Monday, March 3, 2014

Cerita Si 'Dua Dalam Satu'


Seronoknya menjadi ibu.
Walaupun beberapa tahun dahulu aku takut untuk memikirkan sama ada aku berpeluang untuk merasai detik sebagai ibu. Atas faktor yang tak perlu aku jelaskan, memang aku takut untuk menyulam impian. 

Baru saja hampir 10 tahun memegang jawatan sebagai seorang ibu, banyak sudah pengalaman yang aku lalui. Bukan mudah... malah kalau ingin kutuliskan, rasanya akan berjela-jela episod 'pengalaman seorang ibu' yang boleh aku kongsikan... hehehhe...Cuma kali ini, ingin aku kongsikan pengalaman awal memiliki sepasang anak kembar...yang bukan semua orang berpeluang rasai. 

Mungkin bagi yang tidak membaca entriku sebelum ini, kesemua cahaya mataku (3 orang) dianugerahkan melalui usaha IVF. (*Boleh baca di IVF Babies - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.) Cubaan keduaku menghadiahkanku dengan dua denyutan jantung dalam rahimku yang satu. Syukur Ya Allah! Tak lalai aku dengan anugerah hebatmu itu; yang tak pernah terfikirkan....Syukur Alhamdulillah.

Hari itu, tatkala doktor mengambil sampel darahku sebagai prosedur sususan proses IVF yang aku lalui, doktor telah dapat mengesan paras hormon yang agak tinggi dalam darahku. Hampir dua kali ganda paras hormon semasa kandungan pertamaku. Namun seawal itu, tiada sebarang kepastian dapat dibuat memandangkan usia kandungan yang amat baru dan proses imbasan pun belum mampu membuat sebarang pengesanan. Sebenarnya, pada waktu itu.... penjelasan doktor bahawa proses IVF ku itu berkeputusan positif saja pun dah membuatkan jiwaku dan suami berbunga-bunga, berseri-seri dan mataku berkaca-kaca....kerana cubaan kedua ini memang kuserahkan sepenuhnya padaNya yang di atas sana. Bagiku, aku malu andainya Dia melihatku sebagai manusia tamak yang tak habis-habis meminta sedangkan anugerahNya yang pertama itu pun sepatutnya masih tak habis-habis untuk kusyukurinya. Jadi, bila doktor memberitahuku ujian darahku positif, ALHAMDULILLAH Syukur sangat-sangat.... dan pada waktu itu, sejujurnya kemungkinan mengandungkan anak kembar masih agak terkeluar dari kotak fikiran kami berdua.

Temujanji seterusnya... doktor mula membuat imbasan. Kurenung kosong tanpa makna skrin imbasan yang kelihatan hitam kelabu putih tanpa ada satu benda pun yang berjaya aku tafsirkan...Sebaiknya, hanya kutadahkan telinga mendengar butir perkataan yang keluar dari mulut encik doktor itu. Sambil tangannya menunding-nunding ke arah skrin... memberitahu, yang setompok kecil berdenyut di tengah skrin itulah jantung anakku. ALHAMDULILLAH... Ya! Itu jantung anakku...mataku terpaku melihat ke situ.  SATU denyutan, kata doktor. Masih terus mencari-cari dan kemudiannya kembali membelek-belek rekod ditangan. Mungkin masih belum berpuas hati dengan aras hormonku yang agak tinggi yang tercatat di situ. Hrmmm... akhirnya, dia membuat kesimpulan. Paras hormon mungkin berubah-ubah tak kekal sama bagi setiap kandungan... dan keputusannya.. mmg SATU denyutan ada di situ. Dan waktu itu, aku dan suami pula masih tersengih puas membayangkan denyutan kecil dalam tubuhku yg terlihat itu tadi.

Dalam keghairahan menyambut kandungan yang hanya beberapa minggu itu, dalam berjaga-jaga, dalam berusaha memanjakan diri sebaiknya.... (dalam 'morning sickness' yang tak reda-reda juga)... kandunganku teruji lagi kali ini. Perkara yang pernah berlaku semasa kandungan pertamaku juga...."threatened abortion"... dengan kata lain yang lebih mudah, 'bleeding' atau 'tumpah darah'. Waktu itu, kalau tak silapnya usia kandungan baru mencecah 8 minggu. Aduhai... cemas tak terkata. Cuba sehabisnya menerima andai memang itu ketentuanNya....Fikiran melayani 1001 kemungkinan. Airmata tumpah. Puas diseka, makin laju mencurah. 

