Hari yang istimewa......
Hari terasminya ikatan cinta. Hari terbinanya istana bahagia.
Hari ini genaplah 9 tahun usia perkahwinan kami. Pejam celik pejam celik.... wah.... setahun lagi boleh genap sedekad! Kalau ditanya..memang pastinya jawapanku, aku bahagia. Mengenali dia selama hampir 15 tahun semuktamadnya adalah bukan suatu kesilapan atau kepincangan. Aku bersyukur kerana ditakdirkan Allah untuk bersamanya.
Bohonglah jika kami tak pernah bertengkar. Asam garam hidup berumah tangga..... pastinya ada ketika pertikaman lidah, percaturan kata terjadi juga sekali sekala. (Tak ada terkecuali hatta Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah sekalipun). Yang aku banggakan, setiap kali berlaku pergolakan, segala permasalahan kami seboleh-bolehnya takkan kami biarkan berlarutan. Biasanya sebarang masalah akan terurai dan terlerai sebelum kami menutup mata pada malamnya dan esoknya kami akan mulakan segalanya seperti sedia kala.
Bohong jugalah jika rumahtangga kami tidak pernah berdepan dugaan. Seawal perkahwinan lagi kami telah diuji bertubi-tubi. Namun Alhamdulillah... berkat kesabaran dan doa ibu bapa, segala dugaan dan cubaan berjaya kami harungi. Kesejahteraan kami hari ini adalah anugerah yang tak pernah lupa kami syukuri.
Terasa baru saja dia menjabat tangan si Kadi. Baru juga rasanya kami berganding bersanding atas pelamin. Rupanya telah 9 tahun dulu perkara itu kami lalui. Tau-tau kini dah bertambah ahli...dari berdua jadi bertiga. Dari bertiga jadi berlima. Alhamdulillah.... hari-hari kami tak lagi sunyi!
Tak perlulah rasanya mencoret panjang kerana walau sepanjang mana yang kucoretkan, tak mampu membayangkan perasaan sepertimana yang ada dalam hatiku. Bisikan hati yang berbicara tanpa keraguan.... yang terucap dari lerekan mata tanpa suara. Hanya kau mampu memahaminya...
Cuma yang mahu aku katakan, hidupku benar-benar bermakna dengan kehadirannya. Tiga permata hati adalah hadiah tak ternilai bukti kasih kami.
Buat abah dan ma, ayah dan mama;
Terima kasih atas restumu selama ini. Terima kasih atas iringan doa yang tak henti-henti. Keberkatan kasihmu menemani kami meniti hari.
Teristimewa buat abang....
Terima kasih kerana menjadi seorang teman, sahabat dan suami yang setia berada bersamaku tatkala suka dan suka, tatkala susah dan senang. Terima kasih kerana sudi menyayangiku, mengasihiku tanpa jemu. Kita akur bahawa kita cuma manusia biasa yang miliki kekurangan dimana-mana. Kerna itu, terima kasih kerana menerimaku seadanya. Sayangi aku selama-lamanya. Happy Anniversary to you!