Friday, July 3, 2009

Nilai Langsir

Weiii, tak lama lagi bulan puasa dah nak tiba. Dah mula terdengar suara-suara di bilik guru tentang rancangan untuk menempah baju raya dengan si polan si polan. Dah dengar juga bisik-bisik tentang rancangan sambutan tahun ini (sama ada di sana atau di sini...) bla bla bla...

Lalu 'terkebetulan' dengan perjumpaan Chery Community Club di Nilai 3 beberapa minggu lalu, yang macam ada satu masej khas yang ter'landing' dalam kepalaku... "Hmmm, dah beberapa tahun langsirku tak berganti. Nilai 3.... hmmm ... ni dah kira bagus ni...." Dan rupa-rupanya, masej itu bukan hanya 'landing' dalam kepalaku, malah juga dalam kepala 'roomate-ku'. Jadi makin mudah impian jadi nyata.....hah hah hah hah...

Sewaktu perjumpaan tersebut, aku mula merayau-rayau dalam kedai-kedai langsir di sana. Kebetulannya, ma dan abah ada sama..... jadi 'rombongan'ku jadi tambah meriah. Memandangkan kami sebenarnya belum pernah ke Nilai 3 sebelum ini, kunjungan kali pertama kami menjadi agak melucukan. Manakan tidak. Aku, abah dan ma menghidapi simptom yang sama..... Simptom MABUK... Masuk sini, pusing-pusing, belek-belek, keluar, masuk kedai lain pula, pusing-pusing, belek-belek, keluar.... Secara jujurnya, barangan di sana tidaklah semurah mana, malah ada juga yang lebih mahal berbanding tempat-tempat lain. Cuma kelebihannya ialah pilihannya yang amat amat amat amat banyak. Deretan kedai-kedai yang sayup mata memandang memberikan seluas-luas pilihan. Jadi, begitulah hingga ke akhir. Penyakit mabuk membuatkan kami tak dapat membuat pilihan. Penyudahnya... mission hari itu untuk mendapatkan langsir entah ke mana. Hasilnya beberapa beg plastik yang berisi barangan lain yang kusumbatkan ke belakang kereta!!! (Camno tuh?!). Tahu-tahu saja, dah hampir ke senja. Kami semua pulang tanpa sebarang hasil berbentuk langsir.

Bagi memenuhi mission kami yang tak kesampaian, kami merancang kunjungan kali kedua pada minggu berikutnya. Kali ini, apa nak jadi pun jadilah... Langsir mesti kami beli!!

Seperti yang dijanji, Nilai 3 sekali lagi kami kunjungi. Kali ini..... kami tak merancang untuk lama berada di sana. Asal dapat langsir, tutup cerita. Macam yang aku kata, kedai banyak, pilihan banyak. Setelah dua tiga kedai kami masuk, kutekadkan hati membuat pilihan. Pilihanku bukannya sehebat mana. Kain biasa-biasa saja, harga biasa-biasa saja, pattern pun biasa-biasa saja. Asal boleh kugantungkan di rumah sebagai penghadang pandangan dari luar, cukuplah. Lagipun, budgetku dan suami bukannya sebesar mana..... Yang luar biasa ialah kesungguhan dan tekad kami untuk menukar langsir tahun ini ; sebelum langsir kami gugur sendiri akibat reput bertahun-tahun tak berganti..................

Tuesday, June 16, 2009

Dunia baru....

Hmmmm...

Baru je rasanya aku berjuang dalam bilik bersalin di Hospital Selayang. Baru juga rasanya pertama kali aku memeluk anak sulungku yang masih lagi berkedut kulitnya sebaik saja nurse menghulurkannya padaku sejurus dilahirkan..... Segalanya (itu dan ini....) segalanya...memang seakan baru saja berlalu.