Dengan penuh kesopanan dan ketatasusilaan, aku melangkah ke Damansara Fertility Centre lagi kali ini; dengan suamiku itu, si kekasih hati... membantu aku mengatur tapak satu persatu. Dari raut wajah risaunya, aku tahu, andaikata saizku ini comel sedikit dari yang ini, pastinya akan terus aku dikendongnya, mungkin sekali. Aduhai....Waktu itulah rasa diri ini amat disayangi... tak kisahlah tubuhku dipaut atas rasa kasihnya padaku atau kasihnya pada anak dalam perutku itu. Semuanya kutolak tepi. (Lagikan waktu sihat pun aku memang suka bermanja-manja... tambah-tambah lagi dalam keadaan sedemikian rupa... hehehe..tau sajalah! Tapi tak 'over' ok! Sebolehnya aku taknak susahkan kekasih hatiku itu.Aduh... panjang pulak selingannya!)

Waktu encik doktor itu datang memeriksa kandunganku... ALHAMDULILLAH segalanya masih selamat. Doktor sekali lagi melakukan imbasan. Mencari-cari sudut mana berlakunya runtuhan rahimku. Katanya masih agak jauh dari anakku... dan ditunjukkan kepadaku skrin hitam kelabu putih itu sekali lagi. mataku mencari-cari tompok yang pernah kulihat sebelum ini. Doktor menunjuk-nunjuk kedudukan anakku dan kawasan dinding rahumku yang telah 'sumbing' itu. Dan waktu itulah, doktor itu kembali ligat mengubah-ngubah sudut imbasan di dalam rahimku. 
"Puan.... hari itu saya kata satu 'heartbeat' ke dua?"
"Satu" pantas jawabku.
"Ooo..." Mukanya masih bersahaja. Dadaku berdebar.
"Puan tengok sini.. ada nampak denyutan, kan?" Aku mengangguk.
"...dan di sini, ada juga denyutan kan?" Aku mengangguk. 
Huh?! Sepantas itu mataku kembali kepada tompok pertama... kembali kepada yang kedua.... yang pertama... dan yang kedua...YA!! Kedua-duanya berdenyut-denyut!!
"Ya Puan, Tuan... tahniah... Kamu dapat anak kembar." Kata doktor itu tersenyum puas. Rasanya dia puas hati kerana kali ini barulah dia boleh jelaskan hipotesis aras hormonku yang tinggi tempohari. 
ALHAMDULILLAH...



Dan bermula dari hari itulah... aku sangat teruja. Kerana aku tahu, bukan semua ibu menikmati saat-saat indah seperti itu. Alhamdulillah Tuhan... atas rezekimu yang tak terduga.

Namun cabaran seterusnya yang menanti juga langsung tak kuduga...

(*Insyaallah bersambung dalam coretan seterusnya)  

Sunday, March 2, 2014

TARIKH RAHSIA?



Izinkan aku
Lebih lama disini
Dihamparan waktumu yg saatnya berlari
Dilembaran kanvasmu yg warnanya berseri
Dibentangan luasmu....tapakku berdiri

Aku menggenggam
Hartamu yg perluku jaga
Sebaik-baiknya sejak mula
Tiba masa kan kukembalikan jua

Aku memeluknya....dan juga mereka....seeratnya
Biar tertusuk hangat cintaku ke jantungnya
Amanahmu amanah penguji daya
Menyayangi sepenuhnya
Mengasihi seluruhnya...jiwa raga
Membentuk selagi upaya
Mengasuh selagi bernyawa

Aku berpaut
Pada tiangmu yang berpasak teguh
Yakinku kental tak akan runtuh
Tetap pendirianku, kulabuhkan sauh
Tegap...utuh.

Aku menagih
Kasihmu kekasih terulung
Mencintaiku dalam melindung
Mengujiku dalam membendung
Memimpinku dalam mendorong

Aku merenung.....
Baki harimu untuk kuisi
dengan kasihmu cinta Azalli...

Aku menghitung
Hari-hariku yg kian berkurang
......yg kuyakin ....kupasti makin berkurang
Di laman Dia....yang sementara kupinjam


Ku menghitung.....terus menghitung
Selagi mampu harimu kuhitung.