Friday, May 29, 2009

Selamat Hari Guru!!!

Selamat Hari Guru!! "Guru Pembina Negara Bangsa".

Masih belum terlambat rasaya untuk kusampaikan ucapan ini kepada semua warga yang bergelar pendidik.

Indahnya hidup sebagai seorang guru. Almaklumlah... bukan semua pekerjaan ada dikhaskan sambutan harinya. Mana ada Hari 'Pemandu Teksi' ke, Hari 'Doktor' ke, Hari 'Jurutera' ke... malah Hari 'Eksekutif IT' pun tak ada. (Maaf ya,bang!). Hanya beberapa pekerjaan tertentu sahaja diberikan peluang untuk diraikan, dan salah satu darinya ialah GURU.

Sebenarnya, 29 Mei barulah aku dan rakan-rakan guruku berkesempatan meraikan hari guru. Bukannya apa... macam biasalah, kalendar guru sangat padat akhir-akhir ini. Agak malang kerana 16 Mei jatuh pada hari Sabtu. Jadi, sambutan hari guru terpaksalah ditunda-tunda. Mulanya sambutan yang dirancang ialah pada Isnin, 18 Mei tetapi sekali lagi ia terpaksa ditunda berikutan faktor ketidaksesuaiannya memandangkan para pelajar waktu itu dijadualkan menduduki peperiksaan. Bukan setakat pelajar, para guru pun tak ada 'perasaan' nak menyambutnya ditengah-tengah kekalutan itu. Akhirnya, pihak sekolah bersepakat menetapkan 29 Mei sebagai hari sambutan peringkat sekolah. Memanglah pada waktu itu kerja-kerja sekolah masih bertimbun-timbun, tetapi sekurang-kurangnya hari tersebut adalah hari penutup penggal. Sekurang-kurangnya ada alasan untuk bersukaria.......

Seperti yang telah kuagak sejak awal, kedatangan pelajar pada hari tersebut tidaklah seramai mana. (Malah pada masa yang sama ada sebilangannya mungkin telahpun dalam perjalanan ke KLIA untuk bercuti ke luar negara!!) Semua pun sedia maklum tentang status guru di mata pelajar kini. Jadi kami tak berharap untuk benar-benar diraikan. Walaupun begitu, pelajar yang hadir memang kami hargai. Merekalah yang sebenarnya ikhlas untuk sama-sama meraikannya bersama-sama kami.

Aturcara pagi itu agak ringkas tetapi meriah. Bermula dengan perhimpunan rasmi, bacaan ucapan Hari Guru, sesi fotografi majalah, seterusnya acara-acara seperti sukaneka, karaoke, perlawanan sepak takraw dan juga pertandingan gubahan bunga/buah. Aku tersenarai sebagai salah seorang peserta sukaneka. Permainan yang disediakan ialah permainan menggelecek bola hoki, pertandingan memecahkan belon, pertandingan baju kertas, dan akhir sekali pertandingan menyambung objek. Okey jugalah kerana kumpulanku terdiri dari 100% ahli yang sporting dan ceria serta sanggup melakukan apa saja!! Berbaloi kerana kumpulan kami mendapat tempat kedua secara keseluruhan. Jangan marah yeeer....

Lebihkurang jam 10.45 pagi, diadakan acara penyampaian hadiah, diikuti dengan persembahan-persembahan daripada para guru dan juga pelajar. Antara persembahan yang mencuri perhatianku ialah penyampaian puisi oleh salah seorang guru, Pn Hazira mengenai suatu realiti perbandingan antara guru di bandar dan luar bandar. Sayangnya petikan puisi tersebut tidak dapat kuselitkan disini atas beberapa sebab tertentu.

Aturcara Sambutan Hari Guru diakhiri dengan jamuan tengahari. Terdapat sesi bertukar-tukar hadiah antara para guru dan tidak ketinggalan acara cabutan bertuah.

Sejurus selepas makan, kakiku tiba-tiba diserang kejang sehinggakan memaksaku membuat keputusan untuk terus pulang, memandu dengan kesakitan yang tidak tertahan. Akibat kekejangan itu juga aku langsung lupa menutup register bulan Mei untuk kelasku. Kesian penyelaras tingkatan yang terpaksa melakukannya bagi pihakku. Walaupun telah memohon maaf dari guru berkenaan, masih terasa terkilan di hati... kasihan guru berkenaan. Sekali lagi aku termangu, mengenangkan betapa sebagai guru, tugas masih mengekori tak kira masa dan hari. Walau pada hari biasa, sekalipun pada hari yang dirai. "Selamat Hari Guru!!!"


GURU MALAYSIA
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

3 comments:

  1. Ayuh guru didiklah anak bangsa.............

    ReplyDelete
  2. ammvoii cikgu aida teww.. takdok hari jurutera ghiteww

    ReplyDelete
  3. huhu..nmpk gempak gak smbutan hari guru. kat SMAI..sambutan Hari Guru up 0.25cm jek dr perhimpunan biasa..hampeh tahap xtau nak ckp mcm mna.. sedih btol smbutan hari guru pertama nih..

    ReplyDelete