Tuesday, March 30, 2010

"Apa?? Saya tadak tiru maaa...!!"

Bukan perkara baru..... Ini lebih kepada luahan hatiku yang kecewa dengan pemandangan lazim yang berlaku beberapa kali setahun mengikut musim.
Sekolah dan peperiksaan..... memang tak boleh dipisahkan, sekalipun aku akui bahawa adalah salah untuk meletakkan peperiksaan sebagai matlamat utama dalam institusi pendidikan kerana apa yang lebih utama ialah proses penyampaian dan penerimaan ilmu pengetahuan yang bukan hanya semata-mata berlandaskan peperiksaan. Wah... macam berat saja penulisanku kali ni...
Sebenarnya sebagai seorang guru, isu peperiksaan memang kujadikan perkara yang serius. Peperiksaan menjadi satu alat pengukuran yang paling mudah untuk menentukan aras kefahaman murid, disamping mengukur tahap keberkesanan seseorang guru. Oleh itu, sebarang 'kecacatan' dalam prosedur peperiksaan ini akan mengganggu gugat kesahihan peperiksaan itu sendiri.
Apa yang kuperhatikan, 'penghayatan' peperiksaan telah semakin berkurang. Guru-guru telah mengorbankan banyak masa bagi menjayakannya termasuk proses membina soalan, mengetip,membalut, hinggalah mengawas peperiksaan itu sendiri.



Namun di pihak murid, sebaik menerima kertas soalan, mereka terus melentik-lentikkan badan dan merebahkannya dengan kepala ditelangkup ke meja. Sehubungan itu, pihak pentadbir telah mengambil langkah mengutip sebarang 'kertas jawapan' yang tidak dijawab untuk diserahkan kepada ibubapa murid berkenaan. Sekurang-kurangnya ibubapa akan tahu sejauh mana kesungguhan anak mereka menjawab. Jika sikap murid yang sebegini dibiarkan, mereka akan terbiasa dan tidak mustahil jika lebih ramai lagi yang akan melangkah keluar dari dewan/ bilik peperiksaan hanya setelah setengah jam mereka menjawab, sekalipun peperiksaan itu adalah peperiksaan awam (PMR/ SPM).
Kami, para guru pula diminta mengejutkan mana-mana murid yang tidur. Kadang-kadang, walaupun dikejutkan beberapa kali, murid masih tetap tidur. Kalau tak pun, mereka cuma bangun seketika dan memeriksa jam di tangan sebelum menyambung kembali mimpi yang terputus.

