Friday, September 6, 2013

Perihal KAYA ( Bersyukurlah seadanya.)

Assalamualaikum,
Salam pertemuan sekali lagi kali ini. Alhamdulillah, masih berpeluang lagi.

Hati meronta untuk mencoret sesuatu pada laman yang agak lama terbiar. Bagai ada yang mengasak-asak dari dalam jiwa. Lantas.... tercoretlah....

Lama tak menulis, terasa segan dan kekok di laman sendiri. Kesibukan menjadi penghalang. Kesibukan menjalani rutin harian, kesibukan melayani karenah insan-insan tersayang... dan kesibukan utama, dalam memenuhi keperluan tuntuan 'periuk nasi'. Tugas-tugas pendidik yang tak berkehabisan.

Ada yang berkata, 'Apalah yang dikejar sangat pada urusan duniawi? Urusan yang takkan ada noktah henti.' Ya betul. Memang takkan ada noktah henti. tapi inilah usaha yang menghalalkan segenggam rezeki. Inilah keringat yang membuat rezekiku diberkati. Kerja dan kerja dengan sepenuh hati.

Dalam perjalanan ke sekolah pagi tadi... melayan lagu  "KALAU AKU KAYA". Tersenyum-senyum sendiri. Bagiku lagu itu jujur.... kerana memang ramai yang ingin jadi kaya.

Kerja dah lama... ada orang kata, 'Eh! Tak kaya-kaya juga?' atau ada juga yang berkata....'Alahai, setakat jadi cikgu, kerja tunggang langgang macamana pun takkan jadi kaya!!'  Hrmm... pedulikanlah. Apa yang aku cari bukan kekayaan semata-mata. Memadailah dengan memperolehi apa yang seadanya. Memadailah dengan memberikan anak-anakku setakat apa yang mama dan papa mampu. Asal hidup kita tak merempat. Tidak terlalu ke atas, tidak terperosok ke bawah. Sekalipun tak banyak boleh kusumbang, sekurang-kurangnya kami tak menumpang ihsan. Alhamdulillah kami belum sampai ke peringkat menyusahkan orang, kan? Kan? Kan? Keperluan satu kemestian. Kemewahan bukan tuntutan. Hidup kami hidup sederhana. Tak perlu barangan berjenama. Andai teringin sesekali merasa... berjimatlah, mengumpullah. Cukup masa, cukup tabungan, belilah. Semudah itu saja prinsipnya. Alhamdulillah, dalam hal-hal sebegini, aku dan suami seiya sekata. Berpegang pada ungkapan... 'Biarlah, kita buat saja cara kita, kemampuan kita.'Allah pun sukakan orang yang bersederhana.

Manusia berhak pada apa saja yang mereka ada. Terserah kepada selera yang mereka ingin rasa. Ada yang kemampuannya besar, namun berselera kecil. Namun yang ramai kujumpa ialah golongan berselera besar, walaupun kecil cuma kemampuannya. Yelah...namanya pun manusia. Pastinya berbeza-beza.

Aku? Hrmm... rasanya aku kemampuannya sederhana, namun Alhamdulillah seleranya pun tak sebesar mana. Hehehe...Setakat ini tak ada terkilan dengan gaya hidup sebegini. Bagiku, berbelanja biar berhemah. Nak merasa tak salah. Boleh 'terlebih' dari kemampuan buat sesekali cuma sebelum itu, kenalah 'mengikat perut' berhari-hari. Mungkin, banyak yang orang rasa kita tak merasa.... jadi apa salahnya sesekali kita berbelanja lebih sikit dari mereka. Lagipun, apa yang kita laburkan adalah hasil usaha keringat sendiri. Bukan orang tahu pun susah payahnya kita nak cukupkan 'targetnya'. Hehehe.

Yang paling pelik dan susah aku fahami ialah golongan manusia yang sangat prihatin menjadi 'jurukira hasil di poket orang'. Mungkin tak senang hati tengok orang senang. Mula dok mengira berapa rumah dia ada, berapa kereta depan rumahnya, berapa maid yang mampu dia bela....bla bla bla...Mula nak mencari kekurangan di mana-mana... nak cari kepincangan selagi ada. Mulalah dia yang tolong senaraikan apa dan dimana wang dibelanja. Sedangkan poket sendiri mungkin bocor luas ternganga. Alahai peliknya manusia. 


BAHAYA!!
Setakat ini, Alhamdulillah Allah pelihara aku dari perasaan sebegitu. Walau adik beradik pun, tak terdetik perasaan ingin mengambil tahu. Sekadar melihat mereka senang.....Alhamdulillah. Melihat mereka kesempitan, kita cuba cari penyelesaian. Nasihat dihulur jika difikir perlu. Bantu andai mampu. Masing-masing punya akal fikiran untuk menentukan corak kehidupan... kerana itu adalah hasil hari-hari sibuk yang mereka korbankan!! Allah dah tentukan untung nasib seseorang. Tak perlu membuat andaian hanya dengan mengintai poket dari kejauhan. Sesungguhnya perjalanan manusia berbeza. Kita takkan rasa apa yang mereka rasa kerana posisi kita berbeza-beza. Jumlah RM yang sama, akan berbeza nilainya kerana tanggungjawab, malaj keperluan kita mungkin tak sama. Jadi...jagalah poket masing-masing, lebih afdhal rasanya. 

