Hmmm... dah hampir ke penghujung Syawal, namun undangan ke majlis-majlis rumah terbuka masih lagi tak putus-putus.
Sekolahku cuti panjang. Sambutan hari Deepavali yang mulanya dirancang dengan cuti 4 hari akhirnya jadi 5 hari. Ini semua gara-gara sekolahku telah terlebih ganti untuk cuti Hari Raya Aidilfitri tempohari. Jadi cuti sekolahku bermula seawal 16 Oktober hinggalah 20 Oktober!! Lima hari beb!
Berkebetulan dengan tarikh hari ulangtahun anak sulungku Ezry pada 16 Oktober, aku dan suami bersepakat mengadakan sedikit jamuan makan-makan pada 17 Oktober. (Sekurang-kurangnya 16 Okt tu aku berpeluang buat sedikit persediaan.) Asalnya, niatku cuma untuk menjemput rakan-rakan sekolah dan jiran tetangga, juga ahli keluarga, namun, akhirnya majlis ringkas itu menjadi tak berapa ringkas juga dengan bertambahnya senarai tetamu seorang demi seorang.
Menu hidangan ialah nasi minyak, rendang daging, kari ayam, pajeri nenas, sate, lontong, laksa dan beberapa jenis kuih muih. Hanya sate yang kutempah. Selebihnya adalah masakan ma, abah dan aku, selain rendang dan nasi yang dimasak oleh jiranku. Beberapa juadah sampingan adalah sumbangan adikku Elin dan jiran belakang rumahku, Mas. Bertuah betul kerana jiran-jiran sangat banyak membantuku. Tak sudah dengan membantu menyediakan juadah, mereka turut menghantar pembantu-pembantu mereka untuk membantuku di dapur pada hari tersebut. Bukan apa... mereka sedia maklum keadaanku yang takkan cukup tangan dan kami memandangkan ma sakit pinggang dan Siti pula pastinya sibuk menguruskan si kembarku itu.
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Ramai juga tetamu yang hadir dan makanan juga macam elok-elok saja sukatannya.... Penat sejak beberapa hari sebelum majlis hanya terasa keesokan harinya. Tapi puas hati kerana semuanya berjalan lancar (kecuali ketika tetamu hadir ramai sekaligus hinggakan ada yang sukar mencari tempat duduk..)
Pada penghujung majlis juga, kami semua digamatkan dengan kemalangan yang berlaku berhampiran rumahku. Sebuah kereta Proton Wira tiba-tiba saja menjunam ke parit berdekatan tangga surau!! Pemandunya, seorang pemuda Cina, bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dia sendiri tak mampu menjelaskan bagaimana keretanya boleh tiba-tiba terbabas ke tepi jalan. Kasihan dia..... Namun begitu, insiden tersebut sedikit sebanyak menambahkan 'event' dalam majlisku hari itu.
Majlisku sebenarnya tak tamat di situ. Malamnya aku masih menerima tetamu. Berterusan dengan esoknya, sepupuku singgah dalam perjalanan pulang dari Melaka (kerana tak dapat datang semalam). Petang itu, seorang lagi sepupuku tiba dari Kelantan, berkaitan dengan sedikit urusan di Putrajaya.
Selebih cutiku, hanya kusadaikan diriku di rumah. Kemaskan apa yang patut, siapkan apa yang tak siap dan nikmati ketenangan yang jarang-jarang boleh dirasai.
Apapun, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih buat semua yang sudi hadir, dan beribu-ribu terima kasih buat Kak Yati yang membantu menyediakan rendang dan meminjamkan Mona dan Lia untuk membantuku. Juga buat Ida yang meminjamkan Is seharian dirumahku, tak lupa buat Mas yang bertungkus lumus mengangkut barang-barang dan pinggan mangkuk untuk aku gunakan, disamping menaja kuih muih hari tersebut. Juga buat Elin yang turut menyediakan juadah sampingan. Tentunya tak lupa juga buat Saudara Ahya yang sanggup meminjamkan dan memasang khemah di depan rumahku. Namun, terima kasih yang tak terhingga kuucapkan buat Ma dan Abah, juga Siti yang berhari-hari kepenatan menyediakan banyak benda untuk majlis ini. Tanpa kalian semua, pastinya majlis takkan dapat dijalankan selancar ini.
Terima kasih daun keladi..........
No comments:
Post a Comment