Tahu-tahu saja, Ezry sudah mula ke sekolah!!! 15 Jun 2009 menjadi tarikh bersejarah buatnya yang pertama kali melangkah ke dunia bergelar 'sekolah'. Bukan perkara luarbiasa kerana pada masa yang sama, rakan-rakan sebayanya telahpun hampir setengah tahun bersekolah. Memang sengaja aku dan suami berlengah-lengah mendaftarkan Ezry. Kami bimbang dia akan bosan jika terlalu awal ke sekolah. Lagipun, dengan bertambahnya dua orang ahli baru (dan seorang pembantu), hidup kami agak sedikit kelam kabut kerana 'jadual' yang tidak menentu. Biarlah anak-anakku dibiasakan dulu dengan pembantuku, juga biarlah keadaan agak 'tenang' sedikit, barulah kufikirkan tentang rencana menyekolahkan Ezry. Hal ini disokong pula dengan sikap Ezry kebelakangan ini yang agak kurang keyakinan diri ( terutama apabila berada dalam kelompok baru atau orang ramai). Lalu, aku mula merisik Kak Yati (jiran sebelah rumahku) yang merupakan pemilik sebuah tadika berhampiran. Kak Yati tak keberatan menerima Ezry walau telah dipertengahan tahun, Alhamdulillah....

Ezry sebenarnya telah mempunyai sedikit asas dalam pembelajarannya. Mungkin ada sedikit kelebihan baginya kerana Neneknya sering meluangkan masa mengajar Ezry, termasuklah membaca dan mengeja. (Alhamdulillah.... Ezry sudah boleh membaca perkataan yang mudah2). Perkara yang lebih aku risaukan ialah pergaulannya......

Biasalah, hari pertama persekolahan Ezry agak tragis... (Heheheh). Seperti yang aku duga, masalah Ezry ialah untuk bangun pagi. Puas Nenek dan Atuk memujuk membangunkannya. Aku akui kesilapanku kerana selama ini membiasakan Ezry tidur amat lewat (sekitar 11-12 mlm). Selesai saja babak pertama, babak kedua pula bermula. Ezry tak mahu ditinggalkan Nenek. Sepanjang sesi hari itu Nenek terpaksa bersekolah Tadika semula!! Malang dan satu kerugian besar kerana aku tak dapat menghantarnya ke sekolah buat pertama kali. Maafkan mama, Ezry.... mama terpaksa menjalankan tanggungjawab mama mendidik anak orang lain dan anak mama, mama terpaksa tumpangkan dibawah jagaan orang lain.......

Hari kedua... segalanya beransur-ansur baik. Tak banyak karenah, Ezry mula sukakan sekolahnya. Lagipun, hari pertama dia sebenarnya mula membiasakan diri untuk bercakap di depan kelas. Cikgu pun banyak memberikan Ezry peluang, membuatkan Ezry rasa diterima dalam kelompok barunya itu. (Kembang kempis dia bercerita kepadaku cikgu memujinya 'Very Good'! Tenggelam kisah dia memaksa Nenek menunggunya separuh hari...hehehe)

Walau apa juga kisahnya... Hatiku berbunga-bunga. Bangga dan tak percaya anakku yang kususui dulu kini mula bersekolah. Pada masa yang sama, hatiku seakan terusik.... Sedih dan sayu mengenangkan betapa Ezry tak tahu dan tak mampu membayangkan bahawa hari itu adalah hari pertama dia bersekolah dan hari itu juga merupakan hari pertama baginya menempuhi satu perjalanan dan pengembaraan yang amat panjang!!! Kuiringkan doa agar Ezry mampu menempuhi segala dugaan pada hari-hari yang menanti dan seterusnya menjadi insan yang berjaya dalam setiap lapangan yang diceburi... Insyaallah.....
Selamat ke sekolah, Ezry!

Update:
(2 Julai 2009).... setelah beberapa hari bersekolah, Ezry tidak lagi bermasalah untuk bangun pagi. Kadangkala, dia pula yang berkobar-kobar untuk ke sekolah. Setiap hari, ada-ada saja ceritanya tentang apa yang terjadi di sekolah.
"Mama... tadi, Ezry terjatuh dari kerusi.... kelakar betul..."
"Mama tau tak, tadi teacher Ezry kata bla bla bla..."
"Hmmm... Negaraku, tanah tumpahnya darahku... pastu apa mama? Ezry lupa..hehee"
"Mama, mula-mula kita angkat tangan, pastu kata Maka kami, rakyat Malaysia, ada undang-undang...(heheheh)"
Yang paling membanggakanku, Kak Yati ada bercerita, cikgu Ezry sengaja minta Ezry menjawab kertas peperiksaan Iqra' minggu lepas (Ezry dikecualikan sebab baru masuk). Soalannya mudah-mudah saja... tapi Kak Yati dan cikgunya agak kagum juga sebab Ezry berjaya mendapat markah yang agak tinggi sedangkan hanya berpeluang belajar beberapa hari.... cuma tulisan (jawinya) agak teruk. Walau apapun, kenyataan itu membuatkan hatiku semakin berbunga-bunga......

