Monday, May 30, 2011

DI RUANG INI

Masa tengah jaga exam.....macam-macam boleh jadi. Bagi mengelakkan mengantuk, aku perhatikan gelagat budak-budak ni sambil mengarang sesuatu atas kertas. Sedar-sedar, terhasil sebuah karya.....

DI RUANG INI.


Dinding-dinding tegak
Bercantum di empat penjuru

Menjadi pemerhati diam
Yang tak pernah mereka endahkan
Lalu aku bersama dinding itu
Mencoret variasi pandangan
Ekspresi-ekspresi rupa 
Mengisi ruangan sama


Ada tersenyum kelat, ada tersenyum lega
Ada tersenyum nakal, ada senyum gulana
Ada menongkat dagu, ada tergaru-garu,
Ada termenung jauh, ada yang langsung 'terbang' jauh-jauh


Ada berpeluh-peluh, ada yang mengeluh-ngeluh
Ada yang menggeleng-geleng, ada juga yang mencuri jeling
Ada yang terbelek-belek, ada juga yang terus 'tergolek'
Ada yang tekun mengingat, ada yang tekun 'menggeliat'


Ada yang kontrol macho, ada yang terus terang mengaku 'hancur'
Ada yang terbatuk kuat, tak kurang juga yang batuk buat-buat
Ada yang mengejar masa, rancak menulis tergesa-gesa
Ada yang resah gelisah, lantas dilakarnya pelbagai wajah


Aku yang satu-satunya objek
Yang bebas berlegar di ruangan terhad ini
Sekadar menjadi saksi pelbagai aksi
Mengisi tempoh singkat yang dirasakan panjang menyeksakan
Buat mereka yang kurang cemerlang .... :)

-Aidib76-


(Pandangan biasa guru setiap kali musim peperiksaan, kan?)

Sunday, May 22, 2011

Tulus dari hati....

Selamat bersua kembali.
Aduh2... kalau diibaratkan laman ini seumpama pokok, pastinya dah lama mati ketandusan kerana sudah lama benar ditinggalkan tak bersiram. Begitu jugalah halnya dengan laman blog ini yang sudah sekian lama ditinggal tanpa sebarang pengisian. Alasanku mudah dan tetap sama.... S.I.B.U.K... :)

Hari ini ada sedikit keluangan dan disertai dengan kerinduan pada blogku yang lama tak ku usik ini, lalu kugagahkan juga untuk meninggalkan sesuatu dihalamannya. Moga2 laman blogku ini akan kembali berseri.





Mohon laluan walau agak kelewatan untuk aku mengucapkan SELAMAT HARI IBU buat semua ibu-ibu, terutama ibuku Pn Suraiyah yang merupakan seorang ibu yang penuh dengan limpahan kasih sayang, juga buat ibu mertuaku, Pn Rusnah yang merupakan seorang ibu yang penuh dengan ketenangan dan sifat-sifat keibuan. Terima kasih atas apa juga yang kalian berdua lakukan buat kami, dari dulu hingga kini. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Masih terngiang-ngiang kata-kata ibuku  "Da, bukan senang nak didik anak.... Suatu hari nanti, sampai masanya....Da akan rasa..."


Dan kini, hampir 7 aku memegang panggilan 'mama'.... membuatkan aku sedikit sebanyak semakin menyelami perasaan seni manusia-manusia berstatus ibu ini. Perasaan yang pelik, dan kadangkala sangat halus dan agar sukar untuk difahami. Pernah dulu aku takut untukmemikirkan andai aku berkesempatan mewarnai hidupku sebagai seorang ibu, namun dengan kuasa Tuhan, Alhamdulillah..rupanya aku masih diberi peluang. 

Menjadi seorang ibu kepada 3 orang anak yang masih kecil, sememangnya menguji kesabaran. Jika dulu, aku diduga dengan kepenatan berjaga malam, menyusukan, menukar lampin dan sebagainya.... Kini cabarannya masih ada, cuma dalam bentuk berbeza. Keutamaan kini adalah dalam aspek pendidikan dan pembentukan peribadi yang pastinya setiap ibu inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Tanyalah siapa saja..... pastinya semua ibu yang ada akan mengimpikan anak-anak yang TERbaik, TERcerdik, TERhebat, TERsopan, TERalim dan segala bentuk TER lagi yang baik-baik. Kalau boleh... biar semua yang masuk ke cuping telinga ini adalah perkara yang hebat-hebat, yang baik-baik saja berkenaan anak-anak. Aku akui...memang pelik.... kadang-kadang, aku ada juga marah-marahkan mereka, merungut itu ini mengenai tingkah laku mereka,...Cuma hairannya, apabila perkara yang sama keluar dari bibir orang lain (tak kira siapa orangnya!)... telingaku akan jadi pedih...hatiku akan tersiat-siat, terhiris-hiris. Jiwa mudah jadi sayu, dan airmata akan mudah saja menitik ke pipi.... Halusnya naluri seorang ibu, walaupun itu adalah seorang aku!! Sama juga dengan tingkah laku. Biarlah kalau aku marah, aku sekeh, aku libas, aku sebat.....asal bukan orang lain. Kalau orang lain, jentik sekali pun dah cukup buat aku tak senang duduk. 

