.... Ditambah pula dengan minat semulajadiku (merangkap hobi) dengan bidang fotografi ini. Habis saja perhimpunan sesi petang, aku singgah sebentar ke meja untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum kemudiannya mengambil keputusan untuk pulang.

Dan tatkala itulah jam menunjukkan pukul 3.10 petang....
(yang tadi tu flashback je!!)

Setelah 'punch card', segera saja aku beredar ke kereta. Memang aku mahu segera pulang kerana hari ini, memang agak panas dan aku memang telah dua tiga kali dilencuni dengan peluh kerana banyak 'berkawad' ke sana sini... Dah mula terbayang sejuknya air shower dan leganya rasa jika dapat meluruskan badan di atas katil buat seketika (10 minit pun jadilah..).

Dan sewaktu dibuai bayangan-bayangan itulah aku mula berpeluh semula... Keretaku tak dapat dihidupkan!!!!! Mustahil.... baru dua hari lepas, hari Sabtu, suamiku membawanya ke pusat servis untuk diservis!.....

Berkali-kali aku mencuba namun gagal juga... Dengan dibasahi peluh kerana berjemur di tempat panas, juga peluh akibat cemas, aku menghubungi suamiku. Waktu itu jugalah aku ternampak kelibat Cikgu Azhar! Mungkin Cikgu Azhar lebih tahu hal-hal kereta berbanding aku!! Lalu kucuba dapatkan bantuan Cikgu Azhar.....

Beberapa kali Cikgu Azhar mencuba, bateri juga dah dipastikan pemasangannya. Nampak macam semua ok. Lagipun, kata Cikgu Azhar, mungkin bukan bateri yang menjadi puncanya memandangkan yang lain-lain (alarm, display etc) masih boleh berfungsi. Mungkin ada sebarang 'engine lock' yang aku tertekan, cadangnya. Aku cuba mencongak-congak sendiri.... rasanya tidak ada yang ganjil yang kulakukan pagi tadi. Semuanya macam biasa saja.... Yang pastinya, enjin keretaku masih belum dapat dihidupkan. Melihatkan keadaan Cikgu Azhar yang basah lencun dengan baju melayunya (Jangan lupa.... hari ini pelancaran Bulan Patriotik...), aku membuat keputusan agar suamiku datang membantu. Biarlah Cikgu Azhar pulang dulu dengan baju melayu lencunnya.... Rasa bersalah sangat-sangat kerana terpaksa menyusahkan dia dan 'menjemur' dia ditengah-tengah panas sebegini. Usahanya untuk membantu itupun dah sangat-sangat aku hargai....

Sementara menunggu suamiku datang, aku membuat keputusan untuk singgah ke rumah Cikgu Diana (warden) untuk tumpang solat Zohor. Sepanjang masa disana kepalaku tak putus-putus berfikir tentang keretaku. Apa pula agaknya masalahnya......?? Sebaik sahaja selesai solat, aku mendapat panggilan telefon dari suamiku yang mengatakan dia sudah hampir tiba di perkarangan sekolah. Segera aku bergegas turun ke tempat letak kereta.

Semasa terintai-intai kelibat suamiku itulah tergerak hatiku untuk menjenguk sekali lagi ke dalam kereta. Mataku tiba-tiba terpaku pada suatu benda. YA ALLAH!! Gear keretaku tak ada kelainannya.... cuma posisinya yang betul-betul setara dengan tulisan berbentuk "D"!!!! Patutlah enjinnya tak dapat dihidupkan.... Aku parking dengan gear D!! Bila aku mengangkat muka, kereta suamiku telah di depan mata. Aku terkulat-kulat tersengih-sengih tak tahu nak kata apa! Kesian suamiku yang setia tu terkocoh-kocoh datang datang dari KLCC semata-mata kerana kecuaianku! Rupa-rupanya, suamiku dah mula menghubungi konco-konco "Chery Community Club" sebagai backup jika keretaku benar-benar rosak. Aku segera memohon jutaan kemaafan dari suamiku. Memang aku rasa bersalah yang teramat-amat...... Suamiku hanya tersenyum dan ketawa kecil..... "Aida ni... suka je buat lawak... Tak apa, lain kali at least dah tau, kan!" dan kata-kata suamiku itu membuat aku bertambah malu!!

