Wednesday, April 22, 2009

Phone baru 'Kak Siti'.

Dah lama Siti (pembantu rumahku) merungut.... katanya handphonenya asyik meragam kebelakangan ini. Kesian juga melihat dia yang sakan mengecas bateri telefonnya tapi akan padam sendiri setelah berdering dua tiga kali. Lama kelamaan hanphonenya itu tak lagi seperti telefon... berjuntaian dengan wayar pengecas bateri!!! Heheheh....

Sememangnya handphone Siti itu adalah handphone lama yang ada dalam simpanan ayahku. Mendengar Siti mahu membeli telefon, kami menasihatinya agar menggunakan dulu telefon itu sementara mengumpul duit membeli telefon lain. Siti memang tak banyak karenah, lagipun bukan jenis yang 'mengada' dan mahu bergaya......(Ini pandanganku buat masa ini.... Untuk masa depan, harap-harap terus-terusan begitu.)

Lalu, hujung minggu lalu kami keluar bersama-sama. Aku biarkan saja Siti memilih sendiri telefonnya. Akhirnya Samsung SGH E-250 menjadi pilihannya. Dengan RM390.00 (termasuk memory card), telefon itu menjadi milik Siti. (Tapi terpaksa aku dahulukan gaji bulan depannya kerana aku tak mahu menggunakan duit simpanannya)

Apa lagi, hari itu, kak Siti pulang dengan senyuman yang lebar. Diminta aku mengubahsuai setting phone tersebut untuk memudahkan dia menggunakannya. Kali ini, phone Siti tak lagi tertambat ke dinding!!!

p/s- Setakat ini, kebenaran menggunakan hp belum pernah disalahgunakannya. Kebanyakan masa siang, phonenya akan ditinggalkan saja di biliknya. Hanya waktu malam kedengaran sesekali phonenya berkokok!! Ramai yang sudah berpesan agar aku tidak terlalu memanjakan maidku, tapi aku cuma berdoa agar segala keikhlasanku akan dibalas juga dengan keikhlasan. Moga segala kebaikanku akan juga dibalas dengan kebaikan. Insyaallah....
(Sambil itu... aku akan terus juga berwaspada.)

Tuesday, April 21, 2009

Putu Mayam!!! Pon! Pon! Pon!!

Pon! Pon! Pon!.....

Segera Ezry berlari keluar! Masa tu boleh lihat gelabahnya dia, serba salah sama ada mahu terus menunggu di depan pintu atau mahu terus mencari duit untuk membayar nanti.

"Putu Mayam!!Stooooooooop!!"

Anakku seakan ketagih betul dengan putu mayam yang dijaja dengan motor itu. Biasanya ia akan melalui rumahku sekitar jam 6.00 petang. Semuanya bermula apabila anak jiranku, Ijat menghentikan penjual putu mayam tersebut. Melihat Ijat membelinya, Ezry teringin untuk mencuba. Sekali cuba, terus nak lagi. Bermula hari itu, setiap hari akan aku tinggalkan duit kecil di laci ruang tamu. Manalah tahu.... kalau-kalau mahu membeli putu mayam itu. Pernah dia berjaya menghabiskan sehingga 3 keping putu mayam tanpa banyak cerita!!

Aku tahu, faktor utama yang menyebabkan dia sukakan putu mayam ialah gula merahnya. Makan putu mayam seolah memberinya lesen untuk makan gula!! Tapi tak kisahlah, asal yang dimakan bukannya gulanya sahaja!

Aku juga suka putu mayam, tapi dengan sedikit pengubahsuaian... Biasanya aku akan memakannya dengan mencicah kari. Sedap ooooo....

Tapi kebelakangan ini, Ezry tak lagi hari-hari memberhentikan motor putu mayam itu. Mungkin lidahnya pun tak betah menjadikannya makanan ruji.. hehhehe...

Mamak putu mayam pun seolah bersedih hati kerana pembeli genitnya tidak lagi menanti.