Namun aku tahu. Kadangkala aku kena juga belajar untuk merelakan. Merelakan apa juga...asalkan ianya bertujuan untuk membentuk mereka menjadi manusia yang sebenarnya. Jadi kalau mereka hendak kata, kata sajalah.... asalkan apa yang diperkatakan itu benar. Kalau mereka hendak tolong sebat, sebat sajalah....asalkan tujuannya benar. Aku akur.... jika setakat hanya aku...setakat manalah sajalah yang aku mampu.


Kadangkala timbul juga rasa terkilan tatkala mengenangkan bahawa aku masih belum layak memangku status ibu yang terbaik. Aku akui... sebagai ibu berkerjaya, aku kadangkala tersepit antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawabku sebagai seorang ibu. Bertambah buruk memandangkan kerjayaku sebagai seorang guru tidak hanya terhenti tatkala aku melangkah keluar dari pintu pagar sekolah. Beg yang kujinjit sentiasa membawa bersama tugasan-tugasan yang masih perlu aku selesaikan di rumah.... (merampas masaku dari anak-anakku). Untuk itu, aku amat berterima kasih buat Cik Siti, pembantu rumahku yang setia membantuku menjadi galang-ganti tatkala anak-anakku memerlukan aku. (Terima kasih Siti.... rasanya layak juga Siti sambut Hari Ibu sebelum menjadi ibu). Perkara-perkara sebegini yang aku rasa telah sedikit sebanyak menurunkan sedikit merit diriku dari mencapai status seorang ibu yang benar-benar sempurna.


Kalau boleh aku tabik spring.... pastinya akan aku tabik spring x1000 buat ibuku yang dulu 100% mengorbankan masa dan tenaganya dalam mendidikku adik beradik sehingga menjadi 'orang', bukannya 'hantu'. Kasihnya melimpah ruah sehingga dilempiaskan bukan setakat kepadaku semasa kecil dulu, malah hingga kini,  malah turut dilempiaskan jua buat anak-anakku. Begitu juga ibu mertuaku yang tak kenal penat jemu memberi asuhan yang terbaik sekalipun saban hari penat bekerja. Cekal dan tekal sekalipun ayah kadangkala terpaksa bertugas agak jauh darinya. Itulah yang sering disebut2 oleh suamiku. Dua manusia ini seboleh-bolehnya kujadikan idola.... jadikan inspirasi agar suatu hari nanti, anak-anakku juga menyayangiku sepertimana aku menyayangi mereka.


Sekali lagi, untuk para ibu.... "SELAMAT HARI IBU". 

Thursday, May 19, 2011

Hariku haru biru....

Agak tak seperti kebiasaan.....dan ianya bermula sejak awal-awal pagi lagi.....

Tekakku terasa gatal.... sesekali sudah mula membayangkan sakit batuk yang mula menyerang. Sesekali terasa pedih dan perit. Mengubah suaraku yang lemak merdu ini menjadi sedikit parau.... err... sedikit saja... merdunya masih ada! Sekadar mencetuskan rasa yang kurang selesa.


Lebihkurang jam 4.30 pagi, aku terjaga dari tidurku yang lena. Terus aku bangun membetulkan sedikit posisi anak kembarku itu yang kedudukannya dah merata-rata. Lantas kupejam mata, kembali melenakan diri untuk menyambung saki-baki pagi sebelum 'alarm' hpku berbunyi. Namun.... rupa-rupanya mimpi awal pagiku itu bukan sesuatu yang menarik untuk aku teruskan. Entah dari mana inspirasinya- mimpiku membawa kisah suamiku kawin lagi satu!! Mimpi yang menyengat begitu cepat saja membuatkanku berasa telah cukup tidur. Kerana itu, hpku takperlu di'snooze'kan pagi ini. Cepat saja aku berdiri. Suamiku yang menggeliat sedikit di sisi memberi ruang untuk aku melempiaskan rasa tak puas hati. Kucubit pehanya tiba-tiba. "Eh! Apasal nih?"... dan dengan selamba saja aku jawab "Aida geram sebab Aida mimpi abg kawin lain.."