Begitulah berulang kali.... malah ada yang seakan marah-marah dengan menunjukkan wajah yang beriak protes. Ada antara murid yang apabila kuminta cuba menjawab, memberi respon kepadaku, "Teacher, I really cannot answer the questions.... I've tried... but still I don't know how to do it. So?" .......dan aku pula selaku guru masih memujuk mereka sekurang-kurangnya membelek-belek kertas soalan itu dengan harapan membaca berulang kali akan memberikan mereka sedikit idea. Selalunya, tiap kali situasi itu terjadi, murid akan memandang guru dengan pandangan yang menyampaikan masej bisu yang lebihkurang berbunyi "Eh..cikgu ni tak reti2 ke, aku dah kata tak tau nak jawab, aku taknak jawab...masih jugak nak suruh aku jawab..." Dan dia akan berlakon seolah-olah berfikir seketika sementara menanti si guru ini bergerak menjauhi sedikit mereka sebelum kembali dengan aktiviti mereka.
Bagi beberapa murid yang memang sehati sejiwa, tempoh mereka menjawab seolah-olah telah disetkan sama secara tak rasminya. Akan ada yang boleh berbalas-balas senyum, tersengih-sengih bodoh, berkomunikasi dengan bahasa mudah menggunakan isyarat badan..... dan semua itu, memang perbuatan yang rutin bagi mengisi kekosongan masa yang terhasil (biasanya kerana kekosongan idea yang seterusnya mencetuskan 'kekosongan' kertas jawapan juga). Bila ditegur, mereka akan mengangkat2 kening, seolah2 mempersoalkan apa jenis kesalahan yang telah mereka lakukan dan kalau tak pun, apakah buktinya mereka saling berkomunikasi.... Tak mustahil juga jika ada yang berani pula bersuara. "Saya tak ada cakap apa2 maaa.... tak ada tiru punya...", sedangkan kita yang melihat gelagatnya punyalah sakit biji mata.
Selain itu, kebanyakan murid rasanya bukan dari golongan yang kurang berada. Tapi setiap kali peperiksaan, pasti ada benda yang perlu 'diterbangkan'. Kalkulator, pembaris, pemadam, pensel, 'correction tape' malah 'correction pen' (yang sebenarnya memang tak dibenarkan penggunaannya) akan bertukar-tukar tangan dari meja depan ke meja belakang.... dari hujung kiri ke hujung kanan. Puas ditegur, puas dilarang, perkongsian ini selepas seketika, masih tetap diteruskan. Darurat....
Mereka juga tidak ada rasa bersalah untuk tidak hadir ke sekolah semasa peperiksaan dijalankan. Hanya dengan bertiketkan sekeping surat atau MC (hasil lakonan yang agak menjadi), mereka telah terlepas dari satu proses 'menggantung diri'. Sekurang-kurangnya dalam slip keputusan nanti akan tercatat 'TH' (tidak hadir) yang pastinya berkali-kali-kali-kali ganda lebih baik daripada melihat huruf2 atau digit2 seperti '14%' atau '9G', bukan begitu??
Apa pun perkara yang kubangkitkan di sini, bukan bertujuan merendahkan kebolehpercayaan terhadap peperiksaan itu sendiri, bukan juga bertujuan membuka pekung di dada... cuma sekadar luahan terhadap situasi generasi baru ini setiap kali mereka menduduki peperiksaan. Tetapi perlu juga kutegaskan disini bahawa semua situasi yang kusebutkan tadi hanya melibatkan sekumpulan murid.... hanya sekumpulan... Bermakna masih ada harapan untuk nilai peperiksaan ini kembali diterapkan.Walau apa juga situasi yang dialami, aku percaya para guru seboleh-bolehnya akan terus mencuba sedaya upaya bagi mengembalikan 'maruah' peperiksaan ini. Walaupun hanya diperingkat ujian, kepentingaannya masih sama seperti peringkat peperiksaan dalaman dan juga peperiksaan awam.

Wednesday, March 24, 2010

Mengenali Al-Falah, TPJ


Surau Al-Falah (SAF) diusahakan diperingkat awalnya oleh beberapa penduduk PUJ 4 yang mula berpindah ke TPJ pada hujung tahun 2004. Ekoran pertambahan penduduk muslim dan keperluan untuk beribadat secara berjemaah, pada tahun 2005 beberapa penduduk PUJ 4 telah bersepakat membentuk sebuah jawatankuasa bagi merealisasikan pembinaan SAF yang diketuai oleh Prof. Dr. Sapuan pada masa itu.

Sebuah jawatankuasa pembinaan juga dibentuk untuk menguruskan proses pembinaan di samping mencari dana dan sumbangan sama ada melalui penduduk setempat ataupun lain-lain organisasi. Sementara itu, pihak pengurusan SAF telah menyewa sebuah rumah lot tepi untuk dijadikan surau sementara dengan sewaan RM500 sebulan bermula pada bulan Oktober 2005.

Melalui tabung pembinaan yang diwujudkan, SAF berjaya mengumpul lebih RM22 ribu dan ianya telah digunakan untuk urusan kerja-kerja tapak dan pembinaan asas di tanah berlereng yang diberikan oleh pemaju. Kerja-kerja tersebut juga turut dibantu ahli kariah secara bergotong royong. Pihak SAF telah mendapat kerjasama Jabatan Mufti Selangor untuk mengesahkan arah kiblat. Dalam masa yang sama SAF juga telah mengemukakan permohonan untuk menggezetkan tanah tersebut untuk kegunaan surau.

