Tuesday, June 16, 2009

Dunia baru....

Hmmmm...

Baru je rasanya aku berjuang dalam bilik bersalin di Hospital Selayang. Baru juga rasanya pertama kali aku memeluk anak sulungku yang masih lagi berkedut kulitnya sebaik saja nurse menghulurkannya padaku sejurus dilahirkan..... Segalanya (itu dan ini....) segalanya...memang seakan baru saja berlalu.

Tahu-tahu saja, Ezry sudah mula ke sekolah!!! 15 Jun 2009 menjadi tarikh bersejarah buatnya yang pertama kali melangkah ke dunia bergelar 'sekolah'. Bukan perkara luarbiasa kerana pada masa yang sama, rakan-rakan sebayanya telahpun hampir setengah tahun bersekolah. Memang sengaja aku dan suami berlengah-lengah mendaftarkan Ezry. Kami bimbang dia akan bosan jika terlalu awal ke sekolah. Lagipun, dengan bertambahnya dua orang ahli baru (dan seorang pembantu), hidup kami agak sedikit kelam kabut kerana 'jadual' yang tidak menentu. Biarlah anak-anakku dibiasakan dulu dengan pembantuku, juga biarlah keadaan agak 'tenang' sedikit, barulah kufikirkan tentang rencana menyekolahkan Ezry. Hal ini disokong pula dengan sikap Ezry kebelakangan ini yang agak kurang keyakinan diri ( terutama apabila berada dalam kelompok baru atau orang ramai). Lalu, aku mula merisik Kak Yati (jiran sebelah rumahku) yang merupakan pemilik sebuah tadika berhampiran. Kak Yati tak keberatan menerima Ezry walau telah dipertengahan tahun, Alhamdulillah....

Ezry sebenarnya telah mempunyai sedikit asas dalam pembelajarannya. Mungkin ada sedikit kelebihan baginya kerana Neneknya sering meluangkan masa mengajar Ezry, termasuklah membaca dan mengeja. (Alhamdulillah.... Ezry sudah boleh membaca perkataan yang mudah2). Perkara yang lebih aku risaukan ialah pergaulannya......

Biasalah, hari pertama persekolahan Ezry agak tragis... (Heheheh). Seperti yang aku duga, masalah Ezry ialah untuk bangun pagi. Puas Nenek dan Atuk memujuk membangunkannya. Aku akui kesilapanku kerana selama ini membiasakan Ezry tidur amat lewat (sekitar 11-12 mlm). Selesai saja babak pertama, babak kedua pula bermula. Ezry tak mahu ditinggalkan Nenek. Sepanjang sesi hari itu Nenek terpaksa bersekolah Tadika semula!! Malang dan satu kerugian besar kerana aku tak dapat menghantarnya ke sekolah buat pertama kali. Maafkan mama, Ezry.... mama terpaksa menjalankan tanggungjawab mama mendidik anak orang lain dan anak mama, mama terpaksa tumpangkan dibawah jagaan orang lain.......

Hari kedua... segalanya beransur-ansur baik. Tak banyak karenah, Ezry mula sukakan sekolahnya. Lagipun, hari pertama dia sebenarnya mula membiasakan diri untuk bercakap di depan kelas. Cikgu pun banyak memberikan Ezry peluang, membuatkan Ezry rasa diterima dalam kelompok barunya itu. (Kembang kempis dia bercerita kepadaku cikgu memujinya 'Very Good'! Tenggelam kisah dia memaksa Nenek menunggunya separuh hari...hehehe)

Walau apa juga kisahnya... Hatiku berbunga-bunga. Bangga dan tak percaya anakku yang kususui dulu kini mula bersekolah. Pada masa yang sama, hatiku seakan terusik.... Sedih dan sayu mengenangkan betapa Ezry tak tahu dan tak mampu membayangkan bahawa hari itu adalah hari pertama dia bersekolah dan hari itu juga merupakan hari pertama baginya menempuhi satu perjalanan dan pengembaraan yang amat panjang!!! Kuiringkan doa agar Ezry mampu menempuhi segala dugaan pada hari-hari yang menanti dan seterusnya menjadi insan yang berjaya dalam setiap lapangan yang diceburi... Insyaallah.....
Selamat ke sekolah, Ezry!

