Tuesday, June 16, 2009

Dunia baru....

Hmmmm...

Baru je rasanya aku berjuang dalam bilik bersalin di Hospital Selayang. Baru juga rasanya pertama kali aku memeluk anak sulungku yang masih lagi berkedut kulitnya sebaik saja nurse menghulurkannya padaku sejurus dilahirkan..... Segalanya (itu dan ini....) segalanya...memang seakan baru saja berlalu.

Tahu-tahu saja, Ezry sudah mula ke sekolah!!! 15 Jun 2009 menjadi tarikh bersejarah buatnya yang pertama kali melangkah ke dunia bergelar 'sekolah'. Bukan perkara luarbiasa kerana pada masa yang sama, rakan-rakan sebayanya telahpun hampir setengah tahun bersekolah. Memang sengaja aku dan suami berlengah-lengah mendaftarkan Ezry. Kami bimbang dia akan bosan jika terlalu awal ke sekolah. Lagipun, dengan bertambahnya dua orang ahli baru (dan seorang pembantu), hidup kami agak sedikit kelam kabut kerana 'jadual' yang tidak menentu. Biarlah anak-anakku dibiasakan dulu dengan pembantuku, juga biarlah keadaan agak 'tenang' sedikit, barulah kufikirkan tentang rencana menyekolahkan Ezry. Hal ini disokong pula dengan sikap Ezry kebelakangan ini yang agak kurang keyakinan diri ( terutama apabila berada dalam kelompok baru atau orang ramai). Lalu, aku mula merisik Kak Yati (jiran sebelah rumahku) yang merupakan pemilik sebuah tadika berhampiran. Kak Yati tak keberatan menerima Ezry walau telah dipertengahan tahun, Alhamdulillah....

Ezry sebenarnya telah mempunyai sedikit asas dalam pembelajarannya. Mungkin ada sedikit kelebihan baginya kerana Neneknya sering meluangkan masa mengajar Ezry, termasuklah membaca dan mengeja. (Alhamdulillah.... Ezry sudah boleh membaca perkataan yang mudah2). Perkara yang lebih aku risaukan ialah pergaulannya......

Biasalah, hari pertama persekolahan Ezry agak tragis... (Heheheh). Seperti yang aku duga, masalah Ezry ialah untuk bangun pagi. Puas Nenek dan Atuk memujuk membangunkannya. Aku akui kesilapanku kerana selama ini membiasakan Ezry tidur amat lewat (sekitar 11-12 mlm). Selesai saja babak pertama, babak kedua pula bermula. Ezry tak mahu ditinggalkan Nenek. Sepanjang sesi hari itu Nenek terpaksa bersekolah Tadika semula!! Malang dan satu kerugian besar kerana aku tak dapat menghantarnya ke sekolah buat pertama kali. Maafkan mama, Ezry.... mama terpaksa menjalankan tanggungjawab mama mendidik anak orang lain dan anak mama, mama terpaksa tumpangkan dibawah jagaan orang lain.......

Hari kedua... segalanya beransur-ansur baik. Tak banyak karenah, Ezry mula sukakan sekolahnya. Lagipun, hari pertama dia sebenarnya mula membiasakan diri untuk bercakap di depan kelas. Cikgu pun banyak memberikan Ezry peluang, membuatkan Ezry rasa diterima dalam kelompok barunya itu. (Kembang kempis dia bercerita kepadaku cikgu memujinya 'Very Good'! Tenggelam kisah dia memaksa Nenek menunggunya separuh hari...hehehe)

Walau apa juga kisahnya... Hatiku berbunga-bunga. Bangga dan tak percaya anakku yang kususui dulu kini mula bersekolah. Pada masa yang sama, hatiku seakan terusik.... Sedih dan sayu mengenangkan betapa Ezry tak tahu dan tak mampu membayangkan bahawa hari itu adalah hari pertama dia bersekolah dan hari itu juga merupakan hari pertama baginya menempuhi satu perjalanan dan pengembaraan yang amat panjang!!! Kuiringkan doa agar Ezry mampu menempuhi segala dugaan pada hari-hari yang menanti dan seterusnya menjadi insan yang berjaya dalam setiap lapangan yang diceburi... Insyaallah.....
Selamat ke sekolah, Ezry!

Update:
(2 Julai 2009).... setelah beberapa hari bersekolah, Ezry tidak lagi bermasalah untuk bangun pagi. Kadangkala, dia pula yang berkobar-kobar untuk ke sekolah. Setiap hari, ada-ada saja ceritanya tentang apa yang terjadi di sekolah.
"Mama... tadi, Ezry terjatuh dari kerusi.... kelakar betul..."
"Mama tau tak, tadi teacher Ezry kata bla bla bla..."
"Hmmm... Negaraku, tanah tumpahnya darahku... pastu apa mama? Ezry lupa..hehee"
"Mama, mula-mula kita angkat tangan, pastu kata Maka kami, rakyat Malaysia, ada undang-undang...(heheheh)"
Yang paling membanggakanku, Kak Yati ada bercerita, cikgu Ezry sengaja minta Ezry menjawab kertas peperiksaan Iqra' minggu lepas (Ezry dikecualikan sebab baru masuk). Soalannya mudah-mudah saja... tapi Kak Yati dan cikgunya agak kagum juga sebab Ezry berjaya mendapat markah yang agak tinggi sedangkan hanya berpeluang belajar beberapa hari.... cuma tulisan (jawinya) agak teruk. Walau apapun, kenyataan itu membuatkan hatiku semakin berbunga-bunga......

No comments:

Post a Comment