Saturday, August 6, 2011

Surat buat adikku Siti Fatimah.. (diserahkan sebelum berangkat pulang)....

Tarikh: 06/08/2011 (1.20 pagi)
Assalamualaikum

Pembuka kata, kak Aida ucapkan selamat berangkat pulang ke pangkuan keluarga dan rakan di Medan. Semoga perjalanan Siti ini adalah merupakan suatu lagi langkah dalam mencari kebahagiaan dalam kehidupan.

Kak Aida memilih untuk menulis surat ini kerana Kak Aida bukanlah jenis orang yang cukup tabah untuk menyuarakan semuanya secara berdepan. Banyak yang bermain di fikiran dan hati, namun belum tentu dapat disuarakan secara lisan. Mungkin air mata yang lahir lebih banyak berbanding perkataan. Jadi, biarlah kak Aida tuliskan saja… sekurang-kurangnya kak Aida dapat suarakan apa sebenarnya yang bermain dalam perasaan.

Ketibaan Siti pada hari pertama masih jelas dalam ingatan. Terasa seakan baru walaupun sebenarnya telah 3 tahun yang lalu. Sungguh cepat masa berlalu. Bermula dari hari itu, terlalu banyak perkara yang berlaku… Ada yang suka ada yang duka. Biasalah…adat kehidupan manusia.

Tiga tahun berkongsi bumbung yang sama… melalui hari-hari bersama, pastinya segala yang Siti telah lakukan akan kak Aida kenang. Terima kasih banyak-banyak kerana telah berjaya menjalankan tugas membantu kak Aida selama ini. Segala tugasan harian telah Siti lakukan dengan baik terutamanya dalam hal menjaga anak-anak kak Aida sejak tapak kaki mereka masih selebar tiga jari. Bukan semua orang sanggup bertungkus lumus menjaga sepasang kembar dan abangnya yang pastinya memerlukan banyak kesabaran. Itu mungkin suatu kelebihan Siti yang amat-amat kak Aida hargai. Masih jelas juga bagaimana Siti tanpa teragak-agak menyedut keluar muntah dari hidung Erina setiap kali dia lemas akibat muntah semasa bayi dulu. Masih jelas juga bagaimana Siti tekun memujuk Erisya tiap kali waktu makan akan dapat dihabiskan nasi sepinggan. Terima kasih banyak2 buat Siti atas kesanggupan melakukan semua itu. Belum lagi diambil kira tentang kesempurnaan Siti dalam menjaga makan pakai mereka… siap dengan dandanan kemas tak kita masa. Terima kasih, Siti kerana tak pernah juga jemu melayan karenah Ezry. Walau apa ragam, apa juga tuntutan Ezry, Siti masih sedia membantunya termasuklah dalam urusan sekolahnya. Hanya Allah saja yang mampu membalas budi baik Siti kerana kak Aida tahu, segala apa yang Siti lakukan bukan hanya kerana Siti dibayar, tapi ia datang dari jiwa dan hati yang ikhlas demi kecintaan Siti pada mereka.

Kak Aida juga ingin berterima kasih kepada Siti kerana memahami keadaan dan tuntutan kerjaya kak Aida yang memerlukan kak Aida bertugas tak kira masa. Terima kasih berbanyak-banyak kerana sanggup melaksanakan kebanyakan tugas yang sepatutnya berada atas bahu kak Aida setiap kali kak Aida sibuk. Fahamnya Siti dengan tugas kak Aida sebagai seorang guru terutama setiap kali tiba musim menanda kertas peperiksaan, setiap kali menguruskan urusan jadualwaktu, atau apa juga tugas semasa amat-amat kak Aida hargai. Terima kasih sekali lagi.

Terima kasih juga kerana selama ini Siti mampu menjaga diri dan menyesuaikan diri dengan persekitaran tanpa mendatangkan masalah kepada kak Aida dan abg Edi. Terima kasih kerana sanggup menjadi pendengar yang setia tatkala kak Aida perlu tempat bagi meluahkan rasa…. Kerana sanggup menjadi pencetus idea tatkala kak Aida hilang punca….  Terima kasih juga kerana telah berjaya mengambil hati saudara mara.

Kak Aida amat hargai kesanggupan Siti untuk berkhidmat kepada kami selama 3 tahun ini. Kami hargai kesanggupan Siti untuk menamatkan perkhidmatan dengan prosedur yang sewajarnya, bukan dengan cara mudah… lari dari majikan atau bercuti tak pulang-pulang. 3 tahun sudah cukup bagus buat kami kerana kami faham… pastinya bukan mudah untuk berada jauh dari keluarga, merantau ke tempat orang. Lagipun, mungkin inilah masa yang terbaik buat Siti untuk menyusun kehidupan Siti. Moga Siti akan menemui jodoh yang terbaik sedikit masa lagi. Waktu itu, jangan pula lupa untuk kongsikan kepada kami jika ada sebarang khabar gembira. Kalau kami tak berkesempatan ke sana pun, sekurang-kurangnya, akan kami titipkan doa buat Siti di sana.

