Saturday, November 24, 2012

Kisah Puteri Tiga Sebilik

Mencari ayat apa yang paling sesuai. Mencari ayat yang paling padu dan tepat untuk menggambarkan apa yang aku rasa waktu ini... Tak tahulah... Tapi yang pasti, ada beberapa perkataan yang boleh aku gunakan; gembira, terharu, teruja.... 

Baru saja rumahku kembali sepi dari gelak tawanya yang memang dah 13 tahun tak kudengari.  Baru saja keretanya bergerak pergi....meninggalkan aku tertanya-tanya, adakah ia cuma suatu mimpi? Tak.... bukan mimpi. Buktinya, pinggan 'mini cheese-tart' yang dibawanya masih ada di atas meja, dan kamera kecil 'Lumix'ku juga dah berjaya merakam beberapa keping gambar kami tadi.

Untuk sahabat sebilikku suatu waktu dulu...Azura, terima kasih kerana sudi ke rumahku! Seronok rasanya cuti sekolahku kali ini kerana ia bagaikan satu musim pertemuan semula dengan rakan-rakan sekampusku dulu. Terdahulu, minggu lalu, Shida yang jauh dari Sabah itu datang bertamu. Memang bahagia rasanya melihat sahabat-sahabat masih mampu berseloroh berkongsi cerita sepertimana yang telah kami tinggalkan berbelas-belas tahun dulu. Alhamdulillah....Allah masih memelihara ikatan persahabatan kami.

Mengenai Azura, banyak yang boleh aku tuliskan pengalaman masam manis bersamanya. (*Tapi memandangkan kerjayanya yang bertapak di DBP tu... aku tak berani nak tulis panjang lebar sebab aku tau mesti dia akan cenderung untuk mengedit serapi-rapinya hasil tulisanku, hingga mungkin tinggal sebaris dua saja, ..mungkin! Entah-entah...laman blog main-main aku ni pun dia edit! Ya ampun!! Mohon kelonggaran, ya Puan DBP. Aku bukan penulis....cuma cikgu matematik tambahan yang lebih cenderung bermain kalkulator!! Berilah sedikit kelonggaran untuk aku 'berkarya' di laman ini, ok! Jadi, biarlah aku simpan saja cerita-cerita tu, rapi dalam hati. Tak perlu tulis-tulis. Hehehe!)



Cuma secara umumnya...aku memang amat menghargai ketentuan Allah yang 'menjodohkan' aku dengan Azura di sebuah bilik kecil di H11 Desa Bakti, USM suatu ketika dulu. Dengan seorang kakak yang penyayang yang juga ditentukanNya sebagai ala-ala penjaga dan penasihat kami; Kak Norasyikin, kami hidup aman bahagia, aman damai..... Masing-masing pandai membawa diri. Seingat aku, selama bersama-sama di sana, kami tak pernah ada krisis yang membawa kepada drama bermasam-masam muka. Sebenarnya.... 'puteri tiga sebilik' ini memang mempunyai karektor yang berbeza-beza. Kak Syikin yang comel... Azura yang sangat berjati diri tinggi dan berani..... dan aku...yang ...hrmmm.. aku yang apa yer? (memang susah nak mengenal diri sendiri).... mungkin aku yang sentimental, (kot!). Masing-masing dalam jurusan berbeza. Kak Syikin dengan alam Biologinya.....Azura dengan sastera dan puitisnya..... dan aku dengan nombor-nombor sepanjang masa.

Waktu zaman bercintan cintun dulu pun... rakan-rakan sebilikku inilah yang penjadi para penasihat yang sangat baik hati (kerana tak pernah mintak ganjaran 20%, 10% malah 5% sekalipun atas nasihat2 yang diberi!). Nasihat dan pandangan segalanya 100% percuma! Kadang2 tak sempat nak mintak pun mereka dah bagi! Hehehe.... Menjadi pendengar luahan tatkala tak puas hati.... Menjadi pembekal tisu tatkala airmata melanda.... Menjadi tukang bebel tatkala apa yang aku buat dirasakan tak betul.... 

Gabungan ketiga-tiga kami tidak hanya terhenti setakat itu. Empayar kami dilebarkan... jalinan persahabatan kami dikembangkan. Kawan-kawan aku adalah kawan-kawan Azura dan kak Syikin. Kawan-kawan Azura dan Kak Syikin, juga secara tak langsung adalah kawan-kawanku juga. Bilik kami sentiasa meriah. Ada saja tetamu yang bertandang. Tambahan pula lokasinya yang ditengah-tengah kampus (yang terkenal dengan kafeteria yang menjual nasi goreng murah!), memang strategik bilik itu dijadikan persinggahan. 