Sunday, June 7, 2009

ABAM or LEMBAM

Hmmm.... Lama sangat dah tak tengok cerita Melayu di TV.
Entah kenapa malam tadi, tanganku terasa amat malas hendak mencapai remote yang terletak agak jauh dariku. Jadi sambil menanda kertas peperiksaan, aku turutkan saja naluri pelikku untuk menonton cerekarama TV3 minggu ini. Manalah tahu, tayangan malam ini ada unsur menariknya dimana-mana. Lagipun, dari judul dan sinopsisnya, cerita ini tak ada unsur-unsur mistik dan seram yang memang di'haram'kan di rumahku kerana anakku Ezry tu penakut nombor satu!!! Judulnya....."ABAM"

Bermula dari minit-minit pertama tontonanku, suara hatiku telah berkali-kali menjerit protes. Banyak benar perkara yang akal cetekku ini tak dapat terima. Cerita yang ditayangkan membawa masej mudah. Kisah pergolakan hidup antara dua orang saudara lelaki (adik beradik tiri) yang mampunyai karekter yang 100% kontras. Si adik, Angah, menjadi pujaan dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh si ayah, manakala si abang, Abam, sentiasa menjadi mangsa pilih kasih si Ayah akibat dendam tak berpenghujung si Ayah kepada arwah bapa Abam (musuh ketatnya dikala muda). Jadi sepanjang 50% awal cerita, hanya menunjukkan kisah 'cerita Melayu tipikal' ala-ala kisah Cindarella... yang mana kalau jahat tu teramat la jahatnya, dan kalau baik pula.... baik la teramatnya (hingga termasuk ke skop bodoh la pulak gayanya). Pengorbanan Abam yang tak bertempat, kononnya sebagai bukti kasih pada Angah langsung tak dapat diterima akal. Dahlah pemilihan pelakon yang dah tak nampak se'remaja' mana untuk watak budak tingkatan 5. Dan sebagai seorang guru, ada bahagian-bahagian yang memang menampakkan kebodohan yang nyata dan membuat aku tersenyum dalam loya... Contohnya, apabila keputusan peperiksaan di'pinjam'kan kepada Angah semata-mata untuk menyelamatkan Angah dari dimarahi ayah. Seterusnya, Abam yang teruk dibelasah kerana ayahnya percaya keputusan teruk yang ditunjukkan adalah milik Abam... Wah,wah, wah... mudah benar nak ubah-ubah keputusan peperiksaan sekarang ini ye.... guna liquid paper ke guna correction tape nih?? Si ayah tahu membaca ke tak? Lagi satu, penduduk kampung tak pernah nampak ke si Angah ni dengan aktiviti liarnya hingga meleret sebegitu lama tanpa diketahui ayah, sedangkan kali pertama Abam balik lambat, terus sampai ke pengetahuan ayahnya. Kejahatan Angah pula adalah kejahatan yang nampat dibuat-buat... entahlah... nak komen pun tak tahu nak mula dari mana sebenarnya. Yang pasti, mulutku tak habis-habis membebel dengan protes yang tak habis-habis, tapi tekad untuk menonton babak-babak kebodohannya hingga ke akhir cerita.

Yang pasti, cerita-cerita sebegini mengingatkan aku beberapa karangan ala-ala cerpen pendek yang pernah aku karang semasa aku berada dalam darjah 6 dulu. 85% jalan ceritanya hampir sama, kecuali penyudah 'cerpen'ku dulu kurasa mampu kugarap dengan lebih kemas dan menarik. Namun, cerekarama ABAM ini memang bukan penerbitan yang sia-sia. Cuma slot tayangannya saja yang kurasakan tidak kena. Sepatutnya ia tidak dimuatkan dalam slot cerekarama tapi dijadikan salah satu cerita bimbingan tauladan dalam TV Pendidikan bagi matapelajaran Pendidikan Moral tingkatan 1 atau 2.

Maaflah TV3, kerana aku memberikan pandangan sinis yang mungkin agak mengecewakan. Namun, aku sebagai penonton yang jarang-jarang berpeluang menonton TV ni, laaaaaaaaaagi kecewa dengan apa yang kutonton malam tadi. Diharap TV3 tidak hanya tangkap muat sahaja dalam menyediakan rancangan yang bermutu dan memuaskan hati semua pihak.

