Friday, May 29, 2009

Selamat Hari Guru!!!

Selamat Hari Guru!! "Guru Pembina Negara Bangsa".

Masih belum terlambat rasaya untuk kusampaikan ucapan ini kepada semua warga yang bergelar pendidik.

Indahnya hidup sebagai seorang guru. Almaklumlah... bukan semua pekerjaan ada dikhaskan sambutan harinya. Mana ada Hari 'Pemandu Teksi' ke, Hari 'Doktor' ke, Hari 'Jurutera' ke... malah Hari 'Eksekutif IT' pun tak ada. (Maaf ya,bang!). Hanya beberapa pekerjaan tertentu sahaja diberikan peluang untuk diraikan, dan salah satu darinya ialah GURU.

Sebenarnya, 29 Mei barulah aku dan rakan-rakan guruku berkesempatan meraikan hari guru. Bukannya apa... macam biasalah, kalendar guru sangat padat akhir-akhir ini. Agak malang kerana 16 Mei jatuh pada hari Sabtu. Jadi, sambutan hari guru terpaksalah ditunda-tunda. Mulanya sambutan yang dirancang ialah pada Isnin, 18 Mei tetapi sekali lagi ia terpaksa ditunda berikutan faktor ketidaksesuaiannya memandangkan para pelajar waktu itu dijadualkan menduduki peperiksaan. Bukan setakat pelajar, para guru pun tak ada 'perasaan' nak menyambutnya ditengah-tengah kekalutan itu. Akhirnya, pihak sekolah bersepakat menetapkan 29 Mei sebagai hari sambutan peringkat sekolah. Memanglah pada waktu itu kerja-kerja sekolah masih bertimbun-timbun, tetapi sekurang-kurangnya hari tersebut adalah hari penutup penggal. Sekurang-kurangnya ada alasan untuk bersukaria.......

Seperti yang telah kuagak sejak awal, kedatangan pelajar pada hari tersebut tidaklah seramai mana. (Malah pada masa yang sama ada sebilangannya mungkin telahpun dalam perjalanan ke KLIA untuk bercuti ke luar negara!!) Semua pun sedia maklum tentang status guru di mata pelajar kini. Jadi kami tak berharap untuk benar-benar diraikan. Walaupun begitu, pelajar yang hadir memang kami hargai. Merekalah yang sebenarnya ikhlas untuk sama-sama meraikannya bersama-sama kami.

Aturcara pagi itu agak ringkas tetapi meriah. Bermula dengan perhimpunan rasmi, bacaan ucapan Hari Guru, sesi fotografi majalah, seterusnya acara-acara seperti sukaneka, karaoke, perlawanan sepak takraw dan juga pertandingan gubahan bunga/buah. Aku tersenarai sebagai salah seorang peserta sukaneka. Permainan yang disediakan ialah permainan menggelecek bola hoki, pertandingan memecahkan belon, pertandingan baju kertas, dan akhir sekali pertandingan menyambung objek. Okey jugalah kerana kumpulanku terdiri dari 100% ahli yang sporting dan ceria serta sanggup melakukan apa saja!! Berbaloi kerana kumpulan kami mendapat tempat kedua secara keseluruhan. Jangan marah yeeer....

Lebihkurang jam 10.45 pagi, diadakan acara penyampaian hadiah, diikuti dengan persembahan-persembahan daripada para guru dan juga pelajar. Antara persembahan yang mencuri perhatianku ialah penyampaian puisi oleh salah seorang guru, Pn Hazira mengenai suatu realiti perbandingan antara guru di bandar dan luar bandar. Sayangnya petikan puisi tersebut tidak dapat kuselitkan disini atas beberapa sebab tertentu.

Aturcara Sambutan Hari Guru diakhiri dengan jamuan tengahari. Terdapat sesi bertukar-tukar hadiah antara para guru dan tidak ketinggalan acara cabutan bertuah.

