Wednesday, October 7, 2009

Urut

Usiaku tak setua mana, rasanya... tapi mungkin kerana memang keturunanku jenis begitu, maka aku pun jadi begitu. Badanku rasanya tak selesa kalau lama tak berurut. Tambah pula dengan sikapku yang bukannya tau nak pantang-pantang. Pantang jumpa tu selalulah! Taklah aku sampai 'panci't kalau tak berurut....tapi kalau setelah diurut tu 'ringan' sedikit badan. Jadi sebab itulah aku sering berurut. Taklah kerap sangat... dalam setahun sekali tu adalah koooot... Kadangkal, mengikut keperluan badanku yang merangkap seorang guru ni... banyak berdiri, mendaki, malah ber'lari'....

Aku bukan kerap sangat berurut. Lagipun bukan boleh main suka-suka kita saja nak memilih tukang urut. Kadangkala, kena juga tahu 'stail' dan teknik urutan mereka sebelum kita mengangguk setuju. Silap pilih, bukan semakin baik, entah-entah terus 'jem' satu badan. Kerana itu aku hanya berurut dengan makcikku. Ada sekali sekala saja, jika makcikku itu tidak berkesempatan atau keadaan tidak mengizinkan, barulah aku mencari tukang urut nombor dua.

Malah semasa bersalinkan anakku Ezry pun, makcikku itulah yang menggalas beg datang ke KL untuk mengurutku semasa dalam pantang. Cuma kali kedua bersalin, aku menangguhkannya sedikit memandangkan aku bersalin secara pembedahan.

Tak ada yang sedap masa berurut.... Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Kalaupun sebolehnya kita cuba menahan, badan dengan sendirinya seolah makin lari dari tangannya yang bagaikan senjata tajam. Tapi kenapa masih nak juga berurut? Kadangkala, kesakitan tu berbaloi dengan hasilnya nanti. Rasa lebih segar dan ringan... Tapi mesti ingat, bukan sekali urut memadai!! kalau makcikku punya stail... urutannya akan diulang mungkin 2-3 kali (mungkin selang semalaman untuk setiap kali urutan). Dahlah tu!! setiap kali urut, hampir-hampir 3 jam!!

Dan semalam, makcikku datang... katanya rasa tak lepas hajatnya kalau tak datang. Bukan apa, setelah kelahiran kedua, kebetulan kepulanganku ke Kelantan adalah ketika seorang lagi makcikku mengadakan kenduri kahwin. Jadi, kebanyakan kaum keluarga, termasuk makcikku ini dalam keletihan hingga tak sempat dia mengurutku ketika itu. Aku masih sempat berurut, tapi dengan orang lain. Jadi makcikku rasa terkilan dan mengambil peluang untuk datang (bersama-sama dengan abah dan ma dari Kelantan). Dan aku.... pastinya takkan menolak. Bukan senang nak cari tukang urut yang sukarela menawarkan diri seperti makcikku ini... (:P)!!

Dan tadi, baru saja selesai pusingan pertama.... (adussss..). Nanti akan ada pusingan kedua dan ketiga!! Anyway terima kasih 'Mok Zah' kerana sanggup bersusah-susah dan berkorban untuk kami....

P/s- Takyah gambar la kali ni..... Takkan nak amik gambar tgh berurut kot...!!!Tak senonoh!

Saturday, October 3, 2009

Malaysia Negaraku, hanya satu!

Negaraku... tanah tumpahnya darahku
Yang berdiri di atas bumimu, rasa cintanya kian berkabur
Mungkin mereka tergolong dalam kelompok tak reti bersyukur
Kerana lahirnya mereka tanpa sebarang jerit perit dan duka sengsara
Mungkin kerana mereka telah terbiasa dengan budaya bermanja-manja

Aku juga bukan generasi sebelum merdeka! Aku harap kau tahu itu!
Namun berjaya juga bapaku atau mungkin ibuku
Mendidikku menghargai apa yang ku ada kini dan sebelum ini
Sekurangnya aku hargai anugerah Tuhan yang melahirkan aku di bumi terpilih ini

Aku sendiri tak mengerti
Apa yang kurang, apa yang lompang?
Hingga manusia sekarang sering membuat pertikaian
Jari pantas menunding orang, sedang diri sendiri belum tentu pandai berjalan
Bercakap laju mengenai keburukan orang sedang rumah sendiri pun tunggang langgang