Alahai ABAM.......

Saturday, June 6, 2009

Tak Terkejar Waktu....

Dah pun 6 Jun 2009...
Aduh... pejam, celik, pejam, celik...dahpun bulan Jun. Maknanya telah setengah tahun aku lalui hidupku dalam calendar 2009. Pantasnya masa berlalu. Kalau mengambil tempat para pelajarku yang akan menduduki SPM tahun ini, pastinya masa mereka terasa lebih pantas (ye ke??)

Mengisi hari-hari cuti pertengahan tahun ini (yang hampir separuh kutempuhi).... lebih pantas rasanya masa berlalu. Aku tak merancang apa-apa aktiviti dalam cuti ini memandangkan banyak benar kertas peperiksaan yang perlu aku tanda. Cuma bermula Sabtu hingga Selasa, aku dan suami sekeluarga pulang ke Ipoh memandangkan telah lama kami tidak pulang ke sana. Kesian ayah dan mama yang telah agak lama tidak menemui cucu-cucu mereka. Cuma itu sajalah 'percutian'ku. Dalam tempoh singkat itu, kami sekeluarga dan adikku (Eza & Khan) sempat juga berkelah ke Ulu Chepor. Sempat jugalah Ezry bermain-main air di sana. (Tima kasih Maksu/Paksu)

Sepulangnya ke KL, aku tidak merancang ke mana-mana selain menghadiri beberapa undangan perkahwinan. Namun nampak gayanya akan ada 'aktiviti' baru buatku dan suami memandangkan ada tanda-tanda positif suamiku dijangkiti Denggi/ Chikungunya (tapi pada aras yang tidak membahayakan). Telah beberapa kali aku menemani suami ke Hospital Serdang bagi menjalani pemeriksaan darah. (Menguji paras platlet darah). Kerana itu, rasa-rasanya semua undangan ke majlis perkahwinan tak dapat kami penuhi. Kami doakan mereka yang menjejak alam rumahtangga musim ini (Siti Suraya, Aliff, Wahida) akan kekal bahagia bukan saja ke anak cucu malah hingga ke akhir hayat.

Setiap hari, pastinya hidangan pastiku ialah kertas-kertas peperiksaan pertengahan tahun, ditambah pula dengan kerja-kerja projek Matematik Tambahan. Walau mual, muak..kena juga menghadapnya. Yang hairannya... timbunan kertas-kertas ini terasa amat susah benar susut walau terasa telah sekian lama menanda...(:P)

Nasib baik juga adikku Hasni sudi menghabiskan cuti ini di rumahku. Sekurang-kurangnya terasa juga 'aura cuti sekolah' musim ini. Paling-paling tidak, ada juga kengkadang aktiviti gila-gila yang dapat kami lakukan bersama... Sebenarnya, sebelum cuti banyak benar perkara yang tersenarai dalam fikiranku untuk aku laksanakan dalam cuti sekolah ini. Tapi... rasanya tak sebanyak mana yang dapat aku realisasikan.(sebabnya, sekali lagi: 'Waktu terlalu pantas berlalu')

Perjalanan hari memang amat pantas. Tidak hairan jika hanya seketika saja rasanya tidak bersua muka, sanak saudaraku yang pernah duduk diribaan dulu kini telah berada di menara gading, atau ada juga yang telah hampir mendirikan rumahtangga. Cukuplah untuk memberikan peringatan bahawa aku tidak lagi muda (tapi belum juga tua, ya!!).

Terlintas juga, andaikata hayatku tak panjang... mungkin bakinya hanya tinggal beberapa lama sahaja. Setelah ditolak hari demi hari... agak-agaknya berapa hari lagi yang tersisa. Ya Allah! Hanya Engkaulah yang Maha Mengetahui dan doaku cuma agar Kau jadikan hidupku hidup yang penuh makna buatku dan manusia-manusia disekelilingku... Amiiiiinnnn..

Aduh...
Rasanya perlulah ku noktahkan saja di sini. (kerana aku belum sembahyang asar lagi.. hehehe...)

Friday, May 29, 2009

Selamat Hari Guru!!!

Selamat Hari Guru!! "Guru Pembina Negara Bangsa".

Masih belum terlambat rasaya untuk kusampaikan ucapan ini kepada semua warga yang bergelar pendidik.