Pon! Pon! Pon!....."Putu Mayam! Putu Mayam!"


(RESIPI PUTU MAYAM)

Ingredients:
• 300 gm Rice flour • 15 Screwpine leaves • 500 gm Fine brown sugar or chopped palm sugar • 100 gm Grated coconut, white part only • A dash of green colouring • 500 ml Water • 1 tsp Salt


How to make Putu Mayam:
•Blend screwpine leaves till fine.
•Remove it and extract juice from it.
•Take a wok and heat rice flour on low flame without using oil, be careful not to brown it.
•Transfer rice flour into a mixing bowl, add salt, mix well and make a well in the centre.
•Gradually stir in screwpine juice and make a smooth batter.
•Combine green colouring with it and mix well.
•Pour mixture into a saucepan and cook it on high heat, stirring continuously.
•When mixture begins to thicken, stir quickly till dough leaves sides of the pan.
•Let it cool slightly.
•Now prepare the steamer for steaming putu mayam.
•When the water is boiling, place some dough into putu maker and press out onto an upturned rattan colander lined with white muslin.
•Move it in circular movements to get a round lacy piece and do not overlap the pieces.
•Steam over high flame for about 8 to 10 minutes or till cooked.
•Repeat till all the dough is used up.
•Serve putu mayam with grated coconut and sugar.

Mari menyusun!!

Isyh.....
Ginilah kerja cikgu. Lepas ngajar, tanda buku, exam, tanda paper, etc...etc...etc... pastu ngajar, tanda buku, exam, tanda paper, etc...etc....etc....

So, hari ni aku 'stayback'. Tak lain sebabnya ialah untuk menyusun, mengetip dan 'pack' kertas peperiksaan (Intervensi 2 Tingkatan 5). Tapi aku 'stayback' tak lama kerana pada waktu awal pagi tadi, Cikgu Khail sudah menolongku menyusun kertas-kertas tersebut. Memang begitulah yang telah kami persetujui (untuk menyediakannya bersama-sama kali ini.) Aku pula hanya berkesempatan menyambung tugasan tersebut setelah tamat waktu sekolah memandangkan jadual waktuku hari ini agak padat. Memang terasa benar kebenaran slogan/ lagu Wonderpets yang sering diulang-ulang oleh anakku, Ezry;
"Apa yang penting...kerjaaaasamaaaaaa".

Waktu-waktu begini, aku amat berterima kasih pada 'sang mesin penyusun kertas' (Sorter) yang banyak membantu meringankan tugasan kami, terutamanya guru-guru yang pastinya tak habis-habis menyediakan kertas soalan peperiksaan. Dulu, tugas menyediakan soalan agak membebankan para guru. Bukan untuk membentuk soalan, tapi untuk menyusun dan mengetipnya. Prosedurnya: atur kertas mengikut susunan, ambil setiap satu mengikut aturan, kumpulkan di tepi dengan susunkan berselang-seli, ketipkan, kira mengikut bilangan pelajar, balut, lekatkan borang kawalan (butir-butir peperiksaan secara terperinci), masukkan dalam almari peperiksaan. (Taklah sesukar mana, kan??!! Kecoh je lebih.....)

Pernah dulu aku dikehendaki menguruskan kertas soalan Matematik untuk pelajar tingkatan 5 secara manual. Bayangkan sajalah, untuk mengetip lebih 350 set kertas soalan (memandangkan ianya subjek Teras), dan setiap set mempunyai lebih dari 16 helai kertas. (32ms termasuk mukasurat yang memuatkan formula). Tak pelik jika terkancing pinggangku dibuatnya. Memang waktu itu, soalan Matematik adalah dalam dwibahasa.... satu muka BM dan satu muka BI. Selepas itu, macam-macam strategi yang diatur oleh Ketua Panitia termasuklah strategi menyusun kertas soalan secara 'berjemaah'!! Lega....

Jadi sekarang, tak kisah sangatlah kalau kena menyediakan kertas soalan peperiksaan. Dah banyak bantuan yang ada. Lagipun, beban itu tidaklah terasa sangat kalau masing-masing saling bantu membantu......
"Apa yang penting...kerjaaaasamaaaaaa".