Bagiku, adalah SUATU KENIKMATAN yang Allah anugerahkan, andai mata yang memandang, melihatku dengan kesenangan dan kemewahan. Banyak kali juga ada yang berkata... "Awak takpelah....awak orang senang". Syukur kerana aku sentiasa merasa aku beruntung dianugerahi Allah dengan apa juga yang aku ada.. seadanya. Syukur juga andai itu aku di mata mereka. BANYAK atau SEDIKIT sebenarnya adalah suatu yang subjektif. Sepertimana juga SEDAP dan TAK SEDAP.... subjektif. Di tahap manakah kita boleh katakan kita KAYA? RM100? RM100 ribu? RM 1 juta?? RM10 juta?? Entah. (*Ada seorang warga tua di kampung yang menitiskan air mata, terharu dan gembira menerima BR1M RM500 kerana katanya itulah kali pertama dia memiliki wang sebanyak itu! Jadi andai ditanyakan makna KAYA baginya.... Hrmmm..)

Aku tak pernah rasa terkilan sekalipun namaku tak tersenarai antara puluhan jutawan. Namun, aku rasa aku sudah CUKUP KAYA.... dan sudah TERLEBIH KAYA, setiap kali kubandingkan nasib diri dengan mereka yang lebih tiada. Aku tak merempat... sekalipun aku tak ada duit berkepuk berlipat-lipat. Perbelanjaan untuk keperluan tak pernah terlekat. Memenuhi kehendak pun rasanya tak tersekat-sekat. Untuk bermewah-mewah pula.... sekali-sekala...bak apa yang kusebut tadi, Insyaallah ada ketikanya. Cuma perlu bersabar dan perlu di'adjust' perbelanjaan sebaik-baiknya. Sedikit masuk tabungan... untuk pelan bertindak dimusim kecemasan. (*Sekurang-kurangnya....selagi boleh aku tak mahu menadah tangan memohon ihsan. Ya Allah... janganlah Kau duga kami dengan ujian yang melampaui kemampuan.) Sedikit juga masuk simpanan, bekalan anak-anak di masa hadapan. Jadi bagiku... Alhamdulillah  rezeki masuk mencurah-curah..... mungkin tak sebanyak mana, tapi 'mewah' berbanding yang tiada!

Cuma andai ditanya cita-cita dan impian manusia... mohon sentiasa rezeki dilimpahi berganda-ganda. Pastinya menghitung dan mengharap yang lebih baik buat kita. Sekurang-kurangnya boleh menampung apa yang terkurang di mana-mana....SETIDAK-TIDAKnya, nak lebihkan juga untuk ibubapa yang banyak-banyak-banyak-banyak benar jasanya. Atas doa mereka, hidup kita Allah pelihara... InsyaaAllah.


Lirik Lagu Kalau Aku Kaya – Altimet feat. Awi Rafael

Kalau aku kaya…Kalau aku kaya
Aku nak gaya hidup aku berubah
Alangkah indah kalau dah tak susah
Jadi pemilik bukan sewa rumah
Makan tak habis minum tak sudah
Bil api air semua bayar awal
Tulis cek selamba tak risau batal
Masuk dalam bank semua melopong
Dalam akaun ada banyak 0 0 0 0 0

Dan kalau aku mampu
(jangan pening kepala, Aku betulkan semua lubang atas jalanraya)
Buat suka hati aku
(Kamu tak perlu risau, Aku beli semua pokok janji bumi kekal hijau)

Kalau aku kaya ..Hari hari hari raya
Bil-bil jiran keluarga…Aku belanja selamba
Kalau aku kaya..Aku beli segalanya
Bungkuskan semua Hadiahkan pada mama

Kalau aku kaya (kalau aku kaya,kalau aku kaya)
Kalau aku kaya (kalau aku kaya,kalau aku kaya)

Aku gajikan driver Nama dia Schumacher
Dia panggil aku sir Aku panggil dia der
Der, tolong hantar mak aku pegi pasar
Belikan nasi lemak
Boss engkau dah lapar
Aku belikan Kim K, kain lebih
Pesan dia tolong tutup aurat, terima kasih
Beats by Dre Next beat by’Ye
Tiap show pakai J’s , Hypeman aku Jay

Biar aku belanja, subsidi gula
Korang kena kencing manis tanggung rawatan semua
Pening apa semua benda aku yang sponsor
Kalau korang takut trafik kita naik helikopter
Dan kalau aku mampu
(jangan pening kepala, Aku betulkan semua lubang atas jalanraya)
Buat suka hati aku
(Korang tak perlu risau, Aku beli semua pokok janji bumi kekal hijau)

Kalau aku kaya ..Hari hari hari raya
Bil-bil jiran keluarga…Aku belanja selamba
Kalau aku kaya..Aku beli segalanya
Bungkuskan semua Hadiahkan pada mama

Aku beli serba satu (Heh aku beli dua)
Eleh aku angkat lima (Wei aku borong semua)
Bagitahu jiran lama (Sewa mereka kami taja)
Dan kalau anak-anaknya geliga (Kita bagi biasiswa)
Bila aku kaya Bila aku kaya Bila aku kaya Bila aku kaya
Kaya,kaya
Bila aku kaya
Hari hari hari raya (hari-hari ha ha)
Bil-bil jiran keluarga
Aku belanja selamba (rileks-rileks semua aku belanja)
Bila aku kaya (Yea)
Aku beli segalanya (semua)
Bungkuskan semua (ha ha)
Hadiahkan pada mama (mama nak apa)
Bila aku kaya (Kita bukan pergi kedai kereta beli kereta)
Bila aku kaya (Kita pergi kedai kereta beli kedai kereta)
Bila aku kaya (bila aku kaya, bila aku kaya)
Bila aku kaya (bila aku kaya, haih bila lah nak kaya)
Kalau aku mampu……Buat suka hati aku

No comments:

Post a Comment