Ramai golongan 'bijak pandai' kini yang tahu segala
Yang dalam poket orang pun mereka tolong kira
Yang jauh di tempat yang mereka sendiri tak pernah jejak pun
Mereka tahu belaka
Kaca mata mereka hanya nampak cacat cela
Namun kelemahan mereka dikatakan dusta
Bukti terbentang rela di seka
Tohmahan dilempar sesedap rasa

Aku bersuara bukan kerana telah di'gula-gula'
Bukan juga kerana atas angin aku menjadi kaya
Aku bersuara hanya atas dasar cinta
Pada bumi yang selama ini elok terbela
Namun kini semakin porak peranda

Ada yang ingin menegakkan hak yang mereka sendiri tak tahu apa....
Ada juga yang mahukan shortcut untuk menuju ke syurga
(sedang sembahyang pun tak cukup lima)
Macam-macam agenda... macam-macam aturcara
Yang pasti... negara menjadi pertaruhan cuma!

Bukan manusia jika sempurna belaka
Aku akui kelemahan pasti ada di mana-mana
Cuma kenapa perlu dipertaruhkan keamanan dan kedamaian
untuk mencari keamanan dan kedamaian?
Sedangkan yang dicari itu belum tentu akan datang
Ibarat mendengar guruh di langit, air setempayan dicurahkan
Kenapa mesti bermusuh musuhan sesama Muslim, sesama Islam?
Kenapa mesti bercakar-cakaran, dengan insan sesama insan?
Itukah yang dimahumu Tuhan?!

Inikah petanda, Wahai si Pencipta Alam!
Kedamaian ini, keamanan ini, akan Kau ambil kembali dari kami
Kerana kami golongan tidak mengenang budi??
Negara sekitar Kau turunkan tauladan
Namun amaranmu tak langsung mereka tak perasan!

Selama ini, Kau pelihara kami
dari kehancuran gempa, taufan dan lahar bumi...
Banjir besar juga kau tolak ke tepi
Namun kami menempah bencana sendiri.

Aduh bangsa Malaysia.....
Masa depan bukan sesuatu yang datang dengan ketentuan
Masa depan datang dengan adanya rancangan dan pertimbangan
Usahlah kau berimpian untuk sekelip mata menukar rasa, bertukar selera
Kerana apa juga perubahan... bermula dengan perubahan diri sendiri
Apa juga kelemahan... datangnya dari kelemahan diri sendiri
Sebelum kau lebih tinggi berangan-angan
Jayakan dulu dirimu dan keluargamu
Sebelum berucap di depan beribu
Berucap dulu di ruang tamu

Jika kau terus dengan sikapmu,
Tak hairanlah jika Jalur Gemilang tergamak diterbalikkan
Malah disumbat ke lubang jamban!!
Tak hairan juga jika tak lagi perlu bersidang
Berarak saja di tepi jalanan
Tak hairan jika anakmu menyanyi lagu Negaraku sambil tangan tergaru-garu!

Maafkan aku jika kali ini aku berkata kejam
Apa kusuarakan adalah apa yang kurasakan
Kekecewaan hati biarlah kuluahkan
Bukan untuk menyakitkan hati mana-mana insan
Berhentilah menunding jari sesama sendiri agar sejarah tidak berulang
Usah lupa, ramai yang mengintip kesempatan atas peluang
Jangan setelah itu baru kau mengerti
Erti sebenar sebuah kemerdekaan
Setelah kemerdekaan itu kau digadaikan

Sanjungilah kedamaian...
sebelum kedamaian itu hilang

Secoret rasa: Rohaida Ibrahim 3 Okt 2009

'Cahaya' Taekwondo.... (dedicated to my taekwondo students)

Siang tadi berlangsung sambutan Hari Kokurikulum peringkat sekolah. Sedikit sebanyak ia membawaku kembali menyingkap pengalaman-pengalaman lalu, juga membawaku menduga apa yang seterusnya akan berlaku.