Monday, April 20, 2009

Cuti...aku tak bercuti!!

Hmmm..... baru saja menghampiri Mei, namun bayangan aktivitiku pada penghujung tahun ini telah mula terasa.

Minggu lalu, salah seorang guru telah mula menghulurkan borang buatku. Beberapa maklumat yang penting perlu diisi. Aku tak terkejut kerana terpilih menyertai 'kumpulan petugas penghujung tahun' pada tahun ini kerana tahun lalu, aku telah sakan ber'cuti' (Cuti rela dan tak rela..... Tahun lalu kan ke aku banyak MC kerana masalah kesihatan dan pelbagai masalah semasa berbadan dua). Memang aku telah mengagak tahun ini aku tidak akan terlepas. Tak perlu mengeluh kerana memang ia adalah salah satu tanggungjawab yang perlu aku laksanakan sama ada suka atau tidak. Kalau semua orang mahu mengelak.... siapa yang akan bertugas??

Lagipun, harapanku, agar apabila pada tahun ini aku dipilih bertugas, mungkin pada tahun hadapan aku akan direhatkan.... Hehheehh... Aminnnn...... Semoga pada tahun hadapan, cuti sekolahku akan lebih panjang....(Waktu itu, mungkin anak-anakku sudah besar sedikit...jadi langkahku mungkin akan lebih panjang!!!!)

Friday, April 17, 2009

Saujana Best Keep Fit 2009

Sejak kebelakangan ini, topik yang sering menjadi sebutan di bilik guru SMKSS ialah mengenai 'Saujana Best Keep Fit'. Dari namanya saja, pastinya ia sesuatu yang berkaitan dengan pertandingan menurunkan berat badan. Tepat sekali!!!!

Kelab staf mendapat idea menganjurkan pertandingan ini mungkin kerana telah terlalu ketara populasi guru-guru di SMKSS ini berjaya 'mengembangkan' diri terutamanya kumpulan 'puan-puan' yang telah dua tiga kali berkhidmat 'menambah bilangan ahli keluarga'. Sekurang-kurangnya, inisiatif ini perlu dipuji. Semua orang memang telah sedia maklum kepentingan mengawal berat badan; baik dari segi kesihatan, mahupun dari segi penampilan. Obesiti/ berat badan berlebihan mampu mengundang pelbagai penyakit termasuklah darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung, buah pinggang dan macam-macam lagi. Semua orang tahu itu, cuma tinggal usaha menuju ke arahnya sahaja sering tertunda-tunda!! (Aduh!! Terasa seperti jatuh di atas batang hidung sendiri....Hehehehe)

Baru-baru ini, tersiar di dada akhbar kisah sedih bekas tentera Wataniah, Mohd Naim Itam Ahmad, 44 yang berat badannya sekitar 300kg. Beliau terpaksa beberapa kali menukar
pekerjaan akibat kesukaran untuk bergerak. Akhirnya, beliau terlantar saja di rumah tanpa dapat bergerak ke mana-mana, sekalipun untuk ke tandas. Keluarganya memohon bantuan orang ramai bagi membantu meringankan beban melalui sebuah artikel di sebuah akhbar. Namun, hajat mereka tak kesampaian apabila pada hari yang sama artikelnya disiarkan, beliau telah dijemput pulang untuk selama-lamanya oleh Pencipta Yang Esa.
(Sedekahkanlah Al-Fatihah untuk Arwah)

Pada musim-musim ini jugalah... bagaikan ada 'bau' yang menjemput wakil suatu produk stim untuk datang ke sekolah melakukan promosi dan demonstrasi. Alat ringkas tersebut adalah alat serbaguna yang berkonsepkan stim (untuk housekeeping, dryclean, etc). Apa yang lebih menarik ialah alat tersebut juga boleh digunakan untuk melakukan sauna sendiri di rumah!! Apa lagi..... berduyun-duyunlah guru-guru berurusan untuk mendapatkan alatan tersebut. Tak kiralah, ada yang membayar secara tunai ada juga yang 'beransur-ansur tunai'. Pendek kata.. kalau semangat guru-guru sentiasa berkobar-kobar seperti ini, lihat sajalah nanti.... pastinya guru-guru di sini semuanya berpinggang kerengga!!!! Itu belum kira para guru yang sakan mencuba krim panas pembakar lemak, teh-teh herba dan tak kurang yang melanggan pusat penjagaan badan dan menyertai kelas aerobik.

