Saturday, February 28, 2009

Jauh Di Mata Dekat Di Hati.............

Air dicincang tak akan putus, itulah perumpamaan yang kurasakan paling tepat.

Atukku, Noor Muhammad adalah seorang India Muslim. Hatinya terpaut pada seorang gadis Melayu tatkala datang berniaga dari kampung ke kampung. Jodoh tak kemana..... Gadis itu berjaya disunting menjadi suri hati. Dialah nenekku.... Namun, atas permintaan keluarganya di India, atukku dinikahkan dengan seorang lagi wanita dari bumi asalnya. Dengan itu, salasilah keluargaku semakin bertambah lebar. Hasil dua perkahwinan itu, atuk dikurniakan 9 orang cahayamata di Malaysia dan 5 orang cahayamata di India. Dua keluarga aman makmur. (Mungkin kerana kedudukan geografi yang jauh dan kesukaran berkomunikasi.) Atuk dan beberapa rakan karibnyalah yang menjadi perantara antara keluarga di sini dan di sana. Pernah Ayah Long, Mak Long dan Pak Muda Nuar mengikut Atuk ke India untuk menziarah keluarga di sana suatu ketika dulu. Layanan mereka kepada 'tetamu istimewa' ini mengalahkan layanan kepada seorang raja, itu mengikut kata Ayah Longku. Semuanya tersedia, walhal keadaan keluarga di sana adalah amat dhaif dan susah. Keikhlasan dan kegembiraan mereka amat mengharukan. Dulu, ketika aku masih lagi di awal sekolah rendah, salah seorang bapa saudaraku dari keluarga di sana datang menziarah. "Uncle" itulah panggilanku dan sepupu-sepupuku kepadanya. Dia berniaga di Brunei (mewarisi kebolehan berniaga atukku...) dan bercuti sebulan di Malaysia, semata-mata untuk mendekati keluarga di sini. Sikapnya yang mudah bergaul, capat mesra dan peramah menyebabkan dia amat disenangi. Tambahan pula, kemahirannya bertutur dalam bahasa Inggeris mengurangkan jurang antara kami. Sebulan berada di sini, "Uncle" sudah boleh menuturkan beberapa ayat Melayu. Memang berat hati untuk melepaskan dia setelah sebulan berlalu.

Tahun 1987, Atuk berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji setelah sekian lama memendam impian. Rupa-rupanya, keberangkatan Atuk adalah keberangkatan untuk selama-lamanya. Atuk menghembuskan nafasnya akibat serangan jantung sehari sebelum berangkat pulang ke tanah air, setelah ibadahnya selesai dilaksanakan. Mungkin itu doa Atuk di kaki Kaabah.... mungkin Atuk mahu mencari tempat persemadiannya yang terbaik bagi kedua-dua keluarga. Aku benar-benar berharap Atuk yang kusayangi itu diterima Allah dengan seribu keistimewaan dan digolongkan dalam kalangan mereka yang beriman.......

Pemergian Atuk seolah-olah menjarakkan sedikit pertalian antara dua keluarga besar ini. Bukan tiada cinta di hati namun perantara komunikasi menjadi suatu halangan yang besar. Satu-satunya harapan kami untuk menjadi orang tengah ialah "Uncle". Malangnya, "Uncle" turut kembali ke pangkuan Illahi dalam usia yang masih muda akibat sakit buah pinggang. Pada waktu itu, tiada sesiapa pun di sana yang boleh bertutur, membaca atau menulis dalam bahasa Inggeris. Jadi, perkhabaran hanya sesekali saja tiba, itupun jika ada rakan karib Atuk pulang ke sana. Semakin lama semakin renggang.......................

Kuasa Tuhan, tanpa disangka, ketika berbual-bual dengan salah seorang jemaah surau, Abah mendapat tahu dia juga berasal di kampung yang sama di India. Kebetulan dia ingin balik ke sana, kami sekeluarga mengirim berita. Di situlah kami mula bertukar-tukar cerita. Sepucuk surat, sedikit wang dan sekeping gambar menjadi pemula. Tak lama kemudian, kami mendapat panggilan telefon dari pakcik dan 'nenek' disana. Airmataku tak mampu dibendung tatkala melihat ma menangis terharu apabila mendengar suara 'nenek'ku di sana menyebut namanya berulang-ulang. "Zawiyah...Zawiyah... India...India..." ....."Insyaallah ma, Insyaallah" Itu sahaja yang termampu.

