‘Jiran sepakat membawa berkat’. Masa zaman aku kecil-kecil dulu, memang selalu dapat didengar ungkapan ini di kaca televisyen. Mungkin pada waktu itu Kementerian Penerangan memang beriya-iya ingin menerapkan kesedaran ni di kalangan masyarakat setempat. Mungkin juga kerana waktu itu jiran tetangga sudah nampak akan ketidak-akrabannya. Entahlah, kerana waktu itu, aku masih ala-ala kanak-kanak riang yang tak beberapa kisah tentang perkara ini, melainkan semasa diminta menggunakannya dalam latihan menulis karangan di sekolah. Lagipun, walau di mana aku berada, Alhamdulillah, semua jiran-jiranku ok-ok belaka.
Mengimbas kenangan di Kg Pandan (Jalan Gambang, Kuantan)- Makcik Tinam, Makcik Za, Makcik Mie, (Arwah) Makcik Nah, Makcik Suri dan berbakul-bakul makcik yang tinggal disekelilingku, di kawasan rumah-rumah sewa Makcik Tinam/ Pakcik Daud tu semuanya ‘kow-team’ belaka. Mungkin hasil susun atur beberapa buah rumah sewa mengelilingi sebuah rumah induk tuan rumah menjadikan penghuninya akrab. Terserlah, terutama sewaktu perjumpaan petang-petang yang lapang di tangga salah satu rumah terpilih. Tapi biasanya tangga tuan rumah (makcik Tinam) yang jadik mangsa. Waktu tu lah makcik-makcik termasuk ibuku yang satu tu memperdebatkan sebarang isu, selain bertukar-tukar resipi walaupun untuk menu yang sesimple kangkung goreng belacan..hehehe (Pandai-pandai je aku tokok tambah sedangkan waktu tu aku hanya baru darjah satu…apa sangat la yg aku kisah ttg perbualan makcik-makcik nih!) Selain waktu persidangan, mereka turut berkumpul untuk sama-sama menghantar anak pergi/ balik dari sekolah, (Aku gi sekolah naik trak askar, tau!!), waktu tunggu van ikan atau apa-apa sahaja ruang yang membolehkan mereka berkumpul. On the way nak pergi ambil serai pun boleh tersangkut….hehehe.
Walau apa kisahnya, aku bukan peduli sangat sebab aku, Haidi, Ujang dan Zerul ada mision sendiri. Ujang dan Zerol anak-anak makcik Tinam, yang menjadi rakan akrab aku zaman tu. Aku dan Ujang sebaya, manakala Zerul yang paling junior. Selain itu, Nini dan adiknya ada juga, tetapi kurang rapat dengan mereka kerana mereka masuk menyewa agak lewat sikit. Kalau main masak-masak, aku mesti terpilih jadik mak, Ujang jadik ayah, Haidi dan Zerul jadik anak-anak. Kalau tak pun, Zerul jadik budak suruhan Ujang untuk gi naik atas rumah amik keperluan2 yang kami nak guna…(Cara selamat supaya tak kena marah dengan makcik Tinam! Hehehe). Kami main jentik petutup botol, main patung kertas, main tembak-tembak macam koboi, main basikal, main kejar-kejar, sorok-sorok dan macam-macam lagi. Malah, zaman ‘belajar kayuh basikal’ku juga bermula di sana. Cemburu dengan Ujang yang pandai mengayuh basikal besar, aku gigih belajar basikal. Akhirnya aku pandai naik basikal, itupun setelah bakul hadapan basikal comel (hadiah dapat nombor satu) yang baru beberapa minggu menjadi milikku itu kemek bakul hadapannya. Aku langgar tiang lampu dan Ujang dengan berlagaknya berhenti semata-mata untuk mentertawakan aku! Yang pasti kehidupan kanak-kanakku disitu memang menyeronokkan. Kami berempat atau sesekali bertiga (tanpa Zerul), turut bersama-sama mengayuh basikal kerumah ‘Mbah’, nenek Ujang untuk mengaji Quran. Waktu hujan musim tengkujuh kami bersama-sama Kak Na dan Kak Sal, memancing ikan di kolam kecil depan rumah Ujang (dengan pengawasan orang dewasa, ok!)… Malah yang lucunya, aku pernah mendapat ikan bodoh yang memakan mata kailku yang tak pun aku bubuhkan umpan. Atas kebodohannya tu, Kak Na membantuku melepaskannya semula ke dalam kolam,… suruh dia masuk sekolah dulu! Hah..memang semuanya sangat indah untuk dikenang.
