Siang tadi aku ke SJKC Tsun Jin, Kg Pandan , KL, memenuhi jemputan khas dari pihak Pejabat Pelajaran Wilayah Bangsar & Pudu. Alhamdulillah.... aku terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2010. Sesuatu yang tak pernah singgah dalam fikiran, tak pernah menjadi suatu sasaran. Alhamdulillah syukur.....
Surat jemputan baru saja kuterima beberapa hari lalu. Baru saja teruja dengan berita yang disampaikan.... aku terkubur dalam perasaan kalut dan cemas disebabkan ada tugas rasmi juga yang perlu aku laksanakan dengan kadar segera. Dua rasa yang berbaur.... gembira dan tertekan. Beberapa hari aku berhempas pulas menyiapkan kerja yang diarahkan oleh JPWP dan perlu dipanjangkan kepada pihak Kementerian Pendidikan berhubung keputusan peperiksaan tingkatan 1, 2 dan 4 semasa Peperiksaan Pertengahan Tahun tempohari. Dengan bantuan dan kesepakatan pentadbir dan semua guru lain, Alhamdulillah,... tugasan yang diarahkan berjaya dilaksanakan. (Sebenarnya ada lagi kesinambungannya yang perlu dilaksanakan sebelum minggu hadapan -Tak apalah....itu episod dua. Episod satu- selesai)
Dalam kalut-kalut itulah baru aku tersedar....aku bukannya ada koleksi baju2 batik anggun nih.... Aduyaii... nak tak nak, rembat saja mana yg sempat. Asal ada corak ala2 batik pun jadilah. Kasut pula, terpaksalah pakai yang bertutup walaupun sebenarnya kasut itu bukan kasut pilihan kerana agak tak berapa nak selesa .... Dipendekkan cerita, kalut di sekolah tempohari rupa-rupanya berjaya juga menyumbangkan kekalutan untuk aku membuat persiapan menghadiri majlis ini. Kami 'car-pool' saja memandangkan itu cara terbaik untuk selamat sampai, juga berdasarkan faktor kekangan tempat meletak kereta. Terima kasih untuk Kak Wan Najmiah yang sudi menumpangkan kami.
Dalam senarai penerima anugerah Zon Bangsar (sekolah menengah dan sekolah rendah), seramai 304 guru disenaraikan manakala untuk zon Pudu pula seramai 337 orang. Dari sekolahku pula, 8 orang yang cukup bernasib baik itu ialah aku, Pn LeeSwee Ying (KB), Pn Wan Roowati (KB), En Fairuz, Pn Roshidah, Pn Sheela (yg sebenarnya masih dalam cuti bersalin), Pn Wan Najmiah dan Pn Chew Chu Wen. [Tahniah untuk kalian]
Difahamkan, pada tahun lepas, hanya wakil sahaja yang diminta tampil menerima sijil memandangkan tiada peruntukan khas bagi mengadakan majlis seumpama ini. Mungkin nasibku lebih baik kerana sekurang-kurangnya pada tahun ini, ada majlis diadakan meraikan kami. Bak kata penyelaras majlis..... mereka sedar, guru-guru bukannya menuntut apa-apa penghargaan dalam bentuk material... pengabadian saat-saat manis menyambut sekeping sijil di atas pentas itu ....itu lebih utama, menjadi suatu hadiah indah yang akan dikenang dan dibawa sampai bila-bila.
Majlis yang dijalankan adalah majlis biasa. Dijayakan oleh YBHG Datuk Wira Syed Ali Al Habshee, Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras yang sememangnya banyak menyumbang dalam bidang pendidikan terutamanya sekolah-sekolah di sekitar kawasan KL. Apa-apa pun, terima kasih kepada pihak penganjur, PPWBP kerana berusaha meraikan kami. Sekurang-kurangnya kami merasa untuk naik ke pentas (...walaupun hakikatnya, ala-ala syok sendiri je kerana ada ke orang lain nak kisah?? Masing-masing hanya sibuk menunggu giliran sendiri untuk naik menerima sijil.....hehe).
Untuk rakan-rakan seangkatan.... mungkin suatu hari yang indah nanti, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang akan turut menjadi milik anda. Namun, dalam menjalankan tugas, lakukanlah dengan seikhlas dan sebaik mungkin tanpa mengharapkan apa-apa balasan atau ganjaran. Sekiranya apa yang kita lakukan memang betul tulus dari hati.... insyaallah.... Allah akan anugerahkan kita dengan segala bentuk kebaikan jua, dan tak semestinya dalam bentuk yang nyata. Kadangkala ketenangan dalam melaksanakan tugas juga adalah anugerah Allah yang sepatutnya kita syukuri. Semoga kerjaya kita, tugas kita... menjadi satu amalan yang turut menyumbang ke arah saham di 'sana'. Tahniah untuk semua!