Pada tahun 2007, usaha yang dibuat oleh jawatankuasa pembinaan SAF dengan kerjasama persatuan penduduk TPJ, untuk memohon dana khas melalui ICU-Jabatan Perdana Menteri. Sejumlah RM200,000 telah diluluskan yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Petaling. Pembinaan SAF telah diteruskan dengan menggunakan dana tersebut dan siap dibina pada bulan Oktober 2007. Pada bulan tersebut juga SAF akhirnya berpindah ke bangunannya sendiri setelah 2 tahun menyewa rumah sebagai surau sementara.

SAF juga mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM50 ribu (2007) dan RM30 ribu (2009). Bantuan ini telah digunakan untuk penambahbaikan ruang dan pembelian alatan. SAF juga turut mendapat sokongan daripada ahli kariah dan para jemaah yang menyumbang melalui tabung surau. Hasil sumbangan ini telah digunakan untuk membiayai program-program surau yang dijalankan dari semasa ke semasa serta membiayai perbelanjaan pengurusan bulanan SAF.

Sekali lagi pada tahun 2008, SAF memohon dan telah diluluskan peruntukan dana khas ICU_JPM sebanyak RM100,000 bagi membiayai kerja-kerja tambahan SAF. Dana ini digunakan untuk menambak dan melebarkan laman SAF, pembinaan tembok, pagar dan tangga.

Hingga kini, lebih RM380,000 telah dibelanjakan untuk pembinaan SAF yang boleh menampung 200 orang jemaah. Perancangan akan datang dalam bentuk fizikalnya ialah untuk membesarkan ruangan solat dengan menambah ruang di bahagian belakangnya bagi menampung pertambahan jemaah.
Manakala perancangan yang lebih utama ialah pengisiannya melalui program-program pengajian dan kegiatan umum selain daripada ibadat-ibadat khusus. Semua perancangan ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak dan SAF sentiasa berusaha menarik minat ahli kariah untuk mendekati SAF dengan aktiviti tertentu seperti program sahabat SAF, edaran INSAF dan lain-lain lagi.

******* Petikan edaran INSAF (Informasi Surau AL-Falah) Edisi Mac/April 2010

Sunday, March 21, 2010

Akuaria KLCC

19 Mac 2010
Kami sekeluarga berkunjung ke Akuaria KLCC. Bukan tak pernah ke sana, cuma kebetulan, kali ini, salah seorang rakanku menawarkan pembelian tiket akuaria dengan harga istimewa.
(Thanks to Aima....).
Kunjungan kali kedua ini dalam kumpulan yang lebih besar kerana kini kami berlima, ditambah pula dengan kehadiran Siti, ma, abah dan adikku Hasni.

Dalam musim cuti sekolah sebegini, keadaan agak sesak sedikit berbanding hari biasa. Ikan-ikan pun mungkin dah tak lalu nak tengok manusia-manusia ni. Cuma tak diberi pilihan je. Kalau tak, mesti dah banyak yang mohon dikembalikan ke laut......

Kami tiba jam hampir jam 11.00 pagi. Sebaik masuk, terdapat pertunjukkan memberi makan ikan Piranha. Wah...rakus benar spesis ni meratah makanan yang dicampakkan. Tak boleh aku bayangkan kalau betis manusia yang dicecahkan kedalam itu.... Huhhh..

Anak-anakku pula tiga orang tiga ragam. Ezry, biasalah... taksub dengan ikan-ikan disekitarnya.
Erisya pula baru pulih dari demam.... seronok tapi dalam keadaan ala-ala khayal lagi. Erina pula, sebaik masuk hinggalah ke pintu keluar dengan ciri 'penakut'nya. Tengok ikan, takut. Tengok kura-kura, takut. Tengok cicak, takut. Katak, takut. Malah tengok orang punnnnnn takut.... Hendak tak hendak, terpaksalah kudukung Cik Erina yang dah 10 kg lebih tu boleh dikatakan sepanjang tempoh 'lawatan' tu. Lenguhnya...aduh..Tuhan saja tahu.... Bukan tak mahu bergilir2.... tapi dia kan memilih sedikit. Kena pula masing-masing dah ada tanggungan masing-masing.