September 2008..... makcikku dan suaminya (Uncle Farouk) datang berkunjung ke Malaysia. Setiap rumah adik-beradik di sini dikunjungi, tak kira di Kuala Lumpur, Pahang atau Kelantan. Terharu benar aku dengan kesungguhannya. Makcik hanya tahu berbahasa Tamil, hanya Uncle Farouk yang sedikit sebanyak boleh berbahasa Inggeris. "Sekalipun tak mampu bercakap banyak, memadai dengan hanya mampu berdepan dan bertentang mata. Makcik nak sangat jumpa dengan abang, kakak dan adik-adiknya di sini. Itulah keinginan yang telah lama makcik simpan" kata Uncle Farouk. Makcik hanya senyum............ senyuman yang ikhlas.

Sekurang-kurangnya, kunjungan makcik dan Uncle Farouk banyak kesannya dalam merapatkan kembali hubungan antara dua keluarga ini.


Januari 2009, kami dihubungi oleh keluarga di sana, memaklumkan pemergian 'nenek' ke rahmatullah. Masih terdengar-dengar suara 'nenek' sewaktu menelefon tempohari. Harapan 'nenek' untuk menemui kami berkubur bersamanya.

Insyaallah, jika dimurahkan rezeki, akan kujejaki jua bumi India untuk merapati mereka yang tak pernah kutemui, namun dekat dihati................

Friday, February 27, 2009

Cikgu Oh Cikgu.....

Entah kenapa bila ingin memulakan bicara di laman blog ini, itulah perkara pertama yang terlintas di fikiranku. Mungkin kerana ia adalah sebahagian dari kehidupanku, malah mengisi hari demi hari yang kudaki dalam kehidupanku. Jika dihitung berdasarkan usiaku sekarang... insyaallah masih ada 23 tahun lagi yang akan menanti untuk kukerahkan keringatku sebagai seorang guru (Itu pun jika usiaku menjangkau selama itu.)

Melihat pada seorang jemaah di surau Al-Falah di hadapan rumahku (bekas guru yang namanya tak pernah aku tahu kerana beliau hanya dikenali dengan panggilan "Cikgu") aku terfikir-fikir sendiri, masih ramaikah guru hari ini yang akan kekal dengan panggilan "cikgu" walhal telah bersara sekalipun? Membandingkan status guru di mata masyarakat sekarang.... tentunya amat jauh dengan status guru zaman-zaman dulu yang begitu dipandang tinggi di mata masyarakat. Tak perlu pergi terlalu jauh, cukuplah jika kembali ke zaman persekolahanku. Setiap patah perkataan yang keluar akan diguna pakai dan takkan sekalipun dipertikaikan. Setiap kali guru memintaku membantunya, seakan ada rasa bangga dan gembira kerana diberikan kepercayaan oleh seorang guru untuk membantu. Setiap kali masuk ke bilik guru, hembusan nafas pun seboleh-bolehnya dikawal agar tak mengganggu guru-guru di situ. (Walhal, pada waktu itu aku bukanlah sebaik mana pun......) Betapa tingginya status guru waktu itu.........

Tapi sekarang..... Guru lebih kepada seorang kawan bagi pelajar. Kadang-kadang tak terasa seperti kawan pun. Bila melangkah masuk ke kelas, dengan muka terpaksa dan punggung yang berat mereka berdiri untuk ucap selamat. Itu pun setelah kita tercegat beberapa minit di hadapan. Sekurang-kurangnya mereka bangun dan ucap selamat. Ada juga yang sampai ke sudah tak bangun-bangun. Kalau berjalan di kaki lima, kita pula yang mengelak dan memberi laluan. Jika tidak, dengan kita sekali di'sodok'nya. Tahun lalu, dalam keadaan berbadan dua sekalipun aku pernah dilanggar selamba oleh pelajar yang kemudiannya berlalu tanpa perkataan maaf sedikitpun. Pernah dulu, aku minta beberapa orang pelajar menolongku memindahkan sebuah almari semasa persiapan menjelang SPM, dengan muka bersahaja mereka memintaku mencari pelajar lain kerana mereka malas!! Belum lagi bercerita tentang pengajaran dalam kelas. Pernah berlaku, seorang pelajar mempertikaikan ilmu yang kuajar semata-mata kerana guru tiusyennya mengajarnya konsep yang berbeza. Bermati-matian dia membela gurunya itu sehinggalah akhirnya kubuktikan konsep itu salah, barulah dia terdiam dan akur. Malas sebenarnya nak mengungkit semua perkara ni. Dipendekkan cerita pelajar tidak lagi menghormati guru sepertimana dulu-dulu. Mungkin juga semua ini kerana sikapku yang terlalu berlembut dengan pelajar. (Nak buat macam mana, memang sikapku begitu....)