Banyak peristiwa yang berlaku di bilik blok H11 itu. Aku tak pasti adakah mereka berdua masih ingat satu kisah lucu yang terjadi di situ....Suatu hari, kami bertiga (yang kelaparan dan mengidam cencalok baeeekkk punya...import dari Melaka!), tak sabar-sabar berusaha berhempas pulas dengan kelengkapan apa saja yang ada untuk membuka sebotol cencalok, melengkapkan hidangan nasi-nasi bungkus yang sudah sedia mengambil tempat di tengah ruang bilik....dan tiba-tiba...PLOOPP!! Penutup botol terpelanting jauh dan cencalok membuak-buak... dengan aromanya yang ...MasyaAllahhh!!!..... Sisi almari baju Kak Syikinku yang menjadi mangsa! Cencalok tak tertuang ke atas nasi, tapi rupa-rupanya rezeki almari!! Lalu botol yang membuak2 itu, yang telah hilang 1/4 isinya itu, segera diselamatkan ke dalam baldi!! Tak apa.... boleh diselamatkan lagi..... Dan kita bertiga, yang panik, tiba2 tergelak besar! Kelakar benar rasanya membayangkan kembali riak wajah masing-masing.... Dan gelak tawa itu hilang sebaik saja suara kak Dah (ketua Dorm) yang kedengaran dari koridor..."Hoi!! Siapa makan cencalok ni?? Satu dorm bau cencalok!!" .... Syhhh!!!...Tapi kami masih terus tergelak lagi... tanpa suara dan bahu yang terhenjut-henjut! 

Hrmm..... lamanya aku tinggalkan zaman-zaman itu. Maklumlah.... masing-masing dah ada 'roommate baru'. Dalam hati, aku doakan agar kalian mendapat 'roommate' yang mampu memberikan hidup yang bahagia...sebahagia kehidupan kita di bilik kecil itu dulu. Jasa baik kalian masih utuh dalam ingatan. Sepertimana yang aku katakan tadi, banyak benar kenangan yang terukir indah (semuanya indah!) bersama-sama kalian berdua, cuma biarlah kusimpan kejap dalam ingatan. Untuk Kak Syikin dan Azura...aku sayang korang!  

Wednesday, November 21, 2012

"Apa dah jadi?"

Wah! Baru saja bersemangat menulis di laman blog yang dah berhabuk-habuk ni.... aku tiba-tiba saja terpana. Apa dah jadi dengan laman 'CikguAida.blogspot.com' aku ni? Semuanya dah tak macam dulu. Macam tak tahu nak tekan di mana....nak isi yang mana? 
Adakah aku dihukum atas pengabaian yang telah aku lakukan selama ini?? 
Oh tidaaakkkk!!! Kemana pergi isi kandungan blogku? Kenapa kosong? Kosong?
Kembalikan laman2 luahan hatiku itu.... huhuhuhuuuu....
Errr... bertenang....bertenang....
Teringat kata-kata sahabat kesayanganku, (*yang turut mengingatkanku agar kembali menjenguk blogku yang kesunyian)....dia pun telah lama tidak menulis di laman blognya hinggakan kata laluan pun dia dah terlupa. Mungkinkah aku juga telah lupa? Tidak... kata laluanku tepat. Kerana itu aku mampu menjenguk masuk ke sini. Tapi...kenapa blogku ini susun aturnya berbeza? Isinya kosong? Malah warna latarbelakangnya pun berbeza?.....Segala-galanya seolah-olah...ianya 100% laman blog baru! Laman blog baru???
Mataku segera memeriksa kembali akaun email yang aku gunakan. SAH!! MEMANG SAH!! Memang dah sah aku dah ter'create' akaun blog baru!Aku terguna akaun email yang lagi satu, bukan yang selalunya aku guna. 
Tersengih-sengih lega.. Memang sangat lega.....tapi malu pada diri sendiri! Baru saja aku nak berlagak kepada rakan karibku itu bahawa aku tak lupa kata laluanku, tau-tau....akaun emailku pula yang tunggang terbalik. 
Kesimpulannya, sahabatku....kita memang dua kali lima!