Di sekolahku kini, aku bertindak sebagai ketua penasihat unit beruniform Taekwondo. Bukan tugas baru kerana telah 3 tahun berturut-turut aku mengepalainya. Jawatan itu sekaligus mengembalikan nostalgiaku tatkala menyertai aktiviti yang sama di MRSM Taiping satu ketika dulu. Tali pinggangku bukan hitam .... tapi bukan juga putih pastinya! Memang seronok belajar taekwondo. Masih segar lagi dalam ingatan bagaimana kami terpaksa berjalan terhinggut-hinggut setelah tiap kali tamatnya latihan. Selain mempersiapkan diri menghadapi apa saja kemungkinan.. secara tak langsung menjadikan kita berasa agak gah dan hebat!! (Begitu perasaanku satu ketika dulu.) Aku bermula di tingkatan 4 dan berakhir sejurus sebelum percubaan SPM tingkatan 5. Aku bangga kerana dalam tempoh sesingkat itu, aku telah hampir memiliki tali pinggang biru! Tapi semua itu dah berlalu.... Jika sekarang, semua pattern dan teknik telah lama tercicir dari ingatan.
Disekolahku, Taekwondo digolongkan dalam pasukan unit beruniform. Unit beruniform lain yang boleh dipilih ialah Diabolo, PBSM, Puteri Islam, Ranjer Puteri, KRS, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Pengakap. Selainnya, masih ada
seni mempertahankan diri Karate-Do, dan tahun lepas, diperkenalkan pula Wushu dan Silat Patani.

Sedih juga apabila melihat angka pelajar yang menyertai taekwondo kini. Mungkin kerana diberikan terlalu banyak pilihan, sambutan yang diterima semakin menyedihkan. Aku kadangkala kasihan dengan jurulatih luar yang membimbing mereka, Master Johnny. Dia seorang yang sangat berdedikasi dan telahpun memiliki 6th Dan!! Jangan terkejut jika kukatakan dia seorang OKU.... namun bagiku dia agak istimewa. Dia pekak dan bisu. Komunikasi aku dan dia banyak berorientasikan pen dan kertas. Namun, segala arahannya dapat difahami dengan mudah oleh pelajar-pelajarnya.... Dia juga sabar dalam memenuhi tuntutan kerjayanya. Jadi dengan adanya unit Taekwondo ini, kami berharap dapat membuka peluang untuknya menjana pendapatan.

Kali ini... Hari Ko-kurikulum tarikhnya agak tidak tepat buatku. Selain kerana ia diadakan sejurus sekolah dibuka selepas sambutan hari raya, juga kerana masih dalam musim 'percubaan' SPM
(Pelajar dah habis menjawab, cuma gurunya yang belum habis menyemak!).. jadi aku agak sibuk dan tidak punya banyak masa untuk menyediakan mereka untuk sesi latihan bagi hari ko-kurikulum ini. Aku hanya dapat membantu dalam menyelaras dan selebihnya diselenggara oleh kumpulan pelajar tersebut sendiri. Terdetik rasa bersalah kerana tak dapat memberikan 100% komitmen kepada mereka pada waktu-waktu sebegini.

Dan siang tadi.... mereka yang seramai 9 orang (termasuk seorang bekas pelajar), membuatkan aku berasa bangga dan terharu.
Tanpa banyak bantuan dariku, mereka semua telah berjaya menunjukkan demonstrasi yang bagiku amat sempurna dan menarik. Persembahan singkat itu sekurang-kurangnya telah berjaya mengembalikan kehebatan seni mempertahankan diri 'Taekwondo'. Walaupun dalam kumpulan yang kecil, persembahan mereka sememangnya mantap. Aku memang bangga dengan mereka. Malangnya aku tak bawa kamera untuk merakamkan aksi-aksi mereka.
(Anyway....TQ to you all- Irynna, Syafali, Terence, Azrul, Kazuko, Emily, Anis, Ruby dan Ivan.)

Tatkala merenungi kegembiraan mereka setelah tamat persembahan, seakan terngiang suara PK Kokurikulumku kepadaku beberapa minggu lalu.....

"Kalau tahun hadapan, sambutan terhadap Taekwondo masih kurang memberangsangkan, mungkin cara yang terbaik ialah kita bubarkan."

Aku sudah boleh membayangkan cahaya kekecewaan di mata beberapa pelajarku ini jika benar ia berlaku. Sekaligus dapat kubayangkan wajah sugul Master Johnny, jika ayat itu juga kutuliskan dalam kertasnya......

Friday, October 2, 2009

"Bila tiba hari raya...."

Bahang Aidilfitri masih terasa. Jadi tak salahlah jika kugunakan kesempatan ini mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI kepada semua muslim muslimah terutama bagi yang mengenali diriku. Andai kata ada salah silap, kemaafan yang tulus ingin kupinta. (Ni intro je…)

Pastinya mahu juga aku kongsikan catatan Aidilfitriku tahun ini. Tahun ini, kami sekeluarga beraya di Ipoh, rumah mertuaku.

