12 Mei adalah 'Hari Jururawat'. Biarpun telah agak terlambat, aku tak mahu terlepas peluang untuk mengucapkan 'Selamat Hari Jururawat' kepada semua yang bertugas dalam bidang kejururawatan. Dalam hidupku, tak dapat dinafikan, memang banyak terlibat dengan insan-insan beruniform putih ini.
Bermula dengan mama.... yang telah hampir 2 tahun bersara dari tugas jururawat. "Selamat Hari Jururawat" mama!!!
Dan penglibatan jururawat bermula agak ketara dalam hidupku setelah aku berjinak2 dengan Damansara Women's Specialist, Damansara Utama (kini dikenali sebagai TMC- Tropicana Medical Center). Ramai petugas-petugas di situ yang telah banyak memberikan bantuan buatku. Sumbangan tenaga dan nasihat serta semangat yang diberikan sememangnya amat berharga. Terima kasih....
Semasa berkunjung ke klinik-klinik kesihatan, terutamanya untuk memeriksa kandunganku, 'follow-up' dan juga semasa melahirkan anak sulungku di Hospital Selayang (16 Okt 2004).... sekali lagi aku terhutang budi dengan ramai cik-cik misi.
Kemudian, apabila mengalami komplikasi dengan kandungan keduaku (si kembar: Erina dan Erisya)... laaaaagi banyak aku berurusan dengan jururawat-jururawat. Setiap hari aku menjadi pengunjung setia Klinik Pakar O&G (Dr. Baskaran, Dr Anna & Dr Ju). Jururawat-jururawat di sana tak pernah tarik muka sekalipun terpaksa menatap mukaku tiap-tiap pagi.
Setelah bersalin, semakin banyak aku terhutang budi dengan para manusia bergelar jururawat ini. Yang menguruskan diriku selama 3 hari di wad bersalin, juga yang menguruskan anak-anak pramatangku di MNICU berminggu-minggu. Setiap hari para jururawat ini berjaya mengurangkan kegusaranku tatkala saban hari aku dan suami mengunjungi anak-anakku selama beberapa minggu berikutnya. Para jururawat di KK8 dan KK9 memang berjasa buatku sekeluarga kerana menjaga dan menguruskan anak-anakku, Erina dan Erisya sehinggalah mereka dibenarkan dibawa pulang.
Bagiku, walau apa juga yang diperkatakan mengenai jururawat, aku punya perspektif sendiri. Bagiku, tidak semua manusia dibekalkan kesabaran yang melayakkan mereka menyarungkan uniform putih ini. Mereka adalah manusia yang terlibat dengan satu profesion yang sepatutnya disanjung tinggi dan dihargai.
Tidak kiralah jururawat kerajaan atau swasta... Selagi ketulusan hatimu ada di situ, selagi itulah jasamu akan sentiasa dikenangi. Terima kasih atas segala budi yang ditaburi.
P/s - 12 Mei 2009, aku ke Institut Pediatrik, HKL untuk temujanji rutin anak-anakku (TCA). Aku tak lepaskan peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada beberapa orang petugas di situ. Agak lucu dan pelik juga apabila ucapanku disambut dengan muka yang agak hairan dan 'tawar' oleh dua tiga orang jururawat di situ. Pelbagai persoalan sepontan yang terlintas di benak nakalku... Adakah mereka juga tidak diingatkan mengenai sambutan Hari Jururawat? Atau... terlalu jarangkan para pesakit/ pengunjung yang mengucapkan sedemikian kepada mereka?... Atau... Mereka terlalu sibuk dan penat melayan pelbagai karenah manusia hinggakan mempamerkan respons sedemikian tatkala 'diraikan'? Atau.... [Biarkan sajalah... Sekurang-kurangnya apa yang kuucapkan adalah ikhlas dariku sebagai tanda menghargai. Sedikit sebanyak kuanggapkan ucapan ikhlasku itu dapat menerbitkan secubit keceriaan dihati mereka semua]
No comments:
Post a Comment