Aku yang dah 'hilang ramping' ini juga tak mahu ketinggalan mendaftar sebagai salah seorang peserta Saujana BKF. Namun bukan matlamatku untuk menggondol hadiah yang disediakan, apatah lagi menjanjikan diriku melalui transformasi yang memeranjatkan. Penyertaanku hanyalah sebagai suatu 'alat' bagi memotivasikan diriku agar lebih berusaha dan berdisiplin mengawal berat badanku yang selama ini sering naik dan naik dan naik dan naik........... Insyaallah.....

Kepada semua peserta Saujana BKF, walau apa cara yang bakal diguna, selamat berusaha kuucapkan dan doakanlah agar kita semua menjadi guru yang sihat, aktif dan anggun sentiasa..... Aminnnnnnnnnnn ... 0(*v*)0

Monday, April 13, 2009

Permata Hati



Permataku......
Yang sekian lama kucari
Yang sekian masanya kunanti

Hadirmu mencurah nikmat dalam hikmat
Menyusun lapisan pelangi menjadi titian hari
Menyulam kasih pada si pecinta hati

Permataku.....
Seketika dulu
Secebis angan pun tak betah kusinggahi
Bimbang tercalar hayatku yang sepi
Gusar hati rapuh ini digurisi
Enggan Takdirku ini kutangisi

Hari sunyi lalu
Menjadikan aku manusia yang syukur
Kerana mampu memelukmu dan mendakapmu
Dalam ribaanku

Tatkala merenungi tulusnya sepasang matamu
Bagaikan melihat jaluran sinar dalam kelam malam
Dan andainya aku bermimpi
Takkan kurelakan diriku terjaga lagi

Permataku....
Temani aku
Hiasi hariku
Warnai hidupku.

Permataku............permata hati.

Friday, April 10, 2009

Secebis cerita dari menara.



UNIVERSITI SAINS MALAYSIA



Apabila ditanya sesiapa sahaja, pasti mereka bercita-cita untuk meneruskan pengajian hingga ke menara gading. Alhamdulillah... impianku untuk menjadi penutut universiti tercapai setelah kuterima surat panggilan ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1996. Aku ditawarkan kursus Sains Dengan Pendidikan dengan mengkhusus dalam bidang Matematik dan minor bidang Biologi. Memang sejak dari awal USM adalah universiti pilihan. Maka hajatku tertunai....

Kenapa USM??? Entah... tapi sejak dibangku sekolah lagi aku seolah-olah mendapat tarikan istimewa untuk mengatur jejak ke USM. Mungkin kerana lokasinya di sebuah pulau, keindahan landskapnya, dan faktor utama ialah cerita-cerita menarik yang kudengar mengenainya. Memang aku tidak kesal dengan pilihanku.... Semakin kampus ini kukenali, semakin sayang aku pada USM. Jarang kelihatan di mata kasarku perkara negatif tentang USM.

Melalui hari-hari sebagai penuntut universiti, pelbagai cabaran terpaksa kutempuhi. Bermula dengan zaman matrikulasi (waktu itu matrikulasi adalah mengikut universiti... E.g. Matrikulasi USM, Matrikulasi UPM etc), hinggalah ke peringkat ijazah.