Update:
(2 Julai 2009).... setelah beberapa hari bersekolah, Ezry tidak lagi bermasalah untuk bangun pagi. Kadangkala, dia pula yang berkobar-kobar untuk ke sekolah. Setiap hari, ada-ada saja ceritanya tentang apa yang terjadi di sekolah.
"Mama... tadi, Ezry terjatuh dari kerusi.... kelakar betul..."
"Mama tau tak, tadi teacher Ezry kata bla bla bla..."
"Hmmm... Negaraku, tanah tumpahnya darahku... pastu apa mama? Ezry lupa..hehee"
"Mama, mula-mula kita angkat tangan, pastu kata Maka kami, rakyat Malaysia, ada undang-undang...(heheheh)"
Yang paling membanggakanku, Kak Yati ada bercerita, cikgu Ezry sengaja minta Ezry menjawab kertas peperiksaan Iqra' minggu lepas (Ezry dikecualikan sebab baru masuk). Soalannya mudah-mudah saja... tapi Kak Yati dan cikgunya agak kagum juga sebab Ezry berjaya mendapat markah yang agak tinggi sedangkan hanya berpeluang belajar beberapa hari.... cuma tulisan (jawinya) agak teruk. Walau apapun, kenyataan itu membuatkan hatiku semakin berbunga-bunga......

Sunday, June 7, 2009

ABAM or LEMBAM

Hmmm.... Lama sangat dah tak tengok cerita Melayu di TV.
Entah kenapa malam tadi, tanganku terasa amat malas hendak mencapai remote yang terletak agak jauh dariku. Jadi sambil menanda kertas peperiksaan, aku turutkan saja naluri pelikku untuk menonton cerekarama TV3 minggu ini. Manalah tahu, tayangan malam ini ada unsur menariknya dimana-mana. Lagipun, dari judul dan sinopsisnya, cerita ini tak ada unsur-unsur mistik dan seram yang memang di'haram'kan di rumahku kerana anakku Ezry tu penakut nombor satu!!! Judulnya....."ABAM"

Bermula dari minit-minit pertama tontonanku, suara hatiku telah berkali-kali menjerit protes. Banyak benar perkara yang akal cetekku ini tak dapat terima. Cerita yang ditayangkan membawa masej mudah. Kisah pergolakan hidup antara dua orang saudara lelaki (adik beradik tiri) yang mampunyai karekter yang 100% kontras. Si adik, Angah, menjadi pujaan dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh si ayah, manakala si abang, Abam, sentiasa menjadi mangsa pilih kasih si Ayah akibat dendam tak berpenghujung si Ayah kepada arwah bapa Abam (musuh ketatnya dikala muda). Jadi sepanjang 50% awal cerita, hanya menunjukkan kisah 'cerita Melayu tipikal' ala-ala kisah Cindarella... yang mana kalau jahat tu teramat la jahatnya, dan kalau baik pula.... baik la teramatnya (hingga termasuk ke skop bodoh la pulak gayanya). Pengorbanan Abam yang tak bertempat, kononnya sebagai bukti kasih pada Angah langsung tak dapat diterima akal. Dahlah pemilihan pelakon yang dah tak nampak se'remaja' mana untuk watak budak tingkatan 5. Dan sebagai seorang guru, ada bahagian-bahagian yang memang menampakkan kebodohan yang nyata dan membuat aku tersenyum dalam loya... Contohnya, apabila keputusan peperiksaan di'pinjam'kan kepada Angah semata-mata untuk menyelamatkan Angah dari dimarahi ayah. Seterusnya, Abam yang teruk dibelasah kerana ayahnya percaya keputusan teruk yang ditunjukkan adalah milik Abam... Wah,wah, wah... mudah benar nak ubah-ubah keputusan peperiksaan sekarang ini ye.... guna liquid paper ke guna correction tape nih?? Si ayah tahu membaca ke tak? Lagi satu, penduduk kampung tak pernah nampak ke si Angah ni dengan aktiviti liarnya hingga meleret sebegitu lama tanpa diketahui ayah, sedangkan kali pertama Abam balik lambat, terus sampai ke pengetahuan ayahnya. Kejahatan Angah pula adalah kejahatan yang nampat dibuat-buat... entahlah... nak komen pun tak tahu nak mula dari mana sebenarnya. Yang pasti, mulutku tak habis-habis membebel dengan protes yang tak habis-habis, tapi tekad untuk menonton babak-babak kebodohannya hingga ke akhir cerita.

Yang pasti, cerita-cerita sebegini mengingatkan aku beberapa karangan ala-ala cerpen pendek yang pernah aku karang semasa aku berada dalam darjah 6 dulu. 85% jalan ceritanya hampir sama, kecuali penyudah 'cerpen'ku dulu kurasa mampu kugarap dengan lebih kemas dan menarik. Namun, cerekarama ABAM ini memang bukan penerbitan yang sia-sia. Cuma slot tayangannya saja yang kurasakan tidak kena. Sepatutnya ia tidak dimuatkan dalam slot cerekarama tapi dijadikan salah satu cerita bimbingan tauladan dalam TV Pendidikan bagi matapelajaran Pendidikan Moral tingkatan 1 atau 2.