Sejurus selepas makan, kakiku tiba-tiba diserang kejang sehinggakan memaksaku membuat keputusan untuk terus pulang, memandu dengan kesakitan yang tidak tertahan. Akibat kekejangan itu juga aku langsung lupa menutup register bulan Mei untuk kelasku. Kesian penyelaras tingkatan yang terpaksa melakukannya bagi pihakku. Walaupun telah memohon maaf dari guru berkenaan, masih terasa terkilan di hati... kasihan guru berkenaan. Sekali lagi aku termangu, mengenangkan betapa sebagai guru, tugas masih mengekori tak kira masa dan hari. Walau pada hari biasa, sekalipun pada hari yang dirai. "Selamat Hari Guru!!!"


GURU MALAYSIA
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

Thursday, May 28, 2009

Jom Pengkalan Balak!!

Last weekend pergi ke Pengkalan Balak. Boleh kata, kami dah jadi pengunjung tetap setiap tahun bermula tahun 2006, kalau tak silap. Kali terakhir aku ke sana ialah sejurus sebelum mengandungkan Erina dan Erisya tahun lalu. Waktu itu sedang dalam 'prosedur' dan jadual ketat Damansara Women's Specialist (TMC). Beberapa keluarga ex-CS USM berkumpul dan bersantai di sana. Seronok juga.

Dan minggu lalu.... hanya dalam kiraan beberapa bulan, banyak benar perubahan yang telah dilakukan oleh 'Cikgu Dollah' (pemilik chalet). Tebing telah ditambak sepenuhnya di hadapan chalet. Pondok-pondok rehat juga telah diubahsuai dengan lebih kemas dan tinggi (kerana sebelum ini, tiap kali ke sana kepala suamiku akan menjadi mangsa). Pokok-pokok yang ditanam juga telah agak tinggi, berupaya meminjamkan bayangnya seterusnya mewujudkan suasana yang lebih menyelesakan tatkala berehat-rehat di tepi pantai. Telah terdapat beberapa paip dan shower tambahan bagi memudahkan pengunjung yang ingin membersihkan diri sebelum melangkah masuk ke bilik. Cikgu Dollah juga kelihatan makin bergaya..... mungkin hasil dari segala apa yang diusahakannya tanpa putus asa.

Kunjungan kali ini tidak seramai mana, sekadar memenuhi 4 bilik yang telah awal-awal lagi kami tempah. Aku dan suami, ma dan abah, Siti dan Hasni, Elin dan Jai. Tiada jadual khusus buat kami. Kebanyakannya acara santai dan 'bina badan'. Yang paling gembira pastinya Ezry dan Syafiq. Dunia mereka luas di sana. Lepas bermain pasir, bermain ombak, main pasir, main ombak..... Elin dengan novelnya, dan menjadi penyelaras bahagian makanan.... Hasni tak habis-habis dengan mencari bahan menarik untuk mengisi kreativiti fotografinya..... Aku membina istana pasir, Jai menjadi jurutera khas yang bertugas merangka strategi menyelamatkan istana dari diranapkan ombak, abah dan suamiku awalnya agak lama 'tersangkut' sembang dengan cikgu Dollah dan beberapa pengunjung lain (macam biasalah...), ma dan Siti sibuk melayan dua orang budak kecik (Erina dan Erisya) yang memang gembira di tepi pantai. Masing-masing ada acara tersendiri.

Malamnya acara BBQ...... Elin panggang daging guna dapur gas, suamiku (Edi) panggang yang lain-lainya guna arang... Tak taulah sebab lapar ke atau apa, tapi setiap juadah yang terhidang memang rasa sedaaaaaap!! Roti pun boleh laris tau!!

Keesokannya, abah dan ma asyik masyuk dengan aktiviti mengutip remis. Namun begitu, kali ini kunjungan kami bukan pada musim remis. Kebanyakan remis yang dikutip masih agak kecil saiznya dan tak sebanyak mana.