Pasti kehidupan di universiti berbeza dengan sistem pendidikan di sekolah. Semuanya terserah pada diri sendiri. Konsepnya....'Pandai-pandailah membawa diri'. Menghadiri kuliah adalah suatu kewajipan yang lahir daripada keinginan untuk berjaya. Bukannya lagi kerana takut didenda!! Etika berpakaian .... berdiri dihadapan cermin dan tanyalah diri sendiri, sama ada 'boleh' atau 'tidak'. (Asalkan tidak mengenakan jeans sewaktu kuliah dan acara rasmi.... atau berpakaian menjolok mata!!) Kalau jawapannya 'boleh', langkahlah keluar, namun jika 'tidak'... bukalah kembali almari dan teruskan mencuba lagi. Waktu ini emak tidak lagi berada di sisi menentukan baju mana seluar mana hendak dipakai.... Begitu juga dengan gerak geri dan tingkah laku. Kitalah juri untuk diri sendiri.

Sepanjang menuntut di USM, Alhamdulillah aku sentiasa mendapat tempat di desasiswa. Semasa tahun dua matrikulasi, aku di Desasiswa Gemilang. Di peringkat ijazah, aku ditempatkan di Desasiswa Bakti. Mungkin kerana rezekiku dan kegigihanku mengumpulkan 'unit desa', aku berjaya mendapat bilik di Desa Bakti hingga ke tahun akhir. Desa Bakti memang istimewa... Pendek kata, kalau mahu bercerita tentangnya, satu lagi 'page' terpaksa kubuka. Salah satu yang menarik ialah kafeterianya. Macam-macam adaaaaaaaaa......

Makan minum..... hmmm....
Sebenarnya pinjaman/ biasiswa yang diterima sangat-sangat mencukupi untuk memastikan tidak ada bakal siswazah yang kebuluran (Hehehe). Mendapatkan makanan dan minuman pun taklah sesusah mana kerana rata-rata, setiap desasiswa mempunyai kafeterianya sendiri. Kalau di Bakti, tempat tumpuan rata-rata penuntut USM tatkala 'musim poket kosong' ialah di gerai nasi gorengnya. Waktu itu, sebungkus nasi goreng harganya cuma antara RM1.00 - RM2.00, terserah pada jenis 'aksesorinya'. Bukankah berbaloi sebungkus nasi sebagai hidangan makan tengahari/ malam dengan cuma berbelanja RM2.00??!! Di Bakti juga ada terdapat gerai-gerai makanan yang memenuhi citarasa bangsa Melayu, Cina dan India. Sesekali jika ingin mengubah selera, aku akan ke Desasiswa Cahaya atau Harapan. Di situ juga hidangan yang ada tak kurang menariknya. (Apa yang kuceritakan adalah berdasarkan waktu itu. Sekarang ni tak tahulah...)

Kalau waktu boring atau tension.... ada juga aku dan kawan-kawan bersantai di 'VC rock' (suatu tempat di atas bukit di USM yang mempunyai pemandangan cantik; nampak jambatan Pulau Pinang dan lautan, juga persekitarannya.) Pokok-pokok besar yang hijau rendang disekitar kampus juga sedikit sebanyak menenangkan jiwa. Atau sekali sekala, berbekalkan sandwich, kami sekumpulan berlepak-lepak di Tasik Harapan.. Seronok juga walaupun sesekali ada biawak (yang dah macam adik beradik buaya saiznya) datang melintas!!!


Waktu belajar, silalah menapak ke mana-mana dewan kuliah yang ditetapkan. Nasib baik juga Desa Bakti tidak sejauh mana dengan kompleks dewan kuliah dan juga perpustakaan. Waktu itu, pelajar dibenarkan menggunakan pengangkutan sendiri. Jadi waktu inilah ramai yang memujuk ibu dan ayah untuk mendapatkan motor atau kereta sendiri. Tapi bagiku, pengangkutan utamaku ialah KAKI. (Sekarang, rasanya penggunaan kenderaan dihadkan bagi mengelakkan kesesakan dalam kampus). Namun, tak jadi masalah kerana bas-bas banyak disediakan.