Bersiap seperti biasa.... namun sebaik saja hendak keluar dari bilik, perutku pula seakan enggan berkompromi. Terpaksa aku buat u-turn untuk ke toilet. Hanya kerana selingan itu, jadual perjalananku agak lewat dari selalu. Jalan keluar dari rumah kebelakangan ini, paham-paham sajalah.... panjang benar barisannya. Hanya sempat bersalaman dengan pakcik makcikku yang baru sampai jam 5.30 pagi tadi. Dan akupun mulalah memandu dengan degup jantung yang agak laju kerana bimbang 'terlepas sempadan masa' yang ditetapkan. Aku parkirkan saja keretaku di pintu pagar kedua untuk mengelakkan kesesakan di depan sekolah rendah. Bergegas kami dua beranak masuk ke kawasan sekolah. Nasib baik Ezry sekarang pun dah pandai masuk ke pintu pagar sekolahnya sendiri...(bersebelahan sekolahku). Fuhhh!! Selamat... masih sempat! Kuintai pintu pagar yang menuju ke keretaku tadi, masih terbuka. Segera aku hantarkan begku ke bilik guru dan berlari-lari anak turun ke kereta semula untuk mengalihnya ke dalam kawasan sekolah. (Sebelum pak guard menguncinya.) Sampai saja ke pintu pagar utama, pelajar-pelajar telahpun berkumpul untuk perhimpunan pagi, menghalang laluanku. Jadi terpaksa kusadaikan saja keretaku buat sementara waktu di depan pintu pagar itu. 'Takpelah...nanti saja aku alihkan.'


Semasa perhimpunan, aku kembali ke bilik Kurikulum, ingin menyusun kertas-kertas peperiksaan tingkatan 4 untuk pagi ini. Memang kertas-kertas soalan telah siap dibalut dan dilabelkan, cuma perlu mengambilnya dari rak soalan ke rak depan untuk diambil oleh guru-guru yang berkenaan. Wah! Dah siap diletak di rak rupanya.... (Terima kasih kepada ..mungkin CT, atau Liza, atau Riana..atau siapa-siapa saja yang dah membantuku itu)... Jam telah hampir 7.30 pagi. Semua dah tersedia. Peperiksaan Tingkatan 5 hari ni Add Maths... subjekku.... huh! Dan tingkatan 4, Sejarah.

Tiba-tiba saja seorang guru memaklumkan, sepatutnya dia memulakan kertas agama kelas 2A... tapi kertas soalannya tiada. Aik! Pelik...sebab tadi rasanya semua dah tersedia di situ! Rasa was-was mula menyerang. 'Jangan kata cikgu petang lupa pulak nak tinggalkan soalan utk budak 2A nih!' (Sebab hanya T1 & T2 aliran agama yg berada di sesi pagi). Memandangkan waktu itu waktu yang melibatkan 'grouping', cikgu itu berlalu ke bilik guru, ingin memastikan sama ada cikgu yang seorang lagi yang telah mengambil kertas tu. Dan juga secara tiba-tiba, CT- SU SPM  terperasan, soalan kelas KAA (aliran agama) T2 seperti ada yang terkurang. Sepatutnya T1 dan T2 ada dua kertas selepas rehat... tetapi kertas 2A cuma ada satu saja! Kertas KH tiada!! Aku berpeluh lagi... sedangkan peluh berlari seawal pagi tu pun belum kering lagi! 'Guano nih... Tadi rasanya semuanya dah ada di situ, ke aku jer perasan kertas tu kat situ... ke memang ada, tapi ada org dah ambil... ker......' Macam-macam ker yang bermain di fikiranku. Bukannya apa, bila dalam keadaan tergesa-gesa, macam-macam perasaan was-was mula ada. Tapi memandangkan aku juga ada kertas untuk dimulakan, aku terpaksa beredar dan meminta CT membantuku memastikan keadaan sebenar. Bimbang juga kalau-kalau lambat pula aku mulakan kertas Add Maths ni nanti.

Sampai saja di kelas..... muridku masih lagi tenang bersantai-santaian sedangkan jam sudah 7.45 pagi. Kertas sepatutnya bermula 7.50 pagi! Dengan tekakku yang perit-perit, terpaksa juga aku menjerit-jerit meminta mereka mengutip kertas dan tisu yang masih ada bertaburan di lantai.... dan seterusnya bersedia untuk memulakan peperiksaan. Soalan telah diedar, kertas graf juga....Agak sedikit kelam kabut, namun masih mampu aku mulakan tepat pada masanya..... dan baru aku perasan, terdapat sedikit getaran datang dari handbag ku. Sebaik ku genggam hpku itu, tertera 5 misscalls; 'Ofis SMKSS'.... Mungkin panggilan penting, lantas aku terus menghubungi ofis semula. Alhamdulillah..... hanya panggilan dari kerani, menyampaikan pesanan CT, 'Kertas agama 2A tu dah ditemui'. Memang cikgu yang seorang lagi tu dah ambil dulu. Barulah hatiku terasa sedikit lega.... Ku utuskan SMS bagi menyampaikan rasa terima kasihku buat CT yang dah membantuku tadi. Mendapat reply; "Ok. Ada cikgu dah amik paper tu. Cuma paper 2A lepas rehat (KH) tu tak ada tau...."...Aduhh.... maknanya memang kertas KH tu tak dapat dikesan!

Jiwaku yang baru nak tenang tu mula diuji dengan pelbagai 'ke' lagi.... Was-was pula dengan bundle yang SU Peperiksaan Dalaman petang telah tinggalkan untuk aku tu. Manalah tau dia terlepas pandang...dan mungkin perasaan aku je benda tu ada di situ.... Kertas tu akan hanya bermula 11.35 pagi... Takpelah, akan aku tanyakan semula SU petang tu, atau sementara itu akan kucari saja di mana-mana.

Tamat saja kelas 5D, cepat saja kakiku menuju semula ke bilik kurikulum. Ku selongakar soalan dalam almari SU petang satu per satu. Hasilnya...Tiada. Dan waktu itu juga Mar kelihatan berjalan laju menuju ke arahku. Macam ada benda tak kena saja rupanya. "Kak Aida...apasal tak jawab phone......ada masalah sikit dengan soalan Add Maths ni...no 13.... soalan English, figurenya lain, yg translate BM lain pulak figurenya...Yang mana satu kita nak pakai ni??" Alamak.....aku tak sempat bernafas, ada lagi yang tak kena.... Soalan dari Jabatan Pendidikan pun boleh salah jugak ke.... Macamana nak buat ya? Bukan boleh suka-suka je bubuh nombornya...kalau silap pilih nomkbor, penyelesaiannya entah jadi macamana. Kalau jadi berbelit nanti, maunya terus putih bersih kertas jawapan budak-budak tu..... Dalam kelam kabut tu, Mar kembali ke kelasnya sebab dia cuma tinggalkan kelasnya kepada cikgu kelas sebelah untuk tolong jaga.


Hah!! CT mesti sudah dapat skema jawapan dari jabatan..... Mungkin boleh cari hint di situ.... Pantas saja aku ke bilik guru untuk mendapatkan CT. Skemanya aku dah dapat.... penyelesaiannya juga dah dapat! Tinggal tugasku meronda dari kelas ke kelas untuk memaklumkan ralat soalan itu kepada murid saja....Sambil berjalan terlintas di fikiran untuk membelek jadual sekolah. Kuperiksa guru yang sepatutnya masuk ke 2A masa ke lapan nanti.... Seterusnya aku ke meja guru terbabit dengan harapan kertas itu ada bersamanya. Hampa..... Namun belum sempat berlalu, terpandang bucu fail merah kertas soalan yang diselit antara buku-buku dalam begnya... Ingin kepastian.... kuintai sedikit tulisannya....KH-2A!!!! Waahhh leganyaaaa!!! Problem solved!!! Bukan salah pun tindakan cikgu tu, cuma kebetulan hari ni hari aku haru biru .....Mungkin dia tak sabar nak menjalankan tugasnya sehingga kertas waktu ke 8 dia ambil dalam waktu pertama, hehehe Takpelah... semuanya selesai....


Naik semula ke kelas-kelas di beberapa floor tu untuk memaklumkan ralat-ralat..... aku mula rasa kehausan. Perut pun baru berani untuk berasa lapar. Aku melangkah menuju ke kantin.... Belum lagi sampai ke kantin, ternampak sebuah kereta yang seakan-akan bersedih ditinggal di luar pagar! Laaa.... keretaku tak alih lagi!! Kualihkan keretaku masuk ke kawasan sekolah. Berlegar-legar seketika mencari ruang menyelit. Akhirnya petak 'Ketua Bidang' yang lengang tu menjadi mangsa. Sorry ya! Anggap la kereta ni kereta cikgu Gani hari ni (tersedak lak cikgu Gani kat sekolah barunya!) Makan dan minum sambil berborak-borak kosong. Ada juga cikgu yang mengadu, kertas soalan yang melibatkan grouping tak ditulis nama guru. Susah untuk dikenalpastu guru yang perlu masuk mengawas dalam waktu seterusnya. Oklah..... mungkin dalam perjumpaan guru-guru yang akan datang, akan aku ingatkan mereka. Dan suapan cikgu itu terhenti, tak sempat habis... sebab pejabat maklumkan dia ada kelas 'relief'. Sebelumnya dia dah buat MOU untuk tukar slot suka sama suka dengan sorang lagi cikgu.....tapi tiba-tiba jadi lain pula.... Hrmmmm..... mungkin hari ni bukan hanya aku seorang sahaja yang haru biru!! Mungkin, kan?


Selepas rehat jadualku penuh hingga waktu balik. Waktu ke sembilan aku di 4J... baru mengedarkan kertas 1 Sejarah. Alamak.... satu kertas soalan tak cukup mukasurat! Takde soalan extra pula tu utk kelas tu. Aku menjenguk ke kelas sebelah... kertas masih belum habis diedar. kelas satu lagi kujenguk......tiba-tiba aku disapa. "Eh! nasib baik jumpa you.... I tadi cari kertas Sejarah 4P, tak ada tau!" Seorang guru menyapa. "Hah?! Tak ada? Mana boleh tak ada....tadi saya sendiri susun...memang ada." jawabku dengan sedikit kesal kerana rupanya masih ada kes haru lagi untukku. "Betul I dah cari.... tak ada." Aku tak menjawab kali ini, cuma minta dia tengokkan kelasku sebentar untuk aku mencari soalan untuk murid yang mukasuratnya tak lengkap tadi. Melalui kelas 4K, gurunya mengamit-ngamitku memaklumkan soalannya kurang satu. Laju saja langkahku ke kelas yang seterusnya.... nasib baik ada soalan lebih di sana. Satu masalah selesai... hanya 4P yang belum selesai. Sekembalinya aku kepada guru yang mengadu tadi,dia memaklumkan dia ingin turun sekali lagi memeriksanya di bilik Kurikulum. Beberapa minit kemudian, dia naik semula dan memaklumkan kertas Sejarah 4P dah dimulakan oleh seorang guru lain yang menemui kertasnya di bilik kurikulum. Berkali-kali dia cuba meyakinkanku, tadi kertas itu sememangnya tiada di situ. Mungkin seseorang telah secara tidak sengaja terambilnya dan mengembalikannya semula ke sana..... sedangkan dia telah bergerak ke kelasnya. Tak kisahlah apa ceritanya, asalkan ia bermula tepat pada masanya.


Loceng balik dah kedengaran. Setelah selesai mengutip dan mengira kertas jawapan, aku kembali ke bilik guru. Badan mula terasa penat. Tekak pula makin terasa perit. Beg Ezry dah tersadai di tepi mejaku. Seperti biasa... orangnya entah sudah merayap ke bucu mana. Kudapatkannya dan memaklumkan bahawa hari ini dia akan pulang dengan rakanku, Kak Zarina, bagi memastikan dia tak terlepas kelas agamanya. Aku terpaksa stayback untuk meneruskan usaha menyiapkan jadual baru guru-guru bersama-sama Kak Noriyah. Entah hingga pukul berapa. Sebelum itu, kuselesaikan masalah 4 orang murid yang memohon menduduki peperiksaan Ekonomi Asas dan Matematik Tambahan bagi menguji kelayakan mereka untuk tukar kelas. Mereka telah mengambil peperiksaan Matematik Tambahan K2 semalam..... (dengan bantuan pembantu guru untuk mengawasi mereka hingga pukul 4 petang) dan hari ini mereka datang lagi... untuk kertas 1 pula. (Aku berbincang dengan penyelaras tingkatan.... dan bersepakat membenarkan mereka mendudukinya setelah semua kertas lain selesai. Maknanya- minggu depan!) Sebenarnya... malas aku nak huraikan lebih-lebih tentang cerita 4 orang budak ni sebab memang panjang ceritanya.... 

Beberapa orang guru ada juga menyapaku. Katanya aku hari ni kelihatan agak stress dan serius. Mungkin betullah telahan mereka tu kerana aku ni memang manusia yang memang tak boleh nak 'cover-cover'. Jadi sebaik saja bersepakat untuk pulang, bilik guru telahpun bertukar lengang. Hanya 'wing guru petang' yang masih berpenghuni walaupun sebenarnya taklah lewat melampau. 

Semasa hendak thumbprint dan punch-card..... Fairus ofis menegurku... "Amboii orang sana tu! Hari ni serius sejak awal pagi..... Terlupa nak senyum la tuh..... Saya nak tegur pun tak berani."... Aku tiba-tiba jadi sedikit malu. Sekadar menjawab ringkas " Banyak problem la hari ni Fairus. Start dari awal pagi sampai la balik nih...." Rasanya tak perlulah dia tahu betapa hariku ini hari haru biru!! Moga dengan punch-out balik tadi, haru biruku itu hanya terhenti setakat itu!

