11 Mac 2010 -Bukan baru tahun ini aku melalui hari sebegini. Dah jadi acara tahunan bagi guru-guru untuk menempuh dua kali saat-saat mendebarkan seperti ini; pada hari peperiksaan itu sendiri, dan pada waktu keputusan diumumkan seperti hari ini. Cuma aku ingin berkongsikan perasaanku sejak dari diumumkan tarikh keputusan akan diumumkan lagi. Dalam melakukan apa kerja sekalipun, sesekali aku akan terfikirkan akan corak keputusan yang bakal diterima nanti.
Aku rasa, perasaan ala tertekan ini ada kaitan dengan keputusan SPM 09 yang kuterima tahun lalu. Memang subjekku (Matematik Tambahan) agak merudum tahun lalu. Memang tak aku nafikan, mungkin kelompok dan 'attitude' pelajar itu sendiri menjadi faktornya, tetapi bagiku, keadaan kesihatanku dan banyaknya hari yang terpaksa aku di'cuti'kan, termasuk dengan cuti bersalinku menjadi penyebab utama sekaligus mewujudkan satu rasa terkilan dalam diri. Kekesalan itulah yang terbawa-bawa sehingga menjadikan aku agak gerun untuk menatap keputusan bagi tahun ini.
Namun, harinya tiba juga..... sebaik melangkah masuk ke bilik Puan Pengetua, kulihat telah ramai guru-guru (termasuk Ketua panitia lain) berada di situ. Ketua Bidangku, En Ab.Gani memberikan isyarat positif apabila melihat kegelisahanku. Memang sebelum ini aku pernah mengadu tentang debaranku padanya. Alhamdulillah setelah kuhampiri En. Ab.Gani, dia sempat membisikkan peratusan yang agak melegakan.
Peningkatan yang agak banyak dan membanggakan.. Syukur...
Setelah berasa sedikit lega... kudapatkan keputusan pelajar-pelajar dari kelas yang kuajar. Air mataku menitik perlahan (namun cepat2 aku sekakan agar tiada yang perasan). Kebanyakan pelajarku mendapat keputusan yang mungkin mereka sendiri tak jangkakan.. kegembiraan yang memang lahir dari jiwa. Rasa puas, dan lega menatapinya...
Merangkap jurugambar majalah, aku mengambil peluang untuk turut sama berada di Dewan Ixora.... merakamkan saat-saat setiap pelajar memperolehi apa yang mereka usahakan. Ada wajah gembira, ada wajah duka... malah, ada yang tiada apa-apa ekspresi yang tergambar. Yang pasti, ramai yang akan mengenang hari ini...
Dan, dalam keramaian itu, sesekali ada yang datang padaku, merakamkan ucapan terima kasih atas apa yang telah mereka pelajari. Aku terharu.... ucapan sebegitu mengundang sekali lagi linangan air mataku. Sememangnya... aku tak mengharapkan apa-apa selain itu. Cukuplah bagiku melihat mereka memegang slip keputusan dengan wajah ceria dan bercahaya. Ucapan penghargaan yang mereka luahkan adalah hadiah bernilai buatku, seorang insan bernama guru.
Buat pelajar-pelajarku...Walau ke mana arah perjalananmu selepas ini, kuiringkan doa agar kalian akan terus berjaya dan menjadi insan yang berguna.
No comments:
Post a Comment