Wednesday, December 2, 2009

Aku, kereta dan pintu......

Kepalaku masih berdenyut........tapi kugagahkan juga untuk menjenguk blog ku hari ini. Bukan kerana terlebih rajin atau terlebih tenaga, cuma aku sekadar mahu menumpang ruang untuk mencurah perasaan.

Semalam, seharian aku menghadap mini notebook. Seboleh-bolehnya, tugasan sekolahku itu mahu kusiapkan hari itu juga. Baru aku tahu, bukan mudah untuk menyediakan jadual waktu guru. Walaupun berbantu komputer, masih ada perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan menggunakan akal dan peri kemanusiaan. Setelah hampir 12 jam di depan notebook, kepalaku mula berdenyut yang amat sangat. Pinggangku juga sudah mula rasa tidak selesa. (Mungkin sekadar mengingatkan bahawa aku telahpun beransur-ansur dimakan usia). Tapi bukan ini perkara yang ingin kukongsikan bersama........Ada cerita lain sebenarnya.

Setelah merehatkan badanku dengan tidur yang agak panjang, aku bangkit dengan sedikit kelegaan. Pagi ini, seperti yang kujanjikan, aku akan ke sekolah bersama-sama Puan Noriyah untuk meneruskan usaha menyiapkan jadual tersebut. Pagi ini juga adikku, Haidi akan berangkat pulang semula ke Parit Buntar setelah bercuti di rumahku bermula Hari Raya Aidiladha lalu. Setelah menyiapkan sedikit bekalan makanan, aku bergegas keluar..... Jam telahpun menunjukkan pukul 9.15 pagi. Dengan tergesa-gesa aku membuka sebelah pintu pagar rumahku dan masuk ke kereta. Sambil mengucapkan selamat tinggal kepada adikku, kuundurkan kereta dan......GEDEGANGGGG!!!!!

Ya Allah!!! dalam kalut-kalut tadi, baru aku tersedar yang aku hanya membuka sebelah saja pintu pagar! Tambah pula kerana leka memerhatikan hanya di sebelah kanan, aku langsung terlupa apa yang ada di sebelah kiri. Inilah akibatnya setelah beberapa hari 'cuti' memandu kereta. Skill buka pagar pun aku lupa!

Bergegas aku turun memeriksa keretaku. Alhamdulillah keretaku bolehlah dikatakan tak seteruk mana rosaknya... tapi agak teruk juga calar-calarnya dimataku. Rasa bersalah yang amat sangat kerana melakukan kecuaian bodoh seperti itu! Memang agak ketara calar di bahagian kiri berhampiran tayar belakang. Cuma aku lega kerana keretaku tak kemik. Seperti biasa, bila kukhabarkan pada suamiku, tak ada apa lagi yang boleh dikatakan olehnya melainkan...."Tak apalah....nak buat macam mana, dah nak jadi." Mungkin untuk menyedapkan hatiku dia berkata, " Tengoklah, hujung minggu nanti kita tanya tempat spray kereta, macamana nak buat."
Apa juga yang dikatakan olehnya, aku masih rasa terbuku. Aku masih rasa terkilan.
Sakit kepala semalam tiba-tiba kembali menyerang. Dengan berat hati, aku teruskan perjalananku untuk ke sekolah. Sepanjang jalan, aku rasakan seolah-olah semua mata seolah memandang 'kecacatan' keretaku itu.... Dan lebih bersalah kerana penyebabnya adalah AKU!!!!