Indahnya hidup sebagai seorang guru. Almaklumlah... bukan semua pekerjaan ada dikhaskan sambutan harinya. Mana ada Hari 'Pemandu Teksi' ke, Hari 'Doktor' ke, Hari 'Jurutera' ke... malah Hari 'Eksekutif IT' pun tak ada. (Maaf ya,bang!). Hanya beberapa pekerjaan tertentu sahaja diberikan peluang untuk diraikan, dan salah satu darinya ialah GURU.

Sebenarnya, 29 Mei barulah aku dan rakan-rakan guruku berkesempatan meraikan hari guru. Bukannya apa... macam biasalah, kalendar guru sangat padat akhir-akhir ini. Agak malang kerana 16 Mei jatuh pada hari Sabtu. Jadi, sambutan hari guru terpaksalah ditunda-tunda. Mulanya sambutan yang dirancang ialah pada Isnin, 18 Mei tetapi sekali lagi ia terpaksa ditunda berikutan faktor ketidaksesuaiannya memandangkan para pelajar waktu itu dijadualkan menduduki peperiksaan. Bukan setakat pelajar, para guru pun tak ada 'perasaan' nak menyambutnya ditengah-tengah kekalutan itu. Akhirnya, pihak sekolah bersepakat menetapkan 29 Mei sebagai hari sambutan peringkat sekolah. Memanglah pada waktu itu kerja-kerja sekolah masih bertimbun-timbun, tetapi sekurang-kurangnya hari tersebut adalah hari penutup penggal. Sekurang-kurangnya ada alasan untuk bersukaria.......

Seperti yang telah kuagak sejak awal, kedatangan pelajar pada hari tersebut tidaklah seramai mana. (Malah pada masa yang sama ada sebilangannya mungkin telahpun dalam perjalanan ke KLIA untuk bercuti ke luar negara!!) Semua pun sedia maklum tentang status guru di mata pelajar kini. Jadi kami tak berharap untuk benar-benar diraikan. Walaupun begitu, pelajar yang hadir memang kami hargai. Merekalah yang sebenarnya ikhlas untuk sama-sama meraikannya bersama-sama kami.

Aturcara pagi itu agak ringkas tetapi meriah. Bermula dengan perhimpunan rasmi, bacaan ucapan Hari Guru, sesi fotografi majalah, seterusnya acara-acara seperti sukaneka, karaoke, perlawanan sepak takraw dan juga pertandingan gubahan bunga/buah. Aku tersenarai sebagai salah seorang peserta sukaneka. Permainan yang disediakan ialah permainan menggelecek bola hoki, pertandingan memecahkan belon, pertandingan baju kertas, dan akhir sekali pertandingan menyambung objek. Okey jugalah kerana kumpulanku terdiri dari 100% ahli yang sporting dan ceria serta sanggup melakukan apa saja!! Berbaloi kerana kumpulan kami mendapat tempat kedua secara keseluruhan. Jangan marah yeeer....

Lebihkurang jam 10.45 pagi, diadakan acara penyampaian hadiah, diikuti dengan persembahan-persembahan daripada para guru dan juga pelajar. Antara persembahan yang mencuri perhatianku ialah penyampaian puisi oleh salah seorang guru, Pn Hazira mengenai suatu realiti perbandingan antara guru di bandar dan luar bandar. Sayangnya petikan puisi tersebut tidak dapat kuselitkan disini atas beberapa sebab tertentu.

Aturcara Sambutan Hari Guru diakhiri dengan jamuan tengahari. Terdapat sesi bertukar-tukar hadiah antara para guru dan tidak ketinggalan acara cabutan bertuah.

Sejurus selepas makan, kakiku tiba-tiba diserang kejang sehinggakan memaksaku membuat keputusan untuk terus pulang, memandu dengan kesakitan yang tidak tertahan. Akibat kekejangan itu juga aku langsung lupa menutup register bulan Mei untuk kelasku. Kesian penyelaras tingkatan yang terpaksa melakukannya bagi pihakku. Walaupun telah memohon maaf dari guru berkenaan, masih terasa terkilan di hati... kasihan guru berkenaan. Sekali lagi aku termangu, mengenangkan betapa sebagai guru, tugas masih mengekori tak kira masa dan hari. Walau pada hari biasa, sekalipun pada hari yang dirai. "Selamat Hari Guru!!!"


GURU MALAYSIA
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad