Jam dah menunjukkan pukul 3.10 petang. Hari ni sememangnya hari yang agak memenatkan....
Bermula seawal pagi, dengan sesi perhimpunan yang agak panjang sempena sambutan Bulan Patriotik (dimana aku bertindak sebagai jurugambar untuk sidang redaksi sekolah.....), bersambung dengan kelas, dan bersambung, bersambung, bersambung... tau-tau saja jam dah menunjukkan pukul 12.45 tghari. Baru saja hendak bersenang-senang di tempatku, aku kemudian dijemput oleh salah seorang guru untuk membantu mengambil gambar pelancaran Bulan Patriotik sekali lagi bagi sesi petang. Aku tak menolak memandangkan sememangnya ia telah menjadi sebahagian tanggungjawabku, sebenarnya.... Ditambah pula dengan minat semulajadiku (merangkap hobi) dengan bidang fotografi ini. Habis saja perhimpunan sesi petang, aku singgah sebentar ke meja untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum kemudiannya mengambil keputusan untuk pulang.
Dan tatkala itulah jam menunjukkan pukul 3.10 petang....
(yang tadi tu flashback je!!)
Setelah 'punch card', segera saja aku beredar ke kereta. Memang aku mahu segera pulang kerana hari ini, memang agak panas dan aku memang telah dua tiga kali dilencuni dengan peluh kerana banyak 'berkawad' ke sana sini... Dah mula terbayang sejuknya air shower dan leganya rasa jika dapat meluruskan badan di atas katil buat seketika (10 minit pun jadilah..).
Dan sewaktu dibuai bayangan-bayangan itulah aku mula berpeluh semula... Keretaku tak dapat dihidupkan!!!!! Mustahil.... baru dua hari lepas, hari Sabtu, suamiku membawanya ke pusat servis untuk diservis!.....
Berkali-kali aku mencuba namun gagal juga... Dengan dibasahi peluh kerana berjemur di tempat panas, juga peluh akibat cemas, aku menghubungi suamiku. Waktu itu jugalah aku ternampak kelibat Cikgu Azhar! Mungkin Cikgu Azhar lebih tahu hal-hal kereta berbanding aku!! Lalu kucuba dapatkan bantuan Cikgu Azhar.....
Beberapa kali Cikgu Azhar mencuba, bateri juga dah dipastikan pemasangannya. Nampak macam semua ok. Lagipun, kata Cikgu Azhar, mungkin bukan bateri yang menjadi puncanya memandangkan yang lain-lain (alarm, display etc) masih boleh berfungsi. Mungkin ada sebarang 'engine lock' yang aku tertekan, cadangnya. Aku cuba mencongak-congak sendiri.... rasanya tidak ada yang ganjil yang kulakukan pagi tadi. Semuanya macam biasa saja.... Yang pastinya, enjin keretaku masih belum dapat dihidupkan. Melihatkan keadaan Cikgu Azhar yang basah lencun dengan baju melayunya (Jangan lupa.... hari ini pelancaran Bulan Patriotik...), aku membuat keputusan agar suamiku datang membantu. Biarlah Cikgu Azhar pulang dulu dengan baju melayu lencunnya.... Rasa bersalah sangat-sangat kerana terpaksa menyusahkan dia dan 'menjemur' dia ditengah-tengah panas sebegini. Usahanya untuk membantu itupun dah sangat-sangat aku hargai....
Sementara menunggu suamiku datang, aku membuat keputusan untuk singgah ke rumah Cikgu Diana (warden) untuk tumpang solat Zohor. Sepanjang masa disana kepalaku tak putus-putus berfikir tentang keretaku. Apa pula agaknya masalahnya......?? Sebaik sahaja selesai solat, aku mendapat panggilan telefon dari suamiku yang mengatakan dia sudah hampir tiba di perkarangan sekolah. Segera aku bergegas turun ke tempat letak kereta.
Semasa terintai-intai kelibat suamiku itulah tergerak hatiku untuk menjenguk sekali lagi ke dalam kereta. Mataku tiba-tiba terpaku pada suatu benda. YA ALLAH!! Gear keretaku tak ada kelainannya.... cuma posisinya yang betul-betul setara dengan tulisan berbentuk "D"!!!! Patutlah enjinnya tak dapat dihidupkan.... Aku parking dengan gear D!! Bila aku mengangkat muka, kereta suamiku telah di depan mata. Aku terkulat-kulat tersengih-sengih tak tahu nak kata apa! Kesian suamiku yang setia tu terkocoh-kocoh datang datang dari KLCC semata-mata kerana kecuaianku! Rupa-rupanya, suamiku dah mula menghubungi konco-konco "Chery Community Club" sebagai backup jika keretaku benar-benar rosak. Aku segera memohon jutaan kemaafan dari suamiku. Memang aku rasa bersalah yang teramat-amat...... Suamiku hanya tersenyum dan ketawa kecil..... "Aida ni... suka je buat lawak... Tak apa, lain kali at least dah tau, kan!" dan kata-kata suamiku itu membuat aku bertambah malu!!
Sepanjang masa memandu pulang, aku tak habis-habis menyesali diri sendiri kerana menyusahkan ramai orang. Terngiang-ngiang dialog Labi sewaktu dimarahi Tuan Haji Bakhil :
" Hari ni hari bodoh saya, iinnnciiiiiiiiiiiiiiiikkkk....."......................."