Dulu berdua... kini berlima!!
Fitrah kejadian manusia, meninggalkan generasi baru yang membawa gabungan genetik dengan kombinasi berbeza-berbeza untuk menjadi pewaris kehidupan akan datang.
Naluri manusia.... ingin menimang cahayamata, mendukung manusia kecil yang menjadi penyambung darah daging. Namun mungkin ramai pasangan yang tidak menyedari betapa bertuahnya mereka kerana dikurniakan cahayamata. Bilangannya tidak menjadi persoalan. Asalkan ada sudah menjadi satu kurniaan tak ternilai.
Sejak kebelakangan ini, bilangan pasangan yang mengalami masalah untuk mendapatkan zuriat semakin bertambah. Tak perlu pihak lelaki atau pihak perempuan yang dipersalahkan kerana sebaik sahaja termetrai sebuah ikatan perkahwinan, bukankan segala apa yang menanti di hadapan menjadi masalah yang ditakdirkan untuk ditanggung bersama. Tidak agung cinta yang tersemi jika sebaik saja dugaan mendatang, pasangan cabut lari??! (Atau jadi alasan untuk 'tambah' lagi?!)
Aku kurang arif tentang punca sebenar masalah kesuburan ini. Namun setakat ilmu yang aku perolehi, sekiranya bukan atas faktor semulajadi; faktor kemalangan, penyakit dan gaya hidup juga boleh menjadi faktor-faktornya.
Apa yang utama disini adalah sesanggupan dan kesungguhan setiap pasangan tersebut untuk terus berusaha. Zaman kini, kita patutnya bersyukur yang amat-amat kerana kita masih diberi peluang untuk mencuba dengan pelbagai kaedah-kaedah moden yang bersesuaian dengan masalah yang dihadapi. Mulakanlah dengan pemeriksaan oleh pakar-pakar agar puncanya dapat dikenalpasti. Setelah itu, kita akan dicadangkan dengan kaedah yang bersesuaian. Walaupun prosedur yang terpaksa dilalui sememangnya menagih kesabaran dan kecekalan kerana ia tak semudah yang disangka, anggaplah ia sebagai suatu ujian yang menduga kesungguhan kita. Selain itu, halangan utama bagi kebanyakan pasangan ialah KOS rawatan. Memang benar... jangan terkejut jika kukatakan kosnya hampir sama dengan harga sebuah kereta kancil!! (Kerana kami dapatkan rawatan di hospital swasta. Kosnya mungkin SEDIKIT berkurang jika dirawat di LPPKN atau hospital-hospital kerajaan). Hanya keluarga terdekat sahaja yang mengerti betapa kami terpaksa bersusah payah 'menabung' beberapa tahun setiap kali ingin mencuba. Aku dan suami memangnya pasangan bertuah. Dua kali mencuba (IVF), kedua-duanya berjaya. Anak sulungku Ezry lahir pada 16 Oktober 2004 dan cubaan kedua menyerikan hidupku dengan kelahiran dua puteri kembar pada 30 Ogos 2008, Erina dan Erisya....
Ceritaku cerita dari pengalaman.....
Walau bukan semua pasangan yang mencuba berjaya, sekurang-kurangnya mereka tidak berpeluk tubuh dan berserah pada takdir semata-mata. Tuhan mahu kita sendiri berusaha mengubah nasib diri kita.....
Dan 11 Julai 2009 yang lalu, aku sekeluarga mendapat undangan dari Tropicana Medical Centre (yang tertulis dalam suratan takdir sebagai pihak 'pencetus' anak-anakku). Undangan tersebut berhasrat mengumpulkan seramai mungkin anak-anak IVF yang berjaya dibawa balik dari TMC, sekaligus meraikan bayi IVF TMC yang ke 2000. Aku tahu, yang menganugerahiku dengan 3 orang manusia kecil itu tidak lain dari ALLAH yang Maha Pencipta, namun aku tetap terhutang budi pada TMC yang menjadi 'sebab' untuk kejadian ini.
Dengan nama terdahulu, Damansara Fertility Centre (Damansara Women's Specialist), beroperasi di tempat sederhana, berasak-asak dengan kesibukan 'Up-Town'; kini TMC mampu berdiri megah di Kota Damansara... gah dengan bangunan milik sendiri dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur. Dari hanya bidang fertiliti, kini telah berkembang dengan cabang-cabang kepakaran yang menjurus ke arah pembentukan sebuah pusat kesihatan yang lengkap. Memang kunjungan kami tempohari membuatkan kami kagum dengan apa yang TMC capai kini.....
Sambutan '2000 TMC IVF Babies' dijayakan oleh hampir 700 hadirin tidak termasuk staf dan kakitangan TMC. Diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Kesihatan sendiri, Datuk Seri Liow Tiong Lai.Tahniah ku ucapkan buat semua kakitangan TMC terutamanya Dr. Collin Lee, Dr. Surinder, Dr. Wong Pak Seng dan semua yang terlibat membawa TMC hingga ke peringkat ini. Dengan lahirnya 2000 bayi IVF TMC, secara rasminya TMC menyumbang 1/3 daripada keseluruhan bayi IVF di Malaysia.
Kepada pasangan yang diberi dugaan seumpamanya, jalan masih terbentang luas. Asalkan ada kesungguhan, kuatkan tekad.... insyaallah, rezekimu akan tiba jua.