Monday, January 17, 2011

Hello 2011... Episod 1

Hai….
Lamanya tak menyinggahkan kata-kata di laman ini. Hinggakan kali ini terasa agak kekok dan kaku untuk aku kembali berkata-kata. Terasa seolah-olah gambarku yang kecil di sudut atas page ini sedang merenungku sambil mengutuk-ngutuk aku yang dah lama tak menjenguknya. Tak apalah… sekurang-kurangnya hari ini aku kembali…

Begitulah peredaran masa. Masa yang boleh dikatakan setiap manusia masing-masing terkejar-kejar menyainginya. Aku percaya, majoriti setuju jika aku katakan masa sangat pantas berlalu. Hanya orang yang sedang menunggu seseorang atau menunggu sesuatu sahaja yang tidak akan bersetuju dengan pendapatku. Atau orang yang sedang terlantar menanggung sakit, juga pastinya merasakan jarum saat jam seperti menari-nari mempermainkannya, sengaja melengah-lengahkan masa! Yang selain itu pastinya sentiasa berebut-rebut dengan masa…

Maka, sedar tak sedar tahun 2010 dahpun aku tinggalkan. Malah separuh Januari 2011 telahpun aku gunakan. Dan tahun ini pastinya akan berlalu sepantas tahun-tahun sudah, sekadar menghadiahkanku tambahan satu lagi tangga dalam hitungan usia. Insyaallah, kiranya Allah masih lagi ingin memberi kesempatan dengan melanjutkan umurku. Waduh waduh….

2011;
Tahun ini, memberikan impak yang agak besar buatku. Tahun ini melayakkan anak sulungku Ezry melangkah ke Tahun 1. Jika dulu aku berdebar-debar dalam dewan bersalin,… tahun ini aku berdebar-debar juga, cuma bezanya kini dalam dewan sekolah. Jika 6 tahun dulu aku cemas memikirkan kesempurnaan fizikal anak yang bakal aku lahirkan, sekarang aku lebih cemas memikirkan kesempurnaan perkembangan anakku sebagai seorang insan….. Perjalanannya barunya ini amat jauh. Ditambah lagi dengan keperluan semasa yang seboleh-bolehnya ingin mempalitkan serba sedikit kemahiran dengan beralatkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), perjalannya pasti akan sedikit sebanyak menjadi lebih mencabar. Aku sebagai ibu hanya mampu membekalkannya doa agar dia akan menjadi anak yang sentiasa mendambakan ilmu.

2011;
Rutin harianku sedikit sebanyak turut berubah. Tiap pagi, aku tidak lagi memandu berseorangan ke sekolah. Akan ada ‘Edi Jr.’ disebelahku yang akan menemaniku, menjadi teman bersembang atau sesekali menjadi pengkritik bagi kata-kata atau lagu yang didengar sepanjang perjalanan kami. Memimpinnya ke pintu pagar sekolah, menyarungkan beg sandang sebelum berbalas lambaian menjadikan diriku seakan berada lebih rapat dengannya. Ada kalanya, sebaik sahaja tamat pembelajaran, aku akan masuk ke bilik guru dan Ezry sudah sedia ada di situ. Al-maklum sajalah… sesi persekolahan sekolah rendah tamat lebih awal berbanding waktu kerjaku.(Sementara awal tahun yang mana kebanyakan kerja baru saja hendak bermula…tak sepadat mana) Masa kosong sementara menunggu waktu balik akan aku guna untuk melayaninya. Banyak cerita yang akan keluar dari mulutnya. Waktu ini jugalah banyak juga permintaannya… Nak makan itulah, ini lah.. Nak tumpang toiletlah…. Macam-macam. Namun walaupun setiap tengahari aku terpaksa berkongsi meja dengannya, aku rasa aku gembira. Mungkin kesibukan melayani adik-adik selama ini sedikit sebanyak membuatkan aku agak alpa tentang keperluan melayaninya. Namun kini, kebanyakan masa kembali kami luangkan bersama…. Baguslah!

Sekurang-kurangnya satu episod indah telah mengisi perjalanan 2011 ku…. 

Saturday, November 20, 2010

Kg Pandan...... dari kacamataku yang kerdil waktu itu.