Waktu hampir peperiksaan.......
Waktu inilah perpustakaan jadi sesak!!!! Ke mana pergi pun manusia-manusia sibuk mengepit buku. Bawah-bawah pokok juga pun ada yang sanggup buat group discussion. Lokasi bilik-bilik pensyarah juga baru mula nak ambil tahu. Waktu ini juga ramai yang baru sedar nota mereka banyak yang 'berlubang'... (akibat ponteng kuliah atau tidur dalam kuliah, hehehehe). Lampu-lampu bilik pun mungkin banyak yang lambat padam pada musim ini. Begitulah demam peperiksaan...

Banyak cerita lagi yang ingin aku tuliskan kerana USM memang banyak menyimpan kenangan. Allah Maha Besar!! Disebalik aturannya menempatkan aku di USM, rupanya telah tersirat juga takdirNya untuk menemukan aku dengan seorang manusia yang seterusnya sudi menjadi teman hidup. Sekaligus ketentuan ini menambahkan lakaran sejarah dalam hidupku sekaligus menjadikan USM lebih istimewa buatku.

Ogos 1999, ........
Akhirnya di atas pentas Dewan Tunku Syed Putra, kugenggam segulung ijazah, hasil titik peluhku, pahit jerihku, sendu tangisku. Akhirnya aku berjaya mencapai apa yang kucita. Kutinggalkan USM dengan membawa kenangan istimewa buat selamanya.... Terima kasih USM kerana sudi menumpangkan aku buat seketika.

Wednesday, April 8, 2009

...Papaku pulang dari kota.....

Aku dan suami bukan jenis pengumpul kereta. Kami bukan jenis yang sanggup berhabis-habisan semata-mata untuk kereta. Bagi kami, kereta adalah suatu bentuk keperluan yang perlu dipenuhi bagi memudahkan urusan seharian.

Sebuah kereta Proton Iswara Aeroback 1.3 manual, WHL8547 berwarna hijau metalic merupakan kereta pertama yang dibeli suamiku pada April tahun 2000. Pada waktu itu, dia masih bujang dan menetap di Ulu Langat. Agak sukar baginya berulang alik ke pejabat menggunakan pengangkutan awam memandangkan waktu kerjanya yang sering saja 'terlajak' hingga ke larut malam. Iswara itu menjadi penyelamat keadaan. Secara tak langsung, Iswara itu jugalah yang berjasa mengambil atau menghantarku ke stesyen bas Pudu pabila sesekali aku datang menjenguk ibukota Kuala Lumpur. (Maklumlah, waktu itu, aku masih berkhidmat di Kemayan, Pahang). Iswara hijau tak ketinggalan menyertai rombongan pengantin tatkala kami diikat dengan ikatan sah sebagai suami isteri. Malah, ketika kami berdua sibuk memenuhi undangan jemputan bertandang ke rumah saudara maraku di Kelantan, Iswara itulah juga yang telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Ford. Waktu itu, suamiku memandu dengan agak perlahan memandangkan jalan licin kerana hujan renyai-renyai (musim tengkujuh). Agak ramai orang di kiri kanan jalan, menangkap ikan kerana air bendang telah mula penuh. Sebuah lori tiba-tiba menekan brek secara mengejut menyebabkan kami juga terpaksa brek mengejut. Selang beberapa ketika sebuah kereta datang dari belakang dan merempuh Iswara kami..... Aduh!! Nasib baik tak seteruk mana kerosakannya. Ford itu agak kemik juga di bahagian hadapan, namun Alhamdulillah kereta kami hanya bumpernya sedikit 'terjatuh', namun mampu dibetulkan semula ke posisi asalnya. (Bagus kereta buatan Malaysia ni!!). Iswara ini juga berjasa besar kerana dengannyalah aku dibawa ke hospital tatkala aku mengalami pendarahan semasa mengandungkan anak sulungku. Namun semua itu telah berlalu......