Diringkaskan cerita...kami bertolak pulang jam 12.00 tengahari. Ini kerana jam 7.30 mlm kekandaku akan ke KLIA bagi menghadiri mesyuarat di Kota Kinabalu (pagi esoknya). Jam 10.00mlm pula, adindaku Hasni pula perlu ke stesyen bas Jalan Duta untuk kembali ke Parit Buntar....

Begitulah berakhirnya sebuah perkelahan keluarga.... Errr .... Bila pula yer?????

Sunday, May 17, 2009

Selamat Hari Jururawat_ 12 Mei 2009!!!

12 Mei adalah 'Hari Jururawat'. Biarpun telah agak terlambat, aku tak mahu terlepas peluang untuk mengucapkan 'Selamat Hari Jururawat' kepada semua yang bertugas dalam bidang kejururawatan. Dalam hidupku, tak dapat dinafikan, memang banyak terlibat dengan insan-insan beruniform putih ini.

Bermula dengan mama.... yang telah hampir 2 tahun bersara dari tugas jururawat. "Selamat Hari Jururawat" mama!!!

Dan penglibatan jururawat bermula agak ketara dalam hidupku setelah aku berjinak2 dengan Damansara Women's Specialist, Damansara Utama (kini dikenali sebagai TMC- Tropicana Medical Center). Ramai petugas-petugas di situ yang telah banyak memberikan bantuan buatku. Sumbangan tenaga dan nasihat serta semangat yang diberikan sememangnya amat berharga. Terima kasih....

Semasa berkunjung ke klinik-klinik kesihatan, terutamanya untuk memeriksa kandunganku, 'follow-up' dan juga semasa melahirkan anak sulungku di Hospital Selayang (16 Okt 2004).... sekali lagi aku terhutang budi dengan ramai cik-cik misi.

Kemudian, apabila mengalami komplikasi dengan kandungan keduaku (si kembar: Erina dan Erisya)... laaaaagi banyak aku berurusan dengan jururawat-jururawat. Setiap hari aku menjadi pengunjung setia Klinik Pakar O&G (Dr. Baskaran, Dr Anna & Dr Ju). Jururawat-jururawat di sana tak pernah tarik muka sekalipun terpaksa menatap mukaku tiap-tiap pagi.

Setelah bersalin, semakin banyak aku terhutang budi dengan para manusia bergelar jururawat ini. Yang menguruskan diriku selama 3 hari di wad bersalin, juga yang menguruskan anak-anak pramatangku di MNICU berminggu-minggu. Setiap hari para jururawat ini berjaya mengurangkan kegusaranku tatkala saban hari aku dan suami mengunjungi anak-anakku selama beberapa minggu berikutnya. Para jururawat di KK8 dan KK9 memang berjasa buatku sekeluarga kerana menjaga dan menguruskan anak-anakku, Erina dan Erisya sehinggalah mereka dibenarkan dibawa pulang.

Bagiku, walau apa juga yang diperkatakan mengenai jururawat, aku punya perspektif sendiri. Bagiku, tidak semua manusia dibekalkan kesabaran yang melayakkan mereka menyarungkan uniform putih ini. Mereka adalah manusia yang terlibat dengan satu profesion yang sepatutnya disanjung tinggi dan dihargai.

Tidak kiralah jururawat kerajaan atau swasta... Selagi ketulusan hatimu ada di situ, selagi itulah jasamu akan sentiasa dikenangi. Terima kasih atas segala budi yang ditaburi.

P/s - 12 Mei 2009, aku ke Institut Pediatrik, HKL untuk temujanji rutin anak-anakku (TCA). Aku tak lepaskan peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada beberapa orang petugas di situ. Agak lucu dan pelik juga apabila ucapanku disambut dengan muka yang agak hairan dan 'tawar' oleh dua tiga orang jururawat di situ. Pelbagai persoalan sepontan yang terlintas di benak nakalku... Adakah mereka juga tidak diingatkan mengenai sambutan Hari Jururawat? Atau... terlalu jarangkan para pesakit/ pengunjung yang mengucapkan sedemikian kepada mereka?... Atau... Mereka terlalu sibuk dan penat melayan pelbagai karenah manusia hinggakan mempamerkan respons sedemikian tatkala 'diraikan'? Atau.... [Biarkan sajalah... Sekurang-kurangnya apa yang kuucapkan adalah ikhlas dariku sebagai tanda menghargai. Sedikit sebanyak kuanggapkan ucapan ikhlasku itu dapat menerbitkan secubit keceriaan dihati mereka semua]

Monday, May 11, 2009

Nikmatnya Ais.....