Sepanjang masa memandu pulang, aku tak habis-habis menyesali diri sendiri kerana menyusahkan ramai orang. Terngiang-ngiang dialog Labi sewaktu dimarahi Tuan Haji Bakhil :
" Hari ni hari bodoh saya, iinnnciiiiiiiiiiiiiiiikkkk....."......................."


Saturday, August 15, 2009

Hadiah dari si Dia...

Birthdayku memang dah lama berlalu...
Malah dah hampir sebulan yang lalu....
Cuma aku tak berkesempatan bercerita tentang hadiah istimewa yang kuterima kali ini, sebuah mini notebook (DELL Inspiron mini) berwarna ungu, hadiah dari yang tersayang......

Bukan bermakna ini pertama kali aku menerima hadiah dari suamiku, cuma kali ini aku agak teruja memandangkan hadiah yang kuterima ini adalah sesuatu yang sering kuguna pakai memandangkan selain memerlukannya untuk menyelesaikan tugasan-tugasan rasmi (tatkala berebut PC/ satu lagi notebook sama ada dengan anakku Ezry atau suamiku sendiri), notebook ini pastinya banyak membantu aku mengemaskini Facebookku dan laman blog ini!!!


Selain itu, aku bebas juga untuk ber'senang-senang' melayan notebook ini walau dimana berada hatta di atas katil sekalipun.......(hehhee)

Thank you, sayang!!

Wednesday, August 12, 2009

Floria Putrajaya 2009

Hari Ahad lalu, 9 Ogos, aku berkesempatan untuk ke pesta bunga Floria Putrajaya 2009. Bukan kali pertama aku ke sana kerana pesta seumpamanya pernah diadakan pada bulan Ogos 2007. Bertempat di Presinct 2, Putrajaya, bilangan pengunjung kali ini dikatakan mencecah 50,000 orang sepanjang tempoh antara 1 Ogos hingga 9 Ogos (9 hari). Wah!! Hebat betul!

Kunjunganku pada hari terakhir kerana menunggu mama datang dari Ipoh. Mama memang berhasrat untuk turut sama ke sana.... Walaupun pada hari terakhir, pengunjung masih lagi ramai. Rancangan kami untuk ke sana awal pagi terpaksa ditukar memandangkan ada beberapa perkara yang terpaksa diuruskan pada pagi itu. Kami hanya keluar jam 10.45 pagi dan tiba di sana sama ketikanya dengan waktu matahari galak di atas kepala. Floria punya pasal, kami redah juga... (heheheh)

Kalau nak dibandingkan dengan Floria 2007, taman-taman kali ini disediakan dalam saiz yang lebih kecil . Namun 'persembahan' mereka agak lebih bervariasi dan menarik. Anak-anak kembarku pula kubawa menggunakan stroller. (Satu perkara yang menjadi kekurangan bagiku memandangkan kebanyakan taman-taman mempunyai landskap yang cantik dan kreatif, dengan lorong-lorong kecil hanya beralaskan batu-batuan dan kayu-kayuan..(Sedih... tak boleh nak explore dengan penuh perasaan!! Tak semua penjuru mampu aku terokai dengan stroller-stroller itu.) Tambahan pula dengan kepanasan yang entah berapa darjah Celcius itu, seakan mencairkan segala benda (kecuali lemak dalam badanku!), melencunkan pakaian dan sekaligus melajukan langkah-langkah kami.
Banyak juga barangan jualan di sana. Namun, berdasarkan kata mama, harga yang ditawarkan agak mahal berbanding tempat-tempat biasa. Mama yang mulanya berminat mengintai-ngintai orkid akhirnya hanya mambawa pulang baja orkid.... manakala menantunya ini hanya pulang dengan tangan kosong!!! (Memang aku tak bercadang membeli apa-apa jenis tanaman kerana di rumahku memang tak ada sepohon pun tanaman hiasan!! Aku failed bab tu! Aku suka tengok bunga, tapi bukan tanam bunga.)
Setelah penat mengelilingi landskap, kami masuk ke bahagian berbumbung (aircond) dimana bunga-bunga digubah dengan pelbagai cara didalamnya.... Aduh...nikmat betul bertukar 'cuaca'... dari panas membara kepada dingin sedinginnya. Kalau ikutkan hati, nak saja aku berlama-lama di situ. Namun, membayangkan ayah dan Eza di rumah yang mungkin menunggu untuk makan tengahari.... kami cepat-cepat beredar. Tambahan pula pada masa yang sama aku terfikir..... pada 'musim-musim' begini, di khalayak ramai, berada pula dalam binaan tertutup, beraircond sebegini.... lagi bagus kami tak berlama-lama. Mana tahu.....kot bukan bunga yang dibawa balik tapi selsema 'toooooot'..... Yelah, agi baik berjaga-jaga... H1N1 kan ada di mana-mana..... Naudzubillah....