 ‘Jiran sepakat membawa berkat’. Masa zaman aku kecil-kecil dulu, memang selalu dapat didengar ungkapan ini di kaca televisyen. Mungkin pada waktu itu Kementerian Penerangan memang beriya-iya ingin menerapkan kesedaran ni di kalangan masyarakat setempat. Mungkin juga kerana waktu itu jiran tetangga sudah nampak akan ketidak-akrabannya. Entahlah, kerana waktu itu, aku masih ala-ala kanak-kanak riang yang tak beberapa kisah tentang perkara ini, melainkan semasa diminta menggunakannya dalam latihan menulis karangan di sekolah. Lagipun, walau di mana aku berada, Alhamdulillah, semua jiran-jiranku ok-ok belaka.


Mengimbas kenangan di Kg Pandan (Jalan Gambang, Kuantan)- Makcik Tinam, Makcik Za, Makcik Mie, (Arwah) Makcik Nah, Makcik Suri dan berbakul-bakul makcik yang tinggal disekelilingku, di kawasan rumah-rumah sewa Makcik Tinam/ Pakcik Daud tu semuanya ‘kow-team’ belaka. Mungkin hasil susun atur beberapa buah rumah sewa mengelilingi sebuah rumah induk tuan rumah menjadikan penghuninya akrab. Terserlah, terutama sewaktu perjumpaan petang-petang yang lapang di tangga salah satu rumah terpilih. Tapi biasanya tangga tuan rumah (makcik Tinam) yang jadik mangsa. Waktu tu lah makcik-makcik termasuk ibuku yang satu tu memperdebatkan sebarang isu, selain bertukar-tukar resipi walaupun untuk menu yang sesimple kangkung goreng belacan..hehehe (Pandai-pandai je aku tokok tambah sedangkan waktu tu aku hanya baru darjah satu…apa sangat la yg aku kisah ttg perbualan makcik-makcik nih!) Selain waktu persidangan, mereka turut berkumpul untuk sama-sama menghantar anak pergi/ balik dari sekolah, (Aku  gi sekolah naik trak askar, tau!!), waktu tunggu van ikan atau apa-apa sahaja ruang yang membolehkan mereka berkumpul. On the way nak pergi ambil serai pun boleh tersangkut….hehehe.

Walau apa kisahnya, aku bukan peduli sangat sebab aku, Haidi, Ujang dan Zerul ada mision sendiri. Ujang dan Zerol anak-anak makcik Tinam, yang menjadi rakan akrab aku zaman tu. Aku dan Ujang sebaya, manakala Zerul yang paling junior. Selain itu, Nini dan adiknya ada juga, tetapi kurang rapat dengan mereka kerana mereka masuk menyewa agak lewat sikit. Kalau main masak-masak, aku mesti terpilih jadik mak, Ujang jadik ayah, Haidi dan Zerul jadik anak-anak. Kalau tak pun, Zerul jadik budak suruhan Ujang untuk gi naik atas rumah amik keperluan2 yang kami nak guna…(Cara selamat supaya tak kena marah dengan makcik Tinam! Hehehe). Kami main jentik petutup botol, main patung kertas, main tembak-tembak macam koboi, main basikal, main kejar-kejar, sorok-sorok dan macam-macam lagi. Malah, zaman ‘belajar kayuh basikal’ku juga bermula di sana. Cemburu dengan Ujang yang pandai mengayuh basikal besar, aku gigih belajar basikal. Akhirnya aku pandai naik basikal, itupun setelah bakul hadapan basikal comel (hadiah dapat nombor satu) yang baru beberapa minggu menjadi milikku itu kemek bakul hadapannya. Aku langgar tiang lampu dan Ujang dengan berlagaknya berhenti semata-mata untuk mentertawakan aku! Yang pasti kehidupan kanak-kanakku disitu memang menyeronokkan. Kami berempat atau sesekali bertiga (tanpa Zerul), turut bersama-sama mengayuh basikal kerumah ‘Mbah’, nenek Ujang untuk mengaji Quran. Waktu hujan musim tengkujuh kami bersama-sama Kak Na dan Kak Sal, memancing ikan di kolam kecil depan rumah Ujang (dengan pengawasan orang dewasa, ok!)… Malah yang lucunya, aku pernah mendapat ikan bodoh yang memakan mata kailku yang tak pun aku bubuhkan umpan. Atas kebodohannya tu, Kak Na membantuku melepaskannya semula ke dalam kolam,… suruh dia masuk sekolah dulu! Hah..memang semuanya sangat indah untuk dikenang.

