Monday, January 17, 2011

Hello 2011... Episod 1

Hai….
Lamanya tak menyinggahkan kata-kata di laman ini. Hinggakan kali ini terasa agak kekok dan kaku untuk aku kembali berkata-kata. Terasa seolah-olah gambarku yang kecil di sudut atas page ini sedang merenungku sambil mengutuk-ngutuk aku yang dah lama tak menjenguknya. Tak apalah… sekurang-kurangnya hari ini aku kembali…

Begitulah peredaran masa. Masa yang boleh dikatakan setiap manusia masing-masing terkejar-kejar menyainginya. Aku percaya, majoriti setuju jika aku katakan masa sangat pantas berlalu. Hanya orang yang sedang menunggu seseorang atau menunggu sesuatu sahaja yang tidak akan bersetuju dengan pendapatku. Atau orang yang sedang terlantar menanggung sakit, juga pastinya merasakan jarum saat jam seperti menari-nari mempermainkannya, sengaja melengah-lengahkan masa! Yang selain itu pastinya sentiasa berebut-rebut dengan masa…

Maka, sedar tak sedar tahun 2010 dahpun aku tinggalkan. Malah separuh Januari 2011 telahpun aku gunakan. Dan tahun ini pastinya akan berlalu sepantas tahun-tahun sudah, sekadar menghadiahkanku tambahan satu lagi tangga dalam hitungan usia. Insyaallah, kiranya Allah masih lagi ingin memberi kesempatan dengan melanjutkan umurku. Waduh waduh….

2011;
Tahun ini, memberikan impak yang agak besar buatku. Tahun ini melayakkan anak sulungku Ezry melangkah ke Tahun 1. Jika dulu aku berdebar-debar dalam dewan bersalin,… tahun ini aku berdebar-debar juga, cuma bezanya kini dalam dewan sekolah. Jika 6 tahun dulu aku cemas memikirkan kesempurnaan fizikal anak yang bakal aku lahirkan, sekarang aku lebih cemas memikirkan kesempurnaan perkembangan anakku sebagai seorang insan….. Perjalanannya barunya ini amat jauh. Ditambah lagi dengan keperluan semasa yang seboleh-bolehnya ingin mempalitkan serba sedikit kemahiran dengan beralatkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), perjalannya pasti akan sedikit sebanyak menjadi lebih mencabar. Aku sebagai ibu hanya mampu membekalkannya doa agar dia akan menjadi anak yang sentiasa mendambakan ilmu.

2011;
Rutin harianku sedikit sebanyak turut berubah. Tiap pagi, aku tidak lagi memandu berseorangan ke sekolah. Akan ada ‘Edi Jr.’ disebelahku yang akan menemaniku, menjadi teman bersembang atau sesekali menjadi pengkritik bagi kata-kata atau lagu yang didengar sepanjang perjalanan kami. Memimpinnya ke pintu pagar sekolah, menyarungkan beg sandang sebelum berbalas lambaian menjadikan diriku seakan berada lebih rapat dengannya. Ada kalanya, sebaik sahaja tamat pembelajaran, aku akan masuk ke bilik guru dan Ezry sudah sedia ada di situ. Al-maklum sajalah… sesi persekolahan sekolah rendah tamat lebih awal berbanding waktu kerjaku.(Sementara awal tahun yang mana kebanyakan kerja baru saja hendak bermula…tak sepadat mana) Masa kosong sementara menunggu waktu balik akan aku guna untuk melayaninya. Banyak cerita yang akan keluar dari mulutnya. Waktu ini jugalah banyak juga permintaannya… Nak makan itulah, ini lah.. Nak tumpang toiletlah…. Macam-macam. Namun walaupun setiap tengahari aku terpaksa berkongsi meja dengannya, aku rasa aku gembira. Mungkin kesibukan melayani adik-adik selama ini sedikit sebanyak membuatkan aku agak alpa tentang keperluan melayaninya. Namun kini, kebanyakan masa kembali kami luangkan bersama…. Baguslah!

Sekurang-kurangnya satu episod indah telah mengisi perjalanan 2011 ku….