So, lawatan kali ni masih menyeronokkan. Banyak juga gambar-gambar (perkara wajib) yang kami rakamkan. Walaupun kali kedua kami mengunjunginya, masih banyak juga kenangan yang sukar dilupakan. Salah satu darinya, tanganku tak boleh dibengkokkan keesokan harinya akibat mendukung Erina terlalu lama.....

Jawapan Persoalan.

Keputusan SPM dah pun diumumkan lebih seminggu lalu. Dah tak 'panas' lagi.... malah slip-slip keputusan yang masih belum dituntut entah-entah dah tak ada lagi.

11 Mac 2010 -Bukan baru tahun ini aku melalui hari sebegini. Dah jadi acara tahunan bagi guru-guru untuk menempuh dua kali saat-saat mendebarkan seperti ini; pada hari peperiksaan itu sendiri, dan pada waktu keputusan diumumkan seperti hari ini. Cuma aku ingin berkongsikan perasaanku sejak dari diumumkan tarikh keputusan akan diumumkan lagi. Dalam melakukan apa kerja sekalipun, sesekali aku akan terfikirkan akan corak keputusan yang bakal diterima nanti.

Aku rasa, perasaan ala tertekan ini ada kaitan dengan keputusan SPM 09 yang kuterima tahun lalu. Memang subjekku (Matematik Tambahan) agak merudum tahun lalu. Memang tak aku nafikan, mungkin kelompok dan 'attitude' pelajar itu sendiri menjadi faktornya, tetapi bagiku, keadaan kesihatanku dan banyaknya hari yang terpaksa aku di'cuti'kan, termasuk dengan cuti bersalinku menjadi penyebab utama sekaligus mewujudkan satu rasa terkilan dalam diri. Kekesalan itulah yang terbawa-bawa sehingga menjadikan aku agak gerun untuk menatap keputusan bagi tahun ini.

Namun, harinya tiba juga..... sebaik melangkah masuk ke bilik Puan Pengetua, kulihat telah ramai guru-guru (termasuk Ketua panitia lain) berada di situ. Ketua Bidangku, En Ab.Gani memberikan isyarat positif apabila melihat kegelisahanku. Memang sebelum ini aku pernah mengadu tentang debaranku padanya. Alhamdulillah setelah kuhampiri En. Ab.Gani, dia sempat membisikkan peratusan yang agak melegakan.
Peningkatan yang agak banyak dan membanggakan.. Syukur...

Setelah berasa sedikit lega... kudapatkan keputusan pelajar-pelajar dari kelas yang kuajar. Air mataku menitik perlahan (namun cepat2 aku sekakan agar tiada yang perasan). Kebanyakan pelajarku mendapat keputusan yang mungkin mereka sendiri tak jangkakan.. kegembiraan yang memang lahir dari jiwa. Rasa puas, dan lega menatapinya...

Merangkap jurugambar majalah, aku mengambil peluang untuk turut sama berada di Dewan Ixora.... merakamkan saat-saat setiap pelajar memperolehi apa yang mereka usahakan. Ada wajah gembira, ada wajah duka... malah, ada yang tiada apa-apa ekspresi yang tergambar. Yang pasti, ramai yang akan mengenang hari ini...

Dan, dalam keramaian itu, sesekali ada yang datang padaku, merakamkan ucapan terima kasih atas apa yang telah mereka pelajari. Aku terharu.... ucapan sebegitu mengundang sekali lagi linangan air mataku. Sememangnya... aku tak mengharapkan apa-apa selain itu. Cukuplah bagiku melihat mereka memegang slip keputusan dengan wajah ceria dan bercahaya. Ucapan penghargaan yang mereka luahkan adalah hadiah bernilai buatku, seorang insan bernama guru.

Buat pelajar-pelajarku...Walau ke mana arah perjalananmu selepas ini, kuiringkan doa agar kalian akan terus berjaya dan menjadi insan yang berguna.