Mengikut perancangannya, Elin dan Eza (adik-adik iparku) akan beraya di rumah mertua masing-masing, di Pasir Tumboh, Kelantan dan di Lenggong, Perak. Mungkin agak sepi sedikit hari raya kali ini dengan tiadanya mereka. Manakan tidak…. biasanya gabungan tenaga kami biasanya boleh menggegarkan tingkap jiran-jiran sebelah!! Namun, Eza akhirnya menukar rancangan untuk pulang ke Lenggong hanya pada pagi raya tersebut.

Apa-apapun raya tetap raya. Eza dan mama lah yang paling sibuk membuat persiapan akhir. Eza pastinya sibuk dengan mengemas rumah dan menyusun atur barangan-barangan terutamanya setelah kabinet ruang tengah baru siap dipasang sehari sebelum raya!! Bab-bab menyusun atur ni hanya dia yang lebih tahu.

Aku dan Siti pula hanya mampu bergilir-gilir membantu mama di dapur memandangkan Erina dan Erisya juga perlukan jagaan. Ezry ‘mati kutu’ sebab Syafiq tak ada J. Mama memang tak tinggal juadah kuah kacang, rendang ayam disamping turut menyediakan ketupat palas. Aku sendiri pun hanya tahu (sikit-sikit) membalut ketupat setelah diajar oleh mama beberapa tahun dulu… Kiranya lesen P lagilah! Tapi kesian mama dan Eza yang tak habis-habis bekerja hingga jam 2-3 pagi! Maaflah kerana tak dapat banyak membantu!

Rutin pagi raya, setelah pulang dari masjid, acara bersalam-salaman memohon maaf (dan duit raya..), kami selitkan juga acara bergambar! Walaupun tak lengkap gambar tahun ini…. Suasana masih tetap ceria. Kami sekeluarga berkunjung ke rumah jiran (yang mana tidak balik ke kampung). Pendek kata, perut pun terkejut hari ini kerana tak henti-henti menerima makanan. (Diet entah kemana….habislah!). Malam raya pertama tu, birasku Uda@Khan balik dari Lenggong. Apa lagi, malam tu, kami (termasuk yang dah terlebih umur ni) main bunga api, bergabung tenaga dengan jiran depan rumah! Ok gak gitu!!

Kami pulang beraya ke Parit Buntar pada hari raya ketiga. Memang dah lama aku tak balik kesana…. Kali terakhir ialah sebelum mengandungkan Erina dan Erisya. Selepas itu, bulan Jun lalu, kami sekadar singgah minum teh semasa perjalanan pulang dari Kelantan. Kiranya Erina dan Erisya tak pernah lagi bermalam di Parit Buntar seumur hidup mereka!! Sori ya ‘orang Parit Buntar’!! Jadi hari ketiga kami ke Parit Buntar sekalipun agak ramai tetamu yang nak berkunjung. Tak sempat nak berjumpa dengan Pak Teh, Mak Teh dan keluarga (dari KL) juga Pak Teh, Mak Teh dan keluarga (dari Jitra) yang dalam perjalanan untuk beraya di Ipoh.

Di Parit Buntar, tetamu agak ramai juga. Lagipun raya ketiga, ada yang baru nak start meronda….Lepas geng adikku Haidi, geng Hasni pula tiba. Tak cukup itu, geng abah pun tak kalah juga. (Argh…. Aku tak heran kalau abah pun ramai geng sebab mulut abah yang tak boleh senyap tu dan sikapnya yang ringan tulang!! Dengan tukang sapu hospital pun dia boleh ajak bersembang). Tinggalkanlah abah di mana saja.... abah takkan kesunyian! Itu kelebihan semulajadi abah.

Kami juga tak lepaskan peluang untuk bertandang ke rumah kenalan-kenalan. Sedar tak sedar, Bagan Serai hingga ke Pulau Pinang (Bayan Baru) kami beraya. Seronok juga bila sekali sekala bersua muka dengan rakan-rakan lama.

Pendek kata, walau apa cara, walau apa gaya….. Raya pastinya tetap ceria. Dalam kemeriahan kita beraya, semoga tak lupa pada yang tiada. Salam Eid Mubarak.

Sunday, September 27, 2009

Senario RAYA

Sepanjang musim perayaan ni... ada beberapa senario yang menarik yang rasanya nak aku coretkan disini.

