Friday, April 10, 2009

Secebis cerita dari menara.



UNIVERSITI SAINS MALAYSIA



Apabila ditanya sesiapa sahaja, pasti mereka bercita-cita untuk meneruskan pengajian hingga ke menara gading. Alhamdulillah... impianku untuk menjadi penutut universiti tercapai setelah kuterima surat panggilan ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1996. Aku ditawarkan kursus Sains Dengan Pendidikan dengan mengkhusus dalam bidang Matematik dan minor bidang Biologi. Memang sejak dari awal USM adalah universiti pilihan. Maka hajatku tertunai....

Kenapa USM??? Entah... tapi sejak dibangku sekolah lagi aku seolah-olah mendapat tarikan istimewa untuk mengatur jejak ke USM. Mungkin kerana lokasinya di sebuah pulau, keindahan landskapnya, dan faktor utama ialah cerita-cerita menarik yang kudengar mengenainya. Memang aku tidak kesal dengan pilihanku.... Semakin kampus ini kukenali, semakin sayang aku pada USM. Jarang kelihatan di mata kasarku perkara negatif tentang USM.

Melalui hari-hari sebagai penuntut universiti, pelbagai cabaran terpaksa kutempuhi. Bermula dengan zaman matrikulasi (waktu itu matrikulasi adalah mengikut universiti... E.g. Matrikulasi USM, Matrikulasi UPM etc), hinggalah ke peringkat ijazah.

Pasti kehidupan di universiti berbeza dengan sistem pendidikan di sekolah. Semuanya terserah pada diri sendiri. Konsepnya....'Pandai-pandailah membawa diri'. Menghadiri kuliah adalah suatu kewajipan yang lahir daripada keinginan untuk berjaya. Bukannya lagi kerana takut didenda!! Etika berpakaian .... berdiri dihadapan cermin dan tanyalah diri sendiri, sama ada 'boleh' atau 'tidak'. (Asalkan tidak mengenakan jeans sewaktu kuliah dan acara rasmi.... atau berpakaian menjolok mata!!) Kalau jawapannya 'boleh', langkahlah keluar, namun jika 'tidak'... bukalah kembali almari dan teruskan mencuba lagi. Waktu ini emak tidak lagi berada di sisi menentukan baju mana seluar mana hendak dipakai.... Begitu juga dengan gerak geri dan tingkah laku. Kitalah juri untuk diri sendiri.

Sepanjang menuntut di USM, Alhamdulillah aku sentiasa mendapat tempat di desasiswa. Semasa tahun dua matrikulasi, aku di Desasiswa Gemilang. Di peringkat ijazah, aku ditempatkan di Desasiswa Bakti. Mungkin kerana rezekiku dan kegigihanku mengumpulkan 'unit desa', aku berjaya mendapat bilik di Desa Bakti hingga ke tahun akhir. Desa Bakti memang istimewa... Pendek kata, kalau mahu bercerita tentangnya, satu lagi 'page' terpaksa kubuka. Salah satu yang menarik ialah kafeterianya. Macam-macam adaaaaaaaaa......

Makan minum..... hmmm....
Sebenarnya pinjaman/ biasiswa yang diterima sangat-sangat mencukupi untuk memastikan tidak ada bakal siswazah yang kebuluran (Hehehe). Mendapatkan makanan dan minuman pun taklah sesusah mana kerana rata-rata, setiap desasiswa mempunyai kafeterianya sendiri. Kalau di Bakti, tempat tumpuan rata-rata penuntut USM tatkala 'musim poket kosong' ialah di gerai nasi gorengnya. Waktu itu, sebungkus nasi goreng harganya cuma antara RM1.00 - RM2.00, terserah pada jenis 'aksesorinya'. Bukankah berbaloi sebungkus nasi sebagai hidangan makan tengahari/ malam dengan cuma berbelanja RM2.00??!! Di Bakti juga ada terdapat gerai-gerai makanan yang memenuhi citarasa bangsa Melayu, Cina dan India. Sesekali jika ingin mengubah selera, aku akan ke Desasiswa Cahaya atau Harapan. Di situ juga hidangan yang ada tak kurang menariknya. (Apa yang kuceritakan adalah berdasarkan waktu itu. Sekarang ni tak tahulah...)