Tahun 2004, memandangkan kereta itu semakin kerap mengalami masalah kebocoran minyak hitam, kami akhirnya membuat keputusan mendapatkan kereta baru. Dengan berat hati Iswara itu terpaksa kami lepaskan. Penggantinya ialah sebuah Kia Spectra 1.6 Auto warna hitam, WLR 9146. Bagiku, daya penarik yang utama ada pada kereta ini adalah lampu belakangnya. Spectra ini juga tidak kurang banyak berjasa padaku. Antaranya adalah sebagai pemunggah barang-barang secara beransur-ansur dari rumah sewaku ke rumah yang kubeli di Bukit Jalil. Hampir setahun juga aku menghantar dan mengambil suamiku ke stesen LRT pada setiap hari bekerja. (Maklumlah... sebelum ini aku langsung tidak berani memegang stereng walaupun lesen telah bertahun-tahun kumiliki. Tapi kali ini, aku tidak ada pilihan kerana di sekolah baru, setahun aku ditempatkan pada sesi petang; jadi tak ada orang sudi menghantarku ke sekolah!!).

Apabila suamiku sering bergerak keluar dari pejabat untuk ke merata tempat menyelesaikan tugasannya, kami akhirnya bersepakat untuk mendapatkan sebuah lagi kereta. Pilihan kami kali ini ialah sebuah Perodua Kancil Ezi850, BHV**** berwarna silver metalik. Secara rasminya kancil ini menjadi kenderaan suamiku ke pejabat. (Ekonomi dan senang parking!! Hehehhe).

Dengan memiliki dua kenderaan, masalah-masalah kami berjaya diatasi. Spectra masih memberikan perkhidmatan yang cemerlang terutamanya ketika menempuh perjalanan jauh. Semasa mengandung kali kedua, sekali lagi aku mengalami pendarahan. Spectra pula kali ini menjadi 'ambulan'ku, membawaku ke hospital. Dalam sejarah perkhidmatannya, ia langsung tidak pernah meragam. (Cuma 2 kali tayar pancit... pertama: terlanggar batu, kedua: terlanggar bongkah kayu) Pendek kata Spectra ini memang sangat aku sayang.

Namun, kata orang...jodoh tak panjang...
Setelah melahirkan sepasang kembar, ditambah pula dengan kehadiran seorang pembantu rumah, Spectra sudah tidak lagi memadai bagi kami. Sedar tak sedar, telah hampir 5 tahun ia berkhidmat buatku. Sekali lagi dengan berat hati kereta kesayanganku ini terpaksa kulepaskan. Menitis airmataku pada hari terakhir aku memandunya pulang dari sekolah (13 Mac 2009). Andainya aku ada pilihan.............

Bagi menggalas tugas baru, (memenuhi keperluan 6 orang) akhirnya yang terpilih berada di garajku ialah sebuah MPV Chery Easter (Alado) 2.4cc, WSJ **** berwarna hitam (hitam; bagi mengenang Spectraku itu). Alado ini tiba ke rumah kami pada 13 Mac 2009 pada jam hampir 12.00 tgh malam!! (Bukannya apa.... kereta itu terpaksa kudapatkan pada hari itu juga walaupun agak lewat memandangkan esoknya kami perlu pulang ke Kelantan!!) Ramai yang kurang bersetuju dengan tindakan kami memilih sebuah kereta berjenama Cina yang dikatakan akan susut nilainya dengan ketara, tapi kami tidak ambil kisah. Bagi kami, Alado ini adalah pilihan yang sesuai dengan budget kami dan menepati bilangan seat yang kami perlukan (Heheheheh) Kini kuharapkan agar Alado akan mampu berkhidmat secemerlang Spectraku dulu.
Biarlah apa jua jenis kereta yang kami guna....

Biarlah apa jua warna kereta yang kami ada....
Asalkan sentiasa dilindungi Allah dari segala bahaya dan bencana.
Semoga kami selamat tiba ke destinasi yang kami tuju.
Buat kereta-keretaku; Iswara, Spectra, Kancil dan Alado....
Tidak kira dulu atau kini, Terima kasih daun keladi!!!