Aku mulakan dengan senario balik kampung yang kuperhatikan dalam perjalanan pulang ke Ipoh pada pagi Sabtu lalu. Kesesakan yang berlaku di lebuhraya memang telahpun kujangkakan. Perjalanan ‘RAYA’ sentiasa berubah menjadi perjalanan ‘RAYAP’. Itu bukannya perkara pelik walaupun perjalanan ke Ipoh yang biasanya hanya 2 ½ jam kali ini menjadi 4 ½ jam ... Cuma yang kukesalkan ialah sikap segelintir masyarakat Malaysia (yang mendakwa ‘educated’ dan bijak pandai) sewaktu berada di atas jalan raya. Di kaca tv, di radio, dalam surat khabar, pelbagai kempen, pesanan dan nasihat yang diberikan agar pengguna jalanraya lebih bersikap berhati-hati tatkala berada di atas jalanraya. Namun masih ramai yang tanpa segan silu bersikap tidak bertanggungjawab tanpa rasa malu sedikitpun. Perkara paling jelas ialah sikap pengguna yang menggunakan laluan kecemasan. Macamlah mereka saja yang nak cepat dan ‘bijak pandai’. Akhirnya, jalan menjadi lebih sesak apabila mereka kembali menyelit masuk ke laluan asal. Manusia...manusia.... Belum lagi kubercerita tentang pemandu-pemandu yang ‘beli kereta, tak beli lampu signal’... Main suka hati ke kejap ke kiri kejap ke kanan..... Dahlah.... bosan nak bercerita tentang benda-benda macam ni.

Lagi pasal raya....


Semasa di Parit Buntar, seperti kebiasaannya aku dan suami akan mengambil kesempatan ke Pejabat Tabung Haji. Bukan apa... biasanya di sini tak ramai orang dan apa-apa urusan hanya mengambil masa beberapa minit saja. Kebetulan kali ini, suamiku ada sedikit ‘urusniaga’ yang hendak dilakukan. (Nak pindahkan duit sikit...) sambil2 aku nak mengemaskini buku akaun. Nombor yang kudapat dari kaunter ialah 210 dan pada waktu itu baru nombor 192 dipanggil. Walaupun agak ramai dari kebiasaannya, aku mencongak2... tak apa lah... mungkin taklah selama mana menunggu.... Akhirnya, jam 4.05 ptg barulah giliran kami tiba!! Sebabnya tak lain tak bukan kerana ramai yang nak masukkan duit raya anak-anak. Bayangkanlah kalau setiap seorang pelanggan membawa bersama 3-5 buku akaun untuk dimasukkan duit!! Itu belum cukup parah..... ada juga yang baru nak buka akaun! Itu pun 3-4 buku nak dibuka.... Suka pun ada, sedih pun ada,.... Suka sebab pemandangan ni menunjukkan masih ramai ibubapa yang prihatin dengan memastikan duit raya anak-anak ‘terselamat’ dalam simpanan sebelum hancur entah kemana. Siap ada yang datang bawa not RM1 berkeping-keping, ikat pula dengan getah gelang....(Tu yang lambat cik kerani tu nak buka satu-satu getah gelang tu.) Ada juga yang duitnya masih dalam sampul raya!! Adusss..... jenuh!!! Rasa sedih tu tak lain tak bukan sebab kena menunggu lama.... Takleh ke bukak akaun hari lain hai kengkawan..... kenapa time aku mai jugak lah nak bukak akaun .... Ramai pulak tuh! Apa pun, aku dan suami pun silap gak.... kenapa la hari tu jugaklah nak transfer duit...nak kemaskini akaun... hah... (Actually, tu je kesempatan yang ada).. Jadi mungkin la kita sama jeerrrr.


Last sekali... time balik raya...


Ada jugak kumpulan mat rempit yang nak beraya atas jalan raya. Beberapa buah motor memotong laju di kiri dan kanan.... siap ada yang meniarap atas motor lagi! (Sori la kali ni tak sempat amik gambar... dok kalut ngan anak). Standard configuration, aku pun menyumpah la sekilo dua sebab sikap kurang ajar dan sikap tak bertanggungjawab mereka kepada pengguna lain... Dan tak lama lepas tu, kereta2 didepanku semakin bergerak perlahan. Dari jauh aku nampak ada beberapa orang berkumpul di tepi jalan. Mesti mat motor tadi!! Memang benar tekaanku.... aku nampak di atas jalan kesan motor yang terseret. Motor tu tergolek sendiri..... Dalam kumpulan manusia tepi jalan tadi, nampaknya tak ada yang ‘parah’ walaupun ada yang nampak berkerut2 jugak mukanya. Terpacul perkataan ‘padan muka’..... tapi dalam hati aku lega kerana dia hanya luka2 dan masih mampu bernyawa. Sekurang-kurannya dia masih hidup walaupun hanya untuk menjadi ‘Hantu RAYA’!!