Negaraku... tanah tumpahnya darahku
Yang berdiri di atas bumimu, rasa cintanya kian berkabur
Mungkin mereka tergolong dalam kelompok tak reti bersyukur
Kerana lahirnya mereka tanpa sebarang jerit perit dan duka sengsara
Mungkin kerana mereka telah terbiasa dengan budaya bermanja-manja
Aku juga bukan generasi sebelum merdeka! Aku harap kau tahu itu!
Namun berjaya juga bapaku atau mungkin ibuku
Mendidikku menghargai apa yang ku ada kini dan sebelum ini
Sekurangnya aku hargai anugerah Tuhan yang melahirkan aku di bumi terpilih ini
Aku sendiri tak mengerti
Apa yang kurang, apa yang lompang?
Hingga manusia sekarang sering membuat pertikaian
Jari pantas menunding orang, sedang diri sendiri belum tentu pandai berjalan
Bercakap laju mengenai keburukan orang sedang rumah sendiri pun tunggang langgang
Ramai golongan 'bijak pandai' kini yang tahu segala
Yang dalam poket orang pun mereka tolong kira
Yang jauh di tempat yang mereka sendiri tak pernah jejak pun
Mereka tahu belaka
Kaca mata mereka hanya nampak cacat cela
Namun kelemahan mereka dikatakan dusta
Bukti terbentang rela di seka
Tohmahan dilempar sesedap rasa
Aku bersuara bukan kerana telah di'gula-gula'
Bukan juga kerana atas angin aku menjadi kaya
Aku bersuara hanya atas dasar cinta
Pada bumi yang selama ini elok terbela
Namun kini semakin porak peranda
Ada yang ingin menegakkan hak yang mereka sendiri tak tahu apa....
Ada juga yang mahukan shortcut untuk menuju ke syurga
(sedang sembahyang pun tak cukup lima)
Macam-macam agenda... macam-macam aturcara
Yang pasti... negara menjadi pertaruhan cuma!
Bukan manusia jika sempurna belaka
Aku akui kelemahan pasti ada di mana-mana
Cuma kenapa perlu dipertaruhkan keamanan dan kedamaian
untuk mencari keamanan dan kedamaian?
Sedangkan yang dicari itu belum tentu akan datang
Ibarat mendengar guruh di langit, air setempayan dicurahkan
Kenapa mesti bermusuh musuhan sesama Muslim, sesama Islam?
Kenapa mesti bercakar-cakaran, dengan insan sesama insan?
Itukah yang dimahumu Tuhan?!
Inikah petanda, Wahai si Pencipta Alam!
Kedamaian ini, keamanan ini, akan Kau ambil kembali dari kami
Kerana kami golongan tidak mengenang budi??
Negara sekitar Kau turunkan tauladan
Namun amaranmu tak langsung mereka tak perasan!
Selama ini, Kau pelihara kami
dari kehancuran gempa, taufan dan lahar bumi...
Banjir besar juga kau tolak ke tepi
Namun kami menempah bencana sendiri.
Aduh bangsa Malaysia.....
Masa depan bukan sesuatu yang datang dengan ketentuan
Masa depan datang dengan adanya rancangan dan pertimbangan
Usahlah kau berimpian untuk sekelip mata menukar rasa, bertukar selera
Kerana apa juga perubahan... bermula dengan perubahan diri sendiri
Apa juga kelemahan... datangnya dari kelemahan diri sendiri
Sebelum kau lebih tinggi berangan-angan
Jayakan dulu dirimu dan keluargamu
Sebelum berucap di depan beribu
Berucap dulu di ruang tamu
Jika kau terus dengan sikapmu,
Tak hairanlah jika Jalur Gemilang tergamak diterbalikkan
Malah disumbat ke lubang jamban!!
Tak hairan juga jika tak lagi perlu bersidang
Berarak saja di tepi jalanan
Tak hairan jika anakmu menyanyi lagu Negaraku sambil tangan tergaru-garu!
Maafkan aku jika kali ini aku berkata kejam
Apa kusuarakan adalah apa yang kurasakan
Kekecewaan hati biarlah kuluahkan
Bukan untuk menyakitkan hati mana-mana insan
Berhentilah menunding jari sesama sendiri agar sejarah tidak berulang
Usah lupa, ramai yang mengintip kesempatan atas peluang
Jangan setelah itu baru kau mengerti
Erti sebenar sebuah kemerdekaan
Setelah kemerdekaan itu kau digadaikan
Sanjungilah kedamaian...
sebelum kedamaian itu hilang
Secoret rasa: Rohaida Ibrahim 3 Okt 2009
No comments:
Post a Comment