Saturday, July 4, 2009

Mat Rempit @ Samseng Jalanan

Mat Rempit or Samseng Jalanan?? Huh! Sama saja..... aksi mereka masih boleh dilihat dimana-mana. Bukan panggilan itu yang mereka kisahkan. Hanya pandangan sekeliling yang mereka harapkan. Hal hendak tertonggeng di tepi jalan atau tersembam ke dalam longkang... itu belakang kira. Konon yang mereka cari kepuasan dan cabaran. Sedangkan kalau terlantar di hospital atau tercongok di atas kerusi roda, orang tua mereka (yang mungkin langsung tak reti nak tolak motor) yang akan tercongok pula di tepi mereka. Waktu tu mungkin perspektif mereka akan berbeza. Hanya waktu itu perspektif mereka akan berbeza.

Aku masih cikgu. Jauh sekali nak tukar profesionku menjadi polis trafik atau JPJ atau penceramah kempen keselamatan jalan raya sekalipun... Tidak...tidak... Aku masih cikgu. Dan mungkin 'mata cikgu'ku ini yang membuatkanku tak betah sekadar memandang. 'Tangan dan mulut cikgu' ni juga tak betah duduk diam.

Biasanya aku hanya menonton kes ini di kaca televisyen. Atau kalau terserempak pun dalam kumpulan kecil 'manusia bodoh' ini. Tapi perjalanan pulangku dari Kuantan tempohari memberi peluang untukku melihat dengan mata kepala sendiri. Semuanya bermula sebaik kami melepasi tol Lebuhraya Timur Barat. Dari jauh kelihatan sekumpulan BESAR penunggang motosikal yang baru hendak mula bergerak. Ramai.... memang ramai sungguh!! Ala-ala konvoi Di-Raja la pulak gayanya. Beberapa kereta yang dihadapanku hinggakan terpaksa mengelak ke laluan paling kanan.....

Mulanya memang aku menyangka ianya suatu aktiviti konvoi besar-besaran. Manakan tidak.... daripada hampir 200 buah motor itu, berpuluh-puluh pula yang memakai jaket 'SECURITY' kuning fluorescent. Tetapi sebaik melintasi kumpulan mereka, mula terasa sesuatu yang tidak kena. Tingkah laku mereka sangat merbahaya. Mereka seolah langsung mengabaikan pengguna-pengguna lebuhraya yang lain. Semakin lama semakin laju mereka memecut. Aksi aksi kurang sopan mula dipamerkan. Gaya 'superman' dan macam-macam gaya lagi cuba mereka tunjukkan. (Yang gemuk dan boroi pun bercita-cita nak jadi 'superman boroi'. Mungkin ada yang mengatur strategi untuk meng'gilis'kan lemak mereka atas jalan tar kot... untung-untung penampilan kedua mereka nanti akan lebih kurus!!) Motor tu pastinya menyumpah mereka berbakul-bakul. Yang buat aksi 'motor tunda' pun ada. Mereka menyelit di celah-celah kereta lain seolah memang itu kawasan permainan mereka.

Bukan baik sangat hati aku untuk ambil kisah keselamatan mereka. Sesekali ada juga syaitan yang berbisik di telingaku agar mendoakan saja mereka jatuh tergolek di tepi lebuhraya tu. Aku tak kisah, malah jauh lagi dari mahu berhenti membantu kalau itu berlaku. Yang lebih aku kisahkan adalah keselamatan pengguna-pengguna lain (termasuk aku lah tu!). Kalau setakat nak tergolek seorang tak apalah. Tapi kalau tergolek ke bawah kereta orang macamana?? Atau kalau tak pun, semata-mata nak mengelak mereka, mungkin kereta lain pula yang mendapat bencana. Aku tak bayangkan kumpulan ratusan tu akan membantu....

Meluat dan menyampah... Mungkin itu perkataan yang paling tepat aku gambarkan perasaanku. Setiap kali keretaku melintasi penunggang-penunggang ini (yang tak tahu nak ku panggil Mat Rempit atau Samseng Jalanan etc...), aku pandang wajah-wajah mereka.... Cuba untuk menjiwai perasaan mereka, tapi malangnya aku tak berjaya. Yang mampu aku lihat waktu itu adalah keBODOHan mereka semata-mata. Kesian mak ayah mereka kerana beras berguni-guni yang mereka angkut balik ke rumah hanya mampu membentuk manusia 'istimewa' seperti mereka!! Sayang sungguh!! Kesian juga pada teman-teman seperjuanganku yang pernah menjadi guru mereka... Perjuangan mereka hanya sia-sia.....
Meluat dan menyampah yang ada dalam hatiku berterusan hingga beberapa kilometer. (Mungkin hampir 30/40 km).. Tiba di suatu kawasan, kulihat 'marshall' mereka sedang kalut memberikan isyarat. Ada juga yang berdiri di atas jalan raya bagi memastikan semua dapat melihat isyarat mereka. Kelam kabut juga jadinya dengan penunggang-penunggang yang berpatah balik (bertentangan arus) untuk ke kawasan berkumpul mereka. Aksi mereka terhenti di sana....

Aku dapat merasa ada sesuatu yang tidak kena. Dan seperti yang kuduga, selang beberapa kilometer seterusnya, terdapat sebuah kereta peronda polis yang diletakkan di bahu jalan. Pastinya kehadiran polis ini telah awal-awal lagi dapat dikesan... Ah!! Sayang sungguh!!! Bagiku, ini adalah satu lagi kegagalan.... Terlepasnya mereka menunjukkan sebodoh-bodoh mereka, mereka masih lagi ada secebis akal yang mereka gunakan hanya untuk memboloskan diri daripada pihak berkuasa....

Nanti sajalah..... Mereka takkan jemu untuk terus beraksi.....

No comments:

Post a Comment