Sunday, July 19, 2009

IVF Babies - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


Dulu berdua... kini berlima!!

Fitrah kejadian manusia, meninggalkan generasi baru yang membawa gabungan genetik dengan kombinasi berbeza-berbeza untuk menjadi pewaris kehidupan akan datang.

Naluri manusia.... ingin menimang cahayamata, mendukung manusia kecil yang menjadi penyambung darah daging. Namun mungkin ramai pasangan yang tidak menyedari betapa bertuahnya mereka kerana dikurniakan cahayamata. Bilangannya tidak menjadi persoalan. Asalkan ada sudah menjadi satu kurniaan tak ternilai.

Sejak kebelakangan ini, bilangan pasangan yang mengalami masalah untuk mendapatkan zuriat semakin bertambah. Tak perlu pihak lelaki atau pihak perempuan yang dipersalahkan kerana sebaik sahaja termetrai sebuah ikatan perkahwinan, bukankan segala apa yang menanti di hadapan menjadi masalah yang ditakdirkan untuk ditanggung bersama. Tidak agung cinta yang tersemi jika sebaik saja dugaan mendatang, pasangan cabut lari??! (Atau jadi alasan untuk 'tambah' lagi?!)

Aku kurang arif tentang punca sebenar masalah kesuburan ini. Namun setakat ilmu yang aku perolehi, sekiranya bukan atas faktor semulajadi; faktor kemalangan, penyakit dan gaya hidup juga boleh menjadi faktor-faktornya.

Apa yang utama disini adalah sesanggupan dan kesungguhan setiap pasangan tersebut untuk terus berusaha. Zaman kini, kita patutnya bersyukur yang amat-amat kerana kita masih diberi peluang untuk mencuba dengan pelbagai kaedah-kaedah moden yang bersesuaian dengan masalah yang dihadapi. Mulakanlah dengan pemeriksaan oleh pakar-pakar agar puncanya dapat dikenalpasti. Setelah itu, kita akan dicadangkan dengan kaedah yang bersesuaian. Walaupun prosedur yang terpaksa dilalui sememangnya menagih kesabaran dan kecekalan kerana ia tak semudah yang disangka, anggaplah ia sebagai suatu ujian yang menduga kesungguhan kita. Selain itu, halangan utama bagi kebanyakan pasangan ialah KOS rawatan. Memang benar... jangan terkejut jika kukatakan kosnya hampir sama dengan harga sebuah kereta kancil!! (Kerana kami dapatkan rawatan di hospital swasta. Kosnya mungkin SEDIKIT berkurang jika dirawat di LPPKN atau hospital-hospital kerajaan). Hanya keluarga terdekat sahaja yang mengerti betapa kami terpaksa bersusah payah 'menabung' beberapa tahun setiap kali ingin mencuba. Aku dan suami memangnya pasangan bertuah. Dua kali mencuba (IVF), kedua-duanya berjaya. Anak sulungku Ezry lahir pada 16 Oktober 2004 dan cubaan kedua menyerikan hidupku dengan kelahiran dua puteri kembar pada 30 Ogos 2008, Erina dan Erisya....