Tatkala petang, masing-masing akan keluar dari rumah. Abah yang baru balik kerja itu akan mengeluarkan cangkulnya, mempetulkan batas-batas sayur, ubi dan tanaman di hadapan rumahku itu sambil bertegur sapa dengan pakcik makcik jiran tetanggaku itu. Biasalah..kalau ada aktiviti, masing-masing seakan berjangkit… cangkul keluar di sana, cangkul keluar di sini, cangkul keluar di sinun. Kalau yang ni siram… sana siram, sini gembur, sinun baja dan seterusnya. Pemandangannya: masing-masing akan sibuk bersama-sama menguruskan tanaman masing-masing. “Bersama-sama tapi masing-masing”.. paham kan? Buat kerja bersama-sama tapi tanaman masing-masing la… kalau tak pasal-pasal nak pergi gali ubi orang nanti lain macam pulak rasanya kan?! Seingat aku memang tanah di situ subur. Abah tanam kacang panjang, peria (sinilah pertama kali aku kenal peria!), ubi kayu, keledek, malah macam-macam. Bila ada hasil… dapat juga dihulur kepada jiran tetangga. Mereka pun begitu juga. Malah ada juga yang ‘hulur’ setelah siap dimasak jadi lauk. Lagi la aku suka!
Tatkala petang-petang jugalah sesekali akan ada orang memberi salam dengan pinggan di tangan. Kadang-kadang ada kuih lapis, ada lopis, ada goreng pisang (biasanya mak aku yang akan mengedarkan menu ni kat jiran-jiran sebab kat belakang rumah abah tanam banyak pokok pisang), bubur kacang dan macam-macam lagi lah. Masa ni la makcik2 ni nak tunjuk hebat dengan air tangan masing-masing. Kalau nak minta resipi, tunggu ‘persidangan’ akan datang… Malah zaman ni juga, ada seakan kelas masakan di mana-mana rumah terpilih. Hinggakan hasilnya waktu tu ma pun pandai tebar roti canai!! Jangan tak percaya!! (Sekarang sure tak ingat dah). Memang dok di Kg Pandan amat ceria!
Di sini jugalah adik bongsuku dilahirkan. Sebab itulah aku sesekali menggelarkannya ‘anak Kg Pandan’. Tanpa bantuan kedua-dua orang nenekku, ma melalui tempoh pantangnya tanpa sebarang masalah. Semuanya kerana ada ramai ‘emak-emak angkat’ yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan. Akan sentiasa ada makcik-makcik itu yang datang bertanya khabar, malah ada yang langsung menawarkan diri untuk apa-apa tugas khas. Mungkin kerana ikhlasnya emakku melakukan perkara yang sama sewaktu mereka dalam keadaan yang sama.
Biasalah walau semanis mana kehidupan di sana, semuanya terpaksa kutinggalkan juga memandangkan aku anak seorang tentera. Aku dan keluarga berpindah ke Kelantan pada akhir tahun 1985. Dari apa yang kudengar, Ujang, Kak Sal dan Kak Na, masing-masing dah berkeluarga, mungkin Zerul juga! Penyewa-penyewanya sudah bertaburan ke sini sana. Kunjungan terakhirku ke sana beberapa tahun lalu menyedarkan aku bahawa Kg. Pandan itu tidak lagi sepertimana ‘Kg. Pandan’ku dulu. Jalan kecil untuk masuk ke kampung itu, yang dahulunya didahului dengan pohon-pohon hutan di kiri kanan jalan, kini sudah menjadi selebar-lebar jalan. Terbentang lapangan terbang di hadapannya, dan kebanyakan pokok-pokok kelapa sawit dulu kini bertukar menjadi tiang rumah orang. Memang sukar untuk aku cam jalan masuknya, malah mungkin mustahil jika abah tak ikut sama. Kolam ‘ikan bodoh’ dulu sudah entah di mana. Malah yang paling merobek hatiku ialah tatkala melihat rumah hujung yang pernah kudiami dulu, kini menjadi sebuah rumah usang yang langsung tak kelihatan sepertimana rumahku dulu, meskipun masih tetap mempunyai penyewanya. Tiada lagi batas-batas ubi abah. Tiada lagi para kacang panjang, atau batang-batang pohon ubi kayu. Tiada lagi reban ayam dua tingkat abah yang dulunya pernah aku jadikan pentas nyanyian ‘Ku Petik Bintang-bintang’ sewaktu pembinaannya. Tiada lagi hutan tebal dibelakang rumahku yang si monyet-monyet penghuninya itu sesekali keluar mengagah-agah kami dulu, atau mencuri petik pisang yang masak ranum. Tiada lagi bayangan Ujang, Haidi, Zerul dan aku yang berlari-lari dengan mulut masing-masing bising dengan bunyi ‘machine-gun’nya. Tiada lagi semuanya…. Cuma yang ada hanyalah sekelumit kisah ‘Kg. Pandan’ yang takkan terubah sedikitpun dalam memori hidupku.