Tatkala petang, masing-masing akan keluar dari rumah. Abah yang baru balik kerja itu akan mengeluarkan cangkulnya, mempetulkan batas-batas sayur, ubi dan tanaman di hadapan rumahku itu sambil bertegur sapa dengan pakcik makcik jiran tetanggaku itu. Biasalah..kalau ada aktiviti, masing-masing seakan berjangkit… cangkul keluar di sana, cangkul keluar di sini, cangkul keluar di sinun. Kalau yang ni siram… sana siram, sini gembur, sinun baja dan seterusnya. Pemandangannya: masing-masing akan sibuk bersama-sama menguruskan tanaman masing-masing. “Bersama-sama tapi masing-masing”.. paham kan? Buat kerja bersama-sama tapi tanaman masing-masing la… kalau tak pasal-pasal nak pergi gali ubi orang nanti lain macam pulak rasanya kan?! Seingat aku memang tanah di situ subur. Abah tanam kacang panjang, peria (sinilah pertama kali aku kenal peria!), ubi kayu, keledek, malah macam-macam. Bila ada hasil… dapat juga dihulur kepada jiran tetangga. Mereka pun begitu juga. Malah ada juga yang  ‘hulur’ setelah siap dimasak jadi lauk. Lagi la aku suka!

Tatkala petang-petang jugalah sesekali akan ada orang memberi salam dengan pinggan di tangan. Kadang-kadang ada kuih lapis, ada lopis, ada goreng pisang (biasanya mak aku yang akan mengedarkan menu ni kat jiran-jiran sebab kat belakang rumah abah tanam banyak pokok pisang), bubur kacang dan macam-macam lagi lah. Masa ni la makcik2 ni nak tunjuk hebat dengan air tangan masing-masing. Kalau nak minta resipi, tunggu ‘persidangan’ akan datang… Malah zaman ni juga, ada seakan kelas masakan di mana-mana rumah terpilih. Hinggakan hasilnya waktu tu ma pun pandai tebar roti canai!! Jangan tak percaya!! (Sekarang sure tak ingat dah). Memang dok di Kg Pandan amat ceria!

Di sini jugalah adik bongsuku dilahirkan. Sebab itulah aku sesekali menggelarkannya ‘anak Kg Pandan’. Tanpa bantuan kedua-dua orang nenekku, ma melalui tempoh pantangnya tanpa sebarang masalah. Semuanya kerana ada ramai ‘emak-emak angkat’ yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan. Akan sentiasa ada makcik-makcik itu yang datang bertanya khabar, malah ada yang langsung menawarkan diri untuk apa-apa tugas khas. Mungkin kerana ikhlasnya emakku melakukan perkara yang sama sewaktu mereka dalam keadaan yang sama.

Biasalah walau semanis mana kehidupan di sana, semuanya terpaksa kutinggalkan juga  memandangkan aku anak seorang tentera. Aku dan keluarga berpindah ke Kelantan pada akhir tahun 1985. Dari apa yang kudengar, Ujang, Kak Sal dan Kak Na, masing-masing dah berkeluarga, mungkin Zerul juga! Penyewa-penyewanya sudah bertaburan ke sini sana. Kunjungan terakhirku ke sana beberapa tahun lalu menyedarkan aku bahawa Kg. Pandan itu tidak lagi sepertimana ‘Kg. Pandan’ku dulu. Jalan kecil untuk masuk ke kampung itu, yang dahulunya didahului dengan pohon-pohon hutan di kiri kanan jalan, kini sudah menjadi selebar-lebar jalan. Terbentang lapangan terbang di hadapannya, dan kebanyakan pokok-pokok kelapa sawit dulu kini bertukar menjadi tiang rumah orang. Memang sukar untuk aku cam jalan masuknya, malah mungkin mustahil jika abah tak ikut sama. Kolam ‘ikan bodoh’ dulu sudah entah di mana. Malah yang paling merobek hatiku ialah tatkala melihat rumah hujung yang pernah kudiami dulu, kini menjadi sebuah rumah usang yang langsung tak kelihatan sepertimana rumahku dulu, meskipun masih tetap mempunyai penyewanya. Tiada lagi batas-batas ubi abah. Tiada lagi para kacang panjang, atau batang-batang pohon ubi kayu. Tiada lagi reban ayam dua tingkat abah yang dulunya pernah aku jadikan pentas nyanyian ‘Ku Petik Bintang-bintang’ sewaktu pembinaannya. Tiada lagi hutan tebal dibelakang rumahku yang si monyet-monyet penghuninya itu sesekali keluar mengagah-agah kami dulu, atau mencuri petik pisang yang masak ranum. Tiada lagi bayangan Ujang, Haidi, Zerul dan aku yang berlari-lari dengan mulut masing-masing bising dengan bunyi ‘machine-gun’nya. Tiada lagi semuanya…. Cuma yang ada hanyalah sekelumit kisah ‘Kg. Pandan’ yang takkan terubah sedikitpun dalam memori hidupku.