Ceritaku cerita dari pengalaman.....

Walau bukan semua pasangan yang mencuba berjaya, sekurang-kurangnya mereka tidak berpeluk tubuh dan berserah pada takdir semata-mata. Tuhan mahu kita sendiri berusaha mengubah nasib diri kita.....

Dan 11 Julai 2009 yang lalu, aku sekeluarga mendapat undangan dari Tropicana Medical Centre (yang tertulis dalam suratan takdir sebagai pihak 'pencetus' anak-anakku). Undangan tersebut berhasrat mengumpulkan seramai mungkin anak-anak IVF yang berjaya dibawa balik dari TMC, sekaligus meraikan bayi IVF TMC yang ke 2000. Aku tahu, yang menganugerahiku dengan 3 orang manusia kecil itu tidak lain dari ALLAH yang Maha Pencipta, namun aku tetap terhutang budi pada TMC yang menjadi 'sebab' untuk kejadian ini.

Dengan nama terdahulu, Damansara Fertility Centre (Damansara Women's Specialist), beroperasi di tempat sederhana, berasak-asak dengan kesibukan 'Up-Town'; kini TMC mampu berdiri megah di Kota Damansara... gah dengan bangunan milik sendiri dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur. Dari hanya bidang fertiliti, kini telah berkembang dengan cabang-cabang kepakaran yang menjurus ke arah pembentukan sebuah pusat kesihatan yang lengkap. Memang kunjungan kami tempohari membuatkan kami kagum dengan apa yang TMC capai kini.....


Sambutan '2000 TMC IVF Babies' dijayakan oleh hampir 700 hadirin tidak termasuk staf dan kakitangan TMC. Diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Kesihatan sendiri, Datuk Seri Liow Tiong Lai.Tahniah ku ucapkan buat semua kakitangan TMC terutamanya Dr. Collin Lee, Dr. Surinder, Dr. Wong Pak Seng dan semua yang terlibat membawa TMC hingga ke peringkat ini. Dengan lahirnya 2000 bayi IVF TMC, secara rasminya TMC menyumbang 1/3 daripada keseluruhan bayi IVF di Malaysia.

Kepada pasangan yang diberi dugaan seumpamanya, jalan masih terbentang luas. Asalkan ada kesungguhan, kuatkan tekad.... insyaallah, rezekimu akan tiba jua.

Saturday, July 4, 2009

Mat Rempit @ Samseng Jalanan

Mat Rempit or Samseng Jalanan?? Huh! Sama saja..... aksi mereka masih boleh dilihat dimana-mana. Bukan panggilan itu yang mereka kisahkan. Hanya pandangan sekeliling yang mereka harapkan. Hal hendak tertonggeng di tepi jalan atau tersembam ke dalam longkang... itu belakang kira. Konon yang mereka cari kepuasan dan cabaran. Sedangkan kalau terlantar di hospital atau tercongok di atas kerusi roda, orang tua mereka (yang mungkin langsung tak reti nak tolak motor) yang akan tercongok pula di tepi mereka. Waktu tu mungkin perspektif mereka akan berbeza. Hanya waktu itu perspektif mereka akan berbeza.

Aku masih cikgu. Jauh sekali nak tukar profesionku menjadi polis trafik atau JPJ atau penceramah kempen keselamatan jalan raya sekalipun... Tidak...tidak... Aku masih cikgu. Dan mungkin 'mata cikgu'ku ini yang membuatkanku tak betah sekadar memandang. 'Tangan dan mulut cikgu' ni juga tak betah duduk diam.

Biasanya aku hanya menonton kes ini di kaca televisyen. Atau kalau terserempak pun dalam kumpulan kecil 'manusia bodoh' ini. Tapi perjalanan pulangku dari Kuantan tempohari memberi peluang untukku melihat dengan mata kepala sendiri. Semuanya bermula sebaik kami melepasi tol Lebuhraya Timur Barat. Dari jauh kelihatan sekumpulan BESAR penunggang motosikal yang baru hendak mula bergerak. Ramai.... memang ramai sungguh!! Ala-ala konvoi Di-Raja la pulak gayanya. Beberapa kereta yang dihadapanku hinggakan terpaksa mengelak ke laluan paling kanan.....

