Siang tadi berlangsung sambutan Hari Kokurikulum peringkat sekolah. Sedikit sebanyak ia membawaku kembali menyingkap pengalaman-pengalaman lalu, juga membawaku menduga apa yang seterusnya akan berlaku.
Di sekolahku kini, aku bertindak sebagai ketua penasihat unit beruniform Taekwondo. Bukan tugas baru kerana telah 3 tahun berturut-turut aku mengepalainya. Jawatan itu sekaligus mengembalikan nostalgiaku tatkala menyertai aktiviti yang sama di MRSM Taiping satu ketika dulu. Tali pinggangku bukan hitam .... tapi bukan juga putih pastinya! Memang seronok belajar taekwondo. Masih segar lagi dalam ingatan bagaimana kami terpaksa berjalan terhinggut-hinggut setelah tiap kali tamatnya latihan. Selain mempersiapkan diri menghadapi apa saja kemungkinan.. secara tak langsung menjadikan kita berasa agak gah dan hebat!! (Begitu perasaanku satu ketika dulu.) Aku bermula di tingkatan 4 dan berakhir sejurus sebelum percubaan SPM tingkatan 5. Aku bangga kerana dalam tempoh sesingkat itu, aku telah hampir memiliki tali pinggang biru! Tapi semua itu dah berlalu.... Jika sekarang, semua pattern dan teknik telah lama tercicir dari ingatan.
Disekolahku, Taekwondo digolongkan dalam pasukan unit beruniform. Unit beruniform lain yang boleh dipilih ialah Diabolo, PBSM, Puteri Islam, Ranjer Puteri, KRS, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Pengakap. Selainnya, masih ada
seni mempertahankan diri Karate-Do, dan tahun lepas, diperkenalkan pula Wushu dan Silat Patani.
Sedih juga apabila melihat angka pelajar yang menyertai taekwondo kini. Mungkin kerana diberikan terlalu banyak pilihan, sambutan yang diterima semakin menyedihkan. Aku kadangkala kasihan dengan jurulatih luar yang membimbing mereka, Master Johnny. Dia seorang yang sangat berdedikasi dan telahpun memiliki 6th Dan!! Jangan terkejut jika kukatakan dia seorang OKU.... namun bagiku dia agak istimewa. Dia pekak dan bisu. Komunikasi aku dan dia banyak berorientasikan pen dan kertas. Namun, segala arahannya dapat difahami dengan mudah oleh pelajar-pelajarnya.... Dia juga sabar dalam memenuhi tuntutan kerjayanya. Jadi dengan adanya unit Taekwondo ini, kami berharap dapat membuka peluang untuknya menjana pendapatan.
Kali ini... Hari Ko-kurikulum tarikhnya agak tidak tepat buatku. Selain kerana ia diadakan sejurus sekolah dibuka selepas sambutan hari raya, juga kerana masih dalam musim 'percubaan' SPM
(Pelajar dah habis menjawab, cuma gurunya yang belum habis menyemak!).. jadi aku agak sibuk dan tidak punya banyak masa untuk menyediakan mereka untuk sesi latihan bagi hari ko-kurikulum ini. Aku hanya dapat membantu dalam menyelaras dan selebihnya diselenggara oleh kumpulan pelajar tersebut sendiri. Terdetik rasa bersalah kerana tak dapat memberikan 100% komitmen kepada mereka pada waktu-waktu sebegini.
Dan siang tadi.... mereka yang seramai 9 orang (termasuk seorang bekas pelajar), membuatkan aku berasa bangga dan terharu.
Tanpa banyak bantuan dariku, mereka semua telah berjaya menunjukkan demonstrasi yang bagiku amat sempurna dan menarik. Persembahan singkat itu sekurang-kurangnya telah berjaya mengembalikan kehebatan seni mempertahankan diri 'Taekwondo'. Walaupun dalam kumpulan yang kecil, persembahan mereka sememangnya mantap. Aku memang bangga dengan mereka. Malangnya aku tak bawa kamera untuk merakamkan aksi-aksi mereka.
(Anyway....TQ to you all- Irynna, Syafali, Terence, Azrul, Kazuko, Emily, Anis, Ruby dan Ivan.)
Tatkala merenungi kegembiraan mereka setelah tamat persembahan, seakan terngiang suara PK Kokurikulumku kepadaku beberapa minggu lalu.....
"Kalau tahun hadapan, sambutan terhadap Taekwondo masih kurang memberangsangkan, mungkin cara yang terbaik ialah kita bubarkan."
Aku sudah boleh membayangkan cahaya kekecewaan di mata beberapa pelajarku ini jika benar ia berlaku. Sekaligus dapat kubayangkan wajah sugul Master Johnny, jika ayat itu juga kutuliskan dalam kertasnya......
No comments:
Post a Comment