Sunday, May 22, 2011

Tulus dari hati....

Selamat bersua kembali.
Aduh2... kalau diibaratkan laman ini seumpama pokok, pastinya dah lama mati ketandusan kerana sudah lama benar ditinggalkan tak bersiram. Begitu jugalah halnya dengan laman blog ini yang sudah sekian lama ditinggal tanpa sebarang pengisian. Alasanku mudah dan tetap sama.... S.I.B.U.K... :)

Hari ini ada sedikit keluangan dan disertai dengan kerinduan pada blogku yang lama tak ku usik ini, lalu kugagahkan juga untuk meninggalkan sesuatu dihalamannya. Moga2 laman blogku ini akan kembali berseri.





Mohon laluan walau agak kelewatan untuk aku mengucapkan SELAMAT HARI IBU buat semua ibu-ibu, terutama ibuku Pn Suraiyah yang merupakan seorang ibu yang penuh dengan limpahan kasih sayang, juga buat ibu mertuaku, Pn Rusnah yang merupakan seorang ibu yang penuh dengan ketenangan dan sifat-sifat keibuan. Terima kasih atas apa juga yang kalian berdua lakukan buat kami, dari dulu hingga kini. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Masih terngiang-ngiang kata-kata ibuku  "Da, bukan senang nak didik anak.... Suatu hari nanti, sampai masanya....Da akan rasa..."


Dan kini, hampir 7 aku memegang panggilan 'mama'.... membuatkan aku sedikit sebanyak semakin menyelami perasaan seni manusia-manusia berstatus ibu ini. Perasaan yang pelik, dan kadangkala sangat halus dan agar sukar untuk difahami. Pernah dulu aku takut untukmemikirkan andai aku berkesempatan mewarnai hidupku sebagai seorang ibu, namun dengan kuasa Tuhan, Alhamdulillah..rupanya aku masih diberi peluang. 

Menjadi seorang ibu kepada 3 orang anak yang masih kecil, sememangnya menguji kesabaran. Jika dulu, aku diduga dengan kepenatan berjaga malam, menyusukan, menukar lampin dan sebagainya.... Kini cabarannya masih ada, cuma dalam bentuk berbeza. Keutamaan kini adalah dalam aspek pendidikan dan pembentukan peribadi yang pastinya setiap ibu inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Tanyalah siapa saja..... pastinya semua ibu yang ada akan mengimpikan anak-anak yang TERbaik, TERcerdik, TERhebat, TERsopan, TERalim dan segala bentuk TER lagi yang baik-baik. Kalau boleh... biar semua yang masuk ke cuping telinga ini adalah perkara yang hebat-hebat, yang baik-baik saja berkenaan anak-anak. Aku akui...memang pelik.... kadang-kadang, aku ada juga marah-marahkan mereka, merungut itu ini mengenai tingkah laku mereka,...Cuma hairannya, apabila perkara yang sama keluar dari bibir orang lain (tak kira siapa orangnya!)... telingaku akan jadi pedih...hatiku akan tersiat-siat, terhiris-hiris. Jiwa mudah jadi sayu, dan airmata akan mudah saja menitik ke pipi.... Halusnya naluri seorang ibu, walaupun itu adalah seorang aku!! Sama juga dengan tingkah laku. Biarlah kalau aku marah, aku sekeh, aku libas, aku sebat.....asal bukan orang lain. Kalau orang lain, jentik sekali pun dah cukup buat aku tak senang duduk. 

Namun aku tahu. Kadangkala aku kena juga belajar untuk merelakan. Merelakan apa juga...asalkan ianya bertujuan untuk membentuk mereka menjadi manusia yang sebenarnya. Jadi kalau mereka hendak kata, kata sajalah.... asalkan apa yang diperkatakan itu benar. Kalau mereka hendak tolong sebat, sebat sajalah....asalkan tujuannya benar. Aku akur.... jika setakat hanya aku...setakat manalah sajalah yang aku mampu.


Kadangkala timbul juga rasa terkilan tatkala mengenangkan bahawa aku masih belum layak memangku status ibu yang terbaik. Aku akui... sebagai ibu berkerjaya, aku kadangkala tersepit antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawabku sebagai seorang ibu. Bertambah buruk memandangkan kerjayaku sebagai seorang guru tidak hanya terhenti tatkala aku melangkah keluar dari pintu pagar sekolah. Beg yang kujinjit sentiasa membawa bersama tugasan-tugasan yang masih perlu aku selesaikan di rumah.... (merampas masaku dari anak-anakku). Untuk itu, aku amat berterima kasih buat Cik Siti, pembantu rumahku yang setia membantuku menjadi galang-ganti tatkala anak-anakku memerlukan aku. (Terima kasih Siti.... rasanya layak juga Siti sambut Hari Ibu sebelum menjadi ibu). Perkara-perkara sebegini yang aku rasa telah sedikit sebanyak menurunkan sedikit merit diriku dari mencapai status seorang ibu yang benar-benar sempurna.


Kalau boleh aku tabik spring.... pastinya akan aku tabik spring x1000 buat ibuku yang dulu 100% mengorbankan masa dan tenaganya dalam mendidikku adik beradik sehingga menjadi 'orang', bukannya 'hantu'. Kasihnya melimpah ruah sehingga dilempiaskan bukan setakat kepadaku semasa kecil dulu, malah hingga kini,  malah turut dilempiaskan jua buat anak-anakku. Begitu juga ibu mertuaku yang tak kenal penat jemu memberi asuhan yang terbaik sekalipun saban hari penat bekerja. Cekal dan tekal sekalipun ayah kadangkala terpaksa bertugas agak jauh darinya. Itulah yang sering disebut2 oleh suamiku. Dua manusia ini seboleh-bolehnya kujadikan idola.... jadikan inspirasi agar suatu hari nanti, anak-anakku juga menyayangiku sepertimana aku menyayangi mereka.


Sekali lagi, untuk para ibu.... "SELAMAT HARI IBU". 

No comments:

Post a Comment