Dulu, abah dan ma pernah berkata kepadaku, jika mereka tahu aku dipukul guru atas apa juga kesalahan, balik ke rumah, akan ada 'habuan' tambahan untukku. Itu yang menjadikanku sering beringat-ingat dalam mengambil apa jua tindakan. Tapi kes hari ini, baru sahaja anak diberi amaran, seluruh keluarga mak ayah datuk nenek datang kesekolah mempertikaikan tindakan guru. Ada yang lebih hebat, siap buat ugutan akan membawa peguam atau bercerita mengenai si polan si polan menteri yang mereka kenal (dengan bau-bau ugutan). Tapi ... Wahai emak dan ayah.... kalau betul anak anda bermasalah.... bawalah sesiapa pun, cikgu-cikgu tak takut. Kami berada di pihak yang benar. Kasihan juga dengan emak dan ayah jenis ni. Mereka tak 'mengenali' anak sendiri. Kasihan...kasihan..... Dalam kes-kes sebegini, PK HEM dan Guru Disiplan lah yang menjadi mangsa...... (Mungkin sebab tu ramai guru boleh ditemui di Hospital Tampoi, Hospital Tanjung Rambutan dan tak kurang di IJN!!!)


Tak dinafikan, bukan semua pelajar begitu. Masih ramai juga pelajar yang berkualiti hari ini. (Biasanya bila kita jumpa emak ayah mereka pun, dari jenis yang berhemah juga. Itulah bukti besarnya pengaruh pendidikan di rumah.)

Tak adil aku melihat pada sebelah pihak. Sebenarnya pihak guru pun ada kekurangannya. Profesion perguruan itu sendiri dilihat sebagai 'reserve profession' pada masa kini. Cita-cita asalnya lain, tapi bila sukar mendapat pekerjaan.... mohon KPLI untuk jadi guru. Kalau tak pun, dah pernah bekerja, tapi tak sanggup memikul beban kerja yang waktunya tak menentu (dan macam-macam alasan lain lagi), terus jadi 'berminat' jadi guru. Kes-kes sebeginilah yang menyumbang macam-macam masalah. Maklumlah... hatinya tidak di situ...... Ada juga yang mengharapkan pelajar berbudi bahasa sedangkan mereka sendiri pun dua kali lima sahaja.

Terlebih baik pun susah juga!!! Guru yang terlalu memberi muka pada pelajar biasanya dipanjat-panjat pelajar hingga ke atas kepala. Asalnya nak jadi kawan... last-last jadi khadam... Bukan salah buat begitu, tapi biarlah berpada-pada. Paham la ya.......

Sedap je aku bercerita. Memang al-kisah "Cikgu" ni susah nak letak 'full-stop'nya. Aku sendiri sebenarnya masih banyak kekurangan. Masih banyak ilmu-ilmu dan petua-petua yang kuintai-intai dari individu idola rakan seperjuangan. Kadang-kadang aku tertanya-tanya, apabila aku berdiri di hadapan kelas, bagaimana mereka melihat aku dari meja kayu pelajar-pelajar dihadapanku. Biarlah.... Apa juga pandangan mereka, aku takkan sekali-kali menyesali pilihanku untuk berjuang di lapangan ini. Biarpun sesekali ada kekelatan yang kurasai, tak sebanyak mana untuk mengaburi sejuta kemanisan hidup sebagai seorang guru. Keindahan yang tak dapat diceritakan bila kita mampu merasai kemesraan dan penghargaan dari setiap yang bernama pelajar. Air mata gembira seorang pelajar menatapi kejayaan hasil usahanya adalah permata indah yang takkan sesekali kugadaikan. Bukan kuharap untuk dikenang, jauh sekali untuk dihargai kerana semua itu adalah tanggungjawabku dan 'tabungan'ku untuk mencari keberkatanNya. Walau apa juga yang menantiku, insyaallah esok, aku akan terus dibangkitkan sebagai seorang yang bergelar "Cikgu"..........................