Pastinya selama berada dengan kak Aida, akan ada apa juga bentuk tindakan kak Aida, sengaja atau tidak yang mungkin mengguris perasaan Siti. Dengan seikhlas hati, kak Aida mohon jutaan kemaafan jika ada sebarang salah silap yang kak Aida lakukan. Kalau pernah ada kata-kata atau perbuatan kak Aida yang mengguris perasaan, percayalah…. Segalanya adalah teguran ikhlas dari kak Aida. Kak Aida bukannya jenis manusia yang menyimpan dendam…. Apa yang telah disuarakan…setakat itulah saja. Dan kalau hati Siti pernah terluka… kak Aida benar-benar mohon maaf.

Kak Aida akui…. Di penghujung ini, kak Aida agak terkilan dengan amaun wang yang Siti bawa pulang. Kak Aida dulu membayangkan Siti akan pulang dengan wang terkumpul yang mungkin boleh digunakan untuk memajukan hidup Siti. Tapi tak apalah…. Kak Aida tak ada hak untuk menentukan apa yang boleh dan tak boleh memandangkan itu adalah hak mutlak Siti, sebagai hasil memerah keringat saban hari. Mungkin benar kata Siti dulu….. ‘memang dah ditakdirkan nasibnya begitu’. Sampaikan juga salam maaf kak Aida buat mak Siti andai kata, ada kata-kata kak Aida yang juga menyakiti hatinya. Katakan padanya, kak Aida benar2 minta maaf kerana niat kak Aida memang ikhlas. Memang sangat-sangat ikhlas.

Kak Aida doakan agar akan ada rezeki Siti lagi di mana-mana nanti. Wang tambahan dari kak Aida tu, walaupun tak sebanyak mana, harap dapat Siti gunakan sebaik-baiknya. Itu sebenarnya memang telah kak Aida niatkan dari dulu lagi… hasil kak Aida menanda kertas peperiksaan SPM, hasil sedikit tunggakan gaji atas kenaikan gred jawatan kak Aida, saguhati perkhidmatan cemerlang yang kak Aida terima baru2 ini,dan lain-lain rezeki sampingan, memang sedikit sebanyak ingin kak Aida kongsikan juga walau sedikit dengan Siti. Kak Aida tahu, tanpa bantuan Siti, kak Aida takkan mampu melakukan semua itu. Terima kasih ya!

Terima kasih juga buat Siti dan mak yang telah sudi mencarikan pengganti Siti, kak Oshin. Terima kasih buat mak Siti yang bersusah payah dalam membantu menguruskan segala dokumen buat kak Oshin untuk berkhidmat di sini. Buat Siti juga… terima kasih kerana sudi membantu kami dalam melatih kak Oshin melaksanakan tugas-tugas rutin hariannya. Usahlah disuarakan sebarang kekesalan lagi. Walau bagaimana pun corak kerja kak Oshin, kak Aida akan cuba menerimanya dengan hati yang terbuka. Kami sedar, manusia dicipta Allah dengan pelbagai keupayaan dan ragam. Doakan saja agar kak Oshin juga akan mampu melaksanakan tugasnya sebaik Siti. Doakan juga agar Allah akan memberikan keupayaan bagi kak Oshin untuk menjaga dan menyayangi budak bertiga itu seikhlas Siti. Insyaallah……

Akhir kata…. Kak Aida, abg Edi dan seisi keluarga mendoakan agar kita sama-sama dapat menjalani kehidupan masing-masing sebaik-baiknya.  Halalkanlah segala tenaga yang disumbangkan buat kami. Kesekian kalinya, maafkanlah andai ada salah silap dari kami. Harap Siti tahu, walau mungkin tidak terpamer secara langsung, kak aida sebenarnya amat sayangkan Siti. Cuma kak Aida mungkin bukan jenis orang yang mudah untuk melafazkan. Dan kak aida percaya, selain kak Aida… abg Edi, Ezry, Erina, Erisya, pakcik, makcik, Ciksu dan ahli keluarga yg lain pun begitu. Oleh itu, walau sudah berjauhan nanti, jika ada kesudian, hubungilah kami agar dapat kami tahu perkembangan terkini Siti. Lega juga bila ada dengar-dengar khabar Siti nak belajar bukak Facebook bila tiba di sana nanti….. untung-untung, dapat juga bersua di alam maya.

Selamat menjalani ibadah puasa bersama keluarga di sana. Selamat menghitung hari menantikan ketibaan hari raya. Jangan pula lupa ya…. Berkemungkinan hari raya nanti adalah hari genapnya 3 tahun Erina dan Erisya!! Insyaallah…. Adik-adik Siti yang bertiga ini akan selalu mengenang jasa2 Siti. Kak Aida akan sentiasa ingatkan mereka tentang itu. Akhir kata,  Salam buat seisi keluarga.

Suara hati: Kak Aida/ Abg Edi
(mewakili seisi keluarga)