Kalau waktu boring atau tension.... ada juga aku dan kawan-kawan bersantai di 'VC rock' (suatu tempat di atas bukit di USM yang mempunyai pemandangan cantik; nampak jambatan Pulau Pinang dan lautan, juga persekitarannya.) Pokok-pokok besar yang hijau rendang disekitar kampus juga sedikit sebanyak menenangkan jiwa. Atau sekali sekala, berbekalkan sandwich, kami sekumpulan berlepak-lepak di Tasik Harapan.. Seronok juga walaupun sesekali ada biawak (yang dah macam adik beradik buaya saiznya) datang melintas!!!


Waktu belajar, silalah menapak ke mana-mana dewan kuliah yang ditetapkan. Nasib baik juga Desa Bakti tidak sejauh mana dengan kompleks dewan kuliah dan juga perpustakaan. Waktu itu, pelajar dibenarkan menggunakan pengangkutan sendiri. Jadi waktu inilah ramai yang memujuk ibu dan ayah untuk mendapatkan motor atau kereta sendiri. Tapi bagiku, pengangkutan utamaku ialah KAKI. (Sekarang, rasanya penggunaan kenderaan dihadkan bagi mengelakkan kesesakan dalam kampus). Namun, tak jadi masalah kerana bas-bas banyak disediakan.

Waktu hampir peperiksaan.......
Waktu inilah perpustakaan jadi sesak!!!! Ke mana pergi pun manusia-manusia sibuk mengepit buku. Bawah-bawah pokok juga pun ada yang sanggup buat group discussion. Lokasi bilik-bilik pensyarah juga baru mula nak ambil tahu. Waktu ini juga ramai yang baru sedar nota mereka banyak yang 'berlubang'... (akibat ponteng kuliah atau tidur dalam kuliah, hehehehe). Lampu-lampu bilik pun mungkin banyak yang lambat padam pada musim ini. Begitulah demam peperiksaan...

Banyak cerita lagi yang ingin aku tuliskan kerana USM memang banyak menyimpan kenangan. Allah Maha Besar!! Disebalik aturannya menempatkan aku di USM, rupanya telah tersirat juga takdirNya untuk menemukan aku dengan seorang manusia yang seterusnya sudi menjadi teman hidup. Sekaligus ketentuan ini menambahkan lakaran sejarah dalam hidupku sekaligus menjadikan USM lebih istimewa buatku.

Ogos 1999, ........
Akhirnya di atas pentas Dewan Tunku Syed Putra, kugenggam segulung ijazah, hasil titik peluhku, pahit jerihku, sendu tangisku. Akhirnya aku berjaya mencapai apa yang kucita. Kutinggalkan USM dengan membawa kenangan istimewa buat selamanya.... Terima kasih USM kerana sudi menumpangkan aku buat seketika.

3 comments:

  1. Aida, kau betul-betul mengimbas 1001 kenangan di USM. Tapi, aku tak mampu mengimbaunya kembali...Tapi, aku rindu suasana pembelajaran di sana. Rindu Bakti, rindu kengkawan kita (Kak Syam, Kak Syikin, Pejan dam kau juga). Teringat bila kau merajuk dengan si Eddie Nolfi (akhirnya jd suami kau). Aku baca entri ni...at last, aku menangis...sedih siuuuttt!!!

    ReplyDelete
  2. Memang tak susah menulis tentang USM... Semuanya masih jelas dalam ingatanku. Pastinya aku turut terhutang budi pada kalian (Zura, kak Syikin, Pejan, Kak Syam, dan yang lain-lain) kerana mengindahkan hidupku di sana. Semoga kenangan itu akan abadi dalam ingatan kita...
    Aku juga rindukan waktu itu.......

    ReplyDelete
  3. Tahniah kerana menjadi graduan USM...USM dah banyak berubah sekarang...

    ReplyDelete