Mulanya memang aku menyangka ianya suatu aktiviti konvoi besar-besaran. Manakan tidak.... daripada hampir 200 buah motor itu, berpuluh-puluh pula yang memakai jaket 'SECURITY' kuning fluorescent. Tetapi sebaik melintasi kumpulan mereka, mula terasa sesuatu yang tidak kena. Tingkah laku mereka sangat merbahaya. Mereka seolah langsung mengabaikan pengguna-pengguna lebuhraya yang lain. Semakin lama semakin laju mereka memecut. Aksi aksi kurang sopan mula dipamerkan. Gaya 'superman' dan macam-macam gaya lagi cuba mereka tunjukkan. (Yang gemuk dan boroi pun bercita-cita nak jadi 'superman boroi'. Mungkin ada yang mengatur strategi untuk meng'gilis'kan lemak mereka atas jalan tar kot... untung-untung penampilan kedua mereka nanti akan lebih kurus!!) Motor tu pastinya menyumpah mereka berbakul-bakul. Yang buat aksi 'motor tunda' pun ada. Mereka menyelit di celah-celah kereta lain seolah memang itu kawasan permainan mereka.

Bukan baik sangat hati aku untuk ambil kisah keselamatan mereka. Sesekali ada juga syaitan yang berbisik di telingaku agar mendoakan saja mereka jatuh tergolek di tepi lebuhraya tu. Aku tak kisah, malah jauh lagi dari mahu berhenti membantu kalau itu berlaku. Yang lebih aku kisahkan adalah keselamatan pengguna-pengguna lain (termasuk aku lah tu!). Kalau setakat nak tergolek seorang tak apalah. Tapi kalau tergolek ke bawah kereta orang macamana?? Atau kalau tak pun, semata-mata nak mengelak mereka, mungkin kereta lain pula yang mendapat bencana. Aku tak bayangkan kumpulan ratusan tu akan membantu....

Meluat dan menyampah... Mungkin itu perkataan yang paling tepat aku gambarkan perasaanku. Setiap kali keretaku melintasi penunggang-penunggang ini (yang tak tahu nak ku panggil Mat Rempit atau Samseng Jalanan etc...), aku pandang wajah-wajah mereka.... Cuba untuk menjiwai perasaan mereka, tapi malangnya aku tak berjaya. Yang mampu aku lihat waktu itu adalah keBODOHan mereka semata-mata. Kesian mak ayah mereka kerana beras berguni-guni yang mereka angkut balik ke rumah hanya mampu membentuk manusia 'istimewa' seperti mereka!! Sayang sungguh!! Kesian juga pada teman-teman seperjuanganku yang pernah menjadi guru mereka... Perjuangan mereka hanya sia-sia.....
Meluat dan menyampah yang ada dalam hatiku berterusan hingga beberapa kilometer. (Mungkin hampir 30/40 km).. Tiba di suatu kawasan, kulihat 'marshall' mereka sedang kalut memberikan isyarat. Ada juga yang berdiri di atas jalan raya bagi memastikan semua dapat melihat isyarat mereka. Kelam kabut juga jadinya dengan penunggang-penunggang yang berpatah balik (bertentangan arus) untuk ke kawasan berkumpul mereka. Aksi mereka terhenti di sana....

Aku dapat merasa ada sesuatu yang tidak kena. Dan seperti yang kuduga, selang beberapa kilometer seterusnya, terdapat sebuah kereta peronda polis yang diletakkan di bahu jalan. Pastinya kehadiran polis ini telah awal-awal lagi dapat dikesan... Ah!! Sayang sungguh!!! Bagiku, ini adalah satu lagi kegagalan.... Terlepasnya mereka menunjukkan sebodoh-bodoh mereka, mereka masih lagi ada secebis akal yang mereka gunakan hanya untuk memboloskan diri daripada pihak berkuasa....

Nanti sajalah..... Mereka takkan jemu untuk terus beraksi.....