Maaflah TV3, kerana aku memberikan pandangan sinis yang mungkin agak mengecewakan. Namun, aku sebagai penonton yang jarang-jarang berpeluang menonton TV ni, laaaaaaaaaagi kecewa dengan apa yang kutonton malam tadi. Diharap TV3 tidak hanya tangkap muat sahaja dalam menyediakan rancangan yang bermutu dan memuaskan hati semua pihak.

Alahai ABAM.......

Saturday, June 6, 2009

Tak Terkejar Waktu....

Dah pun 6 Jun 2009...
Aduh... pejam, celik, pejam, celik...dahpun bulan Jun. Maknanya telah setengah tahun aku lalui hidupku dalam calendar 2009. Pantasnya masa berlalu. Kalau mengambil tempat para pelajarku yang akan menduduki SPM tahun ini, pastinya masa mereka terasa lebih pantas (ye ke??)

Mengisi hari-hari cuti pertengahan tahun ini (yang hampir separuh kutempuhi).... lebih pantas rasanya masa berlalu. Aku tak merancang apa-apa aktiviti dalam cuti ini memandangkan banyak benar kertas peperiksaan yang perlu aku tanda. Cuma bermula Sabtu hingga Selasa, aku dan suami sekeluarga pulang ke Ipoh memandangkan telah lama kami tidak pulang ke sana. Kesian ayah dan mama yang telah agak lama tidak menemui cucu-cucu mereka. Cuma itu sajalah 'percutian'ku. Dalam tempoh singkat itu, kami sekeluarga dan adikku (Eza & Khan) sempat juga berkelah ke Ulu Chepor. Sempat jugalah Ezry bermain-main air di sana. (Tima kasih Maksu/Paksu)

Sepulangnya ke KL, aku tidak merancang ke mana-mana selain menghadiri beberapa undangan perkahwinan. Namun nampak gayanya akan ada 'aktiviti' baru buatku dan suami memandangkan ada tanda-tanda positif suamiku dijangkiti Denggi/ Chikungunya (tapi pada aras yang tidak membahayakan). Telah beberapa kali aku menemani suami ke Hospital Serdang bagi menjalani pemeriksaan darah. (Menguji paras platlet darah). Kerana itu, rasa-rasanya semua undangan ke majlis perkahwinan tak dapat kami penuhi. Kami doakan mereka yang menjejak alam rumahtangga musim ini (Siti Suraya, Aliff, Wahida) akan kekal bahagia bukan saja ke anak cucu malah hingga ke akhir hayat.

Setiap hari, pastinya hidangan pastiku ialah kertas-kertas peperiksaan pertengahan tahun, ditambah pula dengan kerja-kerja projek Matematik Tambahan. Walau mual, muak..kena juga menghadapnya. Yang hairannya... timbunan kertas-kertas ini terasa amat susah benar susut walau terasa telah sekian lama menanda...(:P)

Nasib baik juga adikku Hasni sudi menghabiskan cuti ini di rumahku. Sekurang-kurangnya terasa juga 'aura cuti sekolah' musim ini. Paling-paling tidak, ada juga kengkadang aktiviti gila-gila yang dapat kami lakukan bersama... Sebenarnya, sebelum cuti banyak benar perkara yang tersenarai dalam fikiranku untuk aku laksanakan dalam cuti sekolah ini. Tapi... rasanya tak sebanyak mana yang dapat aku realisasikan.(sebabnya, sekali lagi: 'Waktu terlalu pantas berlalu')

Perjalanan hari memang amat pantas. Tidak hairan jika hanya seketika saja rasanya tidak bersua muka, sanak saudaraku yang pernah duduk diribaan dulu kini telah berada di menara gading, atau ada juga yang telah hampir mendirikan rumahtangga. Cukuplah untuk memberikan peringatan bahawa aku tidak lagi muda (tapi belum juga tua, ya!!).

Terlintas juga, andaikata hayatku tak panjang... mungkin bakinya hanya tinggal beberapa lama sahaja. Setelah ditolak hari demi hari... agak-agaknya berapa hari lagi yang tersisa. Ya Allah! Hanya Engkaulah yang Maha Mengetahui dan doaku cuma agar Kau jadikan hidupku hidup yang penuh makna buatku dan manusia-manusia disekelilingku... Amiiiiinnnn..

Aduh...
Rasanya perlulah ku noktahkan saja di sini. (kerana aku belum sembahyang asar lagi.. hehehe...)