Hmm.. lama juga tak berceloteh ya....
Segar sungguh bila petang-petang begini pekena teh o ais dengan pisang goreng. (Bunyinya macam tak matching je yek??) Walau apa pun, pisang dah tinggal beberapa keping saja dalam pinggan. Pembantu rumahkulah yang mencadangkan teh o ais sebaik aku hulurkan pisang goreng tadi. Pantas saja aku mengangguk!!

Musim sekarang ni, sudah tak pikir lagi soal matching ke tak matching.... yang penting asal ada sebut 'ais', terus rasa teringin. Maklum sajalah musim sekarang ni yang cuacanya panas melampau-lampau. Itulah perkara yang nak aku perkatakan, tentang musim panas..... bukannya tentang pisang goreng!!

Beberapa minggu kebelakangan ni memang matahari macam tak berperikemanusiaan benar membakar makhluk-makhluk di bumi Allah ni. Mungkin sekadar nak mengingatkan manusia-manusia yang alpa tentang peritnya seksa api neraka. Yang terasa sekarang ni baru kira 'hujung jari' je.... Apa sajalah.... Tapi mengikut apa yang aku dengar dari stesyen radio, panas ni akan berterusan hingga ke bulan Julai nanti. Aduh!!!

Secara tak langsung, suasana di rumahku turut berubah sedikit. Yang paling ke
tara, ketiga-tiga kipas di ruang tamu (2 kipas syiling dan 1 kipas stand) dipasang dengan kelajuan maksimum. Dahlah tu... waktu bekerjanya bermula seawal 6.30 pagi dan hanya berehat sekitar jam 11.00 atau 12.00 tengah malam. Anak-anakku yang tak pandai sebut 'papa' atau 'mama' itu pun dah pandai memprotes sekiranya dibawa ke sudut-sudut yang agak terlindung dari tiupan angin kipas. Sebaik petang, macam dah pandai je 'meminta' dibawa ke bangku di hadapan rumah. Memang pun selesa melepak-lepak di bangku didepan rumahku itu, petang-petang, anginnya bertiup ala-ala tepi pantai gitu! Bila malam pula, cik abangku akan awal-awal lagi 'on' kan aircond.... sejukkan bilik, katanya. Tapi setakat sejam yang pertama, kesan aircond masih tak berapa rasa. Jika dulu aircond dipasang setakat beberapa jam yang pertama, sejak kebelakangan ni, tempohnya dah meleret hingga ke awal pagi!!

Siti (pembantuku) tak perlu disuruh, mengubah rutin mandian anak-anakku. Dari dua kali sehari, sekarang dah bertambah jadi tiga kali. Waktu tengahari tu seronok benar Erina dan Erisya berendam dalam besen. Biasanya, lepas dicelup-celup dalam air, tak sempat pakai baju, dah mengamuk nak tidur!! Selesa la tu sentuh air!!

Huh... panas betul!!
Kadangkala nak melintas dari bangunan sekolah ke tempat letak kereta pun aku pikir panjang. Seboleh-bolehnya nak mengira mengguna segala formula vektor agar tak lama aku terdedah pada teriknya panas matahari. Kerana itu, kadangkala aku hairan.... dalam keadaan sebegini, masih ada pelajar yang 'sudi' bermain bola keranjang tatkala jam menunjukkan pukul 1.00 tengahari (??!!).


Eh!! Mana teh o ais mama tadi???